Ku Singkap Pelangi Senja


 
BAB 1

MEJA kerja yang berselerak dengan dokumen-dokumen syarikat itu, Ain sorot seketika. Satu helaan nafas yang panjang dia lepaskan. Macam inilah gayanya saban hari. Rutin kerja yang tidak penah surut.
Sudah hampir empat tahun dia berkhidmat di syarikat Berjaya Holding ini sebagai pembantu akaun. Alhamdulillah, dia syukur sangat. Walaupun jawatan yang dia pegang tak seberapa, tapi yang penting dia ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas. Kalau arwah ayah dan ibunya masih ada, dia yakin mereka juga akan titipkan pesanan yang sama. Ikhlas dan amanah. Tapi sayang,  mereka sudah tak ada. Sudah pergi meninggalkan Ain untuk selama-lamanya.
Arwah Wan dan Maklongnya juga sudah tidak ada. Dulu, selepas arwah ayah dan ibu Nur Ain meninggal.. merekalah yang telah menjaga dam membasarkan Ain. Hanya merekalah tempat Ain menumpang kasih. Anak-anak Maklongnya juga sudah Ain anggap seperti adik-beradik dia sendiri. Mereka juga anak yatim, tapi bukan yatim-piatu macam Ain.
Tetapi kini! Selepas masing-masing sudah berumah tangga, hubungan kami sudah tidak serapat dulu lagi. Masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Sudahnya, hanya kenangan indah sajalah yang bermukim di hati.
Bipp! Bipp! Bipp!
Tiba-tiba alarm reminder telefon bimbit Ain berbunyi nyaring. Laju saja tangan dia mencapai telefon yang berada di hujung meja kerjanya. Seketika mata Ain berlari pantas pada skrin telefon Lenovo A85i berwarna hitam yang tergenggam erat di tangannya.
~ Ulang tahun perkahwinan yang ke- 5 ~
 Serta-merta senyuman manis tersunggil tanpa sedar di bibir Ain. Terus wajah kacak Zahrin berlari di ruangan matanya. Perasaan rindu pada suaminya itu tiba-tiba saja datang menggamit jiwa. Walaupun sudah lima tahun lamanya usia perkahwinan mereka, perasaan Ain masih tetap sama. Rindunya pada Zahrin tidak pernah surut.
Lima tahun menyulam cinta di dalam rumah tangga, berkongsi segala suka dan duka. Sungguh! Nur Ain bahagia.
Siapa sangka pertemuannya dengan Zahrin lima tahun dahulu terus mengikat mereka dengan ikatan perkahwinan. Cinta pandang pertama! Itulah yang mereka sama-sama rasa. Alhamdulillah, sampai saat ini mereka masih bahagia walaupun hasrat untuk menimang cahaya mata sampai ke hari ini masih belum kesampaian.
Terbit juga perasaan terkilan di hati Ain. Lebih-lebih lagi bila orang-oarang sekeliling yang tidak henti-henti bertanya. Tapi, setiap kali dia mengungkit tentang itu, Zahrin selalu memujuknya. Kata Zahrin, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat mereka. Berkali-kali air mata Ain gugur. Zahrin tidak pernah jemu untuk memujuknya.
 Ya! Zahrin memang seorang suami yang penyayang. Dia langsung tidak menampakkan kekecewaannya. Walhal, Ain paham sangat apa yang terbuku di hati lelakinya. Jauh di sudut hati Zahrin, dia juga inginkan zuriat. Sama seperti Ain. Pasti hati Zahrin  juga tercalar setiap kali persoalan itu dibangkitkan oleh orang-orang di sekeliling. Tapi, apa daya mereka?
Titt! Titt!
Sekali lagi telefon bimbit Ain berbunyi. Kali ini notification untuk masej pula. Kotak mesej terus Ain terjah dengan anak mata. Saat nama ‘Hubby sayang’ tertera di situ, laju pula matanya menari pada bait-bait ayat yang tertulis di situ.
~ Sayang, selamat ulang tahun. Abang akan sentiasa sayang dan cintakan Ain hingga hujung nyawa...
Ain tersenyum bahagia. Tapi, sekejap cuma. Saat mata bundarnya menari lagi pada baris ayat seterusnya, senyuman di bibir Ain terus mati. Liurnya telan berkali-kali. Terkedu!
~ Sayang balik awal tau! Mama jemput kita untuk makan malam di rumah dia, malam ni.
Terus dada Ain terasa sesak.
Puan Rina. Mama kepada Zahrin, merangkap ibu mentua kepada Ain. Setaip kali dia berdepan dengan Puan Rina, pasti hati Ain akan terguris. Pandangan mata Puan Rina penuh dengan kebencian setiap kali dia menyorot bayang Ain. Tutur katanya penuh sindiran. Apakah malam ini masih tetap sama? Dari awal perkahwinan mereka lagi, Ain sudah dapat merasakan sesuatu. Puan Rina tidak pernah sukakan dia!
Zahrin merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Arwah papa Zahrin merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Walaupun belum memegang gelaran dato’, tetapi perniagaan keluarga mereka memang sudah kukuh. Mungkin kerana itulah Puan Rina tidak sukakan Ain. Ain hanyalah kerani biasa, yang datang dari keluarga yang biasa-biasa. Kesimpulannya, Ain dengan Zahrin memang tidak setaraf.
Ain hela nafas panjang. Ikutkannya, dia memang malas mahu ke sana. Tapi, bila memikirkan buruk baiknya Puan Rina, dia tetap mama Zahrin. Tetap ibu mentuanya. Wajib untuk dia patuh dan taat kepada Puan Rina. Mahu tak mahu, Ain terpaksa juga pergi.
Dokumen yang berselerak di atas meja Ain susun satu-persatu. Laporan di dalam komputer disave foldernya sebelum dia mematikan sius komputer. Bersiap-siap untuk balik.
“Tak nak balik lagi Ain?”
Sapa satu suara. Laju Ain menoleh ke kiri mejanya. Zahra, rakan sepejabat Ain sudah berdiri tegak di situ. Merenung lembut kepada Ain. Zahra memang rapat dengan Ain. Sejak dari mula Ain bekerja di situ lagi, Zahra yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya. Kebetulan pula, meja mereka duduk sebelah menyebelah. Itu membuatkan hubungan di antara mereka menjadi akrab.
“Dah nak baliklah ni.” Balas Ain sambil tersenyum. Beg sandangnya disangkut kemas ke bahu.
“Jomlah turun sekali.” Ajak Zahra. Ain hanya menngangguk. Kemudian mereka beriringan menuju ke arah lif.

SUASANA ruang tamu rumah banglo setingkat milik ibu Puan Rina itu sepi. Baik Ain, Zahrin ataupun Puan Rina.. masing-masing membisu. Usai menjamah makan malam tadi, mereka terus merehatkan diri di situ. Tapi sampai saat ini belum ada sepatah kata pun yang dibualkan oleh mereka.
“Emm.. mama nak cakap sikit.” Tiba-tiba Puan Rina bersuara, memecahkan kebisuan. Ain dan Zahrin saling berpandangan. Macam serius saja bunyinya.
“Cakap apa mama?” Tanya Zahrin. Tangannya dari tadi lagi bermain dengan jari-jemari Ain. Ain nampak jelingan tajam Puan Rina. Marahkah dia? Ataupun menyampah?
“Hari ni, cukup lima tahun kamu berdua berkahwin. Tapi sampai sekarang masih belum dapat anak!” Suara Puan Rina kedengaran serius. Mukanya juga nampak serius tanpa segaris senyuman.
Ain terus tunduk pandang lantai. Liurnya telan berkali-kali. Faham benar apa yang hendak disampaikan oleh Puan Rina. Setiap tahun, bila tiba hari ulangtahun perkahwinan mereka, Puan Rina pasti ungkit perkara yang sama. Anak!
“Mama, boleh tak kita cakap perkara lain?” Lembut suara Zahrin melantun. Jemari Ain digenggam erat. Ain tahu, Zahrin cuba menjaga hati dia. Setiap kali Puan Rina bangkitkan isu anak, Zahrin selalu saja membelanya.
“Mama dah lama sabar Zahrin. Dulu, masa Zahrin beria mahu berkahwin dengan Ain.. mama ikutkan saja. Walaupun mama bantah, Zahrin tetap berdegil. Tengoklah, sampai sekarang, mama tak dapat cucu. Lima tahun tu lama Zahrin. Kalau bini kamu ni subur, dah berderet anak kamu!” Petah sekali Puan Rina menutur kata. Langsung dia tidak fikirkan perasaan Ain.
Sakit! Memanglah sakit sangat. Itulah yang Ain rasakan sekarang. Salah diakah, kalau sampai saat ini mereka belum dikurniakan anak? Kalaulah Puan Rina boleh scan hati Ain, tentu dia tahu betapa besarnya keinginan Ain untuk mempunyai zuriat. Mana ada wanita di dunia ini yang tidak mahu beranak? Jika sudah bersuami, naluri untuk menjadi seorang ibu itu pasti akan ada dalam setiap jiwa wanita. Tak terkecuali juga Ain.
“Mama, tolonglah. Fikirkan perasaan Ain. Bukan kami mintak macam ni. Kalau mama inginkan cucu, kami lebih dari itu mama. Tapi apa daya kami!” Zahrin masih berlembut. Hampir gugur air mata Ain mendengar tutur Zahrin. Lelaki itu memang tidak akan pernah jemu mempertahankan dirinya.
“Sebab tu mama nak bincangkan hal ni. Lama mana lagi mama nak kena tunggu? Mama bukan makin muda Zahrin.”
“Habis tu Zahrin nak buat apa? Nak ambil anak angkat mama tak bagi.” Zahrin terus berdebat. Ain? Dia cuma diam tak berkutik.
“Mama nak zuriat dari darah daging kita. Mama nak kamu kahwin lagi!”
Zup!
Terasa tembus terus jantung Ain. Macam ditikam dengan pedang. Bisa sekali. Ain menoleh ke arah Zahrin dengan mata yang berkaca. Hati isteri mana yang tidak sakit. Hati isteri mana yang tidak terguris.
“Mama! Apa yang mama merepek ni? Zahrin tak akan madukan Ain. Tak akan sesekalinya.” Tegas Zahrin lagi. Jemari Ain makin erat digenggamnya. Tak akan sesekalinya dia sakitkan hati seorang isteri sebaik Nur Ain.
“Kalau tak nak bermadu, ceraikan saja! Buat apa nak simpan barang yang tak berguna.” Sinis Puan Rina. Mulutnya memuncung. Matanya dijulingkan ke atas. Meluat tegok Zahin yang tidak habis-habis mahu mempertahankan Ain.
Okey! Kali ini air mata Ain memang tak dapat ditahan lagi. Laju saja air mata itu tumpah. Mencurah-curah menuruni pipi. Sakitnya hati. Kenapa Puan Rina langsung tak faham? Dia juga seorang perempuan. Masakan dia tidak faham perasaan perempuan lain.
“Mama! Apa yang mama cakap ni? Selama ini Zahrin dengan Ain bahagia mama. Walaupun tak ada anak, kami tetap bahagia. Zahrin tak kisah kalau sampai bila-bila pun Zahrin tak ada anak. Asalkan Zahrin bahagia di samping Ain.” Suara Zahrin sudah naik satu level.
“Abang..”
Ain geleng kepala. Tangan Zahrin Ain usap lembut. Dia tidak mahu di sebabkan dia, Zahrin menjadi anak derhaka.
 Pandangan redup Zahrin pada wajah Ain semakin menambahkan rasa pilu di hati Ain. Makin lebat air mata yang jatuh ke pipinya.
Puan Rina mencebik bibir. Langsung tidak terbias riak bersalah pada wajahnya. Rasa menyampah pula bila Zahrin tidak habis-habis mahu memihak kepada Ain.
“Tak payah nak buat drama air mata! Keputusan mama muktamad. Bulan depan Zafrina, anak Datin Maria akan pulang dari London. Mama dah sepakat nak jodohkan kamu dengan dia.” Puan Rina makin nekad.
“Mama..”
Ain dengar suara Zahrin terlantun lemah. Wajah Zahrin mula disapa mendung kelabu. Hati Ain? Jangan ceritalah.. Hancur berkeping-keping.
 “Muktamad! Bermadu ataupun bercerai..” Puan Rina angkat punggung, terus menonong mendaki tangga ke tingkat atas.
Zahrin terjeda. Ain juga.
“Ain...”
Panggil Zahrin lembut. Tubuh Ain ditarik rapat ke tubuhnya. Ain makin sebak. Tangisan yang tadinya perlahan mula menjadi kuat. Sudahnya Ain teresak-esak di dada Zahrin. 



P/S: Kisah Ain yang saya tukarkan ker Versi Novel.. In Shaa Allah.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan