Coretan Hatiku



1996

AKU terus memandang keluar tingkap kereta, sambil mata masih meliar ke kanan dan kiri memerhati setiap pandangan yang begitu asing bagiku. Pepohon getah menghiasi di setiap kiri dan kanan jalan raya yang kecil dan sempit itu seakan memberi gambaran kepadaku bahawa aku sekarang berada jauh di pendalaman, jauh daripada hiruk pikuk dan warna warni kota. Mana tidaknya! Kampung Sungai Last, Setiu Terengganu. Mendengar nama kampungnya saja sudah cukup membuatlkan aku mengerti. Perasaanku pula bercampur baur, antara suka dan takut.
Suka, kerana aku bakal bergelar seorang guru. Bermakna aku sudah berjaya tunaikan impian emak untuk melihat aku menjadi seorang pendidik. Walaupun aku sebenarnya lebih berminat untuk bergelar seorang pelakon ataupun model, tetapi tidak sanggup rasanya mahu menghampakan harapan emak tercinta. Takut pula, apakah mampu untuk aku menjadi seorang pendidik yang berjaya dan cermerlang memandangkan kerjaya ini bukanlah pilihanku yang mutlak, dan sekarang aku ditempatkan pula di kawasan pendalaman sebegini.Huhh!
“Gee..menungkan apa tu?” terdengar suara lembut emak menyapa telingaku. Lantas dengan lajunya aku menoleh pada emak yang sedang duduk di kerusi penumpang belakang kereta. Segaris senyuman aku berikan buat emak yang sangat aku cintai. Wajah tua itu tampak tenang merenungku. Mampukah aku untuk berjauhan dengan emak nanti?
“Tak ada apa-apa mak! Saja tengok pemandangan.” Jawap ku juga lembut, sedayanya cuba mengusir kegusaran di hati. Pak ngah terus memandu kereta dengan tenang. Kereta Proton Saga lama berwarna merah itu terus meluncur dengan tenang melalui jalan raya yang sempit itu. Semenjak arwah ayah meninggal, Pak Ngahlah yang selalu menjadi tulang belakang keluarga kami.
“Kau dah bersedia ker nak jadi cikgu ni?”
Suara Pak Ngah pula kedengaran garau memecahkan kebisuan. Matanya masih lagi memandang terus kedepan, memandu dengan tenang. Sesekali dia mengelak ke kiri dan kanan cuba mengelak tayar kereta daripada terjatuh kedalam lubang di jalan raya yang berlopak itu.
“In Shaa Allah Pak Ngah!” Jawap aku sepatah, tanpa menoleh pada Pak Ngah. Dalam hati hanya Allah yang tahu. Aku bencikan situasi ini, sungguh!
“Ingat Gee! Duduk tempat orang ni pandai-pandailah hang bawak diri. Jangan sakitkan hati orang, hormat orang lain, dan yang penting jangan tinggal solat. Kerja sebagai guru ni mulia Gee, sampai mati pun pahala dapat kat hang kalau hang ikhlas..”
Sekali lagi suara lembut emak menerjah ke gegendang telingaku. Rasanya jika dirakam sudah beratus kali emak menitipkan pesan yang sama. Aku cuma mengangguk tanpa suara.

 “Cikgu datang! Woii..duduk tempat masing-masing..Ada cikgu baru yang handsome datang!..”
Telinga aku dapat menangkap dengan jelas suara seorang budak lelaki memekik lantang. Dan sehubungan dengan itu juga kedengaran bunyi kerusi dan meja berlaga sesama sendiri di dalam kelas seakan semuanya kelam kabut. Huhh!! Aku mula rimas dengan kebingitkan itu. ‘Ya Allah, bantulah aku untuk redha..’
“Assalamualaikum cikgu!” Hampir serentak murid perempuan dan lelaki yang berada di dalam kelas itu memberi salam sebaik saja aku berdiri di muka pintu kelas.
“Woww! Eizlan Yusof ker ni?” terdengar suara halus seorang pelajar perempuan terjerit kecil dihujung belakang kelas sebelum aku sempat menjawap salam. Mata aku terus tertancap tajam pada tubuh kecil yang sedang duduk di meja dihujung belakang kelas. Tiada segaris senyuman pun yang aku berikan walhal dalam hati berbunga-bunga apabila disamakan dengan pelakon drama terkenal tu. Siapa yang tak kenal Eizlan Yusof! Pelakon yang tengah tip top sekarang ni. Oppss!! Lupa nak cakap. Aku sebenarnya mengajar di sekolah rendah jenis kebangsaan dan ini adalah posting pertama aku selepas aku tamat kursus perguruan di maktab.
Aku melangkah masuk dan terus duduk di meja guru tanpa sepatah kata dan segaris senyuman pun. Murid perempuan yang menyapa secara tiba-tiba tadi sudah tunduk menyembunyikan wajahnya, manakala yang lain juga kelihatan takut-takut. Aku mula berasa geli hati namun sedaya upaya cuba mengawal tawaku. Garang sangatkah muka aku ni sampaikan muka diaorang semua pucat macam nampak hantu.
“Well, i’m your new teacher! My name is Fauzi Rashid@Idris... I’m your English teacher and can call me Sir..” Tutur ku lancar memperkenalkan diri. Aku tengok mereka semua tercengang-cengang dan saling berpandangan.
“Maaf cikgu! Kami semua tak paham bahasa orang putih..” Tiba-tiba seorang pelajar lelaki bangun.
Aku merenung wajah polos itu dengan dahi yang berkerut. Aikk! Tak kan tak faham kut? Aku rasa aku dah gunakan bahasa yang paling ringkas.
“Apa yang awak tak faham?”
“Cikgu, cakap bahasa melayu..barulah kitaorang faham..” sampuk seorang pelajar lelaki yang lain pula. Nah!! Sekarang cabaran aku sebagai seorang guru baru bermula. Nampaknya murid-murid yang berada di hadapan aku kini memang jauh ketinggalan daripada murid-murid di Bandar. Jika perkataan yang simple macamtu diaorang tak boleh nak faham, macam mana nak faham yang lain-lain. Aku mula rasa terbeban.
Pertemuan pertama dengan pelajar-pelajar baru ku berjalan dengan lancar walaupun di hati masih terselit perasaan ragu-ragu. Mak!! Boleh ker Gee ajar budak-budak ni semua?

*****
“Sir! Ada orang kirim salam..” Luah Azilawati, salah seorang daripada anak murid ku. Dia tersengih-sengih memandang aku. Sudah hampir empat bulan aku berada di desa ini dan sedikit sebanyak aku sudah dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini. Penduduk di kampung ini juga agak peramah semuanya.
“Siapa?” Tanya ku sepatah.
“Orang kampung ni, perempuan..itulah Sir..sapa suruh masuk majalah, kan dah popular.” balas anak murid ku lagi sambil tersengih lebar.
Aku hanya tersenyum tipis. Memang semenjak gambar aku terpilih masuk majalah media hiburan bulan lalu tidak putus-putus surat datang mengunjungi aku. Konon-konon surat daripada peminatlah tu. Yerlah, dah memang impian nak jadi pelakon ataupun model..Tak dapat jadi pelakon dapat masuk majalah pun kira okeylah..huhuhu.
“Waalaikummussalam Azie..sampaikan salam saya balik yer..” balas aku sambil tersenyum senang. Siapa tak bangga, tak sangka jadi cikgu pun boleh glamour!

****
“Heeiii!! Sini kau!”
Suara tempikan seorang lelaki begitu kuat di tepi telingaku. Aku yang sedang berdiri di kaunter bayaran di kedai runcit itu terus berpaling laju. Segera wajah bengis seorang lelaki lewat 30-an menerpa ke pandangan mataku.
“Yer saya?” tuturku masih lembut sambil tersenyum nipis. Dalam hati berdebar-debar. ‘Apa yang tak kena ni? Kenapa abang ni nampak macam marah sangat?’ Aku sudah mula berteka-teki.
“Kau tak payah nak tunjuk lagak dalam kampung ni..” bentak lelaki tadi dengan keras. Matanya masih merenung aku tajam seolah mahu menelan aku hidup-hidup. Darah merah terasa menyerbu ke muka secara tiba-tiba. Apa yang dah aku buat sampai lelaki ni marah macam kena rasuk dek hantu? Tak kan pasal perempuan kut! Jika benar, aku rasa aku tak ada buat apa-apa yang tak elok. Ingatan aku terus tertancap pada tunang kesayanganku. Mana mungkin aku boleh jatuh hati pada perempuan lain sedangkan hatiku milik dia yang mutlak.
“Saya tak faham apa yang abang maksudkan..Saya ada buat salah ker?” aku masih berlembut, jika boleh mahu mengelak daripada bergaduh.
“Semua perempuan dekat kampung ni duk bercakap pasal kau, tergila-gilkan kau! Bini aku pun sama..Apa yang dah kau buat sebenarnya ni? Kau datang sini nak mengajar ke apa?” jerit lelaki itu kuat. Tangannya sudah mencengkam kuat leher bajuku.
“Ya Allah abang, saya tak pernah kacau perempuan-perempuan dekat kampung ni..Lebih-lebih lagi isteri orang. Saya masih ada pegangang agama bang!” Jawap aku cuba membela diri. Memang betul! Aku tak ada kacau siapa-siapa. Jika mereka mahu bercakap tentang aku, mahu sukakan aku, itu hak mereka.
“Kau jangan ingat dengan muka kacak kau tu, kau boleh pikat semua perempuan! Ni amaran terakhir aku!” lelaki tadi melepaskan cengkamannya dan terus meninggalkan aku yang masih lagi tercengang-cengang. Beberapa pasang mata yang turut berada di dalam kedai runcit itu memandangku dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.

*****
“Abang! Ina nak putuskan pertunangan kita.”
Aku terpana sebaik sahaja kata-kata keramat itu terbit dari bibir wanita yang paling aku cintai. Tiba-tiba nafasku terasa sesak. Ingatkan kepulangan aku pada kali ini disambut dengan gembira lantaran aku memang sudah lama tidak pulang ke kampung halamanku di Perak. Malangnya berita ini pula yang tiba, berita duka buat aku.
“Kenapa Ina? Kenapa dengan tiba-tiba ni?” Suaraku sudah bergetar. Aku lihat Ina tenang saja, setenang tuturnya sebentar tadi.
“Ina rasa ini jalan yang terbaik abang..Sampai bila Ina harus menunggu..”
“Kalau gitu kita kahwin! Ina boleh ikut abang, tinggal dengan abang kat sana..”Aku cuba memujuk Ina. Mana mungkin aku mahu melepaskan dia pergi dengan begitu saja. Aku cintakan dia, sepenuh hatiku.
“Ina tak nak!! Macam mana Ina nak duduk kat sana, kawasan pendalaman yang macamtu. Ina memang tak boleh! Lagipun abang terpaksa berkhidmat di sana selama empat tahun lagi..Ina rasa jalan yang terbaik kita putus..” nekad sekali tutur Ina pada hari itu.
Aku masih diam membatu. Apa yang harus aku lakukan? Tidak aku nafikan sekarang ini aku memang sudah jatuh cinta dengan kerjaya baruku. Rupanya menjadi seorang guru adalah suatu pengalaman yang paling menyeronokkan. Hati kecil aku menangis semahu-mahunya, tetapi air mata setitis pun tidak tumpah di pipi lelaki ku.
Akhirnya, kerana cintaku pada kerjaya dan demi memenuhi impian emak, aku terpaksa merelakan pemergian orang tercinta dari hidupku. Biarlah, biarlah dia pergi memburu bahagianya, dan aku..Aku akan terus menyimpan dia kemas-kemas dalam hatiku

*******
2014

ALBUM lama aku tutup dan ku simpan rapi di meja kerjaku. Mata kemudian kuhalakan pada komputer riba yang terletak kemas di atas meja tulis itu juga. Satu persatu gambar pelajar-pelajarku dulu kutatap dari akaun facebook mereka. Masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Kebanyakkan mereka sudah berjaya dalam kerjaya mereka dan aku tumpang bangga. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk mendidik mereka tapi akhirnya aku sudah buktikan yang aku mampu. Aku mampu menjadi seorang guru yang berdedikasi walaupun pada mulanya aku tidak suka dengan kerjayaku itu. Aku juga menjadi guru kesayangan anak-anak muridku kerana sikapku yang melayan mereka sama seperti seorang kawan. Berkongsi cerita suka dan duka. Kini lapan belas tahun telah berlalu, terasa sekejap saja masa berlalu.
Aku kini masih sama seperti dahulu, masih lagi bergelar seorang guru. Tapi sekarang aku mengajar di sebuah sekolah menengah di dalam negeriku sendiri. Yer, aku masih single! Masih sukar untuk aku mencari pengganti Ina. Sampai sekarang dia masih terpahat utuh di hati dan sanubariku. Aku tidak tahu  di mana dia sekarang, walau apapun aku sentiasa mendoakan kebahagiaan dia kerana bagi aku mencintai tidak semestinya harus memiliki.
Emak pula, sudah hampir lapan tahun meninggalkan aku dan kembali kepada yang Maha berkuasa. Walaupun emak sudah tiada, kasih sayangnya masih terasa segar di hatiku. Tutur katanya, lembut nasihat dan budi bicaranya..Itulah yang menjadikan aku kuat sekarang. Aku akan terus di sini, meneruskan sisa-sisa kehidupanku selagi hayat dikandung badan. Walaupun sesekali terbit rasa sunyi dan sepi, aku cuba mengusir perasaan itu menjauh. Kehadiran anak-anak didikku bisa menghilangkan kesunyian dan kesepian hidupku. Melihat mereka semua berjaya atas didikanku, adalah sesuatu yang amat membahagiakan bagiku. Terima kasih mak kerana kau sentiasa buat yang terbaik untukku di sepanjang hayatmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan