Janji Semalam -Bab 7



BAB 7

“MAK, Amir pergi dulu yer.”
Amir tunduk mencium tangan Mak Piah. Matahari belum lagi tegak di atas kepala pada pagi itu, tapi Amir sudah tergesa-gesa untuk pergi. Usai sahaja bersarapan pagi, dia terus meminta diri untuk kembali ke rumah sewanya di Kuantan. Katanya ada beberapa kerja yang perlu dia selesaikan sebelum dia mula mengajar pada esok hari.
“Yerlah, bawak kereta tu baik-baik.”
Pesan Mak Piah sambil tersenyum senang. Sejuk hatinya melihat tingkah Amir yang sopan dan hormat pada orang tua itu. Perasaan sedihnya di atas peristiwa yang berlaku kepada Widad tempoh hari seakan lenyap sedikit demi sedikit. Wajah menantunya nan sorang itu disorot dalam.
“In Shaa Allah, mak.” Amir tarik senyum. Seketika kemudian mata Amir jatuh pada Widad yang berdiri di sebelah Mak Piah di muka tangga. Muka Widad disorot dalam-dalam. Bermacam rasa bertemu di jiwanya saat itu. Sudahnya dia berjalan perlahan ke kereta tanpa menyapa Widad. Dahi Mak Piah berkerut seribu.
Widad yang sedari tadi berdiri di sebelah Mak Piah itu hanya membisu. Apa yang tidak kena dengan dirinya pada pagi itu, dia sendiri tidak tahu. Kenapa hati dia rasa macam berat saja nak lepaskan Amir pergi? Mungkin sebab apa yang terjadi di antara mereka semalam. Perasaan bersalah pada Amir masih bersisa di hatinya.
Sebenarnya Amir masih lagi dingin. Semenjak peristiwa dia dan Alif kantoi di ruang dapur rumah Haji Murad semalam, Amir beku saja dengannya. Mulut lelaki itu seolah terkunci rapat untuk berbicara macam selalu. Malam tadi pun, Amir memang langsung tidak masuk ke bilik. Dia tidur di bilik Zahrin.
Widad ingat lepas Amir peluk dia erat-erat malam tadi, perasaan marah Amir sudah mereda. Rupanya masih lagi bersisa. Sakit kepala Widad nak fikir semua tu. Pagi ini juga, Amir buat-buat tak nampak saja dia di situ. ‘Marah lagi ker?’ Hati Widad sudah berlagu resah. Wajah kelat Amir itu benar-benar menyesakkan dada Widad. Dia tiba-tiba saja rasa rindu nak tengok senyuman manis Amir yang selalu dilemparkan untuknya. Bayang amir yang berjalan ke kereta itu disorot lama.
“Widad, pergi salam dengan laki kamu tu!”
Suruh Mak Piah sebaik saja dia melihat Amir sudah berjalan ke kereta tanpa bersalaman dengan Widad. Hati tuanya seakan dapat menghidu sesuatu. Dia kemudiannya terus berlalu ke dalam rumah, sengaja memberi ruang kepada Widad dengan Amir untuk berbicara dengan lebih selesa.
“Amir!” Panggil Widad sedikit kuat setelah melihat Amir sudah mahu masuk ke dalam perut kereta.
Tangan Amir tidak jadi mahu membuka pintu kereta. Tubuhnya segera dipusingkan pada Widad, merenung Widad dengan muka yang bersaja tanpa riak.
Widad cepat-cepat sarungkan selipar ke kaki dan berlari anak mendapatkan Amir.
“Tak nak salam dengan saya ker?” Tanya Widad sebaik sahaja dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Amir. Anak mata Amir yang jernih itu direnung lama. Sebuah senyuman diberikan pada Amir.
Amir diam. Senyuman Widad tidak dibalas. Wajahnya nampak tenang saja, namun hatinya tengah berperang ganas. Jika diikutkan kata hatinya, memang dia nak saja peluk Widad lama-lama dekat situ. Tak sanggup rasanya nak tinggalkan Widad walaupun sesaat. Tapi, bila teringatkan semula apa yang dia nampak masa dekat ruang dapur rumah uminya semalam, hati Amir jadi tawar. Mana mungkin dia mampu menggantikan tempat Alif di hati Widad. Dia nampak jelas daripada sorotan mata Widad pada Alif. Pandangan mata Widad yang penuh dengan perasaan cinta! Memang tak sama langsung dengan cara Widad pandang dia.
“Amir..”
Suara Widad sudah bergetar. Seakan merayu pada Amir. Memang dia merayu! Dia benar-benar diselubungi perasaan bersalah.
Amir diam lagi. Liurnya diteguk berkali-kali. Tersentuh hatinya mendengar suara Widad begitu. Amir nampak mata Widad yang mula berkaca. Tapi hati Amir masih sakit. Masih ada sisa kemarahan dalam hatinya.
“Amir.. saya mintak maaf.” Air mata Widad sudah jatuh setitik demi setitik. Tangan Amir diraih, dicium lama. Sumpah! Dia benar-benar rasa berdosa pada Amir.
Amir tergamam. Air mata Widad yang semakin melaju di pipi itu seakan mempunyai kuasa untuk melembutkan hati batu Amir. Dia memang tak suka tengok Widad menangis. Setiap kali dia melihat air mata Widad jatuh, hati dia yang rasa sakit.
“Abang tak marahkan Widad. Tapi abang kecewa sangat dengan Widad. Kenapa Widad suka sangat ikut kata hati? Widad tahu tak, dosa Widad sekarang abang yang tanggung?” Lemah suara Amir menjamah telinga Widad. Membuatkan perasaan bersalah Widad semakin menebal.
“Saya tahu.. Maafkan saya.” Tangan Amir masih lagi digenggam erat. Mata basahnya masih merenung muka Amir tanpa berkelip. Widad rasa nak tengok Amir puas-puas.
“Hmm.. lain kali jangan buat lagi. Abang rasa Widad tahu.. berdosa bila perempuan bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram secara sengaja. Walaupun Alif tu adik ipar Widad sekarang, tapi Widad masih kena jaga batas-batas pergaulan.” Lembut sekali Amir menegur. Air mata yang masih bersisa di pipi Widad itu disapu lembut dengan hujung jari. Hatinya rasa terpujuk dengan permintaan maaf daripada Widad. Sekurangnya dia tahu, hati Widad bukanlah keras sangat.
Widad angguk laju.
“Dahlah! Abang dah maafkan Widad. Lain kali jangan buat macam tu lagi. Sejujurnya abang rasa cemburu.” Jujur Amir tanpa berselindung lagi.
“Cemburu?” Kening Widad hampir bercamtum.
“Yerlah.. sayang ni isteri abang. Memanglah abang cemburu. Abang pun manusia biasa sayang.. Walaupun sayang tak sudi nak terima abang, abang selalu berdoa agar suatu hari nanti sayang sudi jugak terima abang dalam hidup sayang.” Amir ukir senyum. Manis sekali. Pipi Widad diusap lembut. Sayang sangat-sangat dia pada Widad!
Widad tergamam. Senyuman itulah yang ditunggu-tunggu daripada semalam. Senyuman Amir yang selalu membuatkan hatinya bergetar hebat. Membuatkan jantungnya seakan berhenti berdegup.
“Amir.. saya mintak maaf..”
Lemah suara Widad menyapa telinga Amir. Widad tunduk merenung tanah. Hanya ucapan maaf yang terbit daripada mulut Widad daripada tadi. Entah untuk yang keberapa kalinya Widad tidak sempat nak kira. Yang Widad tahu, perasaan bersalah sekali lagi datang bertamu di hati. Bersalah kerana sampai saat ini dia masih belum mampu untuk menyayangi Amir.
Amir tersenyum kelat. Dia tahu apa yang bersarang di hati Widad saat ini. Bukan salah Widad! Dia hadir dalam hidup Widad secara tiba-tiba. Memang wajar kalau Widad masih tidak mampu untuk menyayangi dia. Dia akan bagi Widad masa.
“Abang akan bagi Widad masa. Cuma abang mintak, tolong jaga maruah abang sebagai seorang suami. Abang tahu dan yakin Widad mampu.” Dagu Widad, Amir angkat. Mata mereka bertemu seketika.
Tiba-tiba Widad rasa semacam saja. Susah betul untuk dia baca hati dan perasaannya saat ini. Perasaan aneh yang tiba-tiba saja meresap di jiwa. Lambat-lambat Widad senyum.
“Jaga diri yer. Nanti, abang balik ambil Widad. Sekarang abang ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Bila semua sudah selesai, abang balik jemput Widad. Ingat tau! Abang sayang Widad sangat-sangat.” Bibir Amir sudah selamat mendarat di ubun-ubun Widad. Terasa hangat dan mendamaikan.
Mata Widad terpejam rapat. ‘Sayang? Tapi, siapa Hana yang dimaksudkan oleh abah semalam?’ Hati Widad tiba-tiba disapa resah. Dia ingin sekali bertanya pada Amir, tapi mulutnya bagaikan terkunci rapat.

“SUSAH betul nak jumpa kau sekarang ni kan? Mengalahkan PM pulak sibuk kau tu!”
Yaya renung wajah Widad lama. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu terasa nyaman menampar muka. Silanya di atas pangkin kayu di tengah laman rumah Widad semakin dikemaskan. Mukanya masih mengadap terus pada Widad.
Widad tayang sengih sekejap, tapi kemudiannya muka dia nampak kelat semula. Pandangan Yaya yang jatuh tepat padanya itu dibuat tak nampak saja. Serabut! Itulah yang dia rasa sekarang ini. Wayar otaknya terasa berselirat. Bermacam perkara yang bermain dalam fikirannya saat itu.
“Kau ni dah kenapa?” Kening Yaya sudah bertangkup dua. Mata masih tidak lepas daripada merenung Widad. ‘Hai, lain macam betul budak sorang ni!’ Getus Yaya dalam hati.
Widad bermain dengan jari sendiri. Seketika kemudian nafasnya dihela panjang. Muka Yaya dipandang tanpa berkelip. Dalam hati sudah berkira-kira samaada mahu bercerita ataupun tidak.
“Hish, ini yang aku angin ni! kalau kau nak jadi bisu macam ni, baik aku balik!” Yaya sudah naik angin. Mana tidak anginnya.. Widad buat dia macam tunggul. Bercakap sorang-sorang dari tadi.
“Okey, aku cerita.” Jawap Widad laju. Pandangannya di hala lurus ke muka pintu rumah. Dia nampak Mak Piah sedang berdiri di muka pintu bersama sebuah besen kecil di tangan. Mungkin Mak Piah hendak pergi bagi ayam makan.
“Lama tak nampak Yaya?” Laung Mak Piah dari tangga rumah. Terkial-kial dia menyarung selipar jepun di kaki.
“Ada Mak Piah. Hari ni baru sempat datang ke mari.” Laung Yaya juga sambil tersengih kecil.
Mak Piah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum manis dan kemudian terus berjalan ke belakang rumah bersama sebuah besen kecil di tangan. Sudah menjadi kelaziman baginya untuk memberi makan kepada ayam-ayam di reban pada waktu-waktu macam ni.
“Baik! Cerita sekarang.” Yaya kembali fokus pada Widad. Dia nampak Widad tarik nafas dalam-dalam. ‘Berat sangat ke masalahnya?’ Yaya tertanya-tanya.
“Yaya, aku peninglah!” Adu Widad. Mata Yaya ditentang seketika.
“Apa yang kau nak peningkan? Nak kata risau pasal jodoh.. dah dapat laki kacak pun!” Yaya tersengih nakal. Saja nak mengusik Widad.
“Kau ni! tak kelakar okey?!” Marah Widad. Muka berubah masam.
“Okey, okey.. Aku serius kali ni. Cuba cerita satu-satu.. senang aku nak faham.”
“Hmm, aku tak tahu nak mula macam mana. Tapi kau tahu kan, aku kahwin sebab terpaksa. Aku kelirulah Yaya. Kau tahu, Alif mengaku dia masih sayangkan aku.”
So?” Yaya jungkit bahu.
So? Apa maksud kau dengan so?” Berkerut dahi Widad. Geram pun ada tengok Yaya macam endah tak endah saja.
“Maksud aku, kau pulak macam mana?”
“Macam mana apa?” Widad buat-buat tanya.
“Aduhh! Kau ni kan.. kalau aku kata lembab, kau marah. Perasaan kau macam mana?” Yaya geram. Matanya dijegilkan pada Widad. Rasa nak cekik-cekik leher kawan baiknya itu.
Widad tersenyum kelat.
“Aku tak tahu Yaya.. Tipulah kalau aku cakap akau tak sayangkan Alif. Bertahun kami bercinta Yaya, bukan sekejap. Kau bukan tak tahu aku jenis orang yang macam mana. Kalau aku dah sayang seseorang tu, memang payah aku nak lupa.” Lemah suara Widad menjamah telinga Yaya.
Yaya diam sekejap. Mungkin otaknya tengah menghadam apa yang baru saja diperkatakan oleh Widad sebentar tadi. Ada benarnya kata-kata Widad itu. Widad dan Alif, mereka memang dah lama bercinta. Dan Yaya memang faham sangat dengan perangai Widad tu. Kalau dah sayang orang memang susah sangat nak lupa.
“Hmm, tapi kau dah ada suami Wid. Samaada kau suka ataupun tidak, kau kena jugak terima dia. Lagipun, suami kau tu bukan teruk sangat pun. Kacak, ada kerja bagus, pandai agama.. apa lagi yang kau nak Wid?”
“Cinta dan sayang tu tak boleh dipaksa-paksa Yaya. Lagipun dia tiba-tiba saja hadir dalam hidup aku. Macam mana aku nak terima dia? Aku ni, tak pernah berangan nak kahwin dalam usia macam ni.. Aku nak kejar impian dan cita-cita aku. Emm, paling susah bagi aku.. dia tu abang kepada Alif.” Semakin lemah dan perlahan suara Widad. Dia betul-betul serabut.
Yaya termenung sejenak. Mungkin tengah fikirkan masalah Widad. Kalau nak diikutkan, ada betulnya kata-kata Widad itu. Amir itu abang kepada Alif. Walau macam mana cara dan gaya sekalipun Widad nak lupakan Alif, dia tetap juga akan berjumpa dengan Alif. ‘Hish, susah jugak ni!’ Tanpa sedar Yaya sudah garu kepala.
“Emm, macam ni lah Wid! Kalau nak ikutkan apa yang kita belajar dekat sekolah dulu, pasal perkahwinan.. bila dah jadi isteri ni memang wajib kena taat pada suami. Kena sayang suami.. Kalau tak, berdosa! Kau nak ke berdosa?”
Laju Widad geleng kepala. Teringat lagi apa yang Ustaz Hassan ajar mereka semasa di dalam kelas pendidikan islam dulu. Isteri yang derhaka tempatnya di dalam neraka jahanam. Gerun Widad mengenangkan itu.
“Hah, tahu pun! So, belajar-belajarlah untuk sayangkan suami kau tu.” Yaya bingkas bangun, kemudian turun daripada pangkin. Baju t-shirt yang dipakainya dibetulkan sedikit.
“Aku balik dululah!” Ucap Yaya sambil berlalu ke arah basikal BMX miliknya.
Widad diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak! Pandangannya masih lurus pada bayang Yaya yang semakin menghilang bersama basikal BMX kesayangannya itu.
“Widad! Dah senja ni.” Laung Mak Piah dari tangga rumah.
“Yer, mak..” Jawap Widad lemah.




 P/S: Maaf kalau bab kali ni tak memuaskan.. Rasa macam lemau jer.. huhu

2 ulasan:

  1. mcm sedih jer,....takpe nanti nex chapter mesti ada bab gembira dan lucu pula kan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehe.. In Shaa Allah.. akan ada bab yng sweettt mueeett tu Rozita.. Thnks laling sudi baca.. : )

      Padam