Benci! Tapi Rindu -Bab 4

BAB 4

IMAN berdiri lama di muka pintu. Dalam hati masih teragak-agak untuk menapak ke dalam bilik besar dan mewah itu ataupun tidak. Dari celah daun pintu yang terbuka sedikit, dia nampak Tengku Faridah sedang duduk di sofa empuk yang berada di dalam bilik itu sambil membelek sesuatu. Nampak macam album gambar.
Tanpa sedar tangan Iman sudah naik menggaru kepala. ‘Aku nak kena buat apa pulak ni? Dah hampir seminggu dah ni.. satu kerja pun tak buat lagi! Aku ni kerja sebagai apa sebenarnya? Orang gaji? PA?’ Hati Iman terus berteka-teki. Rasanya sudah hampir sepuluh minit dia berdiri tegap di muka pintu. Macam jaga tak bertauliah dah!
Tok!! Tok!! Tok!!
Akhirnya, tangan dia laju saja mengetuk daun pintu.
“Iman, masuklah!”
 Pelawa Tengku Faridah sebaik sahaja dia menoleh ke pintu. Sebuah senyuman diberikan pada Iman. Album gambar yang ditelek sebentar tadi sudah diletakkan di atas meja sofa. Pandangan dan tumpuannya kini seratus peratus terarah pada Iman.
Iman telan liur. Kenapalah hati dia rasa semacam saja bila berdepan dengan Tengku Faridah ni? Nak tak hendak, dia menapak jua kedalam. Mata mula meliar kesegenap ruang di dalam bilik tidur kepunyaan Tengku Faridah. Nampak mewah dan eksklusif. Dinding bilik dicat dengan warna gold dan silver. Begitu juga dengan pilihan perabutnya dan hiasannya. Dengan pilihan gabungan warna gold dan silver, menampakkan ruang bilik tidur itu kelihatan mewah.
Dalam hati sempat juga Iman menilai diri Tengku Faridah. Nampaknya wanita ini mempunyai citarasa yang tinggi. Lihat saja penampilannya. Sentiasa nampak kemas dan anggun. Iman naik segan dengan Tengku Faridah.
“Kenapa tercegat lagi tu? Marilah duduk sini.” Sofa di sebelahnya ditepuk. Muka Iman dipandang lama. Redup saja sorotan matanya. Melihat wajah Iman seolah dia melihat kisah silam yang amat menyakitkan. Hati dipagut pilu.
Iman duduk di sebelah Tengku Faridah. Hatinya rasa berdebar-debar. Kenapalah dengan dia sehari dua ni. Hati asyik berdebar-debar saja. Lebih-lebih lagi jika berdepan dengan Tengku Faridah. Padahal wanita itu melayan dia dengan baik sahaja.
“Mak Engku, hari ni apa yang perlu saya buat? Nak saya masakkan untuk mak engku ker?” Tanya Iman sebaik sahaja dia sudah duduk di sebelah Tengku Faridah. ‘Amboi, Iman! Bukan main lagi kau kan. Tawarkan diri untuk masak konon.. kalau dekat kampung tu harapkan wan jer yang masak. Kau, pandai makan jer!’ Iman sudah mengutuk diri sendiri dalam hati.
“Ish, berapa kali nenda nak pesan ni. Jangan panggil mak engku! Panggil nenda jer. Lagipun nenda memang ada cucu sebaya Iman ni. Lagi tua daripada Iman agaknya. Iman tak payah buat semua tu.. Tugas Iman cuma temankan nenda berbual-bual, pergi jalan-jalan.. Itu saja. Yang lain-lain tu tugas Maksu Normah dan Kak Mona.” Balas Tengku Faridah lembut. Seraut wajah Iman ditatap dengan penuh minat. Setiap kali wajah itu dipandang, setiap kali itulah juga rasa kasihnya tumpah.
“Iman seganlah. Nanti apa pulak kata orang lain. Mak engku ni majikan Iman.”
“Nak kata apanya? Dalam rumah ni, semua dah jadi macam satu keluarga. Kak Mona, Maksu Normah, Pak Dollah.. semua tu nenda dah anggap macam keluarga nenda sendiri. Diaorang tulah peneman nenda. Sekarang tambah Iman sorang lagi.” Senyuman manis sudah berlari di wajah Tengku Faridah.
“Err, kalau Iman tanya.. nenda jangan marah yer.” Takut-takut Iman menutur kata. Bimbang juga kalau-kalau pertanyaan dia sebentar nanti mengores hati Tengku Faridah.
“Iman nak tanya apa? Tanyalah.”
“Emm, nenda memang tinggal sorang ke dekat rumah besar ni? Potret lama dekat ruang tamu bawah tu potret keluarga nenda ker? Mana diaorang semua?” Mata Iman merenung lama pada Tengku Faridah. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.
Tak disangka-sangka pertanyaan Iman sebentar tadi mengundang riak keruh di wajah Tengku Faridah. Matanya terarah semula pada album gambar yang berada di atas meja sofa. Tak semena-menanya mata Tengku faridah berkaca.
Iman kaget. Riak keruh yang terpamer dengan tiba-tiba di wajah Tengku Faridah itu mengundang rasa sesal di hatinya. ‘Iman! Apa kau dah buat ni? Adoii..berapa kali dah maksu pesan jaga mulut kau tu! Matilah kalau maksu tahu..’ Tak sudah-sudah dia merunggut dalam hati. Sesal dengan kelancangan mulutnya sendiri.
“Mmm.. Iman mintak maaf nenda.” Perlahan suara Iman. Betul-betul macam orang bersalah. Kebisuan Tengku Faridah membuatkan dadanya menjadi sesak. Sesak dengan sesalan yang tak sudah. Rasa nak tampar saja mulutnya sendiri.
“Tak ada salahnya pertanyaan Iman tu. Cuma nenda saja yang teremosi.” Jawap Tengku Faridah lirih. Senyuman tawar terukir di bibirnya. Tangan Iman dicapai, digenggam lama. Entah kenapa ada perasaan aneh yang menerpa di hatinya saat tangan itu digenggam lama. Lama matanya dan mata Iman bersatu. Masing-masing seolah berkongsi rasa yang sama.
“Err, kalau nenda tak nak jawap tak apalah. Iman tak kisah.” Iman tersenyum tipis cuba menyembunyikan perasaan gugup di hatinya. ‘Kenapa ada perasaan macam ni? Kenapa ni Iman? Perasaan apakah ini?!’ hati Iman meronta-ronta.
“Nenda mintak maaf yer. Bila dah sampai masanya nanti nenda cerita pada Iman.” Tutur Tengku Faridah lemah. Matanya masih merenung dalam pada Iman. Memang betul! Saat ini dia masih belum bersedia untuk bercerita dengan Iman. Bercerita tentang kisah silam akan mengundang semula luka semalam. Akan mengundang semula perasaan sesal yang menggunung. Akan terbayangkan semula dosa silam. Dia tidak kuat. Sedangkan selama ini dia telah cuba sedayanya untuk menghapuskan semua kenangan silam itu daripada terus menjerut perasaannya.
Iman terdiam seribu bahasa. Dalam hati perasaan ingin tahunya berkobar-kobar. Tapi melihat saja riak keruh pada wajah Tengku Faridah itu membuatkan perasaan ingin tahunya terpaksa dipendam jauh di lubuk hati.
 Masing-masing terus membisu. Tenggelam dalam perasaan sendiri. Tanpa mereka sedar segala tingkah mereka telah diperhatikan oleh Maksu Normah melalui daun pintu yang sedikit terkuak.
Maksu Normah tarik nafas panjang. Dalam dadanya juga turut berasa sesak. Sesak dengan segala rasa yang selama ini cuba dipendam jauh di lubuk hatinya. Semakin lama, perasaan itu samakin sukar untuk dibendung lagi. ‘Sikit masa lagi mah! Saat itu pasti akan tiba juga.’ Hati Maksu Normah terus berdetik. Penuh yakin!

IMAN duduk menopong dagu. Matanya dipandang kosong pada sayur-sayur yang berada di atas meja di ruang dapur. Ada sawi, kacang panjang dan kubis. Semua sayur-sayur itu telah dikeluarkan daripada peti sejuk oleh Kak Mona sebentar tadi. Mungkin untuk dimasak.
“Hai, Iman. Kenapa duduk menopong dagu jer ni, bosan ker?” Kak Mona tiba-tiba saja muncul bersama sebilah pisau di tangan. Bekas kecil juga dibawa bersamanya dan diletakkan di hadapan Iman dia atas meja.
Setelah melabuhkan duduk di kerusi berdepan dengan Iman, tangan Kak Mona mula lincah berkerja. Sayur-sayur di hadapannya itu mula dipotong kecil. Iman perhatikan tingkah Kak Mona dengan penuh ralit.
“Kak Mona nak Iman tolong ker?” Rajin pula Iman tawarkan diri. Padahal kalau dekat kampung tu, puas disuruh oleh Wan Bedah.. barulah tangan tu rajin nak menolong.
“Eh, tak apalah. Sikit jer ni..” Laju Kak Mona menolak. Muka Iman direnung sekejap.
“Iman ni kenapa? Bosan ker tinggal dekat sini?” Kak Mona cuba memancing Iman untuk berbual. Nampak sangat muka Iman yang kebosanan itu.
“Hmm, Kak! Dah lama ker Kak Mona kerja dekat sini?” Pertanyaan Kak Mona tadi dibalas dengan pertanyaan juga. Mata Iman nampak segar pada kali ini. Muka Kak Mona ditenung lama.
“Kenapa tanya?”
“Kak Mona mesti tahu kisah hidup Mak Engku ni kan?” Tanya Iman lagi. Bersungguh benar dia mahu mnegorek rahsia. Entah kenapa dia betul-betul rasa berminat untuk tahu.
Muka Kak Mona nampak kelat dengan tiba-tiba. Lama juga dia diam sebelum dia menjawap pertanyaan Iman.
“Emm, Kak Mona dekat rumah ni baru tiga tahun. Maksu Iman tu lagi lama dekat sini. Dah berbelas tahun agaknya dia kerja dekat sini.”
“Emm, Maksu tu memanglah! Tapi dia tak nak bercerita.” Iman macam kecewa. Tangannya laju saja mencapai kacang panjang yang telah dipotong oleh Kak Mona, lalu dimasukkan ke dalam mulut.
“Ish, budak ni!” laju juga tangan Kak Mona menepis. Saja dia buat-buat marah.
Iman gelak.
“Kak Mona, Mak Engku tu tak ada anak ker? Habis tu gambar lama dekat ruang tengah rumah tu gambar siapa? Bukan keluarga dia ker?” Iman masih belum puas mencuba.
Tangan Kak Mona berhenti dari memotong sayur. Sekali lagi muka Iman ditatap. ‘Hai, budak Iman ni! banyak pulak tanyanya..’ Getus hati Kak Mona.
“Hmm, yang Kak Mona tahu anak Mak Engku tinggal di luar negara. Mereka ada masalah keluarga. Sampaikan syarikat Mak Engku dekat sini pun terpaksa diserahkan kepada rakan kongsi Mak Engku untuk diuruskan. Masalah apa, Kak Mona pun tak tahu.” Bisik Kak Mona perlahan. Bimbang kalau-kalau Mak Engku tiba-tiba saja muncul di situ.
Iman angguk kepala. Makin kusut pula dia rasa. Hatinya semakin meronta ingin tahu.
“Kak Mona! Lagi satu.. Bilik siapa dekat hujung tingkat tiga tu?” Berkerut dahi Iman merenung Kak Mona. Kata-kata amaran daripada Maksunya supaya tidak menghampiri bilik itu semakin menjadi tanda tanya. Menyesak-nyesak perasaannya. Berkobar-kobar perasaan ingin tahu.
“Oo.. yang tu! Kenapa?”
“ Tak adalah. Maksu beria tak bagi Iman dekat dengan bilik tu. Katanya, cuma dia sahaja yang boleh masuk dan kemaskan bilik tu.” Jawap Iman jujur. Dalam rumah itu memang masing-masing sudah diberikan tugas. Tugas Maksu Iman adalah mnegemas rumah. Kak Mona memasak. Pak Dollah pula merangkap driver dan tukang kebun di rumah besar itu. Akhir sekali Iman tugasnya melayang Mak Engku berbual-bual.
Macam kelakar pula rasanya. Duduk berbual-bual pun boleh dapat gaji. Kalau dah namanya orang kaya, banyak duit.. semua boleh buat kan. Sanggup bayar gaji orang semata-mata nak berteman. Dalan hati Iman, terselit juga perasaan kesian pada Tengku Faridah. Ada rumah besar, kereta besar, duit banyak.. tapi hidup tetap juga sunyi.
“Bilik tu memang tak ada sesiapa pun dibenarkan masuk. Tuan bilik tak bagi.” Jawap Kak Mona bersaja. Sayur sudah siap dipotong.
“Siapa tuan dia Kak Mona? Iman tak nampak pun ada orang lain dalam rumah ni selain daripada kita-kita ni.” Dahi Iman sudah berkerut. Tudung yang jatuh kedepan segera dibetulkan. Muka Kak Mona dipandang bersungguh.
“Hmm, memang sekarang tak ada. Nanti-nanti ada baliklah tu! Jadi kapten ni memang jarang ada di rumah.” Jawap Kak Mona acuh tak acuh. Dia bergegas ke sinki untuk mencuci sayur yang telah dipotong tadi.
Dahi Iman makin berlipat. ‘Kapten? Hish, makin kusut ni!’
“Kapten apa Kak Mona? Siapa dia tu? Lelaki ker perempuan?” Iman masih belum puas hati.
“Ish, banyak tanyalah kamu ni Iman. Dah, pergi naik atas sana. Jangan kacau Kak Mona nak masak ni.” Kak Mona buat-buat marah. Tapi sebetulnya, dia memang malas mahu bercerita. Biarlah Iman tahu sendiri. Tak kuasa dia nak melayan soalan demi soalan daripada Iman.
“Hmm, yerlah! Tak sporting langsunglah Kak Mona ni.. Sama jer macam Maksu.” Iman mencebik. Mukanya nampak sangat macam orang kecewa. Lambat-lambat dia bangun, berjalan meninggalkan ruang dapur mewah itu.
Tawa Kak Mona meletus juga. Lucu melihat wajah Iman yang kelat lebih dari buah jambu batu putik itu. Biarlah budak Iman tu merajuk. Dia memang malas nak buka mulut. Silap hari bulan dia pula yang kena nanti.

“WAN, menungkan apa tu?” Akma sudah bertenggek di sebelah Wan Bedah di atas pondok. Matanya terarah pada pokok-pokok pisang yang rata-ratanya sedang berbuah. Bersih aje kebun Wan Bedah tu. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa, membawa aura ketenangan.
“Hmm.. wan teringatkan Iman. Apa khabar agaknya dia dekat sana.” Lemah saja suara Wan Bedah menyapa telinga Akma.
Akma diam sejenak. Faham sangat dengan kesunyian yang dirsakan oleh neneknya itu. Dia sendiri rasa sunyi bila Iman tak ada. Yerlah, selama ini mulut Iman tu tak berhenti berbunyi kalau dia ada. Bila dia tak ada, macam nilah jadinya..
“Dia tak telefon wan ker?” Tanya Akma berbasi-basi. Jawapannya, dia sendiri sudah dapat mengagak.
“Kamu macam tak kenal budak Iman tu! Mana reti nak menelefon orang.”Bentak Wan Bedah sikit geram. Sakit hati pun ada mengingatkan perangai Iman yang satu itu.
Akma gelak kecil. Bayang Iman terus menari di ruang matanya. Memang Iman tak suka bercakap di telefon. Entahlah, Akma sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Iman ni memang pelik. Sebab tulah, hubungan Iman dengan Asyraf pun macam lalang. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir.. ikut angin. Mana tidaknya, Iman suka tulis surat berjela-jela. Asyraf pula jenis malas nak balas surat. Sudahnya mereka bertemu bila Asyraf balik bercuti sahaja.
“Maksu?” Tanya Akma lagi. Dia nampak Wan Bedah mengesat peluh di dahi menggunakan tuala kecil yang tersangkut kemas di bahunya sejak tadi.
“Maksu kamu adalah telefon. Dia cakap semuanya baik-baik saja. Tapi wan tetap risaukan Iman.. Entahlah.” Jawap Wan Bedah lemah.
Akma diam. Sejenak nafas dihela. Dia nampak wajah redup Wan Bedah. Tahu sangat perasaan Wan Bedah tika itu. Tak lain tak bukan, dia rindukan Iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan