Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta-bab 14



BAB 14

“HAI, awal pulak kau sehari dua ni yer Qaseh? Selalunya kaulah yang kelam-kabut masuk office sebab lewat jer memanjang.” Sapa Ryna yang tiba-tiba saja muncul di pantry. Entah bila dia sampai ke situ, Qaseh sendiri tidak tahu.
Qaseh yang sedang ralit mengacau air di mug laju saja menoleh. Segaris senyuman diberikan pada Ryna. Ryna yang tampak anggung dengan skrit labuh dan blaus berlengan panjang itu segera mengambil tempat di sebelah Qaseh.
“Kau tak minum ker?” Tanya Qaseh sepatah tanpa menjawap pertanyaan daripada Ryna sebentar tadi. Mug yang masih berasap tipis itu dibawa ke mulut lalu diteguk sedikit airnya.
“Aku dah makan dekat kedai. Breakfast dengan tunang aku tadi.”
Jawap Ryna panjang lebar. Matanya masih merenung lama pada Qaseh yang ayu berbaju kurung moden dari kain jenis cotton itu. Di kepala Qaseh pula tersarung kemas tudung bawal adijuma. Dalam diam terselit rasa kagum di hati Ryna melihat keayuan yang dimiliki oleh Qaseh. Keayuan asli yang langsung tidak dicemari oleh sebarang alat mekap.
“Untunglah...” Balas Qaseh sepatah sambil tersengih lebar. Sebaik saja dia tersengih, lekuk di kedua belah pipinya jelas kelihatan membuatkan wajahnya tampak manis sekali.
“Itulah! Aku suruh cari pakwe tak nak..” Bidas Ryna pula. Qaseh hanya mencebik.
“Tarik muncung tu baru tau!!” Gertak Ryna pula. Ketawa Qaseh sudah pecah di situ.
“Senang ker dapat bas? Awal kau hari ni?” Ryna kembali bertanya, mengulang semula soalannya yang tidak berjawap sebentar tadi.
“Emm..taklah! Aku drive..” Air di mug kembali diteguk.
“Hai, diam-diam dah pakai kereta?” Ryna sudah tersenyum sumbing. Keningnya diangkat beberapa kali.
“Bukan aku punya. Kereta pinjam! Eh, dahlah...Jom pergi buat kerja. Nantikan kalau encik Faez nampak aku masih lepak dekat sini, teruk aku kena..” Qaseh sudah bingkas bangun dan membawa mug yang telah kosong ke sinki lalu dicuci. Dia malas mahu melayan celotah Ryna sebenarnya. Bimbang pula nanti Ryna tanya dia dengan soalan yang bukan-bukan.
“Hahh! Yang itu pun satu hal..Aku tak faham kenapa encik Faez tu garang sangat dengan kau. Entah-entah dia ada hati dengan kau tak? Lelaki ni pelik sikit Qaseh..Dah suka tapi tak nak mengaku!” Mulut becok Ryna masih belum puas bercelotah.
“Ishhh, kau ni! Jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Nanti dengar dek orang lain aku juga yang malu. Tak pasal-pasal kena tuduh syok sendiri.”
Wajah Faez yang selalu bermuka ketat setiap kali bertembung dengannya itu terus bermain di ruang mata. Boleh tahan juga kacaknya si Faez tu. Tapi sayang, senyuman tu mahal sangat. ‘Tapi dengan aku jer pun..Hai, apalah salah aku pada dia agaknya?’ Keluh Qaseh dalam hati. Lama dia berdiri sambil berfikir.
“Oiii, sudah-sudahlah berangan! Jom pergi buat kerja.” Ryna sudah mencuit bahunya laju, kemudian terus berlalu dari pantry menuju ke meja kerjanya, meninggalkan Qaseh yang masih terkebil-kebil di situ.

“QASEH, Encik Faez nak jumpa dekat bilik dia.”
Zuppp!! Berita yang baru disampaikan oleh Tina, iaitu receptionist di pejabatnya dirasakan begitu merentap jiwanya. Tidak semena-menanya jantung Qaseh berlari laju.
“Nak jumpa aku! Ada apa errk?” Dahi Qaseh sudah berkerut. Wajah Tina dipandang bersungguh.
“Hissh, kau ni! Manalah aku tahu..Dahlah, pergi cepat! Nantikan aku pulak yang kena marah..” Balas Tina. Qaseh cepat-cepat berlalu ke bilik Faez dengan perasaan yang berkecamuk. Perutnya mula berasa memulas-mulas.
Tok!! Tok!! Tok!! Pintu diketuk beberapa kali. Qaseh berdiri tegap di hadapan bilik Faez yang sederhana besar itu. Masih diam tanpa sebarang jawapan. Qaseh mengeluh! Dia kembali mengetuk daun pintu, agak kuat kali ini.
Sejurus itu juga terdengar suara dari dalam,
“Masuk!!”
Tegang saja bunyinya. Qaseh sudah berdebar-debar. Dalam hati tidak putus-putus dia berzikir, cuba menenangkan diri. Masih terngiang-ngiang herdikan Faez pada petang mesyuarat tempoh hari. Qaseh dituduh buat kerja sambil lewa. Sakit juga hatinya mengingatkan semua tuduhan itu. Tapi apakan daya! Faez memang orang atasannya, merangkap bos kecik kepadanya. Apa saja arahan dan cacian yang diterima, dia harus telan.
“Assalamualaikum..” Sapa Qaseh saat pintu ditolak dari luar.
“Waalaikummussalam. Masuk!!” Jawap Faez tanpa mengangkat sedikit pun mukanya daripada meja. Dia tampak begitu khusyuk, menulis sesuatu di atas sekeping kertas. Qaseh segera masuk dan berdiri betul-betul di hadapan Faez. Tidak pula dia berani untuk duduk tanpa arahan.
Lama dia berdiri di situ, dan Faez juga masih lagi khusyuk dengan kerjanya tanpa menoleh sedikitpun pada Qaseh. ‘Eii..apa kes dia ni!! Tadi panggil aku sangat. Sekarang aku dah tercongok depan dia dari tadi, dia boleh buat bodoh jer!!’ Qaseh sudah membebel dalam hati.
“Ehemm..” Qaseh berdehem kecil. Laju saja Faez mengangkat kepalanya, memandang Qaseh buat seketika.
“Duduklah! Yang awak berdiri dari tadi kenapa?” Sinis saja bunyinya. Laju saja Qaseh menarik kerusi lalu duduk berdepan dengan Faez.
Wajah Faez nampak biasa saja pada hari itu, tidak ketat seperti kebiasaannya. Namun dada Qaseh masih tetap berdebar-debar. Renungan mata Faez yang tajam pada wajahnya itu membuatkan jantungnya terasa seperti mahu tertanggal. Jika dilihat dari mata kasar, Faez mungkin sebaya dengan suaminya Harith. Jika tidak, mungkin tua setahun dua sahaja daripada Harith.
“Ada apa encik Faez panggil saya ni?” Tanya Qaseh, tidak betah lagi dengan situasi yang mendebarkan seperti sekarang. Faez tersentak dengan pertanyaan Qaseh.
“Err..Mmm..Macam ni, esok saya ada meeting dengan client dekat damansara. Tapi saya tak boleh pergi sebab ada kerja lain yang lebih penting. So, saya nak awak gantikan tempat saya. Tapi ingat! Ini memang client tetap kita..Saya tak nak dengar ada sebarang aduan.” Akhirnya berjaya juga Faez mengawal kegugupannya sebentar tadi. ‘Gila aku ni! Kalau dia perasan aku duk tenung dia tadi, tak ker malu..’ Desis Faez sendiri.
Memang semenjak pertama kali dia terpandangkan Qaseh, hatinya sudah berdegup kencang, seakan tidak percaya dengan pandangan matanya. Mana mungkin orang yang telah mati hidup kembali. Tetapi, wajah Qaseh saling tidak tumpah seperti wajah arwah tunangnya. Cuma, cuma lesung pipit di pipi Qaseh itu saja yang membezakan mereka. Kebetulan apakah ini?
Kerana itulah dia tidak mampu untuk berdepan dengan Qaseh. Tidak kuat untuk melayan Qaseh dengan baik seperti dia melayan pekerja-pekerja yang lain. Dia takut! Takut sekiranya dia tidak dapat mengawal emosinya. Takut kalau-kalau dia terlupa siapa Qaseh sebenarnya. Takut dia tidak kuat untuk melawan perasaan sendiri..
 Walaupun sudah hampir dua tahun arwah Syuhada pergi meninggalkan dia, namun bayangan arwah tunangannya itu masih tetap utuh bertakhta di hati dan bermukim di sanubarinya. Melihat Qaseh, seolah-olah dia melihat Syuhada. Alangkah sakitnya perasaan itu. Wajah Faez berubah riak, tampak sayu dan mendung dengan tiba-tiba.
“Apa encik cakap tadi?”
Soal Qaseh dengan wajah berkerut. Dia seakan mendengar Faez seolah mengomel sesuatu, namun kurang jelas. Matanya masih menatap wajah Faez yang tiba-tiba beriak mendung itu. ‘Kenapa dengan dia yer?’ Hati kecil Qaseh tertanya-tanya.
“Ehemm..Tak ada apa-apa! Okey, awak boleh keluar sekarang. Kejap lagi saya emailkan alamat tempat tu pada awak.” Suara Faez kembali tegang. Dia bersuara tanpa memandang pada Qaseh yang sudah terkebil-kebil memandangnya. Qaseh masih lagi kaku di situ. Bermacam persoalan bermain di fikirannya membuatkan dia menjadi keliru.
“Awak tunggu apa lagi ni?!!” Suara Faez sudah berubah nada, keras dan mengjengkelkan. Qaseh yang terkejut dengan herdikan itu bingkas bangun dan cepat-cepat berlalu dari bilik itu.

ANGIN malam yang bertiup lembut menyapa rambut Qaseh, membuatkan hujung rambutnya terbuai lembut. Matanya terus merenung ke dada langit, melihat bulan dan bintang yang bersinar terang. Sejak dari tadi lagi dia duduk termenung di balkoni bilik. Usai menjamah makan malam sebentar tadi..dia terus naik ke bilik, meninggalkan Harith bersama Tan Sri Musa yang masih berbual-bual tentang perniagaan mereka. Qaseh langsung tidak berminat untuk mengambil tahu, dan kerana itulah dia lebih senang menghabiskan masa di bilik. Lagipun, perasaannya akan berasa sesak setiap kali berdepan dengan Harith. Lebih-lebih lagi jika di hadapan Tan Sri Musa.
Cuaca pada malam itu sungguh baik. Seketika ingatannya singgah pada mereka, insan-insan kesayangannya yang berada di kampung. Apalah yang sedang dilakukan oleh datuknya sekarang? Comot adakah di rumah? Ataupun berjalan sampai lupa nak balik.. Aamar pula! Sihatkah dia? Bermacam persoalan yang bermain di benak fikirannya kala itu.
Perasaan rindu tiba-tiba menggebu di kalbu. Sudah hampir sebulan dia berada di bumi Kuala Lumpur ini. Dan selama itulah belum sekalipun dia pulang untuk menjenguk datuknya di kampung. Selama hampir sebulan juga, hampir setiap hari dia akan bertembung dengan ayah kandungnya. Tetapi hatinya masih tetap sama. Masih ada rasa marah dan kecewa. Entah bila perasaan itu akan lenyap dari jiwanya, Qaseh sendiri tidak pasti. Alangkah sakitnya perasaan ini!
Qaseh mengeluh kecil. Terasa berat benar bebannya kala itu. Sungguh! Dia tidak suka dengan hiruk-pikuk di kota metropolitan itu. Dia cintakan ketenangan. Cintakan kehidupan yang tenang tanpa perlu terkejar ke sana dan ke sini. Namun apakan daya.. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga menempuhinya. Demi janjinya pada Tok Daud, demi mahu membahagiakan hati tua datuknya itu, dia terpaksa jua menelan semua ini walaupun pahitnya bagaikan terlekat di anak tekak.
Seketika kemudian ingatannya berlari laju pada Faez, pengarah eksekutif merangkap bos kecik kepadanya. Kenangan pada pagi tadi terus menari laju dalam ingatannya. ‘Kenapa Encik Faez tiba-tiba sedih tadi errk? Aku rasa macam terdengar dia sebut nama seseorang..Syuhada! Siapa Syuhada tu sebenarnya? Kenapa dia benci sangat pada aku?’ Hati Qaseh terus bermain dengan teka-teki.
“Oittt!! Berangan?”
Sergah satu suara, membuatkan jantung Qaseh terus tersentap laju. Lamunannya terus mati dan melayang pergi. Tangannya mengurut-ngurut dadanya yang terasa seperti mahu pevah dek kerana terlaampau terkejut.
“Ya Allah! Awak ni..Tak boleh ker tegur orang tu elok-elok? Nasib tak mati terkejut jer tau!!” Marah Qaseh. Matanya merenung tajam ke dalam anak mata Harith. Sakit hati yang amat!
Harith tersemyum simpul melihat Qaseh sudah menarik muka masam. Rasa kelakar pula dia melihat wajah qaseh yang pucat tak berdarah sebentar tadi.
“Dah tahu penakut, buat apa termenung sorang-sorang tengah malam buta ni?” Selamba saja Harith memangkah. Dia sudah berdiri betul-betul di sebelah Qaseh, begitu dekat sehinggakan Qaseh dapat menghidu bau tubuhnya yang wangi dan dapat merasai kehangatan tubuh lelaki itu. Dubb..Dabb..Dubb..Dabb..! Tidak semena-menanya dada Qaseh berdebar-debar. Dia masih diam membatu.
“Buat apa kat luar ni?” Tanya Harith lagi dengan suara perlahan dan sedikit mesra. Lain benar dengan nada suaranya sebelum ini. ‘Hmm..boleh pun cakap elok-elok rupanya..’ Gumam Qaseh dalam hati, masih belum menjawap pertanyaan daripada suaminya sebentar tadi. Cuma matanya saja tidak lari daripada merenung wajah kacak milik Harith. ‘Emm, lelaki kacak dan kaya macam dia ni, mustahil tak ada makwe.! Kenapa dia kahwin dengan aku agaknya..Tak kanlah semata-mata kerana harta?’ hati kecil Qaseh terus-terusan berbicara.
“Kenapa diam jer ni? Teringatkan atok yer?” Tanya Harith lagi. Begitu dekat dan lembut di telinga Qaseh, sehingga menusuk ke dalam hatinya. Qaseh terpaku! Senyuman manis yang terukir di bibir Harith tika itu benar-benar membuatkan dia terpana. Sepanjang perkenalan mereka, inilah pertama kali Harith senyum begitu padanya. Senyuman yang tampak begitu ikhlas sekali.
“Heyyy..Dengar tak ni?” Pipi Qaseh disentuh lembut oleh Harith. Entah kenapa pada malam itu dia tidak rasa mahu bergaduh dengan Qaseh. Mungkin hatinya terlalu gembira kerana Qaseh berjaya memujuk tok ayahnya untuk membenarkan mereka berpindah dari rumah banglo itu.
Qaseh tersentak dengan perlakuan Harith yang langsung tidak dijangka itu. Dia cepat-cepat mengelak dan menjauhkan sedikit dirinya daripada Harith. Sungguh!! Harith lain benar malam itu. Qaseh berasa takut melihat kelainan yang dipamerkan oleh Harith. Otak nakalnya sudah membayangkan benda yang bukan-bukan.
“Kenapa awak baik lain macam jer malam ni? Menang loteri?” Tanya Qaseh agak sinis. Wajah Qaseh sedikit berkerut.
Harith cuma diam, sedikit pun dia tidak melatah pada malam itu. Wajah Qaseh yang tampak jernih itu direnung lama. Sekilas senyuman terukir lagi di bibirnya membuatkan Qaseh semakin keresahan. ‘Hai..Kenapalah selama ini aku tak pernah sedar yang isteri aku ini cantik.’ Desis Harith dalam hati.
“Terima kasih sebab kau bersusah payah memujuk tok ayah supaya bersetuju dengan rancangan aku untuk pindah rumah tu..”
“Ohh, jadi sebab itu jerlah awak tiba-tiba baik dengan saya malam ini?”
“Habis tu kau ingat sebab apa?” Harith sudah buat muka miang. Matanya dikenyitkan pada Qaseh. Senyuman lebar bermain di bibirnya saat kakinya sudah melangkah menghampiri Qaseh semula.
“Awak ni kenapa?”
Suara Qaseh sudah bertukar nada menjadi cemas. Debaran di dadanya semakin menggila tatkala Harith sudahpun berdiri betul-betul di hadapannya, begitu hampir dengannya. Manakala Harith pula berasa semakin seronok untuk mengusik apabila melihat wajah Qaseh yang agak tenang sebenatar tadi sudah bertukar menjadi cuak.
“Saja nak bermesra dengan isteri sendiri, tak salahkan?” Jari kasar Harith sudah membelai lembut wajah Qaseh, membuatkan Qaseh terpana.
Dada Qaseh sudah sesak dan terasa seperti mahu pecah menahan debar. Mukanya juga sudah terasa panas. Seumur hidupnya belum ada seorang lelaki pun yang berani menyentuhnya begitu.
“Awak jangan nak macam-macam errk!!” Qaseh menepis laju tangan Harith lalu menolak kuat tubuh Harith yang merapat padanya. Harith yang tidak bersedia dengan tindakan Qaseh itu terdorong sedikit kebelakang dan ini telah membuka ruang untuk Qaseh melarikan diri.
“Gila!!”
Bentak Qaseh agak keras sambil menjelirkan lidahnya kepada Harith. Dia berlari laju masuk ke dalam bilik dan terus menguncikan diri di dalam bilik air. Harith tergelak kecil. Entah kenapa rasa terhibur pula hatinya dapat mengenakan Qaseh pada malam itu.
“Oii..keluarlah!!” Pekik Harith dari luar bilik air.
Qaseh masih membatu. Matanya dipejamkan rapat-rapat, cuba menenangkan dirinya. ‘Kenapa aku rasa lain macam jer bila dia sentuh aku macam tu? Ya Allah, aku takut! Macam mana kalau aku betul-betul jatuh cinta pada dia nanti..’ Hati Qaseh berbisik sendiri.

4 ulasan: