Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta- bab 13



BAB 13

PERLAHAN Qaseh menanggalkan telekung sembahyangnya usai menunaikan solat isyak. Solat maghrib yang tertinggal tadi juga turut diqa’da. Dia masih lagi duduk bersimpuh di atas sejadah, termenung panjang. Serabut sebenarnya memikirkan tentang perjalanan hidupnya yang seperti kucar-kacir sejak akhir-akhir ini.
Keluhan demi keluhan dilepaskan oleh Qaseh. Terasa begitu sesak perasaannya kala itu. Seketika kemudian, ‘Astaghfirullah hal azim..ampunkan aku Ya Allah kerana sentiasa mengeluh dengan takdir-MU..’ Qaseh beristighfar panjang setelah menyedari dia sudah terlalu banyak mengeluh. Cepat-cepat dia melipat telekung dan sejadah yang digunakan sebentar tadi, lalu di sagkut pada penyidai kayu.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari luar. Harith mucul di situ, kemudian menapak masuk ke dalam bilik dan terus duduk di birai katil. Wajahnya tampak tenang saja, merenung lembut pada Qaseh yang berdiri di tepi penyidai kayu. Lama pandangannya di situ sehingga membuatkan Qaseh menjadi resah.
“Kenapa pandang saya macamtu?” Spontan pertanyaan itu terpancul dari mulut Qaseh. Harith tersentak! Cepat-cepat dia beralih pandang ke arah lain.
“Bila masa pulak aku pandang kau? Aku pandang penyidai kain tu..” Selamba saja Harith menjawap cuba mengawal emosi. Qaseh mencebik. ‘Eleh, dah tengok orang macam nak tanggal biji mata pun boleh lagi tak mengaku..Menyampah!!’
“Emm, kau mari duduk sini jap!” Panggil Harith sambil menepuk birai katil di sebelahnya.
“Nak buat apa?” Tanya Qaseh macam orang bodoh. Dahinya sudah berkerut seribu. Tak pernah-pernah pula Harith macam tu sebelum ni.
“Nak ajak main guli! Banyak cakap kau ni kan? Aku panggil tu datang jerlah!!” Harith sudah mula naik angin. Geram pula dia melihat Qaseh yang seakan kurang senang dengan permintaannya itu. Qaseh masih lagi membatu, masih berkira-kira dalam hati.
“Kau dengar tak?!!” Suara Harith sudah sedkit meninggi. Cepat-cepat Qaseh melangkah, terus duduk di sebelah Harith. Jantungnya tika itu jangan ceritalah, dub..dab..dubb..dabbbb..berdegup kencang. Dia hanya tunduk merenung lantai marmar yang berwarna putih di kaki, tidak berani mahu membalas pandangan Harith yang menikam tajam pada wajahnya.
Bau wangi dari tubuh Harith terus menusuk tajam ke dalam rongga hidung Qaseh menyebabkan jantungnya semakin kuat bergetar. Sekilas dia melirik pada Harith yang tampak kacak dalam t-shirt kuning berkolar dari jenama BUM dan berjeans biru pepsi.
Seketika mata mereka bertembung. Qaseh cepat-cepat mengalih pandang. Rasanya tidak betah untuk dia terus berpandangan begitu dengan Harith. Entah kenapa setiap kali pandangan tajam Harith jatuh menikam tepat ke dalam anak matanya, setiap kali itulah juga jantungnya bergetar hebat.
“Qaseh, jom pindah!” Akhirnya suara Harith bergema lembut di cuping telinganya. Entah kenapa Harith begitu baik dengannya pada malam itu. Tuturnya lembut sahaja menjamah telinga Qaseh. Dalam diam Qaseh berasa senang.
“Pindah? Maksudnya?” Tanya Qaseh dengan muka berkerut.
“Macam ni, kau pujuklah tok ayah..Kita pindah dari sini..” Harith begitu bersungguh. Dia tahu tok ayahnya tidak akan membantah setiap permintaan Qaseh. Baru sekejap tadi dia mengutarakan hasratnya kepada Tan Sri Musa. Ternyata tok ayahnya membantah keras.
“Habis tu kita nak duduk mana? Kenapa nak pindah?” Qaseh masih kebingungan.
“Isteriku yang cantik dan lembab..Dengar sini yer sayang... Kalau kita pindah, kita dah tak payah nak berlakon macam sekarang! Kau akan ada bilik sendiri dan aku akan ada bilik aku sendiri. So, tak payahlah kau nak menyorok-nyorok masa nak tukar baju.. Dan aku pulak, tak payah nak kena tidur atas lantai lagi..Faham?” Harith bersuara lembut sekali sambil memegang kedua belah pipi Qaseh dengan tangannya. Mata mereka masih merenung antara satu sama lain. Glup!! Masing-masing menelan liur. Ada rasa yang bergetar di hati mereka yang sukar untuk ditafsirkan saat itu.
“Ooo..Okey!” Hanya itu saja yang mampu terbit dari bibir mulut Qaseh saat itu. Perasaannya menjadi sesak, sesak dengan renungan mata Harith yang terasa terus menikam ke lubuk hatinya. Dalam diam Qaseh mula mengagumi Harith. Walaupun mulut Harith boleh tahan bisanya, tetapi dia seorang yang prihatin. Buktinya, sampai sekarang dia masih lagi tidur di lantai dan sanggup melepaskan tilam empuknya kepada Qaseh. Alasannya, takut nanti Qaseh jatuh sakit, dia juga yang susah nak bersoaljawab dengan tok ayahnya. Terbit juga perasaan kesian Qaseh terhadap Harith.
Harith juga sama! Entah kenapa lain benar perasaannya pada Qaseh sejak akhir-akhir ini. Setiap kali mereka berpandangan pasti jantungnya memecut laju. Harith sendiri keliru! Jangan-jangan dia sudah tersuka pada Qaseh tak?

ANGIN malam terus berpuput lembut, menyapa mesra wajah Aamar yang termenung jauh di serambi rumah Tok Daud. Deru ombak yang menyapa pantai sayup-sayup kedengaran di telinga bercampur dengan suara cengkerik yang bernyanyi riang, begitu mendamaikan jiwa sesiapapun yang mendengarnya. Tapi sayang! Tidak bagi Aamar. Perasaannya begitu bercelaru saat itu.
Dari dalam rumah kedengaran Tok Daud batuk-batuk kecil. Aamar menoleh sekilas. Selepas memasang telinga beberapa saat, batuk Tok Daud tidak kedengaran lagi. Mungkin dia sudah terlena semula. Aamar menarik nafas lega.
 Tok Daud kurang sihat dalam sehari dua ini. Kerana itulah Aamar bermalam di rumah Tok Daud pada malam itu. Bimbang pula dia mahu membiarkan Tok Daud bersendirian. Comot juga sudah lama lena di atas ribannya. Perlahan dia mengusap kepala Comot, dan Comot semakin mengemaskan lentoknya. Aamar tersenyum sendiri. Segera wajah Qaseh menerpa di ruang mata. Apalah yang sedang dilakukan oleh Qaseh saat ini agaknya? ‘Ahh!! Tentu-tentunya dia sudah tidur sekarang. Hmm, Aamar.. Sudah tiba masanya untuk kau hapuskan semua perasaan itu! Tapi, mampukah aku?’ Aamar terus bermain dengan perasaannya sendiri. Seketika dia menyepak rambutnya kebelakang.
Angin terus berpuput lembut, masih belum jemu menjamah wajahnya. Malam yang suram tanpa sebutir bintang pun di dada langit. Bulan juga seakan menyepikan diri pada malam itu. Segala-galanya suram, sesuram hati dan perasaannya kala itu. Satu keluhan kecil dilepaskan oleh Aamar, cuba menghilangkan sesak di dada. Butir bicara emaknya pada lewat petang tadi kembali menerjah ke gegendang telinganya seperti perakam suara.
“Am..Sampai bila kau nak hidup macam ni nak? Yang lepas biarlah lepas.. Qaseh tu dah hidup bahagia dah! Yang mak risaukan sekarang adalah Am.. Sampai bila Am nak ikutkan rasa kecewa di hati tu?”
“Apa yang mak cakap ni? Am okeylah mak! Mak jangan fikir yang bukan-bukan yer..”
“Hmm..Dengan orang lain kau boleh tipu Aamar. Tapi, ini mak! Mak yang beranakkan kamu, mak tahu sangat apa yang ada dalam hati kamu tu.. Kamu masih mengharap kan? Kalau tidak, masakan kamu sanggup lakukan apa saja untuk si Qaseh tu..Kali ini mak dah tekad! Mak nak pinangkan anak Pak Ayub  untuk kamu..”
Kata-kata terakhir daripada emaknya itulah yang sedang sarat mengganggu perasaan dan emosinya kala ini. Kali ini Mak Esah sudah benar-benar nekad. Dia betul-betul mahu pinangkan Fasha, anak Pak Ayub yang berkerja sebagai guru tadika kemas di kampung mereka itu untuk anak kesayangannya Aamar. Hendak tak hendak Aamar terpaksa juga menurut.
Aamar sedikitpun tidak salahkan emaknya. Dia tahu, tidak ada seoarang ibu pun di dunia ini yang sanggup melihat anaknya menderita. Dia juga tahu, emaknya lakukan semua ini adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Sampai bila dia mahu memendam rasa sakit di jiwa? Tapi, mampukah dia membuang bayangan Qaseh dari hidupnya? Bukan sehari dua dia mengenali Qaseh, bertahun lamanya. Segala cerita suka dan duka Qaseh tersimpan kemas dalam kocek hatinya. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia mula jatuh hati pada sahabat baiknya itu. Yang nyata, saban malam bayangan Qaseh sentiasa mengganggu lenanya.
Mukanya diraup berkali-kali. Malam semakin kelam. Bunyi cengkerik juga semakin nyaring berlagu. Deru ombak yang masih setia memukul pantai, masih juga tidak jemu menjamah halwa telinga. Aamar memeluk tubuh, mula terasa sejuk. Embun jantan juga sudah mula turun menjamah bumi.
“Jom Comot, kita masuk! Hari dah jauh malam ni..”
 Aamar mengangkat Comot lalu mendukungnya terus ke dalam rumah. Suara batuk Tok Daud kedengaran semula, namun tidak lama. Aamar mula merebahkan diri di katil usang milik Qaseh. Comot sudah kembali lena di sisinya. Aamar paksa juga matanya agar tidur, walaupun dia langsung tidak rasa mengantuk.
QASEH terjaga dari lena. Laju saja matanya menangkap pandang pada jam yang tergantung kemas di dinding bilik. Pukul 3.30 pagi. Dia bingkas bangun dan duduk termenung di birai katil. Beberapa kali dia beristighfar panjang. Perasaannya resah. Enatah mengapa malam itu dia termimpikan datuknya. Dalam mimpinya, Tok Daud sedang sakit tenat.
Mata Qaseh mula berkaca dan perlahan mutiara jernih mengalir laju membasahi pipinya tanpa dipaksa. Laju juga tangannya menghapuskan mutiara itu. ‘Kenapa dengan atok? Ya Allah, apakah atok benar-benar sakit?’ Nafas Qaseh sudah mulai sesak. Jika diikutkan hatinya yang sedang resah, mahu saja dia menelefon Aamar saat itu juga. Namun, dia batalkan niatnya apabila memikirkan kemungkinan Aamar sudah lena pada waktu-waktu begini. Sungguh, dia keresahan.
Seketika itu juga, dia menoleh pada Harith yang sedang lena dibuai mimpi. Ada rasa kesian yang terbit di hatinya. Sampai bila Harith akan tidur di situ? Tidur di lantai marmar yang berlapikkan toto itu. Perlahan Qaseh berjalan menghampiri suaminya, lalu diselimutkan Harith supaya tidak kesejukan. Dia kemudiannya terus kebilik air untuk berwuduk. Dia mahu mengadap Yang Maha Berkuasa, mahu mengadu segala keresahan di jiwanya kepada DIA yang Maha mendengar.
Lama Qaseh berteleku di sejadah. Panjang sekali doanya sebentar tadi. Bersungguh dia berdoa, meminta agar Allah sentiasa peliharakan kesejahteraan datuknya. Satu-satunya lelaki yang paling dicintai dan dikasihinya di dunia ini. Tidak lupa juga dia berdoa untuk Aamar dan Mak Esah, yang selalu ada tika susah dan senangnya. Juga buat dirinya agar diberikan kekuatan dan dibukakan pintu hatinya untuk memaafkan ayahnya. Tidak lupa juga meminta petunjuk dari Allah, membimbing dia dalam melayari bahtera perkahwinannya. Walaupun amat payah baginya untuk menerima semua ini, dia tahu dia terpaksa juga terima.
Sungguh! Dia langsung tidak percaya pada cinta manusia. Cinta lelaki yang bergelar suami. Namun dia tahu, hendak tak hendak dia terpaksa juga menerima Harith dalam hidupnya. Selagi Harith sah bergelar suami kepadanya, dia wajib mentaati dan menghormati Harith sebagai seorang suami. Biarlah! Cuma untuk setahun ini saja dia kena bersabar. Kerana mengikut perjanjian mereka, cuma setahun saja mereka perlu berlakon dan pertahankan rumahtangga ini. Selepas cukup tempoh itu mereka akan membawa haluan sendiri, dan dia juga akan bebas dari bebanan ini.

HARITH masih terkebil-kebil dalam cahaya yang samar-samar itu. Matanya masih terpaku lama pada Qaseh yang sedang berteleku di sejadah. Hati Harith tersentuh dengan perlakuan Qaseh sebentar tadi. Saat Qaseh datang menyelimuti tubuhnya sebentar tadi, dia sedar sebenarnya. Entah perasaan apa yang bertandang saat itu, harith sendiri tidak dapat menafsirkannya. Apa yang dia tahu, dia berasa senang dan tenang. Dan melihat Qaseh menangis teresak-esak di sejadah membuatkan hatinya tiba-tiba berasa sayu. Rasa malunya pada Qaseh mula menggunung. Sudah begitu lama rasanya dia tidak tunduk dan sujud pada Penciptanya. Begitu sombongnya dia selama ini. Dia langsung tidak tahu bersyukur.
 Kata-kata Rizal pada petang tadi kembali menerjah  ke dalam ruang ingatannya, membuatkan perasaannya jadi berkecamuk. ‘Beruntungkah aku mempunyai seoarang isteri seperti dia?’ Tanpa sedar hatinya bertanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan