BAB 4 ~ Lakaran Cinta Di Garis Waktu



BAB 4

“ARGHHH!!!”
Suara jeritan perempuan bergema kuat dari bilik air. Tegak terus tubuh Firash yang tadinya bersandar kemas di kepala katil. Dia terkebil-kebil buat seketika.
“Siapa pula yang menjerit tu? Macam suara Hanim aje!” Terkocoh-kocoh Firash berjalan keluar dari bilik tidur menuju ke bilik air yang terletak di ruang dapur rumah. Sampai di ruang dapur dia bertembung dengan ummi dan adik-adiknya yang juga nampak kebingungan.
“Siapa yang menjerit along?” soal Zana terkebil-kebil.
“Kak long agaknya.” Langkah diayun laju menuju ke bilik air. Sementara Mak Cik Yusni, Zana dan Zara juga turut membuntuti langkahnya ke bilik air.
“Ya Allah, Hanim... Kenapa ni?” terjerit kecil Firash tatkala melihat Hanim sudah terjelepok dilantai. Tangan kanan Hanim memegang kemas pada buku lali kakinya yang terasa sakit. Dahi Hanim juga nampak ada sedikit kesan calar.
“Jatuh,” Jawap Hanim sambil cuba untuk bangun. Baru saja dia cuba untuk berdiri,
“Aaouchhh...” dia terduduk semula. Kakinya tidak mampu untuk berdiri walau sesaatpun. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Berkerut-kerut dahi Firash melihat keadaan Hanim begitu.
“Macam mana boleh jatuh ni? Along! Yang along tengok saja tu kenapa? Cepat angkat isteri kamu tu!” Mulut Mak Cik Yusni sudah bising. Ada ke patut, Firash boleh tengok saja isterinya jatuh. Geram sungguh!
“Aah, along ni! Dukung kak long tu cepat... Dahi pun berdarah tu.” Zana dan Zara menyampuk serentak. Mentanglah mereka kembar. Becakap pun nak sama-sama juga.
“Hah? Aah...” Firash nampak terkebil-kebil, namun cepat-cepat dia mahu memapah Hanim untuk bangun.
“Err... Tak apa. Saya boleh bangun sendiri.” Lembut Hanim menolak. Sekali lagi dia cuba untuk berdiri, namun sekali lagi dia terduduk kesakitan.
“Aduh! Sakitnya...” Mata Hanim mula berkaca.
Dahi Mak Cik Yusni dan kedua pasangan kembar itu berkerut melihat keadaan Hanim.
“Dahlah... Mari saya dukung.” Belum pun sempat Hanim menjawab, tubuhnya sudah dicempung terlebih dahulu oleh Firash. Tidak semena-mena mata mereka bersabung buat seketika, sehingga menerbitkan getaran hebat di dada masing-masing.
Hanim telan liur. Mata Firash yang merenung lembut ke dalam anak matanya itu benar-benar membuatkan dadanya semakin sesak. Muka dia juga sudah terasa panas semacam.
“Kita masuk bilik dulu...” Suara Firash seakan berbisik. Segaris senyuman diberikan kepada Hanim. Entah kenapa dia berasa terlalu mahu melindungi Hanim.
“Owh, so sweet...” Zana dan Zara menjerit serentak. Muka Hanim terasa semakin panas.
“Ish, budak berdua nih!” Mak Cik Yusni menampar pungggung kedua orang anak gadisnya.
“Ummiiiii...” masing-masing terjerit kecil.


“ALONG, sapu minyak panas dulu dekat buku lali Hanim tu. Besok kita panggil Mak Temah datang berurut. Kalau tak berurut makin teruk nanti.” Mak Cik Yusni duduk di birai katil. Sebotol minyak panas Afiat dihulurkan kepada Firash.
“Tak apa... Saya boleh sapu sendiri nanti.” Hanim tersenyum kelat. Botol minyak panas di tangan Firash dicapai laju. Berdepan dengan Firash kala ini membuatkan nafasnya makin semput. Kalau berterusan begini, alamatnya mati cepatlah dia.
“Tak apa. Abang boleh tolong sapukan. Sebelum tu abang sapu ubat dekat dahi awak dulu,” laju Firash membalas. Riak mukanya nampak tenang saja. Tidak masam, tidak ada juga senyuman. Minyak panas di tangan Hanim dicapai semula lalu diletakkan ke atas ribanya.
Dub!
Sekali lagi Hanim rasa jantungnya macam hendak tercabut. Abang? Aku tak salah dengar rasanya. Dahi Hanim berkerut-kerut. Namun, tersedar akan kewujudan Mak Cik Yusni di situ membuatkan dia cepat faham. Itu mungkin lakonan Firash sahaja.
“Mmm... Kalau macam tu, ummi keluar dululah.” Mak Cik Yusni bingkas berdiri dari katil. Seketika dia merenung ke arah Hanim dan Firash silih berganti. Dalam hati sempat berdoa agar hubungan anak menantunya itu berpanjangan.
“Terima kasih ummi,” ucap Hanim.
“Sama-sama...” Mak Cik Yusni tersenyum manis sebelum dia melangkah keluar dan meninggalkan Hanim dan Firash bersendirian di dalam bilik itu.
Suasana sepi seketika. Suara burung tukang menyanyi mula kedengaran. Meriah sungguh di balik semak. Baik Firash mahupun Hanim, masing-masing masih membisu. Masih terasa janggal bila berduaan begitu di dalam bilik yang berkatup rapat.
“Err... Saya letak ubat dekat dahi awak dulu.” Firash bangkit dari katil menuju ke arah meja solek. Almari meja solek ditarik, kemudian Hanim nampak Firash datang semula ke arahnya bersama kapas dan sebotol minyak gamat di tangan.
“Rash, saya boleh buat sendiri.” Hanim mahu mencapai botol minyak gamat itu dari tangan Firash, namun cepat-cepat Firash larikan tangannya ke arah lain.
“Syyyy... Biar saya yang buat.” Bisik Firash perlahan sambil matanya tunak merenung ke dalam mata Hanim. Seketika matanya menjelajah ke segenap raut wajah milik Hanim. Dari dahi turun ke kening. Dari kening turun ke mata, kemudian jatuh pula pada bibir Hanim yang merah basah. Dub! Jantung Firash berdegup. Cantik!
Hanim tunduk menekur tilam. Panahan mata Firash itu betul-betul menyesakkan dadanya. Mukanya sudah terasa macam hendak terbakar. Panas.
Firash angkat dagu Hanim. Kapas yang sudah basah dengan minyak gamat itu disapu lembut pada dahi Hanim yang luka tadi. Takut Hanim terasa sakit.
“Macam mana boleh jatuh ni?” Suara Firash masih lembut. Wajahnya juga masih tenang.
Ya Allah, Hanim rasa macam hendak pitam. Kenapa lelaki ini terlalu baik. Tuturnya terlalu lembut, sampaikan meresap terus ke jiwanya. Wajah Firash, Hanim sorot lama. Sepasang mata yang jernih. Seulas bibir nipis yang tampak merah dan seksi. Jambang halus yang tumbuh di muka Firash yang putih bersih. Cukup sempurna. Kalau Hanim tak rasa apa-apa memanglah dia tidak normal.
Hanim telan liur. Ya Allah, mampukah aku? Hati Hanim sudah berdetak sejuta rasa. Aneh! Aneh benar perasaan yang dia rasa sekarang ni. Takkan semudah itu dia boleh sukakan Firash?
“Say... saya nampak katak tadi. Katak tu melompat ke atas kaki saya.” Cerita Hanim dengan dahi sedikit berkerut. Masih terasa sejuknya kulit katak berwarna hijau tadi menempel di atas kakinya. Eee... Geli!
Tidak disangka-sangka, tawa Firash terburai sebaik sahaja Hanim menghabiskan ayatnya. Adoilah... sebab katak rupanya! Hati Firash berbisik lucu.
“Kenapa ketawa?” dahi Hanim semakin berkerut. Sakit hati pula tengok Firash ketawa terbahak-bahak macam tu. Apa yang lucu sangat? Tadi bukan dia yang tanya ke?
“Oppss... Maaf.” Firash kemam bibir. Hanim tahu Firash cuba sembunyikan tawanya.
Hanim melirik geram. Bibir bawahnya digigit. Geram. Rasa macam hendak cubit-cubit saja Firash saat ini.
“Awak... Jangan goda saya macam tu. Saya lelaki tau? Mana boleh tahan bila digoda perempuan cantik macam ni.” Firash tersenyum gatal. Matanya masih galak merenung muka Hanim. Amboi, Firash! Tadi bukan main kereknya. Nampak macam pemalu sangatlah! Sekarang apa jadi? Kalau dah lelaki tu, lelakilah juga.
“Hah? Bila masanya saya goda awak?” Hanim bingung. Tangan Firash yang masih berada di dahinya itu ditepis laju. Menyala-nyala rasa mukanya. Malu. Goda betul-betul nanti baru tahu!
“Owh, bukan erk? Ingatkan awak goda saya tadi. Tak apalah macam tu...” Firash tersenyum lagi.Rasa seronok pula bila tengok muka Hanim yang sudah bertukar rona menjadi merah jambu. Pemalu rupanya Hanim ni.
“Mari saya tengok kaki awak.” Firash pegang kaki Hanim pula. Berderau rasa darah Hanim saat tangan Firash sudah mendarat kemas pada kakinya. Bertambah-tambah merah muka Hanim.
Firash juga. Bukan setakat darahnya saja rasa berderau, jantungnya juga rasa macam hendak pecah saat tapak tangannya sudah menyinggah di kaki gebu milik Hanim. Namun dia cuba juga mengawal degupan jantungnya agar terus berdegup mengikut ritmanya.
“Eh, tak payahlah, Rash. Saya boleh buat sendiri.” Hanim bersungguh menolak. Sebetulnya jantung dia juga berdegup kencang tika ini. Mana tidaknya! Belum pernah ada mana-mana lelaki yang menyentuh kakinya sebelum ini. Selama dia bercinta dengan Zakhwan, dia bersungguh-sungguh menjaga batas aurat mereka.
“Buat apa nak malu.. Kita bukan orang asing.” Suara Firash lembut menyapa telinga Hanim, membuatkan jiwanya tiba-tiba saja terusik.
Hanim diam tidak berkutik. Dibiarkan saja Firash terus membelek kakinya.
“Hmm... Dah, bengkak! Esok saya panggilkan Mak Temah datang mengurut. Dia memang tukang urut dalam kampung ni. Lepas tu, kita pergi klinik.” Tangan Firash menggosok lembut buku lali Hanim yang sudah mula membengkak itu dengan minyak panas.
“Arghh...” Hanim terjerit kecil. Terhenti terus pergerakan tangan Firash.
Sorry... Sakit ke?” Teduh keningnya merenung Hanim. Firash nampak mata Hanim mula berkaca.
Hanim tidak menjawap, sebaliknya dia hanya mengangguk lemah. Memang sakit sangat. Rasa macam hendak meraung sekuathati di situ.
“Dah bengkak ni, sebab tu sakit. Awak boleh bertahan tak malam ni?” Suara Firash jelas risau.
“Err... Boleh. Awak jangan risaukan saya.”
“Mestilah saya risau. Awak tu, isteri saya.” Mata Firash sekali lagi bertembung dengan mata Hanim. Nampak riak muka dia serius.
Dub! Jantung  Hanim bagai diketuk lagi. Entah kenapa dia disapa sebak dengan tiba-tiba saja.
“Rash... Awak tak rasa apa yang kita buat ni, salah?” duga Hanim dengan suara bergetar. Teringin benar dia tahu apa yang sedang terbuku di hati lelaki Firash. Takkanlah semudah itu saja dia menerima pernikahan ni.
“Mmm... Apa yang kita buat?” tangan Firash masih mengurut kaki Hanim. Lembut. Sesekali nampak dahi Hanim berkerut-kerut. Mungkin menahan rasa sakit.
“Perkahwinan ni?” duga Hanim lagi.
“Tak!” Muka Firash nampak tenang.
“Tak?” dahi Hanim makin berkerut. Memang jawapan Firash itu di luar jangkaannya.
Yup. Tak ada yang silap. Pernikahan ni tak silap. Yang silapnya kita.”
Firash diam seketika.
“Hanim...” panggil Firash lembut.
Mata mereka kembali bertemu.
“Sekarang awak isteri saya yang sah. Saya tahu awak tak cintakan saya. Apa yang awak buat sekarang ni atas dasar cinta awak kepada Zack. Dan saya pula, atas dasar setia kawan. Tapi, saya nak ingatkan awak. Kita tetap suami isteri yang sah dari segi hukum syarak. Awak wajib hormat saya dan saya juga bertanggungjawab ke atas awak. Dosa awak tetap terpikul di atas bahu saya.”
Firash menarik nafas sejenak.
“Saya harap sepanjang tempoh tiga tahun ini, kita boleh saling menghormati. Dan kita boleh hidup seperti pasangan suami isteri yang lain. Kecuali, satu hal itu. Saya tak akan minta ‘hak’ saya dan ia akan kekal menjadi milik awak. Saya tak akan tuntut ‘hak’ yang satu itu. Kecuali...” Firash telan liur. Tapi entah mengapa, jauh disudut hati kecilnya mengharapkan yang lain pula. Jahatkah dia kalau dia berharap agar perkahwinan ini kekal sampai ke hujung nyawa? Jahatkah dia kalau selepas tiga tahun dia enggang melafazkan talak?
“Kecuali apa, Rash?” Hanim hilang sabar.
“Awak yang menginginkannya...” Firash lorek senyum. Tapi bukan senyuman gatal.
Hanim terdiam sejenak.
“Awak akan lepaskan saya nanti?” Mata Hanim sudah berkaca. Tanpa diduga, air mata jatuh setitis demi setitis di pipinya. Dia tidak tahu kenapa dia tiba-tiba saja berasa sebak.
“Syyyyhh...”
“Hanim, tolong jangan menangis. Saya akan pastikan air mata tidak akan menitis lagi di pipi awak sepanjang awak bergelar isteri kepada saya.” Firash sapu air mata di pipi Hanim.
“Awak tak jawab lagi soalan saya, Rash...” Air mata jatuh lagi.
Apa yang Firash mahu jawab? Dia langsung tidak ada jawapan untuk soalan yang Hanim tanyakan. Langsung tidak terfikir oleh dia mahu melepaskan Hanim pergi. Biarlah masa dan waktu yang menentukannya.
“Rash?” panggil Hanim lagi.
Baru saja Firash mahu membuka mulut, telefon bimbit milik Hanim yang berada di atas meja solek berbunyi nyaring. Hanim sapu air mata. Pandangannya jatuh lurus pada meja solek.
Firash bergegas mendapatkan telefon bimbit Hanim dan saat matanya jatuh pada skrin telefon, muka Firash berubah menjadi keruh. 
Hati Hanim berdebar-debar.
Firash hulurkan telefon bimbit kepada Hanim. Teragak-agak pula Hanim mahu menyambutnya. Namun, lambat-lambat dia sambut juga.
“Zack?” Dahi Hanim berkerut. Mata melirik sekilas pada jam dinding di bilik Firash. Pukul 11.30 malam. Makin berkerut dahi Hanim. Buat apa Zakhwan telefon pada masa-masa macam ni?
“Angkatlah.” Suruh Firash.
Hanim menggeleng sambil tersenyum kelat. Butang off ditekan. Lalu dia menghulurkan semula telefon bimbitnya kepada Firash untuk disimpan semula ke atas almari solek.
Dalam tidak sedar Firash menarik nafas lega. Hai, Firash! Kenapa kau mesti rasa macam ni?
“Kenapa tak angkat?” Duga Firash sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelah Hanim semula.
Senyap. Sepatah kata pun Hanim tidak membalas. Cuma jantungnya saja yang semakin kencang berdegup. Mana tidaknya! Belum pernah dia duduk satu katil dengan mana-mana lelaki.
“Hmm...tidurlah. Esok nak berurut.” Firash sudah merebahkan tubuhnya di katil.
“Saya tidur mana?” Hanim telan liur. Muka Firash dipandang tidak berkelip.
“Lah... Tidur sinilah! Tepi saya. Kenapa, takut?” Firash tersenyum senget.
“Seram...” Suara Hanim antara dengar tidak dengar saja.
Firash ketawa lepas. Sebaik saja tawanya mereda, matanya lembut menikam ke mata Hanim.
“Tidurlah. Tak payah nak seram. Kita ni suami isteri. Tak payah nak ikut sangat cerita dalam drama tu. Asal kahwin paksa aje, tidur asing-asing. Kalau kita boleh kaut pahala, kenapa nak tolak.” Lembut suara Firash berdendang.
Hati Hanim terusik lagi.
“Dah, tidur. Saya janji tak buat apa-apa.” Firash sudah pejamkan matanya.
Sesaat... Dua saat... Hanim masih duduk tegak di katil.
Okey, Hanim! Jangan gelabah sangat. Dia tenang aje. Kau pula yang lebih-lebih! Hatinya berbisik sendiri. Lambat-lambat dia rebahkan juga tubuhnya di sebelah Firash.
Tanpa sedar, sekali lagi bibir Firash menguntum senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan