Bab 1- Lakaran Cinta Di Garis Waktu




BAB 1

HANIM cuma membatu. Sedari tadi perbualan di antara dua sahabat baik itu singgah di telinganya. Dalam masa yang sama turut berkesan di jiwanya. Hati memberontak ganas, tetapi mulut hanya mampu terkunci rapat. Langsung dia tidak mampu untuk bersuara. Bagi Hanim semua ini kerja gila!
“Aku tak setuju Zack!” kening Firash bercantum rapat. Hanim nampak garisan-garisan kedut di dahinya. Memang! Dia pun bersetuju dengan kata-kata Firash. Memang semua ini kerja gila. Tidak ada cara lain lagikah yang Zakhwan dapat fikirkan. Kenapa dengan cara macam ni? Hendak saja Hanim bersuara. Tetapi demi menjaga hati kekasih yang dicintai separuh mati, dia terpaksa pendamkan saja.
“Apa yang gilanya? Bukan lama Rash.. Tiga tahun aje. Pejam-celik, pejam-celik dah tiga tahun.” Zakhwan tetap berdegil. Muka sahabat baiknya itu direnung penuh mengharap.
“Dalam masa tiga tahun tu, macam-macam boleh jadi Zack. Aku tak berani ambil risiko. Aku manusia biasa Zack. Hanim juga! Jangan kau percaturkan hidup kami. Banyak cara lain lagi Zack. Kita fikir sama-sama okey?” Firash masih belum puas memujuk. Harapnya Zakhwan dapatlah berfikir dengan waras pada kali ini. Soal nikah, kahwin ni.. bukan soal main-main. Bukan macam main pondok-pondok.
Firash menjeling sekilas kepada Hanim yang hanya diam tak berkutik sedari tadi. Perempuan itu sedari tadi hanya bermain dengan jari sendiri. Mukanya nampak tenang tanpa sebarang riak. Ingin sekali Firash tahu apa yang sedang bersarang di hati perempuannya. Apakah dia sedikit pun tidak terkesan dengan cadangan bodoh Zakhwan ni?
“Tak ada! Memang tak ada cara lain lagi dah, Rash. Kau tolonglah aku kali ni! Tiga tahun aje aku minta kau jadi suami Hanim. Lepas aku balik dari UK nanti, kau boleh ceraikan dia. Aku akan kahwin dengan dia masa tu,” rayu Zakhwan. Tak ada siapa lagi yang boleh dia harapkan. Hanya Firash satu-satunya orang yang dipercayai. Sahabat sejati dunia akhirat.
“Ini kerja gila Zack. Apa yang aku nak cakapkan pada Umi dengan adik-adik aku? Hanim pula, macam mana?” Firash garu kepala. Kalau bercakap dengan Zakhwan memang tidak pernah akan menang. Selagi niat dan keinginannya tidak tertunai, selagi itulah dia berkeras.
Sungguh dia tidak menyangka pertemuan di antara dia dengan Zakhwan pada kali ini membawa masalah besar di dalam hidupnya. Kalau dia tahu, memang dia tak datang. Mengenangkan Zakhwan sahabat baiknya, dia sanggup cuti mengajar pada hari ini semata-mata mahu bertemu dengan Zakhwan. Tak sangka, rupanya pertemuan mereka pada kali ini menjerut limpanya.
“Itu kau pandai-pandailah goreng mereka. Hanim, tak ada masalah. Kan sayang?” Zakhwan melirik sekilas kepada Hanim yang berada di sebelahnya. Kekasih hatinya itu nampak tenang saja. Itulah yang membuatkan Zakhwan sayangkan Hanim. Dalam apa jua situasi, Hanim tetap nampak tenang.
Hanim tersenyum kelat. Seketika matanya bertemu dengan anak mata Firash. Tiada getar dalam jiwa. Memanglah, sebab dia tidak cintakan Firash. Hanim nampak wajah tegang Firash. Pasti lelaki itu sedang tertekan dengan permintaan sahabat baiknya sekarang. Dia sendiri tertekan yang amat!
“Bagi aku masa untuk berfikir Zack,” jari Firash mengetuk-ngetuk muka meja. Barangkali untuk tenangkan hati dan perasaan sendiri.
“Tak ada masa lagi nak fikir Rash. Masa dah suntuk ni. Kalau boleh aku nak korang kahwin sebelum aku berangkat ke UK. Tologlah Rash. Aku tak pernah minta tolong kau. Selama ni, aku dah banyak tolong kau Rash. Aku bukan nak mengungkit. Tapi, kali ni aku betul-betul perlukan pertolongan kau.”
Firash bersandar lemah di kerusi meja makan. Mata merenung kosong kepada orang yang keluar masuk di restoran itu. Kusut sungguh fikirannya. Betullah  kata pepatah melayu, ‘Terhutang budi, tergadai body.’ Itulah yang terjadi pada dirinya sekarang.
Memang dia banyak terhutang budi dengan Zakhwan. Banyak sangat sehinggakan tidak terhitung dengan jari. Sewaktu mereka berada di tahun akhir di universiti dulu, abah Firash tiba-tiba meninggal dunia akibat serangan jantung. Secara automatik dia dan keluarga hilang tempat bergantung. Firash hampir-hampir mahu berhenti belajar, tetapi Zakhwan menawarkan pertolongannya. Atas pertolongan Zakhwan semua perbelanjaan Firash ditanggung oleh papanya, Dato’ Zaid. Sekaligus membolehkan Firash menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. Semuanya dihalalkan oleh Dato’ Zaid.
“Baiklah, Zack,” lemah suara Firash terlantun. Akhirnya dia tunduk juga dengan kemahuan Zakhwan. Sesaat kemudian telinganya menangkap dengar suara Hanim bergumam halus. Laju saja matanya berlari ke muka Hanim. Dia nampak wajah Hanim tenang saja. Tetapi redup mata Hanim jelas menceritakan segala-galanya. Jiwa dia juga turut tersiksa.
“Terima kasih, Rash! Kaulah sahabat dunia akhirat.” Zakhwan menepuk bahu Firash beberapa kali. Dia rasa mahu melompat kesukaaan. Kini, dia tidak perlu risaukan Hanim lagi. Selama tiga tahun ini, dia boleh belajar dengan tenang di bumi UK kerana sudah ada yang sanggup menjaga Hanim.

KERETA Audi S5 milik Zakhwan meluncur dengan tenang di atas jalan raya. Pada waktu-waktu macam ni, keadaan jalan raya di bandar Kuantan memang tidak berapa sibuk. Tengoklah! Setengah jam lagi pasti jalan raya mula sesak kerana waktu pejabat akan berakhir. Orang pasti berlumba-lumba mahu pulang ke rumah.
Sesekali Zakhwan bersiul kecil. Senang benar hatinya sekarang. Selepas ini dia boleh menarik nafas lega kerana Firash sedia menggalas tanggungjawabnya menjaga Hanim dalam beberapa tahun sepanjang pemergianya ke UK. Dia tidak perlu risau kalau-kalau Hanim akan jatuh ke tangan orang lain.
“Sayang, kenapa senyap aje?” sekilas Zakhwan mengerling kepada Hanim. Wajah lembut sang kekasih hati nampak tegang.
Hanim diam. Apa lagi yang boleh dia katakan? Kalau Zakhwan sudah buat keputusan, tiada sesiapa pun yang boleh mengubahnya.
“Sayang, tolong jangan senyap aje. Cakaplah sesuatu,” hati Zakhwan mula rasa tak sedap. Kalau Hanim diam membatu, adalah yang tidak kena tu.
“Hmm, nak cakap apa lagi Zack. Awak dah buat keputusan! Saya terpaksa akur dengan keputusan awak.” Hanim buang padangan keluar tingkap kereta. Tak sanggup rasanya mahu melihat muka Zakhwan. Bukan kerana benci, tetapi sedih! Sedih kerana sedikit masa nanti dia akan diangkat menjadi suri kepada lelaki lain. Lelaki yang langsung tidak mendapat tempat di hatinya. Lelaki yang hanya dipertanggungjawapkan untuk menjaga dia dalam masa beberapa tahun. Macam mana agaknya kehidupan dia nanti?
Zakhwan berhentikan keretanya di bahu jalan. Tangannya mendarat lembut di atas lengan Hanim yang berlapik. Dia tahu, Hanim tidak selesa kalau disentuh tak berlapik. Itu satu lagi sikap Hanim yang amat menyenangkan Zakhwan. Pandai menjaga maruah diri! Sepatutnya perempuan yang macam inilah menjadi suri hidupnya. Tetapi kenapa mamanya tidak berkenan dengan Hanim?
“Sayang, Zack terpaksa buat macam ni. Hanim tahukan mama. Dia tak akan pernah berhenti untuk pisahkan kita. Rancangan ke UK ini pun, rancangan dia. Tak tahulah kenapa mama tak suka sangat pada Hanim. Zack harap mama akan tunaikan janji dia lepas Zack balik dari UK nanti. Janji untuk satukan kita.”
Mata Zakhwan menikam lembut ke dalam anak mata Hanim. Cepat-cepat Hanim larikan anak matanya ke arah lain. Sungguh dia tidak sanggup untuk bertentang mata dengan Zakhwan. Hati terasa pedih sekali. Macam mana Zakhwan boleh berfikir sesenang itu. Dia tidak tahukah banyak masalah yang akan timbul di kemudian hari? Banyak hati yang terluka!
“Memang patut Puan Sri tak sukakan saya. Taraf kita berbeza Zack! Awak dibesarkan dalam singgahsana yang indah. Saya pula, hanya menumpang kasih di rumah Perlindungan Kasih. Rumah anak-anak yatim! Memang jauh bezanya.”
“Zack tak pernah kisah semua tu.” Zakhwan bersuara yakin. Dia memang tidak pernah kisah. Bagi Zakhwan, Hanim sama saja dengan perempuan lain. Malah lebih bagus dari perempuan-perempuan lain yang dia pernah kenal. Kebanyakannya anak-anak orang kaya yang dia kenal sombong dan berlagak.
Hanim juga pandai! Dia telah buktikan, membesar di rumah anak-anak yatim bukan penghalang untuk dia berjaya dalam hidup. Buktinya, Hanim dapat melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya, dan sekarang sudah memegang jawatan sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat swasta. Kira okeylah, tu.
“Awak memang tak kisah Zack, tapi mama awak kisah. Saya tak salahkan dia! Sebagai ibu, memang dia inginkan yang terbaik untuk anaknya. Mesti dia mahukan cucu dari keturunan yang baik-baik. Hubungan kita ni, memang tidak nampak masa depannya Zack. Eloklah kita berpisah cara baik. Saya dengan Firash pun tak perlu nak korbankan masa depan masing-masing,” lemah suara Hanim. Dia tahu, Zakhwan memang tidak akan berganjak. Tapi, apa salahnya jika dia mencuba.
No! Saya tak akan lepaskan awak Hanim. Saya tetap dengan perancangan asal saya. Awak jangan takut, Firash seorang lelaki yang baik. Dia tak akan sakiti awak,” yakin sekali Zakhwan bertutur. Apakah dia sedikit pun tidak dapat menghidu bau-bau masalah?
“Saya tak cintakan dia Zack. Langsung tak! Macam mana saya nak berdepan dengan perkahwinan ini. Walaupun atas dasar sementara? Dalam hati saya ni, hanya ada nama awak. Hanya awak yang bertakhta dekat sini,” jari telunjuk Hanim jatuh tepat pada dadanya. Mata Hanim mula bergenang. Sakit hatinya rasa tidak terluah dengan kata-kata. Kenapa Zakhwan terlalu pentingkan diri sendiri?
“Hanim, kalau awak cintakan saya.. Ikut semua rancangan saya. Saya yakin kita akan  bersama juga nanti. Firash lelaki yang baik.”
Bentak Zakhwan, keras. Dia terus hidupkan enjin kereta. Sesaat kemudian, kereta Audi S5 miliknya mengaum garang di atas jalan raya. Sakit hati dengan kedegilan Hanim.
Air mata akhirnya jatuh juga di pipi Hanim. Dia tersandar lesu pada kusyen kereta. ‘Kenapa kau tak pernah mahu faham Zack? Kerana dia terlalu baiklah, aku takut! Aku yakin nanti pasti ada banyak hati yang terluka. Aku tak sanggup!’ Hati kecil Hanim mula memuntahkan rasa. Semakin lebat Mutiara jernih gugur di pipinya. Namun, Zakhwan masih terus dengan ego dengan kehendaknya.

KUNCI kereta dicampak kasar ke atas meja sofa rumah sewanya. Serabut! Itu yang Firash rasa sekarang. Punggung menghenyak kasar ke atas sofa. Geram dengan kelemahan diri sendiri. Apa yang dia mahu bagitahu uminya nanti? Tidak ada angin mahupun ribut, tiba-tiba pokok tumbang. Begitulah ibaratnya!
Bolehkah uminya terima alasan yang langsung tidak logik dek akal? Dia nak kahwin dengan Hanim sebab jatuh cinta pandang pertama. Mereka mahu berkahwin cepat-cepat untuk mengelak dari melakukan maksiat! Tak nampak tergesa-gesa ke?
Arggh... Zack ni pun, satu hallah! Rancangan gila ni juga yang dia nak buat. Kalau dia dah sayangkan sangat si Hanim tu, kenapa tak kahwin saja! Dah ada cucu nanti Puan Sri sukalah. Dalam banyak-banyak cara, dengan cara ni dia tuntut aku balas budi?”
Firash menggaru kepala yang tidak gatal. Wajah Hanim terus terbayang di matanya. Hanim memanglah lawa! Lembut dan baik budinya. Tapi, mereka akan berkahwin tanpa cinta di hati. Mampukah? Orang gila pun takut bila dengar rancangan bodoh Zakhwan. Inikan pula mereka yang waras.
“Hmm.. itulah Rash.. Lain kali hati-hati! Terlampau makan budi, sekarang body kau tergadai!” Firash ketuk kepala sendiri. Serabut! Kusut!


1 ulasan: