Janji Semalam - Bab 4




BAB 4

CUACA agak baik pada petang itu. Angin juga bertiup sepoi-sepoi bahasa. Widad menjenguk keluar jendela. Dari jendela rumah Widad nampak Mak Piah sedang ralit menyapu daun-daun kering di halaman rumah. Melihat wajah tua itu, tiba-tiba hati Widad disapa pilu. Kenapalah dia bodoh sangat! Kalau bukan kerana kebodohan dia, tentu semua ni tak akan terjadi. Tentu Mak Piah tak malu. Tentu juga dia tak perlu kahwin dengan Ustaz Amir. Argh! Semuanya sudah terlambat.
Widad kedip mata kuat-kuat. Tak nak air mata yang sudah bergenang di kolam matanya itu gugur lagi. Cukuplah dia menangis malam tadi. Tak kuasa dah dia nak menangis lagi. Kalau dia menangis air mata darah sekalipun, masa tetap tak boleh diundur. Kalau dia ada kuasa macam Doraemon tu, mahunya dia undur masa. Dia tak nak semua ni berlaku. Yang penting, dia tak nak kahwin dengan Ustaz Amir.
Ustaz Amir! Sepantas kilat pula mata Widad berlari pada imej Amir yang sedang duduk di pangkin kayu di halaman rumah sambil melayan Zahrin bermain catur. Nampaknya Amir sudah berjaya menambat hati adiknya itu. Zahrin bukan senang nak mesra dengan orang. Dengan Alif yang bertahun-tahun kenal itu pun dia buat endah tak endah saja. Tapi, dengan Amir ni boleh pula dia terima. Siap bergelak ketawa lagi. Pelik Widad! Agaknya Amir ada pakai ilmu guna-guna tak?
Nafas dihela panjang. Entah kenapa semenjak dia bergelar isteri kepada Amir, nafasnya bagaikan sukar benar untuk diatur. Rasa tersekat dan tersumbat saluran pernafasannya. Rasa macam dah tak cukup dah oksigen dekat atas muka bumi ni.
Mata Widad terus menyorot bayang Amir. Dalam diam dia mengakui ketampanan yang di miliki oleh ustaz muda itu. Tak adalah muda sangat sebenarnya! Amir sepuluh tahun lebih tua daripada dia. Tapi, kira mudalah juga kan? Sebab Widad sekarang pun baru nak masuk lapan belas tahun. Lapan belas tahun? Hah, itulah sebabnya Widad mati-matian tak boleh nak terima Amir sebagai suami. Dalam mimpi pun Widad tak pernah terfikir nak kahwin awal. Inikan pula dalam dunia nyata! Masih banyak perkara yang Widad nak kejar. Lagipun, hati Widad ni hanya milik Alif sorang. Bukan sekejap dia bercinta dengan Alif. Dari tingkatan tiga tu..
Macam-macam janji dah mereka buat! Macam mana Widad nak lupakan Alif macam tu saja. Selama ini Aliflah yang menjadi penyuntik semangat untuk dia berjaya. Dia dah janji dengan Alif nak masuk universiti sama-sama. Bila habis saja belajar dan dapat kerja nanti, mereka terus nak kahwin. Tapi sekarang?
Widad mengeluh kecil. Kepala disandarkan pada jendela. Pandangan terus menyorot tepat pada Amir. ‘Kenapalah kau nak kahwin dengan aku? Aku tak nak kau! Macam mana aku nak sayangkan kau? Nak cintakan kau? Dalam hati aku ni, ada Alif sorang saja. Setiap kali aku tengok kau, hati aku ni mesti teringatkan Alif.. Kau patut kahwin dengan perempauan yang cintakan kau. Yang mampu sayangkan kau! Hmmm, Amir.. Kau baik sangat! Tapi, hati aku ni yang jahat!’ Widad terus bermain dengan perasaan sendiri.
Dub!!
Tiba-tiba Widad rasa jantungnya macam sudah jatuh tergolek. Dari pangkin kayu di halaman rumah, dia nampak Amir sedang merenung tepat padanya. Sebuah renungan tajam yang bisa membuatkan hatinya bergetaran. Wajah Amir macam selalu, tetap nampak tenang. Yang nanarnya sekarang adalah Widad. Mata mereka terus bersatu, lama begitu. Widad rasa seolah matanya sudah melekat pada Amir. Sikit pun tak boleh nak alih. Terpaku dan terkedu.
Tiba-tiba Amir ukir senyum. ‘Ya Allah! Handsomenya.’ Hati Widad menjerit kuat. Kalut ribut Widad jadinya. Dada makin berdebar-debar. Laju saja dia menutup jendela, bersandar pada jendela yang sudah tertutup rapat sambil tangannya memegang dada. Rasa nak pecah dada Widad tika itu. Kenapalah Amir suka sangat senyum macam tu. Lama-lama boleh mati kering Widad.

AMIR tergelak kecil. Dalam kepalanya sudah boleh membayangkan keadaan Widad tika itu. Mesti pipi Widad merah menyala sekarang ni kerana malu.
“Abang kenapa ketawa?” tanya Zahrin. Pelik pula dia tengok Amir tiba-tiba saja ketawa. Matanya menyorot tepat pada muka Amir. Kening sudah bertangkup dua.
“Err.. Emm, tak ada apalah! Cepat jalan. Giliran Zahrin pulak!” Jawap Amir. Masih ada lagi sisa senyum di bibirnya.
“Abang ni peliklah!” Zahrin garu kepala. Tangannya laju saja mengatur buah catur.
“Mak! Widad nak keluar sekejap.”
Telinga Amir tiba-tiba menangkap dengar suara Widad. Laju dia palingkan muka ke arah Mak Piah yang sedang duduk bertinggung di hadapan longgokan daun kering. Dia nampak ada sekotak mancis di tangan Mak Piah. Mungkin Mak Piah nak hidupkan api untuk bakar daun-daun yang kering tu.
Amir tengok Widad sudah berdiri di samping Mak Piah, siap bertudung litup. Kecil mata Amir menyorot batang tubuh Widad. Dalam hati mula tertanya-tanya, ‘Nak pergi mana pulak tu?’
Tangan Mak Piah yang baru saja mahu menggesek batang mancis itu terhenti. Sepantas kilat dia mendongakkan kepalanya, merenung tajam pada Widad. Air muka Mak Piah juga sudah berubah. ‘Ah, sudah! Kenapa mak tiba-tiba saja bertukar rupa jadi rimau jantan ni?’ Widad telan liur.
“Nak pergi mana?!” Tanya Mak Piah sedikit keras. Dia sudah bangun, berdiri betul-betul di hadapan Widad.
Widad garu kepala. Sampai senget-senget tudung bawal yang dipakainya. Air liur tiba-tiba saja rasa penuh di kerongkong. Berkali-kali Widad telan. Tapi rasa macam tak habis-habis lagi. ‘Alamak! Matilah aku.. Sure kena sembur depan abang ustaz ni.’ Getus hati kecil Widad.
“Err, nak pergi jumpa Yaya mak.” Jawap Widad perlahan. Mukanya tunduk merenung tanah. Sumpah! Tak berani langsung nak bertentang mata dengan Mak Piah. Macam ada saka dalam mata emaknya itu.
“Ish, budak bertuah ni! Kau tak malu ker pada orang kampung? Dah kena tangkap basah, boleh pulak nak berjalan satu kampung tayang muka!” Bentak Mak Piah sedikit keras. Mukanya sudah mencuka.
Widad diam. ‘Kenapalah mak nak ungkit lagi benda yang dah lepas? Kalau berkurung saja dalam rumah ni pun. Bukan boleh tutup mulut orang kampung. Mereka tetap juga bercakap, bergosip dan bercerita.’ Gumam Widad dalam hati. Nak jawap macam tu dengan Mak Piah? Memang tempah mautlah jawapnya.
 Mata Widad sempat juga menjeling pada Amir yang berada di atas pangkin kayu tidak berapa jauh daripada dia dan Mak Piah berdiri. Tu dia! Mata Amir pun tidak lepas daripada merenung Widad. Terus dada Widad sesak kembali. ‘Adeh!! Boleh mati sesak nafas aku kalau hari-hari macam ni!’ Tak habis-habis hati Widad bersunggut. Cepat-cepat dia melarikan anak matanya. Memang dia kalah dengan panahan mata Amir itu.
“Allah, Mak! Kalau kita duduk berkurung dalam rumah pun, dia orang mengata jugak. Malaslah orang nak fikir. Banyak lagi benda lain yang boleh orang buat.” Selamba Widad membalas. Dia nampak muka Mak Piah terus berubah. Lagi ganas daripada singa lapar. Tengok gaya tu macam nak terkam Widad saat tu juga. Dan-dan tu juga Widad telan liur.
“Itulah! Kalau mak cakap kau menjawap.. Kalau nak keluar jugak, pergi mintak izin dengan tu.. laki kau tu. Mak malas dah nak layan kau!” Panjang muncung Mak Piah menghala ke arah Amir. Mancis di tangan digesek lalu Mak Piah mencucuh api pada longgokan daun kering tadi. Berkepul-kepul asap memenuhi ruang udara. Dia kemudiannya berlalu ke rumah meninggalkan Widad yang masih terkebil-kebil di situ.
Widad garu kepala lagi. Lambat-lambat dia menoleh pada Amir yang berada tidak jauh daripada situ. Dia yakin Amir sudahpun dengar semua perbualan di antara dia dan Mak Piah tadi. Tak semena-mena mata mereka bertembung. Rasa nak pecah dada Widad.
Amir masih nampak tenang. Matanya masih merenung Widad sambil sebelah keningnya diangkat tinggi seolah bertanya, ‘ada apa?’.
Widad senyum. Tapi kenapa dia rasa senyuman dia tu macam sumbang saja. ‘Nak kena mintak izin ker? Alamak! Lecehlah macam ni..’ Kali ini pipi yang tidak gatal pula digaru.
“Adik!”
Panggil Widad sedikit kuat. Jarinya sudah bermain dengan hujung tudung. Pandangan Amir yang masih tepat pada mukanya itu dibuat nampak tak nampak saja. Walaupun dalam hati bergetar hebat, tapi sedayanya dia cuba berlagak tenang.
“Apa?!” Jawap Zahrin acuh tak acuh. Matanya masih ralit melihat buah catur.
“Adik tolong bagitahu abang ustaz tu, akak nak keluar jumpa kawan sekejap.” Laung Widad.
“Hah?” Terpinga-pinga Zahrin. Dahinya naik berkerut. Sekejap dia pandang muka Amir, kemudian beralih pula pada Widad.
Widad nampak Amir sudah turun dari pangkin, menapak dengan tenang ke arahnya. Zahrin pula masih terkebil-kebil di atas pangkin kayu. Sikitpun dia tidak faham drama apa yang sedang ditonton olehnya sekarang.
“Awak nak ke mana ni?” Tanya Amir lembut bersama renungan mata yang redup, menikam tepat ke dalam anak mata Widad. Tidak cukup dengan itu, terus menusuk tajam ke dalam jantung Widad. Rasa bergegar terus jantung Widad.
“Err, emm.. nak pergi jumpa kawan. Kejap jer erk! Saya janji balik cepat. Pergi dulu yer..” Laju Widad berjalan meninggalkan Amir. Dia tahu kalau dia tunggu lama lagi, mesti Amir tak bagi dia pergi. Dia nak sangat berjumpa dengan Yaya. Dia msesti jumpa juga dengan Yaya. Tak sanggup dah rasanya dia nak pendam perasaan ni sorang-sorang.
Amir menyorot bayang Widad yang makin menghilang. Entah kenapa perasaan curiga tiba-tiba datang menyapa hati lelakinya. ‘Jangan-janga Widad nak pergi jumpa dengan Alif tak?’ Hati Amir mula berbisik sesuatu. Lama dia berdiri kaku di situ.
“Astarghfirullah hal azim.. Kenapa aku boleh fikir yang bukan-bukan ni!” Amir beristighfar panjang setelah menyedari kesilapan dirinya.

“AKU ingat kau tak datang! Lama aku tunggu kau, tau tak?” Bentak Yaya. Muncungnya sudah panjang sedepa. Mana tidaknya, dah hampir setengah jam dia terconggok kat tepi sungai berbatu itu. Dah macam tunggul kayu.
Sorrylah weh! Kau macam tak tahu mulut mak aku tu.. Kalau aku nak keluar banyak saja kaji selidiknya. Tambah pulak ada sorang lagi FBI baru kat rumah aku tu. Lagilah payah!” Widad duduk di sebelah Yaya. Tangannya laju mencapai ranting kayu dan dikuis rumput di hujung kaki. Pandangannya dilempar jauh ketengah sungai. Air sungai yang nampak jernih itu mengalir deras ke hulu.
“Widad! Kau okey ker ni?” Yaya renung muka Widad dalam-dalam. Hilang sudah rajuknya tadi bila terpandangkan wajah keruh milik Widad. Dia tahu Widad pasti tertekan dengan apa yang telah terjadi.
“Hmm, tipulah kalau aku cakap aku okey. Kau tahu Yaya, aku rasa macam nak jerit kuat-kuat.. Tapi aku tak mampu! Kalaulah aku boleh putar masa..” Kata-kata Widad mati di situ. Matanya mula berkaca. Bisikan-bisikan orang kampung yang mengata dia sepanjang di perjalanan dia ke sungai tadi kembali menerjah ke cuping telinganya. Pedih!
Jika diikutkan kata hati mudanya, mahu saja dia menjawap mulut-mulut orang kampung itu. Tapi, akal warasnya masih lagi mampu berfungsi dengan baik pada petang itu. Kalau dia jawap pun, isu ni tidak akan lenyap di situ saja. Paling tidak, dia semakin dikutuk.
Widad mengeluh kecil.
“Aku pun pelik sebenarnya. Apa kau dengan Alif buat, duduk berduan dalam kebun pisang yang sunyi tu?” Muka Widad masih tidak lepas dari pandangan matanya.
Laju Widad menoleh. Mukanya nampak marah.
“Sekarang kau pun samalah macam orang kampung?! Kau pun tak percayakan aku?”
“ Err, bukanlah macam tu!” Tergagap-gagap Yaya. Muka Widad tidak lagi direnung. Takut nak pandang muka Widad yang sudah bertukar rupa itu.
Lama mereka diam. Angin petang terus berhembus lembut. Masing-masing seolah hilang kata.
“Dahlah! Aku nak balik.” Akhirnya Widad bersuara perlahan. Dia bingkas berdiri. Wajah yang tadinya nampak marah kini sudah kembali redup. Kecewa sebenarnya dengan Yaya. Widad ingat Yaya faham dia. Rupanya Yaya pun sama saja dengan orang kampung. Tak habis-habis nak tuduh dia. Rasanya tak guna lagi dia berada di situ.
“Nantilah dulu! Aku mintak maaf okey?” Tangan Widad dicapai laju oleh Yaya. Terus langkah Widad mati.
“Hmm.. Kau tak salah pun. Betullah tu! Kalau aku jadi kau pun, aku akan tertanya-tanya jugak! Dahlah, aku tak salahkan kau. Aku memang nak balik. Nanti mak aku bising.” Widad cuba untuk senyum. Tapi senyuman Widad nampak kelat sangat.
“Widad! Suami kau okey?” Tanya Yaya perlahan. Bimbang juga kalau-kalau pertannyaan dia pada kali ini mengundang amarah Widad sekali lagi.
Yaya nampak Widad senyum. Tapi sepatah pun dia tak jawap. Bahu Yaya ditepuk perlahan.
“Aku balik dulu.” Widad terus berlalu meninggalkan Yaya yang nampak terpinga-pinga di situ.
“Apa kena dengan Widad ni? Sekejap angin monsun sekejap musim bunga?” Tangan Yaya sudah naik menggaru kepala sendiri. Bayang Widad makin menjauh.

BUKAN main kuat lagi Widad ketawa. Majalah Ujang masih lagi dibelek dengan penuh minat. Sekejap dia meniarap, sekejap pula di terlentang di atas katil. Macam-macam gaya dah Widad buat tanpa dia sedar. Kalau dapat majalah tu, Widad memang tak ingat apa dah. Kalau remaja lain yang sebaya dengan dia suka baca novel kisah-kisah cinta, tapi Widad pula minat baca komik.
“Isteri orang tak elok ketawa macam tu?”
Hampir terloncat dia dari katil. Sepantas kilat dia bangun, terus betulkan baju dan kain batiknya yang sedikit terselak menampakkan betis putih gebunya. Mata Widad bulat merenung Amir yang sedang bersandar tubuh pada pintu bilik sambil kedua tangannya memeluk tubuh. Lain macam benar renungan Amir pada Widad malam itu.
“Awak buat apa dekat sini?!” Bentak Widad sikit kasar. Sakit rasa hatinya melihat Amir berdiri tenang di situ. Semenjak Amir muncul, hidup Widad jadi kelam-kabut. Ketenangannya bagaikan terus lenyap.
Amir diam. Pertanyaan Widad tidak dijawap. Tapi mata dia saja yang tidak sudah-sudah merenung Widad. Mukanya yang tenang tadi mula nampak tengang.
Widad telan liur. Dalam hati mula resah. ‘Apa kena dengan abang ustaz ni? Lain macam pulak malam ni! Tak pernah-pernah pulak muka dia serius macam tu.’ Tak sudah-sudah hati Widad berbisik. Pandangan tajam Amir cuba ditentang lama. Namun, akhirnya dia kalah.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?” Hampir tidak keluar suara Widad. Mukanya tunduk merenung katil. Sungguh, dia kalah dengan renungan Amir.
“Pergi mana petang tadi?”
Tersentak Widad. Suara Amir betul-betul di cuping telinganya. Laju Widad berpaling. Terus mukanya terasa panas. Seinci saja lagi muka mereka nak bertemu. Jantung Widad rasa terus gugur. Dia mengengsot sedikit kebelakang, cuba menjarakkan kedudukannya dengan Amir. Kalau terus rapat macam tu, boleh kering Widad dekat situ.
Widad nampak Amir senyum senget.
“Kenapa senyum macam tu?” Tanya Widad tidak puas hati.
“Pergi mana tadi?” Soal Amir lagi.
Widad tarik nafas dalam-dalam. ‘Ish, benci! Dia ingat aku ni anak murid dia ker nak tekan-tekan macam tu!’
“Jumpa kawan.”
“Siapa?”
“Kenapa nak tahu? Bukan urusan awak pun!” Jawap Widad angkuh. Senyuman sumbing sudah bermain di bibirnya.
“Puan Widad! You are my wife. Suka ataupun tak, kita dah sah nikah. Saya berhak tahu awak keluar pergi mana, jumpa siapa..” Lembut suara Amir, tapi tegas saja nadanya.
Widad terkedu. Kata-kata Amir itu terus mematikan senyuman di bibirnya. Mata mereka bertembung lama. Masing-masing diam tak berkata. Cuma mata mereka yang saling berbicara, cuba menafsirkan rasa di jiwa.
“Awak, perkahwinan kita ni tak akan ke mana. Hati kita masing-masing akan terluka. Saya bukan perempuan yang baik Amir.. Untuk panggil awak dengan panggilan abang pun saya tak mampu, apatah lagi untuk menjadi seorang isteri yang baik untuk awak. Saya tak boleh paksa hati saya Amir.. Belum terlambat untuk kita ubah segalanya. ” Perlahan dan lemah tutur Widad. Mata mula berkaca.
Amir diam lagi. Tipulah kalau dia cakap hati dia tak terluka. Pedih sekali rasanya. Bagaikan luka yang disiram dengan cuka. Berkali-kali dia telan liur. Liur yang ditelan juga dirasakan pahit. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba sedayanya untuk bertenang.
“Hmm, tidurlah! Dah lewat malam ni.” Tak disangka-sangka jawapan itu yang terbit daripada mulut Amir. Mata Widad bulat merenung Amir.
Amir masih nampak tenang. Widad jadi sakit hati melihat ketenangan yang dipamerkan oleh tika Amir itu. ‘Mamat ni tak ada perasaan ker?!’ Bentak hati Widad. Muka Amir direnung tajam.
“Kenapa awak nak mengelak?” Widad masih belum puas hati.
“Dahlah! Kita bincang lain kali yer.. Pergi tidur! Esok awak kena ikut saya balik rumah Umi. Sebelum tidur tidur tu jangan lupa baca doa.” Lembut suara Amir menjamah telinga Widad. Terus hatinya yang tengah panas tadi rasa terpujuk. Muka Amir dipandang tak berkelip.
“Lagi satu, jangan teringatkan lelaki lain ataupun mimpikan lelaki lain.. Berdosa!”
Muka Widad terus berubah menjadi merah. Rasa tersindir dengan kata-kata Amir. Kelu terus lidahnya untuk membalas. Melihat Widad yang masih diam membatu itu Amir terus bersuara,
“Malam ni saya tidur dengan Zahrin.”
Spontan kedua belah bahu Widad dipegang dan ubun-ubun Widad dikucup. Terasa hangat dan membara. Amir kemudian terus berlalu dari bilik Widad tanpa menoleh lagi.
Widad tergamam. Ubun-ubunnya disentuh dengan tangan. Masih terasa hangatnya bibir Amir di situ. Tiba-tiba nalurinya bergetar. Ada rasa yang sukar untuk dia tafsirkan. Tersangat aneh tapi mendamaikan. Mata Widad terus berkaca. Perlahan air mata gugur dari tubir mata. Setitik demi setitik, akhirnya menjadi lebat sehinggakan dia teresak-esak di situ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan