Janji Semalam- bab 1







BAB 1

“DARI kerana mata.. yang mempunyai kuasa..” Bukan main seronok lagi Widad bernyanyi di dapur. Senduk yang digunakan untuk mengacau kari ikan di periuk dijadikan microfon.
“Hah! Eloklah tu.. Anak dara menyanyi dekat ceruk dapur ni. Nanti berlaki dengan orang tua baru tahu!” Bentak Mak Piah agak kuat. Kain batik yang disangkut di bahunya ditarik menyapu peluh di muka. Punggungnya terus dilabuhkan di kerusi meja usang yang berada di dapur rumah kayu itu.
“Apa mak ni! kata-kata ibu tu doa tau tak?! Mak nak ker dapat menantu orang tua? Silap hari bulan.. lagi tua pada mak!” Widad tergelak. Saja mahu mengenakan Mak Piah. Wajah penat emaknya itu ditatap seketika. Terbit juga rasa kesian di hatinya.
Semenjak arwah ayahnya pergi meninggalkan mereka, emaknyalah yang berkerja keras membanting tulang mengambil alih tugas arwah untuk menyara mereka anak beranak. Mujurlah dia dua beradik sahaja. Kalau tidak berat juga beban yang perlu ditanggung oleh emaknya.
Sekarang pun Mak Piah hanya mengambil upah menoreh getah penghulu kampung. Dapatlah juga mereka makan nasi berlauk. Walaupun tak mewah, cukuplah mereka makan anak beranak.
Mak Piah tersengih mendengar usikan Widad. Begitulah selalunya mereka anak beranak. Selalu bergurau senda dan usik mengusik. Kain batik yang digunakan untuk mengelap peluh di muka sebentar tadi dikibas-kibaskan ke muka pula, bagi hilangkan panas.
“Mak nak air?” Tanya Widad. Senyuman berlari di bibirnya.
“Biarlah dulu. Mak nak mandi! Adik kamu tak balik lagi ker Widad?” Mata Mak Piah meliar kesekeliling, mencari kalau-kalau ada kelibat anak bongsunya di situ.
“Ish, mak ni! baru pukul berapa ni mak..” Tak agak-agak nak tanya soalan Mak Piah ni. Baru pukul  11.30 pagi kut! Waktu-waktu macam ni, dah sah-sah Si Zahin tu berada di sekolah.
“Yer tak yer jugak!” Mak Piah garu kepala.
Widad menggeleng kepala. Punggung dilabuhkan di kerusi sebelah emaknya.
“Lambat lagi ker keputusan peperiksaan SPM kamu tu Widad?” Tanya Mak Piah lagi.
“Tak lama dah mak. Lagi sebulan lebih jer..”
“Lepas ni mak nak kamu sambung belajar lagi. Kamu jer harapan mak untuk ubah nasib keluarga kita. Adik kamu tu kecik lagi. Baru darjah lima.” Ucap Mak Piah penuh mengharap. Dia yakin Widad akan lulus dengan cemerlang. Selama ini pun Widad memang menjadi pelajar contoh di sekolah.
Widad diam sejenak. Besar sungguh harapan emaknya itu. Mampukah dia tunaikan harapan dan impian Mak Piah.
“In Shaa Allah mak.” Suara Widad seakan tersangkut di anak tekak.
“Hmm, mak nak pergi mandi.”
Mak Piah terus bangun, berlalu dari situ. Widad hanya mengangguk tanpa membalas apa-apa. Dalam hati rasa semacam dua macam saja. Kenapalah dia rasa berdebar-debar saja semenjak pagi tadi. Macam ada sesuatu benda yang buruk akan berlaku. Beberapa kali dia beristighfar.

ANGIN bertiup sepoi-sepoi bahasa pada petang itu. Widad masih setia duduk di pondok kayu yang berada di tegah kebun pisang milik Pak Seman. Zahrin pula sedang menangkap belalang yang hinggap di hujung daun pisang.
“Kak! Lama lagi ker?” Laung Zahrin yang berdiri tidak jauh daripada pondok. Mukanya nampak mencuka. Bosan daripada tadi melanggut di kebun pisang Pak Seman. Kalau tak fikirkan Widad itu kakaknya, dah lama dia tinggalkan Widad seorang.
“Kejaplah dik! Kejap lagi abang Alif datang.” Widad cuba memujuk Zahrin. Dia tahu Zahrin sudah mula bosan menunggu. Alif ni pun satu! Janji pukul 5.00, sekarang dah pukul 5.30 petang dah. Batang hidung pun tak nampak lagi.
Zahrin diam. Mukanya saja sudah mencuka. Widad tersengih tawar. Tahu sangat adiknya itu mesti tengah tidak puas hati.
“Adik nak pergi sana kejap. Nak tangkap belalang.” Zahrin tunjuk pada pokok pisang di belakang pondok.
“Jangan jauh-jauh dik!” Pesan Widad. Dia mengeluh kecil. Tudung di kepalanya dikemaskan. Dia sendiri mula berasa bosan.
“Wid! Sorry Alif lambat.” Alif sudah duduk di sebelahnya. Tiba-tiba saja muncul.
Terperanjat Widad dibuatnya. Dada diurut seketika. Alif tersengih kecil.
“Kenapa Alif nak jumpa Widad dekat sini? Selalu tu boleh jer datang rumah.” Berkerut dahi Widad merenung Alif.
“Dekat rumah tak sesuai. Ada benda yang Alif nak bincangkan dengan Wid.” Ucap Alif nampak serius.
“apa dia?” hati Widad mula rasa tak sedap. Riak serius di muka Alif pada petang itu mengundang rasa debar di dada. ‘Ada apa sebenarnya?’ hati Widad terus bertanya.
“Kita putus!” Yakin dan bersaja Alif menutur kata.
Widad tersentak. Mata Alif sudah dicari. Lelaki itu nampak tenang saja.
“Apa yang Alif cakap ni? Kita kan dah janji..” Ucap Widad terketar-ketar. Wajah buah hatinya semenjak tingkatan tiga lagi itu ditatap lama. Mata mula berkaca.
“Alif mintak maaf. Tapi Alif rasa buat masa sekarang eloklah kita berkawan biasa saja. Masih jauh perjalanan kita selepas ini Wid.” Ucap Alif seakan langsung tidak berperasaan. Wajah ayu Widad ditatap lama. Entah kenapa kasihnya pada Widad seakan luntur sejak akhir-akhir ini.
Air mata sudah penuh di kolam mata Widad. Tanpa dapat ditahan, tumpah jua setitik demi setitik di pipi mulusnya. Perasaannya terasa sakit. Rasa disiat-siat.
“Wid, tolong jangan menangis.” Laju Alif hapus air mata di pipi Widad. Tapi, air mata tetap juga jatuh tak henti-henti. Mata Widad masih merenung Alif dengan seribu satu rasa.
“Hoi!! Apa kau orang buat dalam kebun ni berdua hah?!!”
Alif dan Widad terpana. Mereka berpandangan sesama sendiri. Muka masing-masing sudah cuak. Pucat tak berdarah.

“MAK.. Widad bersumpah mak.. Widad tak buat apa-apa. Semua ni salah faham! Widad bukan berdua saja dengan Alif. Adik pun ada sama.” Widad sudah teresak. Kaki Mak Piah dipeluk erat.
Mak Piah cuba melarikan kakinya. Lebur rasa hatinya dengan sikap Widad. Sungguh dia tidak menyangka Widad sanggup mencontengkan arang di muka dia. Anak yang selama ini dijaga dan diasuh dengan baik, telah menyonteng arang ke mukanya.
“Kahwinkan saja budak berdua ni Piah!” Dengar suara-suara orang kampung mula menghasut.
“Saya tak mahu kahwin dengan dia!” Alif yang sedari tadi diam membisu mencelah dengan tiba-tiba.
Air mata di pipi Widad makin deras. ‘Ya Allah, apa dah jadi ni?’ Tak sudah-sudah hati Widad merintih.
“ Kenapa kamu tak nak kahwin dengan dia?!” Mata Mak piah juga sudah berkaca. Bila sudah jadi macam ni.. senang-senang saja Alif mahu melepaskan diri.
“Kami tak buat apa-apa! Saya memang tak nak kahwin dengan dia.” Alif tegas. Semua yang berada di situ mula tercengang-cengang. Termasuklah ibu dan ayah Alif sendiri. Pak Imam dan orang kampung juga sudah mula bising. Berbincang sesama sendiri. Riuh seketika suasana di surau Kampung Pinang sebatang pada petang itu.
“Mana boleh! Kamu dah rosakkan nak dara orang! Kamu patut bertanggungjawab.” Imam kampung mula bertegas. Semua yang berada di situ turut bersetuju.
“Apa nak jadi pun jadilah! Saya tak nak nikah dengan dia! Saya tak cintakan dia.” Alif tetap bertegas.
Air mata semakin lebat di pipi Widad. ‘Sampai hati alif buat Widad macam ni.’ Hati Widad meraung kuat. Mata Mak Piah juga sudah basah. Rasa macam nak pecah dadanya menahan rasa.
“Saya akan kahwin dengan dia. Saya sanggup jadi penganti adik saya.” Tiba-tiba Amir, abang kepada Alif yang hanya membisu sedari tadi mencelah.
Widad laju menoleh pada Amir. Mak Piah juga. Dan semua mata orang-orang yang berada di situ juga. Semua nampak terkejut dengan pengakuan Amir. Siapa sangka Ustaz Amir sanggup menjadi pak sanggup, menggantikan tempat adiknya. Amir nampak tenang saja.
“Kalau macam tu eloklah kita selesaikan sekarang juga.” Imam kampung sudah memutus kata. Yang lain juga nampaknya bersetuju.
 Widad sudah longlai. Rasa lumpuh segala tenaganya tika itu. Mimpi buruk apakah ini? Kenapa dia mesti lalui semua ini? Kenapa dia mesti tanggung kesalahan yang dia tidak pernah lakukan? Kenapa tegarnya Alif berbuat begitu kepada dia? Kenapa mesti Amir yang menjadi penggantinya?
Widad menangis dan menangis.
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan