Benci!! Tapi rindu.. - bab 1





BAB 1

RUANG dapur rumah kampung milik Wan Bedah gamat pada petang itu. Begitulah keadaannya kalau Maksu Normah balik. Selalunya jika Wan Bedah tinggal berdua dengan Iman, waktu-waktu macam ni memang tak lekatlah Nurul Iman tu di rumah. Ada saja alasannya untuk keluar berjalan. Bosanlah, rimaslah.. kalau terperap saja dirumah. Sudahnya dia melepak di rumah sepupu merangkap kawan baiknya, Akma. Dah banyak kali Wan Bedah menegur, haram dia nak dengar. Umur dah nak masuk 23 tahun, tapi perangai tak berubah-ubah. Fikir nak seronok jer!
Nurul Iman, seorang gadis manis dan comel. Sentiasa lincah dan periang. Sentiasa murah dengan senyuman. Tidak pernah mempamerkan sekelumit pun kesedihannya hatta kepada kawan baiknya Akma. Walaupun dalam hati sebenarnya penuh dengan luka yang terpendam.
Semenjak kecil dia memang telah dijaga oleh Wan Bedah dan Maksu Normah. Ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka berdua. Kehadiran Iman dalam hidup mereka dua beranak memang sentiasa menceriakan hari-hari mereka. Maksu Normah sendiri tidak pernah berkahwin lantaran kecewa dengan cinta silam. Hanya pada Imanlah tempat dia mencurah kasih.
Pernah juga Iman bertanyakan Wan Bedah perihal kedua orang tuannya. Tetapi, kebisuan Wan Bedah menutup segalanya. Sudahnya dia kecewa sendiri. Walaupun hati kecilnya meronta ingin tahu, namun keinginan itu terpaksa dipendamkan jauh di lubuk hati. Melihat ada air jernih yang bergenang di kelopak mata Wan Bedah pada setiap kalinya dia bertanya, membuatkan keinginan untuk mengetahui perkara yang sebenar terpadam. Sudahnya, sampai ke hari ini dia belum bertemu dengan jawapan.
Kadang-kala, pernah juga dia terfikir.. mungkin dia adalah anak luar nikah yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri dan telah dijaga oleh Wan Bedah. Tetapi, setiap kali persoalan itu dibangkitkan pada Wan Bedah.. hanya kemarahan Wan Bedah yang dia dapat. Wan Bedah bertegas mengatakan dia adalah cucu kandungnya. Sudahnya, sampai ke hari ini segala persoalan itu tidak terjawap.
Hampir setiap malam air mata menjadi peneman tidurnya. Sakit benar rasa hati, memikirkan siapakah dirinya yang sebenar. Tetapi setiap kesedihan yang beraja di hatinya, sedikitpun tidak dipamerkan pada orang lain. Lebih-lebih lagi pada Wan Bedah! Tak sanggup rasanya hati Iman mahu menyusahkan Wan Bedah. Dah banyak sangat wanita tua itu berkorban untuk dia.
“Lama kau balik kali ni Mah?” Tanya Wan Bedah berbasi-basi.
“Taklah mak! Mah balik sekejap jer.. Payahlah mak nak berlama dekat kampung ni. Banyak kerja kat rumah Mak Engku tu.” Maksu Normah menoleh seketika pada Iman yang sedang ralit mengunyah pisang goreng.
“Iman! Maksu balik ni ada hajat.” Tergaru-garu kepala wanita yang berumur lewat 30an itu. Tak tahu bagaimana mahu berterus-terang dengan Iman.
“Hah?” Terkebil-kebil mata Iman merenung emak saudaranya itu. ‘Hajat apa pulak ni? Lain macam jer maksu ni.’
Melihat Maksu Normah yang macam serba salah itu, membuatkan mulut Iman laju bertanya.
“Hajat apa maksu? Lain benar gayanya maksu ni.. Macam nak masuk meminang!” Iman sudah tersengih kecil. Dalam hati tiba-tiba saja rasa berdebar. Mata Wan Bedah dicarinya. Nampaknya Wan Bedah tenang saja.
“Emm, macam ni. Maksu ingat nak ajak Iman ikut maksu pergi Kuala Lumpur.. kebetulan majikan maksu memang nak pakai pekerja sekarang ni.. Iman ikut maksu pergi sana yer?” Muka Maksu Normah bukan main lagi nampak mengharap.
“Hah, pergi ikut maksu? Jadi orang gaji dekat rumah orang kaya tu?! Ish, taknak lah maksu. Apa kelas kerja jadi orang gaji!” laju kepala Iman menggeleng. ‘Ada ker patut! Ingat ni zaman cinderella ker nak suruh kerja jadi orang gaji..’
“Amboii, berlagaknya! Selama ni, dengan duit orang gaji nilah jugak yang duk tanggung makan minum kau tu!” Maksu Normah sudah menarik muncung sedepa. Merajuklah tu!
Wab Bedah hanya tersengih, malas mahu masuk campur kalau dua beranak tu bergaduh. Dua-dua keras kepala. Dua-dua nak menang!
“Aloooloo.. merajuklah tu! Maksu kalau merajuk comel sangat. Macam muka Dato’ Siti..” Ketawa Iman sudah pecah. Wan Bedah tumpang sekaki.
“Tak payah nak perli maksu!” Makin panjang muncung Maksu Normah. Wan Bedah geleng kepala. Dalam hati rasa terhibur melihat gelagat mereka dua beranak.
“Mana ada orang perli. Itu pujianlah maksu.. Ikhlas tau!” Iman menyengih. Suka sangat dapat kenakan maksunya.
“Macamlah baru hari ni maksu kenal kau! Em, boleh lah Iman.. Engku Faridah tu nak cari pembantu peribadi.. Kira kalau Iman kerja jadi PA dialah.. Bukannya orang gaji.” Maksu Normah terus memujuk.
“Hai, ingatkan orang kerja pejabat jer nak pakai PA.”
“Dia bosan.. Nak kena ada orang melayan dia berbual..” Terang Maksu Normah. Muka Iman direnung penuh mengharap.
“Malaslah maksu! Nanti kalau orang pergi sana, siapa nak jaga wan.” Saja Iman mencari alasan.
“Maklong kan ada. Lagipun, hari-hari Akmar datang jenguk wan dekat rumah ni.. Maksu bukan apa, daripada Iman duduk jer dekat rumah ni tak buat apa-apa.. baik ikut maksu.. Dapat jugak cari duit poket!”
“Siapa kata Iman duduk saja? Iman tolong wanlah dekat kebun pisang tu.. kan wan?” Mata Wan Bedah sudah dicari. Diam seketika.
“Betul jugak cakap maksu tu.. Sampai bila Iman nak tolong wan dekat kebun pisang tu.. Pergilah!” Tenang saja Wan Bedah menutur kata. Ada betulnya.. Iman masih muda. Sayang kalau sisa hidupnya dihabiskan di kampung sahaja. Manalah tahu, sampai sana nanti ada peluang kerja yang lebih baik untuk dia. Bukan calang-calang budak Iman tu. Pandai! Tapi tulah. Tamat saja STPM, dia dah malas nak sambung belajar. Puas dipaksanya.
“ Haa, tengok! Wan pun sokong. Kamu nak tunggu apa dekat kampung ni?” Maksu Normah masih belum puas memujuk.
“Orang nak tunggu abang Asyraf masuk meminang!” Iman tersengih gatal.
Bulat mata Maksu Normah dengan Wan Bedah.
“Gatalnya! Kamu ingat Asyraf tu hendak sangat dengan kamu tu.. Entah-entah kat universiti tu beratur awek dia. Kamu jer yang syok sendiri!” Bidas Maksu Normah. Meluat pula tengok muka miang anak saudaranya itu.
“Apa maksu ni.. Kata-kata tu doa, tau tak! Nanti masin mulut maksu tu macam mana?” Iman dah buat muka sedih. Sakit pulak hati bila dengar maksunya cakap macam tu. Wajah Asyraf yang kacak terus bermain di ruang mata.  Dalam kepala mula fikir yang bukan-bukan.
Asyraf adalah kekasih hatinya. Anak ketua kampung mereka yang dua tahun lebih tua daripadanya. Sudah hampir empat tahun mereka bercinta. Sekarang, Asyraf sedang melanjutkan pelajarannya di UITM dalam bidang kejuruteraan. Mereka telah mengikat janji untuk bersatu apabila Asyraf sudah tamat pengajian dan mendapat pekerjaan. Janji itulah yang Iman pegang sampai ke hari ini.
“Iman, itu soal jodoh! Jangan terlalu mengharap sangat.. Maksu tak nak nanti Iman kecewa.” Dalam sekali maksud Maksu Normah. Dia memang tidak suka Iman terlalu mengharap pada Asyraf. Dia takut andainya Iman dikecewakan. Dia tahu sangat macam mana rasa sakitnya. Kerana itulah, sampai ke hari ini dia masih sendiri.
“Iman.. Pergilah yer. Jangan risaukan wan..” Pujuk Wan Bedah.
Iman garu kepalanya yang tidak gatal. Naik berkerut dahinya memikirkan itu semua.
“Hmm.. nantilah orang fikirkan!” Dia sudah bingkas bangun dari meja makan.
“Tu nak kemana pulak tu?” tanya Wan Bedah.
“Nak ke rumah Akmar..” Jawap Iman sepatah. Terus berlalu meninggalkan ruang dapur itu. Wan Bedah dan Maksu Normah hanya menggelengkan kepala. Budak Iman ni memang keras kepala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan