Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta-Bab 6




Qaseh Syafiqah




BAB 6

    KOTAK baldu merah yang berbentuk hati itu dipandang sepi oleh Qaseh. Angin pantai masih berpuput pada petang itu, lembut menyapa wajahnya. Tudung dan baju kurung yang dipakainya turut terbuai-buai lembut disapa bayu pantai. Dia masih duduk di atas sebatang kayu kering yang terletak berhampiran pantai itu dengan perasaan dan hati yang bercelaru.
Terasa sesak benar nafasnya saat itu apabila teringat kembali kata-kata Harith tempoh hari. Macam mana nak berkahwin dan hidup bersama dengan lelaki itu kalau awal-awal lagi dia sudah tunjuk lagak dan sudah terang lagi tersuluh dia memang bencikan Qaseh. ‘Perlu ker aku kahwin? ‘Arrghhh!! Serabutnya.. Kenapa semua nak tergesa-gesa? Kenapa aku tak boleh nak tentukan arah hidup aku sendiri?’ Qaseh sudah mula rasa tertekan. Ranting kayu yang berada di tangannya itu dikuis-kuis ke pasir putih yang berada di hujung kaki. Kotak baldu berwarna merah tadi masih terletak kemas di atas batang kayu yang sedang didudukinya.
“Minggu depan Qaseh kahwin!!” Suara datuknya terngiang-ngiang di hujung telinga. Dia mengeluh lagi.
“Woiii!! Apa hal mengeluh ni?” Dia disergah tiba-tiba, agak kuat daripada belakang.
Dub! Jantungnya bagaikan hendak gugur. Dia segera menoleh, merenung tajam pada wajah Aamar. Sakit pula hatinya disergah secara tiba-tiba begitu di kala hati dan fikirannya tengah kusut.
“Waalaikummussalam!” Perli Qaseh sinis dengan muka kelat. Aamar yang sudahpun duduk di tepinya itu tersengih malu. Tersedar kesilapan dirinya.
“Heee.. Assalamualaikum..” Ucap Aamar sambil tersipu malu.
“Haa..Reti pun nak bagi salam. Ingatkan dah tak reti tadi..Waalaikummussalam..” Jawap Qaseh berserta sindiran. Muka Aamar yang sudah merah itu direnung lama. ‘Hmm..Kalaulah aku boleh kahwin dengan kau kan senang! Mesti aku tak pening kepala nak kena fikir semua ni..’ getus Qaseh dalam diam.
“Hoii!! Berangan lagi!” Aamar sudah menarik tudung Qaseh.
“Apa ni?” Marah Qaseh sambil betulkan balik tudungnya yang sudah jatuh ke depan. Wajahnya sengaja dimasamkan tanda protes.
“Kau fikir apa ni? Cuba cerita dengan aku..Orang lain nak kahwin happy, tapi kau dah macam orang mati laki. Termenung sana, termenung sini..” Tanya Aamar merenung wajah ayu Qaseh tanpa berkelip. Qaseh memang ayu. Wajahnya lembut mendamaikan hati setiap yang memandang. Dengan kulit yang putih bersih, alis mata yang lentik, lesung pipit di kedua belah pipinya tatkala dia mngukir senyum, memang bisa menggetarkan jiwa setiap lelaki yang memandang. Tapi sayang, senyuman Qaseh amat mahal.
“Entahlah! Kau tak sedih ker aku nak kahwin?” Tanya Qaseh sepatah tanpa memandang Aamar di tepinya.
Tangan Aamar laju menyambar kotak baldu berbentuk hati yang terletak kemas di atas batang kayu itu. Perlahan dia membuka untuk melihat isi di dalamnya.
“Cantik cincin ni, tentu mahalkan?” Tanya Aamar perlahan tatkala matanya menangkap pandang pada sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian yang berkilau cantik di dalam kotak baldu itu. Dia masih merenung Qaseh menantikan jawapan.
Qaseh masih diam tanpa sepatah kata. Dia kemudian menjungkitkan bahunya tanda tidak tahu. Dia memang tidak tahu dan memang langsung tidak mahu ambil tahu. Semenjak cincin itu berada di tangannya, tidak pernah sekalipun cincin itu singgah ke jarinya. Dia tidak ada nafsu langsung untuk berbuat begitu.
“Meh sini aku pakaikan!”
Laju saja tangan Aamar menyambar jari Qaseh. Dia kemudiannya terus menyarungkan cincin itu ke jari manis Qaseh. Cincin itu nampak indah di jari manis Qaseh. Memang sesuai dengan kulitnya yang putih bersih itu. Qaseh masih sama, membisu tanpa sebarang riak.
“Aamar, patut ker aku kahwin?” Perlahan suara Qaseh menyapa telinga Aamar, kedengaran sedikit bergetar. Tekaknya sudah berasa pahit. Angin pantai masih setia berhembus nyaman.
“Hmm..Kita dah bincangkan hal ni haritu..Sekarang kau tak boleh berundur Qaseh. Aku yakin kau akan bahagia..”
“Tapi..”
Qaseh sudah serba salah. Patutkah dia bercerita hal sebenarnya pada Aamar? Tidakkah nanti akan timbul masalah lain? Dia tidak mahu Aamar bimbang, terutama datuknya. Jika Aamar tahu, bermakna datuknya juga akan tahu.
“ Tapi apa lagi Qaseh? Aku tengok Harith tu baik orangnya. Bercakap rendah diri, lemah lembut, pandai hormat orang tua. Jarang aku jumpa orang kaya yang macam tu..Aku yakin dia dapat bahagiakan kau..Bagilah peluang untuk diri kau sendiri.” Lembut saja tutur Aamar memujuk Qaseh.
Qaseh tersenyum kelat. Kerongkongnya bagaikan tersumbat mahu membalas segala kata-kata Aamar itu. Kalaulah Aamar tahu semua itu hanyalah lakonan, apakah perasaan Aamar agaknya? Tapi mahukah Aamar dan datuknya percaya? Paling tidak dia akan dituduh cuba mereka-reka cerita supaya dapat mengelak daripada berkahwin dengan lelaki itu. Qaseh buntu!
Pandangan Aamar masih lurus pada laut yang terbentang luas di hadapan mata. Di situlah dia dan Qaseh selalu menghabiskan waktu mereka setelah penat belajar. Mereka akan berjalan menyusuri pantai, mengutip kulit-kulit siput dan kerang. Dia pernah juga menghadiahkan seutas rantai daripada kulit kerang kepada Qaseh yang dibuat sendiri olehnya. Alangkah seronoknya waktu itu. Sungguh dia sayangkan Qaseh! Sayang sangat-sangat..
“Aamar, kalau aku dah kahwin nanti..Kau tolong tengok-tengokkan atok yerr.” Akhirnya Qaseh bersuara sebak, memecahkan kebisuan di antara meraka. Entah mengapa, sejak kebelakangan ini hubungan mereka agak hambar. Tidak seperti kebiasaannya yang selalu dihiasai dengan gelak tawa dan usik-mengusik.
“Yer, aku janji!” Jawap Aamar sepatah.
“Tengokkan Comot juga!” Ucap Qaseh lagi membuatkan Aamar tergelak kecil.
“Yer sayangku Qaseh! Kau jangan risau, aku akan jaga atok dan Comot macam aku jaga nyawa aku sendiri.” Janji Aamar lagi. Qaseh tersenyum kelat sekali lagi.
Suasana terus bungkam selepas itu. Hanya bunyi deru ombak yang tidak jemu memukul pantai menerjah ke halwa telinga mereka. Masing-masing terus membisu, merenung jauh ke tengah lautan. Baik Qaseh mahupun Aamar seolah kehabisan kata-kata kala itu. Hanya mereka saja yang tahu apa yang bermukim di sudut hati mereka sekarang.

AAMAR termenung lama di tangga rumahnya. Angin malam yang bertiup agak kencang itu membuatkan tubuhya kedinginan. Namun dia langsung tidak menghiraukan semua itu, yang dia tahu hatinya sedang hancur lebur sekarang.
Bagaimana dia mahu menipu dirinya, menipu perasaannya kala itu. Hati mana yang tidak sakit apabila gadis yang dicintai dalam diam bakal berkahwin dengan lelaki lain, dengan lelaki yang jauh lebih kacak dan berharta darinya. Mana mungkin dia dapat menandingi Harith, lelaki pilihan ayah Qaseh. Keluhan berat dilepaskan oleh Aamar, mengharap agar beban perasaannya berkurangan namun masih tetap sama.
“Kenapa ni Am? Termenung jer mak tengok sehari dua ni?” Sapa Mak Esah lembut menampar gegendang telinga Aamar. Sekilas Aamar menoleh, senyuman tawar sudah dilemparkan pada emaknya.
Mak Esah duduk di serambi rumah, merenung anak lelaki tunggalnya nan sorang itu. Dia perasan, semenjak dua menjak ini Aamar tidak banyak bercakap. Jika ditanya sepatah, maka sepatahlah yang dijawap. Kadang-kadang langsung tidak berjawap. Yang dia tahu, anaknya itu selalu saja termenung panjang. Susah juga hati tuanya, melihat perubahan sikap anaknya itu.
Aamar tersenyum kelat, merenung emaknya yang sedari tadi lagi memandang wajahnya tanpa berkelip. Dia bingkas bangun dari tangga dan berlalu ke serambi, duduk bersama emaknya di situ. Wajah tua emaknya direnung lama. Sayang betul dia pada emaknya itu. Semenjak ayahnya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, dia hanya tinggal berdua saja dengan emaknya.
 “Kencang pulak angin malam ni kan mak? Hari nak hujan agaknya!” Tutur Aamar lembut sambil tersenyum tawar. Wajah Mak Esah direnung lagi.
“Tak usahlah kamu nak mengubah topik Am! Mak tanya tadi kamu belum jawap lagi..”
“Tanya apa mak?” Aamar buat-buat tak faham.
“Ishh, kamu ni..Nak mengelak lah tu..Mak tanya kenapa Am termenung jauh jer?” Mak Esah mengulang kembali soalannya tadi.
“Mana ada termenung mak! Am cuma berkhayal jer..hehe..” Aamar sudah tersengih cuba menutup rasa di hati. Gila nak cakap dia kecewa sebab Qaseh nak kahwin! Memang malu besarlah dia pada emaknya.
“Kamu jangan nak tipu mak? Kamu tu mak yang kandungkan sembilan bulan 7 hari tau..! Tiga hari awal mak beranakkan kamu..”
 Balas Mak Esah dengan muka yang bersaja. Aamar sudah tergelak besar mendengar kata-kata emaknya itu. Biasa dia dengar orang sebut sembilan bulan sepuluh hari, tapi emaknya lain pula.
“Mak ni, buat lawak pulak! Betullah mak, Am tak fikir apa-apa pun..Saja nak ambil angin malam..”
“Mak tahu sangat kau tu Am! Kau fikirkan Qaseh kan? Itulah, mak suruh kau berterus terang kau tak mahu..Sekarang putih mata.”
Balas Mak Esah lagi sambil memandang wajah anaknya yang sudah berubah riak itu. Wajah Aamar yang tampak redup itu direnung lama. Bukan dia tidak tahu perasaan Aamar pada Qaseh selama ini. Dia tahu benar, Aamar sebenarnya sayangkan Qaseh lebih daripada seorang kawan tetapi apa nak buat..Qaseh memang tak percaya pada cinta dan semua itu membuatkan Aamar berasa takut untuk berterus-terang. Buatnya Qaseh terus menjauh darinya, lagilah haru.
Bukan tidak ada gadis-gadis di dalam kampung itu yang tergila-gilakan Aamar, cuma Aamar saja yang jual mahal. Macam mana tak jual mahal kalau hati terlebih dahulu telah dicuri oleh perempuan lain.
“Mana ada mak! Kenapa pulak nak fikirkan si Qaseh tu?” Aamar masih berdalih. Sedaya-upaya dia cuba mengawal riak di wajahnya.
“Hmmm..Dah tak ada jodoh Am..Nantilah mak carikan jodoh untuk kamu! Mahu?” Tanya Mak Esah lagi. Aamar terus diam. Mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak. Fikirannya penuh sekarang, sarat dengan bayangan wajah Qaseh.

LAMPU berwarna-warni berlikauan di dalam sebuah kelab malam yang termuka di ibu kota itu menyilaukan pandangan bagi sesiapa saja yang baru pertama kali berkunjung ke kelab itu. Bagi yang sudah biasa pula, ia adalah suatu cahaya yang indah dan mengasyikkan. Muzik berdentum-dentam yang diputar oleh DJ itu juga membinggitkan telinga, namun para pengunjung yang berkunjung di kelab itu menganggapnya adalah satu muzik yang begitu mendamaikan dan menyeronokkan.
Di sudut hujung meja kelihatan Harith sedang duduk sambil menghirup Coca-cola yang baru dipesannya. Matanya masih ralit memandang kekasih hatinya Bella, yang nampaknya sudah mula mabuk dan sedang terkinjal-kinjal menari di pentas tari. Sesekali tangan Bella memaut mesra leher pemuda yang sedang menari bersamanya.
Segaris senyuman terukir di bibir Harith. Bella memang gila! Kalau berkunjung ke kelab malam pasti dia tidak pernah melepaskan peluang untuk meneguk air syaitan. Harith hanya menggelengkan kepala melihat telatah Bella. Dia sayangkan Bella, tetapi entah mengapa setiap kali dia melihat Bella bercumbu mesra dengan lelaki lain, tiada sekelumit perasaan cemburu pun yang bertandang di hatinya. Itu yang membuatkan Harith tertanya-tanya, betulkah dia cintakan Bella?     
Bukan sekali dua dia melihat Bella bercium dengan lelaki lain di pentas tari, tetapi dia sedikit pun tidak rasa cemburu. Mungkin kerana dia juga sama seperti Bella, bebas bercium dengan mana-mana perempuan yang dia mahu. Lelaki-lelaki yang menari di pentas tari itu juga bebas meraba tubuh Bella yang selalunya hanya bersalut skirt pendek paras peha dengan baju sendat terbelah di bahagian dada. Setiap lelaki yang terpandangkan Bella, pasti akan gila bayang. Tambahan pula, bentuk tubuh Bella yang langsing dan mengiurkan itu memang menggetarkan jiwa setiap lelaki. Harith bangga dapat memiliki Bella sebagai kekasih.
Cuma satu syarat yang diletakkan oleh Harith pada Bella. Jangan sesekalinya bawa lelaki lain balik kerumah dan tidur dengan mana-mana lelaki. Kerana mahkota wanita Bella nan satu itu cuma akan menjadi miliknya yang abadi apabila tiba saatnya nanti. Itulah kata-kata Harith kepada Bella. Dia sendiri tidak akan pernah meragut kesucian itu, dan akan dijaganya sampai mereka sah bergelar suami isteri.
“Qaseh!”
Tiba-tiba nama itu meniti di bibir Harith. Fikirannya terus melayang jauh teringatkan perempuan kampung yang mahu dijodohkan dengannya itu. Wajah Qaseh yang nampak tegang dipertemuan pertama mereka menari-nari di ruang matanya. Entah kenapa tok ayahnya begitu teruja mahu bercucu menantukan Qaseh. Kata tok ayahnya, hanya perempuan seperti Qaseh sahaja dapat menjadi seorang isteri yang terbaik buatnya.
Harith menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Kenapa dalam dunia yang serba moden seperti sekarang masih ada lagi orang yang kena kahwin paksa seperti dia? Arrghhh!! Serabutnya. Macam mana dia mahu hidup dengan perempuan yang langsung tidak dikenalinya, langsung tidak dicintainya dan yang paling penting langsung tidak menepati citarasanya. ‘Shit!!’ Sumpah Harith dalam hati. Rambutnya dikuak kebelakang, wajah kacaknya nampak kelat.
Honey, what’s wrong with you?”
Bella yang entah bila muncul di sebelahnya bertanya sambil memeluk erat lehernya. Satu ciuman diberikan pada pipi kanan Harith. Kemudian Bella mahu mencium bibir Harith, namun ditolak lembut oleh Harith.
No baby!” Harith telah melarikan mukanya. Bau masam yang keluar daripada mulut Bella akibat meneguk air syaitan itu memualkan tekaknya. Pelukan Bella juga segera dileraikan.
Honey...” Renggek Bella yang sememangnya mabuk itu. Harith hanya menggelengkan kepalanya. Jika tok ayah nampak Bella dalam keadaan begitu, tentu awal-awal lagi Bella direject sebagai calon cucu menantu.
“Dahlah! Jom kita balik..”
 Harith sudah memapah Bella keluar daripada kelab malam yang hinggar-binggar itu. Bella didudukkan di kerusi penumpang di sebelahnya dan tidak lama kemudian Nissan Skyline miliknya meluncur laju di tengah jalan raya menuju ke apartment mewah yang dibelikan olehnya untuk Bella.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan