Janji Semalam - Bab 8



BAB 8

WIDAD garu pipi. Seketika kemudian dia menggaru kepala pula. Mata melirik pada jam dinding yang tergantung kemas di ruang tengah rumah. Pukul 10.00 malam. Satu keluhan dilepaskan. Mata melirik lagi pada telefon rumah yang terletak di atas meja kecil di tepi TV.
“Kamu ni kenapa Widad?”
Dahi Mak Piah naik berkerut. Mata yang dari tadinya menyorot tepat pada kaca TV yang terpasang kini beralih pada Widad. Bukan dia tak perasan Widad yang resah dari tadi. Kalah ibu kucing hilang anak.
“Err.. tak ada apa mak! Nyamuk ni haaa..” Widad tersengih kecil. Cuba menutup apa yang sedang bersarang di hati. Mata Mak Piah kembali terarah pada kaca TV. Fuhh.. Widad tarik nafas panjang. Lega rasanya bila emaknya tidak banyak soal.
Kringgg... Kringgg...
Sepantas kilat Widad menerpa ke arah telefon dan mencapai ganggang telefon.
“Hello..” Suara Widad riang.
“Hai, lain macam happy malam ni?” Dahi Widad bertangkup dua.
“Lah, engkau ke Yaya?” Suara Widad kendur. Mati terus senyuman yang menguntum di bibirnya sebentar tadi.
“Yerlah, kau ingat siapa? Kau ada tunggu sesiapa telefon ker?”
“Hmm.. tak adalah! Kau nak apa telefon malam-malam buta ni?” Tanya Widad lemah. Kecewa sebenarnya. Lain yang ditunggu, lain pulak yang muncul.
Mak Piah kerling Widad sekilas. Bibir taunya sudah mengukir senyum. Melihat riak kecewa di wajah Widad, hati tuanya terus dapat meneka.
“Aku tak boleh nak tidurlah. Saja telefon nak borak-borak. Kau dah nak tidur ker?”
“Haa.. aa.. aku dah mengantuklah. Kita sembang esok lah yer.. Assalamualaikum..” Laju Widad letak ganggang telefon. Dia mengeluh kecil.
“Siapa tadi tu?” Tanya Mak Piah dengan senyuman menguntum di bibir sebaik sahaja ganggang telefon diletakkan oleh Widad.
“Yaya..” Jawap Widad lemah. Dia kembali menapak ke kerusi rotan. Duduk di situ dengan perasaan sebal. ‘Hai, Widad! Kenapa kau kecewa sangat ni?’ hati Widad sudah berbisik sendiri.
“ Widad tunggu Amir telefon yer?” Mak Piah serkap jarang.
“Eh, bukanlah mak! Mana ada..” Muka Widad sudah merona merah. Macam mana pulak Mak Piah boleh tahu ni? Kantoi!
“Amir ada telefon tadi.” Bagitahu Mak Piah tanpa ditanya. Muka Widad direnung sekejap.
“Hah, bila mak?” Widad nampak teruja. Matanya bersinar galak.
Senyuman Mak Piah makin melebar. Sekarang dia semakin yakin dengan kata hatinya. Widad memang tunggu Amir. Rindukah Widad?
“Tadi.. Masa kamu tengah mandi. Dia ada tinggalkan nombor telefon dia. Mak ada tulis dekat buku kecik atas meja telefon tu.” Mulut Mak Piah sudah memuncung ke situ.
Widad diam. Dalam hati bermacam rasa sudah mula bersarang di jiwa.
“Telefonlah kalau nak bercakap dengan dia.. Mak nak masuk tidur dulu!” Mak Piah terus bangun. Bahu Widad disentuh lembut sebelum dia berlalu ke biliknya.
Widad garu kepala lagi sekali. Bayang Mak Piah sudah menghilang. Pandangan Widad jatuh lama pada telefon rumah. ‘Nak telefon ker tak?’ hati Widad berbisik lagi.
Dia berjalan ke arah telefon. Buku kecik di atas meja telefon diambil. Belek-belek, Widad nampak nama Amir tercatat kemas di situ bersama nombor telefonnya sekali. Dub! Tiba-tiba saja jantung Widad rasa seperti diketuk. ‘Aduh! Kenapa rasa macam nak gugur aje jantung ni?!’ Widad resah sendiri.
Baru saja tangan nak menekan nombor, niat itu kembali dibatalkan. Lama pulak Widad berdiri di situ. Sudahnya, dia kembali semula ke kerusi rotan. Duduk termenung di situ.
Fikiran Widad terus melayang jauh, teringatkan abang ustaznya. Redup mata Amir, hidung mancung Amir, bibir merah Amir yang sentiasa mengukir senyum.. bicara Amir yang lembut sehingga menusuk terus ke tangkai hati.. dan yang paling penting, janggut sejemput di dagu Amir yang begitu memikat hati Widad. Sungguh! Nafas Widad semput sekarang. Oksigen! Oksigen!
“Argghh!! Kenapa rasa macam ni?! Tak sukalah...”
Widad sudah menggelupur di situ. Kaki dihentak-hentak ke lantai. Ini, kalau Mak Piah tengok.. mahunya Widad kena sebat dengan penyapu lidi saat itu juga.

AMIR menguap beberapa kali. Lehernya dilentuk ke kiri dan ke kanan bagi menghilangkan rasa lenguh. Tangan masih lagi ligat menari di atas papan kekunci. Mata menyorot tepat pada skrin komputer ribanya. Nak tak nak, dia kena siapkan juga laporan pencapaian pelajar kelasnya untuk mesyuarat esok.
Mata melirik sejenak pada jam kecil berbentuk gitar di atas meja kerjanya. Hampir-hampir ke pukul 12.00 malam. Patutlah matanya terasa berat saja. Tumpuan difokuskan semula pada skrin komputer di hadapannya.
Tiba-tiba tumpuannya terganggu oleh deringan telefon bimbitnya. Amir terjeda seketika. ‘Siapa yang telefon malam-malam buta ni? Tak kan Umi kut! Ada kecemasan ker?’ Dahi Amir berkerut. Selain daripada Hajjah Kalsom, cuma Hana saja yang rajin menelefonnya. Tapi, tak pernah pula Hana telefon dia pada waktu-waktu macam ni.
Telefon yang berada di hujung meja masih menjerit nyaring. Lambat-lambat Amir capai telefon. Bila saja matanya tertancap tepat pada skrin telefon Lenovo A80i miliknya, terus mata Amir terbuka luas. Rasa macam tak percaya!
“Assalamualaikum..”
Ceria saja suaranya. Terus hilang rasa kantuknya sebentar tadi. Mata jadi segar bugar. Senyuman jangan ceritalah! Lebar sampai ke telinga.
“Err.. Err.. Waalaikummussalam.” Tergagap-gagap pula si pemanggil menjawap. Hati Amir rasa kembang semangkuk. Terus terbayang muka comel si pemanggil. Mesti merah-merah pipinya menahan malu.
“Sayang kenapa tak tidur lagi ni? Dah lewat ni!” Lembut Amir bertanya. Padahal suka sangat Widad telefon dia. Kalau boleh rasa nak melompat dekat situ juga. Rindunya pada Widad tiada batasan waktu. Setiap saat dan ketika. Rindu sangat-sangat.
“Err...”
Widad mati kata. ‘Adeh! Nak jawap apa ni? Tak kan aku nak cakap aku tak boleh nak tidur sebab teringatkan dia. Itu memalukan diri sendiri namanya.
“ Rindukan abang yer?” Amir kulum senyum.
“Ish, mana ada!”
“ Habis tu, telefon abang lewat malam macam ni kenapa? Ker, ehemm..”  
“Ker apa?! Awak jangan macam-macam erk! Jangan nak bukak cerita 18sx.. Saya bawah umur lagi!” Laju Widad memintas. Muka sudah merona merah.
Ketawa Amir sudah pecah. Dia boleh bayangkan wajah Widad sekarang ni. Mesti pipi Widad merah macam dicalit pemerah pipi.
“Abang tak cakap apa-apa pun! Sekarang siapa yang fikir? Abang ataupun Widad?” Amir bertanya lembut. Saja mahu mengusik Widad.
“Err..”
Widad terkedu! ‘Aduh! Apa kau merepek ni Widad?’ Tangan naik menepuk dahi sendiri. Malunya pada Amir bertimpa-timpa.
“Jangan tepuk kuat sangat dahi tu sayang.. Nanti kalau kemek, abang jugak yang susah. Dah tak lawa isteri abang ni.” Amir bergurau.
“Aik, mana awak tahu ni?” Widad tersengih sendiri. Kuat betul gerak hati abang ustaz sorang ni.
“ Widad.. Tahu tak yang sekarang ni Widad berada di tempat yang ke tiga dalam hati abang? Jadi, setiap gerak geri Widad abang boleh rasa. Sebab abang sayangkan Widad, ikhlas kerana Allah..”
Lembut Amir bertutur. Tapi Widad, tiba-tiba saja terdiam. Rasa kecewa! ‘Kenapa tempat ke tiga? Dia ada orang lain ker?’ Hati dah mula berbisik yang bukan-bukan. Menjadi racun dalam diam.
“Kenapa diam ni?”
“Siapa tempat pertama dan ke dua tu? Hana ker?” Entah kenapa Widad boleh rasa cemburu dengan perempuan bernama Hana itu.
“ Hana?” 
Ada riak terkejut dalam suara Amir. Dalam hati tertanya-tanya dari mana Widad mendapat tahu tentang Hana. Seketika kemudian dia ketawa kecil. Cuba sembunyikan perasaan terkejutnya.
“Sayang, dengar sini! Tempat paling tinggi dalam hati abang adalah DIA.. Tuhan yang menciptakan kita. Memang kita wajib letakkan cinta DIA di tempat yang paling tinggi dalam hati kita. Abang harap sayang pun macam tu juga. Tempat kedua adalah Umi dan Abah. Sayang tahukan, anak lelaki mesti dahulukan ibu dan bapanya walaupun dia sudah berkahwin. Tapi perempuan, kena dahulukan suami. Abang harap sangat dalam hati sayang sekarang tak ada lelaki lain selain abang. Abang tak nak sayang berdosa. Abang sayang Widad sangat-sangat! Dan tempat ke tiga tu sayang dah tahu siapa kan?”
Mata Widad berkaca. Rasa macam nak menangis saat itu juga. Sungguh, bicara lembut Amir tadi sampai terus ke jantung hatinya. ‘Ya Allah, baiknya lelaki ini.. Mampukah aku?’ Air mata jatuh perlahan di pipi Widad.
Lama mereka diam, melayan perasaan sendiri. Baik Widad mahupun Amir bagaikan hilang kata-kata.
“Emm, Hana?” Sekali lagi nama itu terbit dari mulut Widad. Hati bagaikan meronta-ronta ingin tahu.
“Hmm, kita cakap lain kali boleh tak sayang? Dah lewat malam ni.. Abang pun nak kena siapakan laporan untuk mesyuarat esok. Sayang tidur dulu yer.. Jangan fikir yang bukan-bukan.” Pujuk Amir lembut.
“Hmm..” Widad lemah. Perasaan curiga mula bermukim di hati. Tak puas hati dengan jawapan Amir.
“Jangan lupa baca doa sebelum tidur. Lagi elok kalau sembahyang sunat dulu. Alang-alang belum tidur lagi ni, eloklah buatkan.. Tak payah nak bangun lagi lepas ni. Sayang jaga diri tau! Assalamualaikum..” Sempat lagi Amir menitip pesan.
“Waalaikummussalam.”

WIDAD pandang lama pada ganggang telefon yang masih tergenggam kemas di tangannya. Tanpa sedar dia mengeluh kecil. Kenapa Amir nak berahsia dengan dia? Siapa Hana tu? Makin menjadi-jadi hati Widad meracun fikirannya.
Ganggang telefon kembali ditelakkan ke tempat asalnya. Dia masih kaku di situ. Suara burung tukang kedengaran bersahut-sahutan di luar sana, sedikit sebanyak buat perut Widad jadi kecut.
Kringgg!! Kringg!!
Hampir terloncat Widad dekat situ dek terlampau terkejut. Mata pandang lurus pada telefon yang berbunyi nyaring. Dahi dah mula berkerut-kerut.
“Siapa pulak ni? Tak kan Amir kut!”
Ganggang diangkat laju. Bimbang kalau-kalau Mak Piah terjaga jika dibiarkan berbunyi lama.
“Hello?” Suara Widad tegang. Entah kenapa dada rasa berdebar-debar.
“ Wid, dah tidur ker?” Dahi Widad makin berkerut. Tangan naik menekup mulut. Debaran di dada makin menggila. Kenapa? Kenapa macam ni?
“Wid, maaf telefon waktu macam ni.. But, I’m really miss you..” Mata Widad berkaca. Sesaat air mata melaju di tubir mata.
“Alif?”
Lutut Widad rasa lemah. Air mata merembes laju tanpa dipinta-pinta. Perasaan mula bercelaru. Kenapa mesti macam ni? Sungguh! Widad tak kuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan