Ku Singkap Pelangi Senja ~ Bab 2

 



BAB 2

AIN terjaga dari lena. Jam di dinding bilik direnung sejenak. Pukul 11.30 malam. Memang semenjak pulang dari rumah Puan Rina tadi hati Ain langsung tidak tenteram. Langsung tidak mahu bekerjasama dengannya. Secebis ketenangan pun tidak mahu singgah di hatinya. Hanya perasaan resah dan luka yang mengulit jiwa. Sampai hati Puan Rina. Kalaupun dia tidak pernah sukakan Ain, sekurangnya fahamlah perasaan Ain. Bukan salah Ain kalau sampai sekarangpun dia masih belum mengandung. Kalaulah mengandung itu ada dijual di mana-mana pasaraya, tentu sudah lama Ain pergi borong. Tapi, apakan daya..
Nafas dihela panjang. Terasa sempit dada Ain saat dia mengatur nafas. Pedih sekali rasa perasaannya. Hanya Allah saja yang tahu! Sekilas Ain menoleh kepada Zahrin yang sedang lena di sebelahnya. Wajah Zahrin nampak tenang dalam tidur. Ain tersenyum kelat. Apakah Zahrin sedikitpun tidak tercuit dengan kata-kata mamanya tadi? Kenapa Ain nampak Zahrin tenang saja. Seolah tidak ada apa-apa yang berlaku di rumah mamanya tadi.
Dalam cahaya lampu yang samar-samar, Ain terus merenung wajah Zahrin. Kacak! Dalam tak sedar bibirnya mengorek senyum. Siapa sangka pertemuan singkat di antara dia dengan Zahrin membawa mereka ke gerbang perkahwinan.
Kata orang, cinta pandang pertama!
 Mereka berkenalan secara tidak sengaja sewaktu Ain menghadiri satu seminar yang diatur oleh pihak syarikatnya lima tahun yang lalu. Zahrin merupakan salah seorang daripada fasilitator di dalam seminar tersebut. Sebulan berkenalan, mereka terus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Mereka bercinta selepas berkahwin. Menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Zahrin Asyraf teramatlah membahagiakan bagi Nur Ain. Selama lima tahun usia perkahwinan, hanya bunga-bunga cinta yang menguntum di dalam rumah tangga mereka. Tidak pernah sekali pun mereka bergaduh besar.
Walaupun begitu banyak kekurangan yang ada, mereka tetap saling melengkapi di antara sama lain. Mereka tutup segala kekurangan yang ada di dalam rumah tangga mereka dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Sikap saling hormat-menghormati, bertolak ansur.. itu yang mereka terapkan dalam diri. Kerana itulah, walaupun sudah lima tahun usia perkahwinan mereka, kasih sayang di antara mereka masih tetap mewangi.
Muka Zahrin Ain sorot lagi. Sukar benar untuk dia mengusir perasaan gundah yang sedang bermukim di hatinya saat ini. Sayangnya Ain pada Zahrin, hanya Allah saja yang tahu. Macam mana Ain mahu bertenang kalau sedikit masa lagi dia perlu berkongsi Zahrin dengan wanita lain.
Tidak dapat Ain bayangkan semua itu. Membayangkan ada wanita lain yang akan menyentuh mesra tubuh Zahrin, memeluk erat tubuh lelakinya, menyentuh lembut hati lelakinya.. memang Ain lemah. Mampukah dia? Mana ada wanita yang mahu berkongsi kasih. Jika diberi pilihan, pasti semua wanita tidak mahu dimadukan. ‘Ya Allah, aku tidak kuat!’ Hati Ain pedih lagi.
Tanpa sedar tangan Ain membelai lembut rambut Zahrin yang sedang lena di sebelahnya. Mata bundarnya mula berkaca. Hati perempuannya berperang ganas dengan perasaan sendiri.
“Ehhemm.. kenapa sayang tak tidur lagi ni?” Suara Zahrin kedengaran serak. Dia terjaga! Matanya sudah terbuka luas, merenung Ain. Nampak jelas kerutan pada dahinya.
“Maaf, Ain buat abang terjaga.” Perlahan suara Ain. Bergetar! Rasa bersalah pula buat Zahrin terjaga. Tapi, memang dia tidak mampu untuk sembunyikan perasaannya kala ini.
“Sayang.. kenapa ni?” Suara Zahrin masih lagi serak-serak. Matanya ditenyeh beberapa kali bagi menghilangkan kantuk yang masih bersisa.
Ain diam. Lama begitu.
 Zahrin menarik lembut tubuh Ain. Terus merapat pada tubuhnya. Ubun-ubun Ain dikucup hangat. Terasa benar keikhlasan kasihnya. Hati Ain tersentuh lagi. Makin sebak! Air mata cuma tunggu waktu saja untuk mengalir ke pipinya.
“Sayangg..”
Suara Zahrin makin lembut menyentuh telinga Ain. Makin dalam rasa sebak dalam jiwa Ain. ‘Kenapa Zahrin? Kenapa harus begini kisah rumah tangga kita?’ Perasaan Ain berperang ganas. Sesaat pun air matanya tidak dapat ditahan lagi. Bercucuran jatuh menjamah pipi mulusnya.
Zahrin nampak kaget.
“Hey, kenapa ni? Sayang jangan buat abang takut. Sayang sakit ker?” Tubuh Zahrin sudah tegak. Nada suaranya memang risau benar. Tak lepas-lepas matanya memandang Ain.
“Abang.. pasal yang mama cakap tadi tu..” Suara Ain bergetar hebat. Kata-katanya terus mati di situ. Memang tak mampu lagi untuk Ain menyambung kata. Bicara Puan Rina tadi memamg benar-benar berbekam dalam, dia hatinya. Bukan Puan Rina tidak pernah ungkit perkara itu sebelum ini. Tapi pada kali ini, perasaan Ain rasa lain benar. Hatinya macam dapat membaca sesuatu.
“Hmm.. jadi ini yang sayang fikirkan dari tadi?” Zahrin ukir senyum. Air mata yang masih basah di pipi Ain diusap lembut. Pipi mulus Ain terus dibelai.
 Ain biarkan saja. Dia memang suka kalau Zahrin manjakan dia begitu. Rasa sangat dihargai dan disayangi.
 “Sayanggg.. dengar sini..”
Bisik Zahrin lembut. Zahrin telan liur. Mata redupnya tersorot tepat ke dalam anak mata Ain. Pandangan yang begitu lembut. Penuh dengan kasih sayang.
Ain juga telan liur. Tiba-tiba saja jantung berdegup kencang. Dengan sabar dia terus menanti butir bicara daripada Zahrin.
“Abang tak fikir langsung fasal apa yang mama cakapkan tadi. Bukan sayang tak tahu, mama memang macam tu. Setiap kali tiba ulang tahun perkahwinan kita, mama mesti ungkit benda yang sama. Nanti-nanti dia lupalah tu.. Emm.. jangan fikir lagi yer..” Pujuk Zahrin lembut. Pipi Ain juga dicium lembut. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
Ain diam. Zahrin selalu macam tu. Suka ambil mudah dalam semua benda. Macam mana dia boleh setenang ini? Sedangkan Ain, hendak mengatur nafas pun terasa sukar.
“Abang tak faham apa yang Ain rasa.” Ain tolok tubuh Zahrin menjauh. Merajuk dengan sikap ambil mudah Zahrin gamaknya.
“Sayang, kenapa sensitif sangat ni? Mmm..”
Zahrin belai rambut Ain. Matanya masih tidak puas menjamah wajah lembut milik isterinya itu. Ain seorang isteri yang baik. Terlalu baik dan sempurna di mata Zahrin. Susah untuk melihat Ain bermasam muka. Tuturnya lembut saja. Tingkahnya sopan dan mesra.
Ain lemas! Lemas dengan kasih sayang dan kelembutan yang Zahrin tunjukkan.
“Abang, Ain takut tau! Ain tak dapat bayangkan macam mana hidup Ain tanpa abang. Ain tak sanggup nak berpisah dengan abang.”
“Siapa cakap abang nak berpisah dengan Ain? Abang tak akan tinggalkan Ain!” tegas sekali bunyi suara Zahrin.
“Tapi, apa yang mama cakap tadi benar-benar menakutkan Ain. Macam mana kalau mama serius?” Ain masih mahu menduga. Dia benar-benar takut.
“Sayang tak yakin dengan abang?” Duga Zahrin. Muka Zahrin nampak tegang. Matanya masih tertancap tepat pada muka Ain. Mungkin menanti jawapan daripada Ain.
Ain telan liur. Mata terasa pedih semula. Bukan dia tak percaya. Tapi, dia takut!
“Abang, Ain tak sempurna. Sudah lima tahun kita berkahwin, tapi sampai sekarang Ain masih belum mengandung. Ain tak dapat lahirkan anak untuk abang.. Ain.. Ain..” Bergetar suara Ain. Kolam mata penuh semula.
“Syyhh.. Abang tak pernah kisah sayang. Anak itu bukan urusan kita. Semua tu kerja Allah. Siapa kita nak persoalkan kerja DIA. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Belum samapai masanya DIA mahu berikan kita zuriat. Sampai saat ini pun, abang masih tetap bahagia di samping Ain..  Kita masih saling menyayangi.. Itu yang penting kan?” Segaris senyuman terukir lagi di bibir zahrin. Macam selalu, Zahrin sentiasa memujuk dan menenangkan Ain. Sedikitpun tidak menampakkan kekurangan Ain.
Ain diam lagi. Fikirannya benar-benar kusut. Memang akal waras Ain tidak mampu langsung untuk bertenang saat ini. Kali ini memang lain benar perasaannya.
“Taa..”
Baru saja Ain mahu membuka mulut, kata-katanya telah mati di situ tatkala bibir lembut Zahrin sudah mendarat kemas di bibirnya. Lama, hangat.. masih sama macam selalu. Ain terus kaku. Terbuai dengan sentuhan Zahrin. Tangan kekar Zahrin terus membelai mesra tubuh Ain. Terus perasaan resah dan kecewa yang membalut hati Ain sejak tadi terbang melayang.
Sentuhan hangat Zahrin di tubuhnya benar-benar memukau. Ain terus hanyut dalam keasyikan itu sehinggakankan dia terlupa seketika tentang isu yang dibangkitkan oleh Puan Rina tadi. Zahrin terus membawa Ain megembara ke tempat yang indah. Sehingga, sesaatpun Ain tidak mampu lagi untuk mengingati segala kata-kata mentuanya itu. Semuanya, seakan terus lupus dari ingatan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan