Benci! tapi Rindu -Bab 5

BAB 5

IMAN berdiri lama di laman rumah banglo milik Tengku Faridah. Udara pagi yang terasa segar dan nyaman itu disedut dalam-dalam. Di tangan kanannya tergenggam erat getah paip. Konon-kononnya hari itu dia rajin nak menolong Pak Dollah siram bunga. Terkedek-kedek dia berjalan menghampiri pili paip. Belum pun sempat dia memulas pili paip, tangannya kaku tak bergerak-gerak.
Mata Iman bulat, tertancap tepat pada  sebuah kereta Audi S5 yang hitam berkilat, terparkir elok di hadapan rumah. Mulut Iman ternganga. Getah paip di tangannya terlepas tanpa sedar. ‘Ya Allah, kereta idaman aku dengan Akma! Ini kalau Akma nampak.. mahu meroyan minah tu.’
Iman tenyeh mata berkali-kali dengan hujung jari. Manalah tahu dia tengah mimpi ke! Tapi, dia memang tak mimpi. Walau berkali matanya ditenyeh, Audi S5 tetap terparkir elok di situ. Air liur diteguk sekali, diteguk lagi sekali dan sekali.
“Mak, aii! Kereta siapa agaknya yer?”
Iman berjalan perlahan menghampiri kereta Audi S5 yang hitam berkilat itu. Iman toleh ke kiri dan ke kanan. Baru dia perasan! Agaknya inilah kereta yang berbungkus kemas tempoh hari. Sebab Iman tak nampak pun bayang kereta yang berbungkus kemas itu di mana-mana. ‘Wah! Patutlah berbungkus kemas. Barang baik rupanya.’ Jerit hati Iman penuh kagum.
Tubuh Audi S5 itu disentuh oleh Iman dengan teruja. Jelas tergambar perasaan kagum pada wajahnya. Mula-mula dia sentuh bahagian belakang, kemudian bahagian tubuhnya pula.
“Kalau aku ada telefon kan bagus.. Boleh aku selfie dengan Audi hitam berkilat ni. Lepas tu hantar dekat Akma kat kampung. Ha.. ha.. memang sah-sah minah tu sawan.”
Iman ketawa besar.
“Wah! Cermin tingkap pun hitam, pekat dan berkilat!”
Iman sentuh cermin tingkap dengan jari runcingnya. Kemudian telek muka dekat cermin tingkap yang gelap dan berkilat itu. Bukan main lagi dia senyum sampai ke telinga. Dalam kepala Iman dah berangan yang bukan-bukan. ‘Kalaulah Audi S5 ni milik aku.. mesti tercengang-cengang orang kampung tengok. Yerlah, mana pernah kereta semewah ini masuk kampung.’ Tak habis-habis lagi Iman berangan. Sengihan dia pun bukan main lebar lagi.
Tiba-tiba cermin tingkap kereta mewah itu turun ke bawah.
“Kau apa hal?” Bentak satu suara garau.
Bulat mata Iman. Mulut sudah ternganga luas. Macam nak jatuh jantung Iman bila tiba-tiba saja disergah begitu. Tanpa membuang masa lagi, sepantas kilat Iman berlari menyusup masuk ke dapur melalui pintu belakang.

IMAN masih terkejut. Dia kaku di meja makan. Air putih di gelas diteguk berkali-kali. Dahinya yang berpeluh itu nampak berkerut seribu. Memang dia betul-betul terperanjat. Rasanya kalau Iman ada penyakit lemah jantung, dah sah-sah dia selamat berada di tanah perkuburan sekarang ni.
“Iman! Kenapa ni?”
Maksu Normah tiba-tiba saja muncul di ruang dapur, terus duduk di sebelah Iman di meja makan. Muka Iman yang nampak pucat dengan dahi yang berpeluh-peluh itu ditatap lama. ‘Hish, apa kena pulak dengan budak Iman ni? Muka macam baru lepas terserempak dengan jembalang.’ Getus hati Maksu Normah.
Pertanyaan Maksu Normah tak berbalas. Sepi bersama angin lalu. Iman masih shock bercampur dengan blur. ‘Siapa tadi tu? Mak, aii! Memang boleh mati terkejut aku!’ Hati Iman terus berbisik. Kehadiran Maksu Normah di sisinya itu langsung tidak disedari olehnya.
“Hey!” Sergah Maksu Normah kuat. Bahu Iman ditepuk.
“Arrghhh!!” Iman terpekik kuat. Hampir terloncat dia daripada kerusi. Mujur gelas di tangannya tidak jatuh. Kalau tak, pasti sudah terburai kaca atas lantai marmar tu.
“Ya Allah, Maksu. Kenapa dengan maksu ni? Nak bunuh Iman ker?!” Muka Iman sudah mencuka. Mata Maksu Normah disorot tajam.
“Maksu yang patut tanya kamu. Kamu ni kenapa, kena sampuk dengan jin ker? Dari tadi maksu duduk terconggak dekat sini.. boleh kamu tak sedar!” Selar Maksu Normah dengan muka serius.
Iman tarik sengih.
“Yerker, maksu? Maaflah.. Iman tak sedar pulak maksu ada dekat sini.” Tangan sudah naik menggaru kepala.
“Mana nak sedar kalau berangan ke langit!” Sindir Maksu Normah.
“Mana ada Iman berangan maksu.”
Suasana sepi seketika. Baik Iman ataupun Maksu Normah diam tak berkata.
“Maksu, maksu! Kereta dekat luar tu kereta siapa erk?” Tanya Iman tiba-tiba dengan mata yang bersinar galak.
“Kereta mana?” Dahi Maksu Normah naik berkerut. Rasanya dekat luar rumah tu ada banyak kereta.
“Alah! Kereta yang warna hitam berkilat tu?”
“Oo.. yang tu.”
“Haa, siapa punya tu?” Tanya Iman bersungguh. Memang dia tak boleh nak lupa muka mamat tadi. Ya Allah, terasa macam berbelit usus besarnya.
“Entah!” Jawap Maksu Normah sepatah.
“Hah?” Mulut Imam sudah ternganga. Maksu Normah direnung bagaikan mahu ditelannya hidup-hidup. ‘Eii, sakitnya hati! Tadi dia punya ‘Ooo..’ sikit punya panjang, ingatkan tahu!’ Bentak hati Iman.
Maksu Normah sudah ketawa besar. Muka Iman yang cemberut itu dipandang tak lepas-lepas. ‘Padan muka! Selalu tu asyik aku saja yang terkena.’ Hati Maksu Normah sudah berlagu suka.
“Ah! Malaslah nak layan maksu.”
Iman sudah bangun dari situ, perlahan langkah kakinya diatur. Bosan!! Itulah yang menjerut perasaannya kala ini. Kalaulah dia berada di kampung, alangkah seronoknya.
“Iman!” Panggilan Maksu Normah mematikan langkah Iman. Perlahan dia menoleh.
“Apa?” Tanya Iman lemah. Wajah bosan dipamerkan pada maksunya.
“Nanti telefon wan. Dia dah bising tanyakan kamu.” Pesan Maksu Normah. Memang Wan Bedah dah bising. Semenjak Iman datang ke rumah itu, belum sekalipun dia berhubung dengan Wan Bedah.
“Tengoklah nanti.” Jawap Iman acuh tak acuh. Bukan dia tak ingat pada Wan Bedah. Tiap-tiap malam dia menangis rindukan Wan Bedah. Tapi, dia memang cukup tak gemar bercakap di telefon. Rasa geli telinganya. Huh! Ada juga orang macam Iman ni.
Maksu Normah menggelengkan kepalanya.
Iman terus berlalu dari situ. Dalam hati masih ada perasaan tidak puas kerana tidak dapat mencari tahu siapakah gerangan lelaki yang bermata sepet, yang merenung tajam padanya tadi. Entah mamat korea mana yang sesat dekat situ. Duduk dalam kereta idaman dia pula tu.. Sungguh! Iman rasa macam nak gila.

KAKI dihayun perlahan, mendaki anak tangga satu persatu menuju ke tingkat tiga. Perasaan malas, tebal membalut jiwa. Makin lama dia berada di rumah banglo besar itu, makin bosan jadinya. Iman tak tahulah apa istimewanya jadi orang kaya. Pada dia, kehidupan orang kaya ini amat membosankan.
Iman mula terbayangkan Wan Bedah dan kampung halaman. Sungguh hatinya dipagut rindu yang amat. Wajah Akma juga datang menari-nari diruang mata. Melepak di tepi sungai, bersantai di atas pondok di kebun pisang Wan Bedah sambil makan jajan. Huh! Iman betul-betul rindu.
Sampai di tingkat atas, Iman berhenti sejenak. Kepalanya digaru laju.
“Adeh!! Aku nak buat apa dekat sini tadi?” Ligat otaknya berfikir, cuba mengingati tujuan sebenar dia naik ke tingkat tiga itu.
“Hah! Baru aku ingat. Mak Engku suruh ambil cermin mata dia di bilik bacaan. Adoii! Berangan lagi Iman.”
Iman membebel sendiri. Langkahnya kembali diatur.
Sampai di muka pintu bilik bacaan milik Tengku Faridah, langkah Iman sekali lagi mati. Tangannya tidak jadi untuk memulas tombol. Mata Iman kini tertancap tepat pada pintu bilik di hujung sana. Hatinya tiba-tiba saja meronta ingin tahu.
“Agaknya bilik siapa tu erk? Kenapa Maksu marah sangat masuk bilik tu?”
Iman terus bercakap sendiri. Tanpa sedar, kakinya terus melangkah dengan berhati-hati menghampiri bilik itu. Tiba-tiba dada Iman rasa berdebar-debar. ‘Kalau aku masuk, apa jadi? Bukan ada orang nampak pun kan. Arghh! Masuklah.’
Tombol pintu bilik itu dipulas dengan berhati-hati. ‘Hmm, tak berkunci!’ Hati Iman menjerit suka. Cepat-cepat dia meloloskan diri ke dalam bilik itu sebelum orang lain nampak. Sebaik saja pintu bilik ditutup semula, matanya mula meliar galak kesegenap ruang bilik.
“Ya Allah, bilik apa ni?”
Laju Iman menekup mulutnya. Tersedar yang dia hampir menjerit. Bulat mata Iman melihat ke arah dinding bilik yang dipenuhi dengan poster minah salih berpakaian seksi. Muka Iman terus merah berbahang. Rasa malu yang amat melihat poster-poster itu.
“Bilik siapa ni? Boleh buta mata aku tengok gambar-gambar ni!”
Iman tidak habis-habis mengomel sendiri. Matanya masih tajam merenung poster-poster itu. Dia tak kenal siapa perempuan yang berada di dalam poster itu tapi dia yakin perempuan itu adalah pelakon hollywood.
Dia berjalan menghampiri poster itu, cuba membaca nama yang tertulis di situ. ‘Jessica Alba? Siapa tu?’ Hati Iman bertanya sendiri. Yerlah, dia mana kenal artis hollywood ni. Lebih-lebih lagi artis perempuan. Dia memang tak minat! Kalau pelakon korea dia sukalah.
“Kau siapa?!”
Hampir gugur jantung Iman mendengar suara kasar yang menegurnya daripada belakang. Ada nada kurang senang dalam suara itu. Entah kenapa Iman rasa macam jantungnya terus berhenti mengepam. Dia kaku dan kejang. Takut nak berpaling kebelakang.
“Siapa suruh kau masuk bilik ni?!”
Sekali lagi suara kasar itu bertanya dengan nada marah. Kali ini suara itu betul-betul berada di belakang Iman. Begitu dekat dengan cuping telinganya.
Iman dah mengigil. Dengan perasaan takut-takut dia berpaling kebelakang.
“Makkkk!!”
Iman menjerit kuat. Kali ini dia rasa jantungnya betul-betul dah berhenti berdenyut. Mamat mata sepet yang dia nampak dekat dalam kereta Audi S5 pagi tadi berdiri betul-betul di hadapannya, begitu dekat dengannya.. sehingga dia boleh rasa bahang daripada tubuh lelaki itu.
Bertambah bulat mata Iman apabila melihat lelaki itu hanya berseluar pendek paras lutut tanpa baju. Tuala biru lembut tersangku kemas di lehernya. Rambut lelaki itu juga basah. Iman nampak dengan jelas six pack lelaki bermata sepet itu. Seksi dan menggoda! Serta-merta pipi Iman jadi merah. Malu yang amat.
Iman rasa dadanya macam nak pecah. Hati kata lari, tapi kaki terus kaku berdiri di situ. Mata Iman bertemu lama dengan mata sepet yang merenungnya dengan tajam bagaikan mahu menelan dia hidup-hidup di situ.
Iman tersengih macam kerang busuk, cuba menutupi kesalahan dirinya kerana menceroboh masuk ke bilik itu. Tetapi lelaki bermata sepet tadi masih sama, merenung dia dengan tajam tanpa secalit senyuman pun. Muka lelaki itu nampak bersaja, cuma renungan matanya saja yang sekarang ini betul-betul mampu membunuh Iman. ‘Matilah aku!’ Getus Iman dalam hati.

4 ulasan:

  1. nice...
    Smbunglah lagi please....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tengah siapkan mss ni sepenuhnya untuk dinilai oleh penerbit. Sekarang sebarang n3 baru saya tak up dekat blog. Tapi boleh request group saya dekat Fb untuk n3 pendek yer.. Terima Kasih.. :)

      Padam