Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta bab 19 & 20



BAB 19

MUG berisi air nescafe panas yang berada di atas meja di hadapannya itu dikacau berkali-kali. Tindakan refleks! Mata Qaseh masih terarah tepat pada dinding pantry, sambil fikirannya melayang entah kemana. Awal pula dia sampai ke pejabat pagi itu. Semuanya gara-gara dia langsung tidak dapat lelapkan mata malam tadi. Sekarang dia rasa seperti berada di awan-awangan dah.. Mengantuk!
“Assalamualaikum..” Sapa Ryna ceria seperti selalunya. Senyap! Qaseh langsung tak menoleh. Pandangannya masih terus pada dinding pantry, seolah ada berjuta pakwe kacak yang sedang berdiri di situ. Tangannya pula masih ligat mengacau air di mug.
“Oiii, kau berangan?! Aku bagi salam tak jawap!” Senyap lagi. Ryna menggelengkan kepalanya. Matanya turut dihalakan pada dinding yang ditenung bagaikan hendak tembus oleh Qaseh itu. ‘Apa yang menariknya?’ Ryna sudah menggarukan kepalanya yang tiba-tiba saja terasa gatal melihat tingkah Qaseh.
“Hoiiii!!” Meja ditepuk dengan kuat oleh Ryna membuatkan Qaseh hampir terloncat daripada kerusi.
“Ya Allah Ryna.. Bagilah salam dulu! Pagi-pagi dah buat jantung aku berlari..” Runggut Qaseh sambil mengurut dada. Macam nak tercabut jantungnya. Tak puas hati betul dia dengan Ryna.
“Ehh.. Ehh! Aku pulak yang salah.. Kau tu yang kuat berangan. Aku dah bagi salam dah tadi. Tapi tulah.. Agaknya lawa sangat cat dinding tu.. Itu yang kau beria tenung dinding tu. Nasib tak tembus jer!” Perli Ryna. Dia sudah melabuh duduk di sebelah Qaseh.
“Ooo.. errkk?” Qaseh sudah tersengih macam kerang busuk. Malu pada diri sendiri.
“Kau ni kenapa? Ada masalah ker? Pasal Encik Faez lagi errk?” Berdesup-desup soalan yang keluar daripada mulut Ryna, macam machine gun dah gayanya.
“Ehh.. taklah! Aku.. aku okey jer..” Cepat-cepat Qaseh menggelengkan kepala. ‘Gila! Kalau aku bagitahu Ryna yang aku tengah ada masalah dengan CEO pujaan hati dia tu.. Agak-agaknya Ryna boleh pengsan tak?!’ Qaseh sudah tersenyum lebar membayangkan semua itu.
Dahi Ryna sudah berlipat rapat melihat senyuman yang melebar di bibir Qaseh. ‘Aik!! Tengah-tengah mendung boleh pulak tersengih! Betul ker tidak budak Qaseh ni?’ laju saja tangan Ryna menyentuh dahi Qaseh.
“Ish, apa kau ni?” Qaseh mengelak laju.
“Aku nak pastikan otak kau okey ker tak! Tetiba pulak boleh tersengih-sengih.. Manalah tahu ada skru yang tercabut!” Perli Ryna.
“Mana ada! Ah, malas aku nak layan kaulah.. Aku nak pergi buat kerja. Nanti tak pasal-pasal aku kena sound lagi dengan Encik Faez.. Kau takperlah, staf kesayangan.” Laju Qaseh bingkas bangun menuju ke sinki. Mug yang masih separuh berisi nascafe panas itu dicuci lalu diletakkan ke atas rak kecil yang berada di pantry.
Ryna hanya memandang tingkah Qaseh dengan hujung mata. Dalam hati masih belum berpuas hati.
“Eh, nantilah dulu!” Tahan Ryna sambil menarik Qaseh supaya duduk semula.
“Apa lagi?” Qaseh sudah mula rimas. Dia faham sangat dengan perangai si Ryna tu.. Selagi dia tidak dapat mengorek tahu apa yang tersirat di hatinya sekarang, selagi itulah Ryna tidak akan berpuas hati.
“Qaseh, kau ada sorokkan sesuatu dari aku erk? Sehari dua ni kau lain macam saja.. Apa dah jadi masa dinner tempoh hari?” Ryna mengecilkan matanya sambil merenung Qaseh dengan dahi yang berlipat. Puas dia bertanyakan Qaseh tentang dinner tempoh hari, tetapi jawapan Qaseh hanyalah ‘no komen’. Huh!! Mengalahkan Dato’ Siti pula!
“Hmmm.. Tak ada apa-apalah! Aku cuma penat. Sejak akhir-akhir ni banyak sangat kerja nak kena buat on the spot..” Qaseh masih beralasan. Memang benar, sejak akhir-akhir ini dia agak sibuk. Tetapi apa yang sedang mengganggu fikirannya sekarang bukanlah soal kerja, tapi soal Harith.
“Betul ni?! Kalau macam tu tak apalah.. Kalau kau ada masalah jangan segan-segan cerita pada aku tau!” Tutur Ryna tampak begitu ikhlas.
“Yer.. Thanks Ryna.” Qaseh tersenyum kelat. Ada rasa sebak dalam hatinya di atas keperihatinan Ryna. Selain daripada Aamar, Ryna adalah kawan yang paling rapat dengannya. Walaupun mereka baru saja kenal, keihklasan yang ditunjukkan oleh Ryna membuatkan Qaseh berasa selesa.
“Dahlah! Jom kerja.. Kang bising pulak bos kesayangan kau tu..” Ryna sudah tersengih. Qaseh menjungkitkan kedua belah keningnya sambil mencebik. Ryna sudah ketawa kecil melihat reaksi Qaseh.

“ASSALAMUALAIKUM”
Aamar segera menoleh sebaik saja suara lembut seorang perempuan menyapa telinganya. Dia terkedu seketika. Angin pantai masih berpuput lembut pada petang itu, membuatkan rambut hadapannya jatuh menjamah dahi kerana disapa bayu pantai.
“Waalaikummussalam...” Jawap Aamar sambil tersenyum kecil. Wajah gadis bertudung labuh yang berdiri di hadapannya kini menjadi tatapan mata.
“Maaf kalau Fasha ganggu abang. Tadi Fasha singgah rumah abang, mak cik cakap abang ada dekat sini..” Tutur Fasha satu-satu cuba menyusun kata. Maklumlah, ini pertama kali dia berdepan dengan bakal suaminya secara berdua. Aamar yang sedang duduk di atas batang kayu kering itu dipandang lama. Bunyi ombak yang tidak jemu-jemu memukul pantai itu masih setia menjamah halwa telinga mereka.
Aamar diam. Matanya masih ralit merenung budak-budak yang berlari riang bermain di tepian pantai. Pada petang-petang begini, memang ramai budak-buadak yang bermain-main di pantai. Ada yang mandi, ada yang kutip kulit kerang dan siput dan ada juga yang membina istana pasir. Dia dan Qaseh juga gemar ke pantai, besantai-santai di atas pasir sambil berkongsi cerita. Di sinilah mereka selalu melepak! Boleh dikatakan hampir setiap hari.
“Tak! Fasha tak ganggu pun.. Ada apa Fasha cari abang?” Akhirnya Aamar bersuara juga setelah lama mendiamkan diri. Segaris senyuman diberikan pada tunangnya. Fasha yang masih setia berdiri di sebelahnya dipandang seketika. Cantik! Walaupun tidak secantik Qaseh.. Orangnya pun nampak macam baik-baik saja, dengan tudung labuh dan tutur kata yang begitu sopan. Sesuai dengan statusnya sebagai seorang pendidik.
“Abang, Fasha ada benda nak tanya abang..” Lambat-lambat Fasha menutur kata. Sebenarnya takut juga apa yang bakal ditanya nanti akan mengguris hati  tunangnya. Segala cerita yang disampaikan oleh Mak Esah, bakal ibu mertuanya, satu-satu bermain di fikiran.
“Tanya apa?” jawap Aamar sedikit kuat, cuba melawan bunyi ombak. Badannya telah dipusing mengadap Fasha, cuba fokus dengan apa yang akan ditanyakan oleh tunangnya sekejap lagi.
“Abang ikhlas ker terima Fasha? Abang tahukan, kita akan kahwin dalam masa yang terdekat ni. Abang tak pernah kenal rapat dengan Fasha sebelum ni. Kita pun tahu, pertunangan ini atas pilihan keluarga.. Kalau boleh Fasha nak abang jawap jujur dengan Fasha.. Masih belum terlambat untuk kita betulkan keadaan”
Lama Aamar menyepi. Dia langsung tak jangka soalan itu yang akan diutarakan oleh Fasha. Memang betul! Pertunangan ini atas desakan emaknya, dan dia langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan pada tunangnya. Hatinya sudah lama diisi dengan wajah dan cinta orang lain. Tapi, apakan daya.. Satu keluhan kecil dilepaskan oleh Aamar sebelum dia menjawap pertanyaan Fasha.
“Okeylah! Abang tak nak tipu Fasha ataupun diri abang sendiri. Buat masa sekarang abang memang tak ada langsung perasaan pada Fasha. Tapi, abang akan cuba untuk terima Fasha dalam hidup abang.. Abang mengaku, buat masa sekarang abang cintakan orang lain. Tapi, kalau Fasha sanggup bagi abang masa dan peluang.. Abang akan cuba semaikan rasa kasih dan cinta pada Fasha bila kita sudah sah bergelar suami-isteri nanti.. Tapi, jika Fasha tidak sanggup.. Abang terima kalau Fasha nak putuskan pertunangan ni.”
“Siapa perempuan yang bertuah tu abang?” Perlahan saja suara Fasha. Seakan tersekat di kerongkongnya. Hati mana yang tidak terluka mendengar pengakuan sejujur itu daripada tunang sendiri. Walaupun Mak Esah awal-awal lagi sudah begitahu dia tentang itu, tetapi apabila mendengar sendiri daripada mulut Aamar, perasaannya rasa berbeza. Sakitnya lebih terasa. Tetapi sampai sekarang dia tidak tahu siapakah perempuan yang bertakhta di hati tunangannya itu. Mak Esah juga enggang beritahu.
“Hmm.. Siapa dia, biarlah menjadi rahsia abang. Yang nyata abang dengan dia memang tak akan dapat bersatu sampai bila-bila.. Abang minta maaf sebab terlalu jujur dengan Fasha.. Abang cuma tak nak hubungan kita ni bermula dengan pembohongan. Kalau Fasha sudi bagi peluang pada abang, abang akan cuba jadi suami yang terbaik untuk Fasha. In Shaa Allah..” Begitu yakin tutur Aamar membuatkan Fasha terdiam lama. Dalam hati bermacam rasa mula bersarang.
“Baiklah! Fasha yakin jodoh kita memang telah ditetapkan oleh Allah. Fasha terima abang kerana Allah dan Fasha yakin dengan restu orang tua. Fasha akan bagi abang peluang..” Akhirnya Fasha membuat keputusan. Mereka saling berbalas senyum.
Ada rasa pedih yang bertamu di hati Aamar. Pedih kerana selepas ini dia terpaksa menyingkirkan perasaannya pada Qaseh demi membenih cinta buat seorang perempuan yang bakal menjadi suri dalam hidupnya. Sampai sekarang dia masih merahsiakan pertunangannya daripada pengetahuan Qaseh. Entah kenapa mulutnya terasa berat untuk bercerita tentang itu.
“Terima kasih sebab sudi bagi abang peluang. Abang bukan yang terbaik.. Tapi, abang akan cuba lakukan sehabis baik..” Aamar tersenyum kelat. Fasha hanya mengangguk. Kemudian masing-masing sepi, memandang terus pada pantai yang warna airnya sudah nampak jingga berbalang-balang menandakan senja sudah melabuhkan tirainya..

NOVEL setebal dua inci itu masih menjadi tatapan mata Qaseh. Hasil karya daripada novelis kegemarannya itu memang tidak pernah mengecewakan hatinya. Sesekali dia menyapu pipi, menghalau nyamuk sesat yang cuba untuk menghisap darahnya.
Televisyen yang terpasang sejak tadi hanya bercakap sendiri. Rancangan yang sedang bersiaran sekarang langsung tidak menarik minat Qaseh. Dia sengaja tidak menutup televisyen untuk mengurangkan kebosanan. Sekurang-kurangnya ada jugalah bunyi orang bercakap.
Jam berbentuk rumah yang tergangtung kemas di dinding ruang tamu itu dipandang seketika. Sudah pukul 12 tengah malam. Kelibat Harith masih belum kelihatan di rumah. Qaseh mengeluh kecil. Novel di tangan diletakkan ke atas meja kaca di hadapannya. Dia menyandar di sofa sambil ligat berfikir. ‘Agaknya kemana dia pergi erk?! Mesti jumpa makwe dia yang daring and hot tu.. Patutlah nak sangat duduk asing dengan Tok ayah..!’ Desis hati kecil Qaseh. Entah kenapa ada rasa kurang senang di hatinya apabila teringatkan perempuan yang bernama Bella itu.
Baru saja Qaseh berkira-kira untuk naik ke biliknya di tingkat atas, tiba-tiba satu cahaya terang menyuluh cermin tingkap rumahnya. Bunyi enjin kereta Nissan Skyline milik Harith juga jelas di pendengarannya. Qaseh terus membatalkan niatnya.
Seketika kemudian wajah Harith terpancul di muka pintu. Dia jelas nampak terkejut melihat Qaseh yang masih belum tidur dan sedang duduk di sofa memandang terus padanya. Senyap! Baik Harith mahupun Qaseh, masing-masing langsung tidak bersuara.
Qaseh masih merenung lama pada Harith yang nampak kacak dengan jeans dan t-shirt berkolar itu. Kalau dah kacak, pakai baju terbalik pun tetap nampak kacak! Dalam hati Qaseh tertanya-tanya, bila masa pula Harith balik kerumah dan tukar baju. Rasanya pagi tadi Harith keluar dengan baju kerja. Tak ada pula dia nampak Harith bawa baju. ‘Mungkin dia balik rumah Tok ayah kut!’ Hati kecil Qaseh membuat andaiannya sendiri.
Sebaik saja Harith duduk berdepan dengannya di sofa, bau masam yang meloyakan tekak Qaseh terus meresap laju, masuk ke rongga hidungnya.
“Bau apa ni?!” Spontan mulut Qaseh bertanya sambil menekup hidung dengan tangannya. Harith yang sedang bersandar lesu di sofa itu segera menoleh pada Qaseh. Mukanya masam saja.
 “Kau merepek apa ni?”
“Tak adalah.. bau apa masam macam ni.. Loya rasanya tekak saya ni! Awak dari mana ni? Minum arak errk?” Laju saja Qaseh menuduh. Dia sendiri tidak pernah bau arak sebenarnya. Tetapi mengikut drama-drama yang selalu ditonton dalam TV, arak berbau masam dan meloyakan. Maknanya, ini bau araklah kut!
“Yer.. aku minum! Kau ada masalah ker?! Duduk dekat rumah ni tension.. Aku pergi kelab, jumpa makwe, jumpa kawan-kawan, menari.. Minum.. Release tension..” Jawap Harith dengan muka angkuh sambil tersenyum sumbing. Walaupun hakikat sebenarnya dia tidak minum. Sebenarnya arak di gelas Bella yang tertumpah ke atas bajunya tadi. Dia sengaja mengaku untuk melihat reaksi Qaseh.
Qaseh diam sekejap. Dalam hati beristighfar berkali-kali. Akhirnya dia tersenyum nipis dengan wajah yang tenang sekali.
“Kesian! Orang kalau nak release tension kena solat, mengaji, berzikir.. Barulah hati tu tenang.. Bukan dengan cara pergi kelab, jumpa makwe, menari terkinjal-kinjal, minum air syaitan.. Ish, isshh.. Kesian dekat awak kan?!” Perlahan dan lembut saja tutur Qaseh tapi berjaya buat telinga Harith berdesing dan panas. Muka Harith tiba-tiba saja merona merah, rasa terpukul dengan kata-kata Qaseh.
“Semoga Allah bagi ketenangan pada awak yer!” Ucap Qaseh lagi dengan senyuman sumbing yang terukir di bibir basahnya. Dia laju mencapai novel yang berada di atas meja kaca itu lalu terus berlalu ke tangga, mendaki anak tangga satu-persatu tanpa menoleh lagi kepada Harith. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah. ‘Lelaki semua sama! Macam ni ker nak jadi pemimpin dalam rumah tangga? Ini ker lelaki yang atok sanjung-sanjungkan tu? Lelaki yang kononnya akan menjadi pelindung kepada aku?’
Harith terkedu. Mukanya masih panas, rasa tersindir dengan kata-kata Qaseh sebentar tadi. Ketenangan yang terpamer di wajah Qaseh sebentar tadi membuatkan rasa sakit di hatinya membuak-buak. Niat asalnya mahu sakitkan hati Qaseh, tetapi akhirnya hati dia sendiri yang rasa sakit bertimpa-timpa. Harith mengangcing giginya kuat, tanda geram.




BAB 20

QASEH kelam-kabut menyiapkan sarapan pada pagi itu. Gara-gara tidak dapat nak lelapkan mata pada malam tadi, dia terlewat pula bangun pagi. Mana tidaknya, dekat subuh baru matanya terlelap, macam mana nak sedar. Subuh pagi itu pun dah hujung-hujung saja.
Roti bakar, telur mata kerbau dan seteko koko panas terhidang siap di atas meja. Qaseh laju saja menghabiskan sisa air koko panas di cawannnya. Beg sandangnya dicapai lalu dengan tergesa-gesa dia meninggalkan ruang dapur, bimbang terlewat. Kalau dia lewat hari itu memang masak dia kena dengan Encik Faez kerana pada pagi itu mereka ada mesyuarat penting dengan client di Damansara.
Langkah Qaseh terus melaju sambil matanya tunduk meraba poket beg, mencari kunci kereta. Tiba-tiba, dub!! Tubuh Qaseh terlanggar seseorang dengan kuat sehingga dia hampir saja terjatuh. Cepat-cepat dia mengawal tubuhnya.
“Aduhh!!”
Qaseh terjerit kecil. Kepalanya yang terasa berdenyut akibat berlaga dengan dagu Harith itu digosok laju.
“Kau ni apahal?! Jalan pakai mata ke pakai lutut?” Jerkah Harith. Dagunya juga sakit. Mana tidaknya, kepala Qaseh tu bukan main lagi kerasnya.
Sorry! Saya nak cepat ni..” Balas Qaseh dengan muka separuh bersalah. Dia malas mahu memanjangkan cerita, takut terlewat pula nanti. Kalau bertegang urat dengan Harith, sah-sah satu jam belum tentu dia menang. Tangannya masih menggosok kepalanya yang masih berdenyut-denyut.
“Huhh!! Lain kali jalan tu pakai mata.” Bentak Harith dengan muka mencuka. Pagi-pagi lagi dah buat dia angin.
“Yer Encik Harith.. Saya mengaku, saya yang salah.. Sekarang boleh saya pergi?” Tanya Qaseh sinis. ‘Huhh! Ingat aku suka-suka ker nak langgar kau! Kepala aku ni berdenyut lagi tau tak?! Dahlah dagu tu tajam macam pedang..’ Qaseh sudah mengutuk dalam hati.
Harith mencebik. Qaseh yang sedang berdiri di hadapannya kini direnung seketika. Dalam hati sempat juga memuji keayuan Qaseh.
“Saya pergi dululah!” Qaseh sudah melangkah meninggalkan Harith yang masih merenungnya dengan tajam. Masih tak puas gaduh agaknya.
“Oii, tunggu dulu! Malam nanti ada dinner umah Tok ayah. Kau jangan balik lambat sangat. Nanti kita pergi sama-sama.” Langkah Qaseh mati. Laju saja dia menoleh pada Harith.
“Wajib pergi ker?” Kening Qaseh sudah bertangkup dua. Dalam hati mula berasa tidak senang. Dinner rumah Tan Sri Musa.. Bermakna dia dan Harith terpaksa berlakon lagi.
“Soalan apa kau tanya ni?! Mestilah wajib pergi! Aku tak kira, kalau kau lambat.. Siap kau!” Bentak Harith bercampur ugutan. Sakit pula hatinya mendengar soalan Qaseh yang langsung tak masuk dek akal itu. Wajah Qaseh berubah menjadi mendung. Satu keluhan kecil dilepaskan oleh Qaseh. ‘Hmm, dahlah nak paksa orang pergi.. Cakap tu tak boleh nak lembut sikit! Asyik angin jer mamat berlagak ni..’.
“Yer.. Baiklah. Hmm, saya pergi dulu, dah lewat ni. Sarapan ada dekat atas meja tu. Assalamualaikum..” Lemah saja suara Qaseh menampar ke gegendang telinga Harith. Dia terus melangkah meninggalkan Harith yang masih merenung lama padanya sehingga bayangnya sudah tidak kelihatan lagi.
Harith duduk di meja makan. Roti bakar bersama telur mata kerbau dijamah dengan begitu berselera. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Semenjak mereka berpindah kerumah itu, Qaseh tidak pernah lupa menyiapkan sarapan pagi untuknya.
Setiap pagi sebelum dia ke pejabat, sarapan sudah siap terhidang di atas meja. Hampir setiap malam juga, Qaseh akan memasak untuk makan malam mereka. Cuma dia sahaja, kadang-kadang langsung tidak menjamah makanan yang dimasak oleh Qaseh dek kerana egonya. Dalam diam Harith memuji Qaseh. Walaupun Qaseh agak kasar, tidak manja seperti perempuan-perempuan lain yang dia kenal, namun bab masak-memasak, kemas-mengemas.. Qaseh memang tip-top.

“HAI, kelam-kabut ni nak ke mana? Ada lagi suku jam kut waktu kerja ni.. Kenapa cepat sangat kau kemas meja hari ni?” Ryna menarik sebuah kerusi dan duduk di meja Qaseh. Matanya ralit menyorot tangan Qaseh yang lincah berkerja menyusun fail-fail dan kertas di atas mejanya.
“Aku nak kena balik cepat hari ni.” Jawap Qaseh tanpa menoleh.
“Eleh, macamlah ada laki dekat rumah tu.” Perli Ryna, sudah ketawa kecil. Saja mahu mengusik Qaseh sebenarnya. Yerlah, sebelum ini tak pernah pula dia tengok Qaseh kelam-kabut macam hari ni. Selalunya sempat lagi mereka lepak-lepak dan bersembang sebelum balik.
Qaseh menoleh seketika pada Ryna, kemudian tersenyum sumbing.
“Kalau aku kata ada, kau percaya?!” Kedua belah keningnya diangkat tinggi, merenung Ryna dengan senyuman yang meleret.
“Eleh, yerlah tu..” Ryna mencebik. Memang taklah dia nak percaya!
“ Tak percaya sudah. Nanti kalau kau dah tengok laki aku jangan pengsan sudahlah..” Qaseh sudah ketawa kecil. Matanya melirik pada jam yang tergantung kemas di ruang pejabat. Tepat pukul 5.30 petang. Kebanyakan pekerja-pekerja lain juga sudah mula mengemas meja masing-masing.
“Tak ada maknanya aku nak pengsan eh!” Ryna masih mencebik. Qaseh tersenyum lebar melihat cebikan Ryna. ‘Yerlah tu.. Aku nak tengok nanti! Apa reaksi kau bila dapat tahu CEO pujaan hati kau tu sebenarnya laki aku..’ Qaseh sudah ketawa dalam hati.
“Dahlah! Aku balik dulu.. My beloved hubby dah tunggu kat rumah..” Qaseh saja mahu kenakan Ryna. Ketawanya pecah tatkala melihat Ryna sudah buat muka meluat 200 %.

REMOTE TV ditekan berkali-kali oleh Harith, terasa jemu menunggu. Sudah hampir setengah jam dia menunggu Qaseh di sofa ruang tamu, tetapi sampai sekarangpun bayang Qaseh masih belum kelihatan. ‘Hish, apalah perempuan ni buat lama sangat dekat atas tu?! Naik kebas dah buntut aku ni tunggu dia.. Kalau bukan sebab Tok ayah, tak adanya aku nak melanggut tunggu dia macam orang bodoh dekat bawah ni!’ Hati Harith sudah panas.
Butang off pada remote TV ditekan. Baru rasa aman sikit telinganya. Tubuhnya disandar rapat pada sofa empuk sambil matanya terpejamkan rapat. Tahap kesabarannya cuma tinggal beberapa inci saja lagi sebelum meletop.
“Awak, jomlah!” Suara orang yang ditunggu menyapa halwa telinganya. Harith menghela nafas panjang. Dia masih kaku dengan mata yang masih terpejam rapat.
“Awak..” Sekali lagi Qaseh memanggil apabila melihat Harith masih membungkam dan membisu. Dia sudah berdiri betul-betul di hadapan suaminya.
“Kau buat ap...”
Kata-kata Harith mati di situ. Mulutnya ternganga melihat Qaseh yang sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Niat asalnya untuk mengherdik Qaseh terbantut tatkala matanya menangkap pandang pada Qaseh yang nampak begitu cantik pada malam itu dengan gaun malam muslimah berwarna unggu gelap, bercorak bunga-bunga kecil dan tudung shawl yang terlilit kemas di kepalanya juga dari warna yang sama. Bibir Qaseh yang basah itu teroles cantik dengan gincu berwarna pink lembut, menambahkan lagi keayuan pada wajahnya.
Harith masih terpaku. Matanya tidak berkelip merenung Qaseh, seolah melihat seorang tuan puteri yang baru turun dari kayangan. Malam itu Qaseh nampak begitu lain daripada malam-malam yang sebelumnya. Yerlah, selalunya Qaseh hanya berbaju kurung, takpun berseluar trek dan bert-shirt longgar. Harith menelan liur berkali-kali. Bibir basah milik Qaseh masih ditenung lama. Bergetar naluri lelakinya.
“Maaflah, tadi saya solat maghrib dulu..” Perlahan suara Qaseh. Mukanya nampak sedikit mendung. Mungkin rasa bersalah kerana Harith sudah lama menunggu.
“Ehemm.. Tak.. Tak apalah! Jomlah kita gerak. Dah lewat ni.. Nanti diaorang tertungu-tungu pulak.” Perlahan dan tergagap-gagap suara Harith. Entah kenapa, hatinya berasa gugup dengan tiba-tiba. Hilang sudah taring singa yang mahu dikeluarkannnya sebentar tadi.
Qaseh cuma mengangguk tanpa menjawap. Dalam hati bukan main bersyukur lagi kerana terselamat daripada ngauman singa jantan di hadapannya itu. Mereka berjalan seiring menuju ke kereta Nissan Skyline milik Harith.

TEPAT jam 8.45 malam mereka tiba di banglo mewah tiga tingkat milik Tan Sri Musa. Sebenarnya jarak di antara rumah sewa mereka dengan rumah Tan Sri Musa tidaklah jauh sangat. Tetapi disebabkan jalan yang selalu saja jam, mereka sampai agak lewat juga.
Sebaik saja salam mereka bersambut, Harith laju saja menghulurkan tangannya pada Qaseh. Dahi Qaseh sudah berlipat melihat huluran tangan Harith itu, seolah bertanya.. Kenapa?
“Tangan tu!” Tegas saja suara Harith menjamah telinga Qaseh.
“Kenapa dengan tangan?!” Qaseh masih kebingungan.
“Huhh!! Lembab!” Laju saja Harith mengapai tangan Qaseh dan menggenggam erat tangan isterinya itu. Qaseh laju menoleh dengan muka yang sudah bertukar rona.
“Ishh, apa pulak pengang-pegang ni?” Bentak Qaseh kurang senang. Jantungnya jangan cakaplah, dah berdetuk-detak berlari.
“Syyy... Diamlah!” Bisik Harith tegas, di telinga Qaseh. Sejurus itu juga pintu utama terus terbuka. Wajah Mak Siti muncul di muka pintu dengan senyuman yang meleret.
“Haa.. Dah sampai pun pengantin baru ni. Meh masuk cepat! Semua orang dah tunggu kamu berdua tu..” Ucap Mak Siti masih ramah macam selalunya.
Harith juga masih macam biasa, dengan lagak pelakon lelaki terbaiknya.
“Maaflah Mak Siti, lambat sikit! Orang perempuan kalau bersiap faham-faham sajalah.. Kan sayang?” Mata Harith sudah melirik manja pada Qaseh sambil tangannya dengan lembut menyentuh dagu Qaseh. Senyuman terukir manis di bibir lelakinya.
Gulppp!! Qaseh telan liur. Entah kenapa jantungnya tetiba saja rasa macam nak melompat keluar. ‘Kalau hari-hari macam ni, memang betul-betul boleh jatuh hati aku dekat mamat berlagak ni..’ Hati kecil Qaseh sudah merepek yang bukan-bukan.
“Amboi!! Romantiknya...” Perli Mak Siti. Qaseh tersenyum tawar sambil tunduk merenung lantai. Malu pula dia mahu bertentang mata dengan Mak Siti.
“Jom sayang.” Pinggang Qaseh sudah dirangkul erat oleh Harith. Tiba-tiba saja muka Qaseh terasa panas berbahang, Harith dijelingnya tajam. ‘Amboii! Ini dah lebih ni.. Saja nak ambik kesempatan ker apa ni? Huhh!! Dasar lelaki, semua sama..” Hati Qaseh sudah menyumpah-nyumpah.
Harith yang perasan dengan jelingan mata Qaseh yang tajam itu hanya berlagak selamba. Senyuman semakin melebar di bibirnya. Dia tahu Qaseh tidak akan berani melawan. Pelukan di pinggang Qaseh semakin dieratkan. ‘Ha.. ha.. ha.. Aku tahu kau tak berani nak melawan dekat sini.. nasib kaulah! Yang aku peluk ni pun bukan orang lain.. Bini aku jugak!’ Harith sudah ketawa besar di dalam hati.
Jelingan mata Qaseh yang semakin tajam itu dibalas dengan jungkitan kening oleh Harith. Sebelah matanya dikenyitkan pada Qaseh dengan senyuman tanda kemenangan. Qaseh mengetap bibir tanda geram. Memang betul, dia langsung tidak berani untuk melawan saat itu. Suka ataupun tidak dia terpaksa menyabarkan diri.

LAUK pauk penuh terhidang di atas meja. Langkah Qaseh kaku dengan tba-tiba tatkala matanya menangkap pandang pada dua susuk tubuh yang selama ini cuba dilenyapkan dari hidupnya. Serta-merta wajahnya berubah menjadi keruh. Cepat-cepat dia cuba mengawal emosinya, namun ternyata sukar baginya untuk berbuat begitu.
Walaupun dipaksa, kakinya masih tetap kaku. Terasa begitu berat untuk diangkat walau setapakpun, seolah digam kejap ke lantai. Harith sudah pun duduk bersama mereka di meja makan. Sufian memandang Qaseh yang masih tercegat kaku di situ dengan perasaan sebal. Dia tahu, Qaseh tidak selesa melihat dia dan Latipah berada  di situ.
“Qaseh! Kenapa tercegat lagi tu? Marilah duduk.” Panggil Tan Sri Musa, hairan pula dia melihat Qaseh yang masih tercegat di situ dengan wajah keruh. Qaseh tersenyum tawar. Matanya masih sempat menangkap jelingan tajam Latipah yang dihadiahkan padanya. Bibir wanita sebaya ayahnya itu juga mencebik kecil.
“Sayang..” Panggil Harith dengan lembut.
“Haa.. yer.”
Jawap Qaseh spontan. Perlahan dia berjalan menghampiri meja makan dan mengambil tempat di sebelah suaminya. Mukanya ditunduk sahaja. Tidak sanggup rasanya dia melihat wajah-wajah insan yang pernah merobek hatinya.


P/S: Harap semua yang mengikuti cerita ini terhibur yer.. Ni n3 last Luvis masukkan dekat sini. Double bab lagi Luvis bagi.. Huhu.. Harap semua puas yer.. In Shaa Allah kita akan bertemu dengan Qaseh n Harith dalam versi cetak tidak lama lagi.. Doakan semuanya lancar.. Terima kasih kepada semua.. :)
Kalau ada yang nak masuk group Laman angan luvis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan