Benci! Tapi Rindu -Bab 3

BAB 3

TERBUKA luas mata Iman. Rumah banglo yang tersergam indah di hadapan matanya itu direnung dengan perasaan kagum. ‘Mak, aii! Besarnya rumah. Ni kalau masuk dalam mesti sesat ni.’ Bukan setakat mata saja yang bulat, siap dengan mulutnya sekali ternganga luas. Inilah pertama kalinya dalam hidup dia melihat rumah semewah dan sebesar itu.
Mata Iman terus meliar kesegenap laman rumah itu. Lanskap yang cantik! Ada taman bunga mini, ada kolam ikan, siap ada air pancutnya sekali. Di hadapan rumah pula tersadai beberapa buah kereta besar dan mewah. Sebuah daripadanya berbungkus kemas. Gila! Macam mimpi saja dia dapat tengok semua tu. Tudung yang senget dibetulkan.
“Yang kau tercegat lagi dekat situ, kenapa?!” Laung Maksu Normah. Dari tadi lagi dia tercegat di hadapan pintu besar rumah banglo itu. Tunggu Iman!
“Yer, datanglah ni!” Bentak Iman geram. ‘Maksu ni memanglah! Dekat sini pun nak tunjuk kuasa.. Menyampah!’ Terkedek-kedek Iman berjalan ke pintu besar. Senget rasa bahunya menggalas beg pakaian. Mulut pula sudah memuncung macam muncung itik.
“Buat muka! Ingat sikit Iman, ini rumah orang. Maksu nak kau jaga perangai kau tu!” Berdecit mulut Maksu Normah menitip pesan. Muka Iman dipandang lama.
Iman juih bibir, mula bosan dengan mulut Maksu Normah. Rasanya, dah beratus kali maksunya itu titip pesanan yang sama. Naik bernanah dah telinga dia. Kalau tak fikir sekarang ni dia berada di rumah orang, dah lama dijawap mulut maksunya itu. Kalau dia menjawap dekat sini, alamat gali lubang terjun sendirilah! Wan Bedah tak ada untuk membela dia. Mahunya masak dia kena gulai dengan maksunya itu. Garang woo!
“Haa.. eloklah tu! Terjuih-juih bibir tu. Kau buat perangai dekat sini, siap kau erk!” Maksu Normah dah celik mata luas-luas. Budak Iman ni kalau tak gertak macam tu memang tak jalan. Mahunya perangai menjawap dia tu dibawa ke sini.
“Maksu ni, bising betullah! Kalau Iman tahu mulut maksu macam ni, sumpah Iman tak ikut. Dari tadi asyik berbunyi je. Naik cair tahi telinga Iman ni.” Hah! Iman dah mula dah. Dah mula perangai menjawap dan kepala angin dia tu..
Bulat mata Maksu Normah. Kalau ikutkan hatinya, mahu dicili-cilinya mulut budak Iman tu. Menjawap aje kerjanya. Tapi tulah! Dah dia tahu perangai Iman tu memang sama aje dengan perangai dia, sedaya upaya dia menyabarkan diri. Takut pula dia hilang sabar dengan budak bertuah sorang tu.
“Dahlah, mari masuk.” Suara Maksu Normah sudah kendur. Pintu utama rumah banglo itu ditolak perlahan.
“Mak aii! Ni rumah ke istana maksu?” terbeliak biji mata Iman sebaik sahaja kakinya memijak lantai marmar bercorak bunga di rumah banglo itu. Terasa sejuk tapak kakinya. Segenap ruang di dalam rumah banglo itu dijelajah dengan anak mata. Perabot-perabot dan barang-barang hiasan yang berharga ribuan ringgit tersusun kemas dan cantik. Nampak sungguh mewah.
Seketika mata Iman terpaku pada satu potret lama sebuah keluarga yang tergantung kemas di sudut tengah ruang tamu besar itu. Satu persatu wajah di dalam potret itu ditatap. Saat matanya menyorot pada potret seorang budak lelaki, matanya terpaku lama di situ. Entah kenapa, terasa sukar untuk dia mengalihkan pandangannya dari situ.
Potret budak lelaki yang sedang duduk di riba seorang lelaki kacak itu bagaikan ada satu daya tarikan yang membuatkan mata Iman tidak mahu lari dari situ.
“Yang kamu termenung tengok gambar tu kenapa?” Maksu Normah dah mula balik. Dah mula nak pasang radio buruknya. Muka Iman direnung tajam.
Iman mengeluh kecil. ‘Maksu nak mula lagilah tu!’ Detik hati Iman sambil tangan sudah naik menggaru kepala yang tidak gatal.
“Emm, tak adalah maksu. Kenapa budak lelaki dalam gambar tu nampak lain sikit daripada yang lain-lain?” Tanya Iman dengan wajah pelik. Dalam hati mula meneka. Mungkin itu potret keluarga Tengku Faridah.
“Apa yang lainnya? Maksu nampak macam biasa jer.” Muka Maksu Normah masih selamba badak.
“Hish, maksu ni! cuba buka mata tu luas-luas.. Bukan ker muka budak lelaki tu nampak macam muka anak orang korea sikit. Mata sepet, hidung mancung.. Tapi, kulit dia tak adalah putih melepak.” Bersungguh Iman cuba menyakinkan maksunya. Mentang-mentanglah dia tu hantu cerita korea, terus dia bagi macam muka anak orang korea.
“Mah!”
Baru saja Maksu Normah nak buka mulut, nama dia tiba-tiba diseru. Laju dia menoleh pada tangga kayu yang berkilat, terukir cantik itu. Mata Iman juga sudah fokus pada tempat yang sama. Di hujung anak tangga berdiri seorang wanita yang berumur dalam lingkungan lewat 50-an, tetapi perwatakannya masih lagi nampak anggun dan menawan.
Sekali lagi mata Iman terpaku lama di situ. Wanita yang nampak sebaya dengan Wan Bedah itu ditilik lama. Memang masih nampak anggun dan bergaya. Kebaya nyonya yang tersarung cantik di tubuhnya itu, dipadankan pula dengan kain batik jawa yang bercorak burung merak dan rambut yang disanggul tinggi.. menampakkan dia lima tahun lebih muda daripada usianya yang sebenar.
Potongan badannya juga masih langsing dan cantik. Dalam hati Iman mula berasa kagum dengan wanita itu. ‘Agaknya, inilah Mak Engku. Mak aii, boleh tahan jugak orangnya.. Hmm, kalau dah duit banyak.. tak mustahil Iman oii! Sekelip mata jer boleh cantik.’ Getus hati Iman.
“Mak Engku..” Maksu Normah sudah tersenyum lebar.
Perlahan langkah Tengku Faridah diatur menuruni anak tangga. Nampak begitu sopan dan bergaya. Mata Iman tidak berkelip, penuh kagum melihat wanita itu. ‘Mak aii, kalau nak bandingkan dengan maksupun, memang dia nampak jauh lebih mudalah!’ dalam hati Iman tidak henti-henti memuji.
Entah kenapa saat wanita anggun itu berhenti betul-betul di hadapannya, hati Iman berdebar-debar. Rasa macam nak gugur saja jantungnya. Lebih lagi bila mata wanita anggun itu tidak lepas daripada merenung dia. Serba tak kena jadinya.
“Mak Engku, inilah Nurul Iman.. Anak saudara saya.” Maksu Normah perkenalkan Iman kepada Tengku Faridah. Awal-awal lagi dia sudah maklumkan tentang kedatangan Iman kepada Tengku Faridah.
Mata Tengku Faridah masih terpaku lama pada Iman. Perasaannya tiba-tiba saja rasa lain. Terpandangkan saja wajah Iman yang cantik dan lembut itu, hatinya tiba-tiba saja terjatuh sayang. Wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang sudah lama pergi dari hidupnya. Hati disapa sayu dengan tiba-tiba.
“Apa khabar mak engku?” Laju Iman menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan wanita itu. Dalam hati rasa pelik juga melihat wajah wanita itu yang tadinya nampak ceria berubah menjadi mendung dengan tiba-tiba.
“Panggil nenda saja.” Laju tangan Iman disambut oleh Tengku Faridah. Tanpa disangka-sangka, tubuh ramping milik Iman diraih kejap kedalam pelukan. Terpinga-pinga Iman dibuatnya.
Mata Iman mula mencari anak mata Maksu Normah. ‘Adeh!! Apa dah jadi ni?’ Dalam hati jangan ceritalah.. berdesup-desup persoalan datang bertamu. Apa dah jadi ni? Kenapa kena peluk dengan tiba-tiba aje ni?
Maksu Normah pula nampak tenang saja. Walaupun ada riak keruh pada wajahnya, namun dia berusaha juga untuk berlagak setenang yang mungkin. Anak mata Iman ditentang juga. Ada senyuman kelat yang terukir di wajahnya. ‘Ini baru permulaan..’ Hati Maksu Normah berbisik sendiri.

IMAN bergolek ke kiri dan kanan. Kemudian bangun berdiri di atas katil. Melompat-lompat di atas tilam yang empuk itu. Melantun-lantun macam bola hoki yang dilambung.
“Wah.. lembutnya tilam ni!”
Iman teruja. Mana tidaknya! Kalau tilam dia dekat kampung tu, kalau dia melompat macam tu.. mesti dah patah katilnya. Makin seronok pula dia melompat dan melompat.
“Ya Allah! Kau turun sekarang!! Budak bertuah ni.” Maksu Normah sudah menjerit macam halilintar.
Gedebuk!!
Macam nangka busuk Iman jatuh daripada katil dek terlampau terkejut dengan jerkahan Maksunya itu. Berpisat-pisat Iman bagun semula.
“Apa ni maksu.. suara macam petir! Nasib baik tak patah pinggang orang ni.” Runggut Iman sambil menggosok pinggangnya yang terasa sengal. Dia buat nampak tak nampak saja muka cemberut maksunya itu. Alah, bukan tak biasa tengok pun. Dah biasa sangat dah. Dalam kepala otaknya ligat meneliti. ‘Tinggi jugak katil ni! Patutlah boleh tahan jugak rasa sakitnya!’
“Kau jangan nak buat hal dekat sini yer.. Geramnya aku dengan budak bertuah ni! kalau runtuh katil tu tadi, kau ada ker duit nak ganti?” Mata Maksu Normah sudah mencerlung pada Iman.
“Hee.. Tak ada! Alah, bukan runtuh pun maksu. Ni katil mahallah maksu, mana boleh senang-senang dan runtuh. Lagipun, Iman ni bukan besar sangat. Kalau maksu yang lompat dekat atas ni tadi, Iman yakin mesti runtuh punya. Sebab maksu tu gemuk! He.. he.. he..” Sempat lagi dia kenakan maksunya.
“Eeii.. Geramnya aku dengan budak ni! Nah rasakan..” Satu cubitan halus sudah hinggap di lengan Iman.
“Aduh! Maksu.. Sakitlahhh...” Iman sudah merengek-renggek.
“Padan muka! Mulut tu kalau tak menjawap, memang tak aman kan?”
“ Maksu ni.. Mentanglah wan tak ada dekat sini, suka-suka jer nak buli orang! Menyesallah ikut maksu ni. Patutnya Iman duduk jer dekat kampung tu.. tunggu Abang Asyraf masuk meminang.” Iman dah buat muka. Sakit hati betul dengan maksunya. Sakit tau kena cubit!
“Hah, baguslah! Berangan tak sudah.. Kalau perangai macam kau ni, tak ada siapa nak buat bini. Sepatah orang bercakap, sepuluh kau menjawap!” Bidas Maksu Normah.
“Habis tu maksu tu? Oo.. patutlah sampai sekarang maksu tak kahwin! Kuat menjawap rupanya..” Selamba Iman membalas. Dia sudah tersenyum senget. Suka tengok muka maksunya bertukar jadi merah macam biji saga.
Makin bulat mata Maksu Normah. Iman dekat depan dia nampak macam besar kecik, besar kecik jer. Kalau ikut hati, memang selamat dah mulut anak saudaranya itu kena cili. ‘Huh! Sabar mah.. Kalau kau berlawan cakap dengan budak ni.. sampai esok pun belum tentu habis.’ Maksu Normah tarik nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan dirinya.
“Hmm, malaslah maksu nak layan kau! Dah, pergi tidur. Esok nak kena bangun awal. Ingat tu.. esok dah mula kerja.” Suara Maksu Normah sudah kendur. Dia kemudiannya terus berlalu ke pintu.
“Maksu!”
 Langkah Maksu Normah mati bila namanya diseru oleh Iman. Seketika dia menoleh kebelakang.
“Iman sayangkan maksu. Sorry yer..” Pinta Iman perlahan. Muka maksunya ditatap lembut. Sungguh, dia sayangkan wanita itu. Wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.
Maksu Normah diam sejenak. Kemudian sebuah senyuman sudah berlari di bibirnya.
“Dahlah! Maksu pun sayangkan Iman. Tidur yer.” Ucap Maksu Normah perlahan. Dia kemudiannya menutup semula pintu bilik Iman dan berlalu ke biliknya.
Iman senyum sendiri. Tubuhnya direbahkan ke atas tilam yang empuk itu. Matanya masih meliar kesegenap ruang bilik yang sedang dihuninya kini. Cantik dan selesa. Tapi, kenapa dia tak gembira sangat. Dia masih rindukan tilam kerasnya di kampung. Dia rindukan Wan Bedah.
Entah pukul berapa barulah matanya mula berat dan dia terlelap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan