Lakaran Cinta Di Garis Waktu - Bab 2




BAB 2

HANIM seka air mata yang melimpah di tubir mata. Saat saksi-saksi mengangguk kepala mengatakan ‘sah’ pada pernikahan mereka, hati tiba-tiba disapa hiba. Wajah Firash terus dicari, ingin melihat reaksi lelaki itu. Nampak tenang dan khusyuk sahaja mengaminkan doa. Tiada senyuman yang menghiasi wajah tampannya tika itu.
Mata Hanim mencari pula wajah Zakhwan. Lelaki itu tersenyum lebar kepadanya. Seolah-olah dia yang telah diijabkabulkan sebentar tadi. Makin hiba hati Hanim. Zakhwan tidak terasa apa-apakah? Apakah sedikitpun tidak tercuit hatinya melihat Hanim diangkat menjadi suri kepada lelaki lain? Kekasih jenis apakah Zakhwan ini? Hanim rasa mahu meraung sekuatnya.
 Terasa tangan Hanim disentuh lembut. Terus lamunannya bertebaran pergi. Hanim menoleh kepada Makcik Yusni. Ibu mentuanya itu tersenyum lembut. Cepat-cepat Hanim mengaminkan doa, tersedar diri sudah terlalu jauh berkhayal.
“Hanim, okey?” soal Makcik Yusni, lembut. Wajah menantunya itu direnung lembut. Cantik orangnya! Dalam hati tertanya-tanya juga. Kenapa Hanim dengan Farish tergesa-gesa mahu berkahwin. Majlis juga diadakan secara ringkas sahaja. Akad nikah semata-mata. Keluarga di sebelah Hanim hanya diwakili oleh Puan Rahmah, pengasuh dari rumah Perlindungan Kasih. Selebihnya hanyalah tuan kadi dan saksi-saksi. Kerana Hanim berwalikan hakim.
“Oo.. Okey, umi.” Hanim tergagap-gagap. Terasa janggal memanggil wanita itu dengan panggilan ‘umi’. Kenal baru beberapa jam, terus menjadi keluarga. Hanim rasa memang tak masuk akal. Tapi pada pandangan mata kasarnya, keluarga Firash nampak macam keluarga orang baik-baik. Adik-adik perempuan Firash juga nampak peramah dan mesra.
Makcik Yusni tersenyum lagi.
“Along, marilah sini, dekat Kak long. Buat upacara batal air sembahyang!” Zana mengusik. Tahu, Firash pemalu orangnya.
“Aah, along. Marilah sini!” Zara menyokong. Dua beradik kembar itu memang macam tu. Suka sangat mengusik abangnya. Lebih-lebih lagi, Firash memang pemalu dengan perempuan. Terkejut juga mereka apabila tiba-tiba sahaja Firash membuat keputusan untuk berkahwin. Tergesa-gesa pula tu.
“Kena juga ke? Tak payahlah! Nanti-nanti boleh batalkan air sembahyang.” Firash beralasan.
“Kenalah! Apalah along ni. Nah, sarungkan cincin kahwin ni dekat jari Kak long. Cincin ni simbolik untuk orang yang dah berkahwin tau!” giat Zara pula. Kotak baldu berwarna merah hati dihulurkan oleh Zara dari jauh.
Firash pandang muka Zakhwan di sebelahnya. Zakhwan mengangguk laju. Serba-salah Firash dibuatnya! Apa kata Zakhwan nanti? Walaupun Zakhwan nampak macam tidak kisah, hati kawan tetap kena jaga. Kemudian dia pandang pula muka Hanim yang berjarak beberapa meter darinya. Hanim hanya tunduk memandang lantai rumah. Teringin juga dia tahu, apakah perasaan hanim ketika ini?
“Pergilah.. Dah sah! Dah boleh pegang, dah. Nak angkut masuk bilik pun dah boleh,” gurau tok kadi sambil mengemaskan dokumen ke dalam beg sandangnya. Dia tertawa kecil. Disambut pula oleh tetamu-tetamu yang berada di situ.
Gulp!
Firash telan liur. Payau sungguh rasanya. Kalaulah mereka tahu hakikat sebenar di sebalik perkahwinan ini, apakah reaksi mereka agaknya? Tentu-tentunya mereka menghalang perkahwinan ini, tadi.
“Along..” Makcik Yusni mula bersuara. Betullah kata hatinya, ada yang tidak kena dengan perkahwinan ini. Hanim dan Firash memang sedang sorokkan sesuatu! Kenapa mereka nampak macam tidak gembira dengan perkahwinan ini, sedangkan mereka yang tergesa-gesa mahu berkahwin? Hati Makcik Yusni memang rasa tidak sedap.
Lambat-lambat Firash bangun. Langkah diayun dengan hati yang berat menuju ke arah Hanim. Perasaannya terus memberontak. ‘Kenapa aku lemah sangat ni? Kenapa aku biarkan saja orang lain mencorak rentak  hidup aku? Argghhh...’ Firash menjerit dalam hati.
Kini semua mata sedang tertumpu kepada mereka. Firash duduk betul-betul di hadapan Hanim. Sejenak matanya jatuh kepada Hanim yang hanya tunduk sedari tadi. Relakah dia dengan perkahwinan ini? Gembirakah dia dengan perkahwinan ni? Tentu-tuntunya tidak!
“Nah, cincinnya along.” Zara menghulurkan sebuah kotak baldu berwarna merah kepada Firash. Lambat-lambat tangannya menyambut. Sebentuk cincin emas dikeluarkan dari kotak itu. Matanya jatuh pula kepada tangan Hanim yang sedang bermain dengan jari sendiri. Nampak macam gelisah saja.
“Sarunglah cepat!” Puan Rahmah menarik tangan Hanim dan dihulurkan di hadapan Firash. Sedari tadi lagi dia perhatikan gelagat Firash dan Hanim. Perasaannya sama juga dengan perasaan Makcik Yusni. Pasti ada sesuatu yang Firash dan Hanim sembunyikan!
Cincin emas selamat mendarat di jari manis Hanim. Muat-muat dengan jari runcing Hanim. Nampak terletak cantik di situ. Pandai uminya mengagak. Puan Rahmah menganggukkan kepala kepada Hanim sebagai isyarat supaya Hanim menyalami tangan Firash. ‘Ish, apa kena dengan budak-budak ni? Pelik sungguh gayanya!’ Hati Puan Rahmah mula berdetik sesuatu.
Hanim mengapai tangan Firash lalu dicium lembut. Hati rasa berdebar tak menentu. Jantung juga tiba-tiba terasa sakit. Seakan susah mahu mengepam darah. ‘Kenapa ni, Hanim? Cool, okey!’
“Along, ciumlah dahi Kak long!” makin galak kembar berdua itu mengusik abangnya.
Hati Hanim makin berdebar.
“Malam nantilah, along cium,” balas Firash dengan muka habis selamba. Kepala Hanim diusap lembut sebelum dia bangun dan berlalu dari situ.
“Alah, along ni... Tak romantik langsung!” keluh Zana dan Zara, serentak.
Gulp!
Hanim menelan liur. Kenapa rasa terlalu kesat ni? Hati disapa hiba lagi. ‘Hanim, kenapa kau sedih ni? Kecewa ke sebab dia  tak cium kau? Kecewa ke sebab perkahwinan kau yang macam ni?’ Hanim kedipkan mata berkali-kali. Menahan air matanya agar tidak tertumpah di situ. Bagaimana agaknya kehidupan dia pada hari-hari yang mendatang? Tiga tahun itu satu jangka masa yang lama. Bagaimana mereka mahu hidup bersama sedangkan di hati masing-masing, langsung tiada cinta.

ZAKHWAN bersandar tubuh pada Audi S5 miliknya yang tersadai elok di tengah laman rumah Makcik Yusni. Firash pula hanya berdiri tegap sambil berpeluk tubuh. Usai upacara akad nikah tadi, para tetamu mula meminta diri. Kini, tiba giliran Zakhwan pula ingin meminta diri.
“Rash, aku balik dulu tau! Nanti jangan lupa hantar aku dekat airport minggu depan. Bawa Hanim sekali.”
Flight kau pagi ke petang?” Firash buang songkok di kepala, dikepit songkok itu di bawah ketiaknya.
“Petang,” jawap Zakhwan sepatah. Entah kenapa tiba-tiba hati terasa berat mahu meninggalkan Hanim. Riak muka nampak resah saja. ‘Apa ni Zack? Ini rancangan kau! Kena yakin dengan Firash. Dia tak akan tikam kau!’ Hati cuba memujuk perasaan sendiri.
“In Shaa Allah, Zack. Nanti aku datang,” janji Firash. Riak mukanya juga nampak resah. Besar sungguh amanah yang Zakhwan titipkan untuknya. Mampukah dia menggalas amanah yang diberikan oleh Zakhwan tanpa sedikit pun mengkhianti kepercayaan sahabat baiknya itu.
“Rash, aku percayakan kau! Tolong jaga Hanim baik-baik. Selepas aku kembali dari UK nanti, aku akan ambil dia semula dari kau. Terima kasih sebab sanggup berkorban untuk aku. Kau sahabat aku dunia, akhirat Rash.”
Tubuh Firash dirangkul erat oleh Zakhwan.
Firash terjeda. Lambat-lambat pelukan Zakhwan dibalas juga. Hati mula terasa sebak. ‘Kenapa Zack? Kau tahu tak, aku sebenarnya tersepit?’ kata-kata itu hanya terluah dalam hati Firash. Kenapalah dia lemah sangat? Firash benci dengan kelemahan sendiri. Mahu diluah mati emak. Mahu ditelan mati ayah. Sudahnya dia kemam sendiri walaupun pahit.
“Aku balik dulu.” Zakhwan meminta diri. Sejenak matanya menyorot pada rumah Makcik Yusni, mencari kelibat Hanim kalau-kalau ada di muka pintu. Tapi dia kecewa. Wajah mahupun bayang Hanim langsung tidak kelihatan.
Akhirnya, Audi S5 milik Zakhwan mengaum garang meninggalkan perkarangan halaman rumah Makcik Yusni. Firash hanya melambai lemah. Lama dia berdiri di situ walaupun bayang Audi S5 milik Zakhwan sudah lama menghilang. Terasa berat kakinya mahu menapak masuk ke dalam rumah.

HANIM diam seribu bahasa. Renungan Puan Rahmah yang jatuh tepat pada wajahnya itu benar-benar menggentar jiwa. Dia tahu emak angkatnya itu pasti dapat menghidu sesuatu. Tapi, biarlah dia diamkan dulu.
“Hanim..”
 Panggil Puan Rahmah lembut. Matanya mencari wajah Hanim yang sedari tadi lagi tunduk menekur tilam. Hatinya bertambah yakin, ada yang tidak kena dengan anak angkatnya itu. Dia yang besarkan Hanim dari kecil. Faham sangat dengan perangai Hanim. Kalau Hanim tidak berani bertentang mata dengan dia, adalah tu yang tidak kena.
Hanim diam. Kepalanya masih tunduk menekur tilam.
“Hanim ada buat salah ke?” duga Puan Rahmah sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Hanim. Memang Makcik Yusni sengaja biarkan mereka berdua di bilik, dengan harapan Hanim mahu membuka mulut dan bercerita dengan Puan Rahmah.
“Tak ada, mak!” laju Hanim menggeleng kepala. Tapi wajahnya masih juga tunduk. Rasa bersalah pula menipu Puan Rahmah.
“Kalau ada masalah, ceritakan pada mak.”
Senyap.
“Hanim dengan Firash pernah terlanjur ke?” kendur suara Puan Rahmah. Jujurnya dia rasa bersalah bertanyakan soalan yang begitu kepada Hanim, kerana dia tahu benar siapa diri Hanim. Tak mungkin Hanim buat benda terkutuk itu. Tetapi, dia kena bertanya juga. Maklumlah budak muda zaman sekarang. Mudah terlalai dan terleka.
“Mak, sumpah mak! Hanim tak buat semua tu.” mata Hanim mula berkaca. Berat sungguh tuduhan emak angkatnya itu. Tercalar hati, dibuatnya.
“Maafkan mak. Mak tahu anak mak baik kan? Mak dah bagi didikan agama yang sempurna. Mak yakin Hanim dapat bezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Tapi, cara Hanim dengan Firash yang membuatkan mak curiga,” luah Puan Rahmah. Tangannya menggenggam erat jari jemari Hanim.
Hanim sebak. ‘Maafkan Hanim mak. Hanim tahu besar jasa mak pada Hanim. Tapi, Hanim terpaksa tipu mak. Kalaulah mak tahu apa yang dah Hanim buat, pasti hati mak terluka. Lebih dalam rasanya luka di hati mak berbanding dengan hati luka di hati Hanim. Hanim mengaku! Hanim jadi bodoh kerana cinta manusia. Hanim malu, mak.’ Kata-kata itu yang Hanim mahu luahkan kepada puan Rahmah, tetapi hanya bergema dalam hatinya.
Baru sahaja Hanim mahu membuka mulut,
“Assalamualaikum,” Firash muncul di muka pintu bilik bersama senyuman yang menguntum di bibir. Matanya jatuh tepat kepada Hanim. Seketika matanya leka di situ. Macam mimpi! Tak ada angin mahupun taufan, tiba-tiba dia sudah menjadi suami kepada seseorang.
“Waalaikummussalam,” jawap Puan Rahmah bersama senyuman juga. Hanim hanya menjawap di dalam hati.
Firash menapak perlahan menghampiri Hanim, lalu melabuhkan punggungnya di sebelah kanan Hanim. Puan Rahmah yang berada di sebelah kiri hanya tersenyum memerhati.
“Rash jumpa dengan Hanim secara tak sengaja mak. Terus berkenan nak buat isteri. Kata orang bercinta selepas kahwin lagi manis. Sebab tu Rash dengan Hanim ambil keputusan untuk berkahwin. Cinta tu akan datang kemudian. Kan sayang?” Firash capai tangan Hanim. Digengggam lembut. Terasa sejuk tangan Hanim digenggamannya. Macam ais batu. Takut ke?
“Hah?”
 Mata Hanim berlaga tepat dengan anak mata Firash. Dadanya terasa penuh dan sesak. ‘Apa kena dengan dia ni?’ hati Hanim berbisik sendiri. Sungguh dia tidak faham dengan Firash. Kenapa tiba-tiba saja mesra? Tadi bukan main lagi keras. Macam putung kayu!
“Ish, sayang ni.. blur pula.” Firash tarik kepala Hanim rapat pada dadanya. Tangan naik menggosok lembut kepala Hanim sambil tertawa kecil.
Okey! Dada Hanim rasa macam hendak pecah. Bau minyak wangi Firash betul-betul menekan perasaannya. Hanim dapat dengar bunyi degupan jantung Firash yang kencang. Bersatu pula dengan degupan jantungnya yang tidak kurang hebatnya juga.  
  “Ya, kan saja,” bisik Firash halus di telinga Hanim. Tangannya masih mengusap lembut kepala Hanim.
Terus kepala Hanim tegak. Dia tersenyum kelat kepada Puan Rahmah. Rupanya Firash mahu selamatkan rahsia mereka. Sekarang baru dia faham. Kenapalah dia lembab sangat!
“Aah.. ya, mak. Itu yang Hanim nak bagitahu mak tadi. Hanim takut nak bagitahu mak, bimbang kalau-kalau mak tak setuju!” bersungguh Hanim cuba meyakinkan puan Rahmah.
“Oo.. macam tu. Mak minta maaf pada Hanim dan Firash sebab mak dah fikir yang bukan-bukan. lain kali jangan sorok. Terus-terang saja kan baik. Apa yang kamu berdua buat ni tak salah. Bercinta lepas kahwin lagi indah sebenarnya,” lega hati Puan Rahmah.
Hanim tersenyum kelat. ‘Maafkan Hanim, mak.’ hati berbisik lagi.
“Hanim, Firash.. kalau macam tu, mak balik dulu. Hidup berumah tangga ni, banyak dugaannya. Mak harap Hanim dan Firash sabar dalam menempuh alam berumah tangga ni. Kena saling bertolak-ansur, berkerjasama, hormat-menghormati diantara satu sama lain. Dan kunci yang paling utama, kejujuran dan kepercayaan. Ingat tu!” pesan Puan Rahmah panjang lebar.
“Baik, mak.” Hanim dan Firash menyahut serentak.
Usai bersalaman, Puan Rahmah meminta diri, meninggalkan Hanim dan Firash di dalam bilik itu. Masing-masing membisu seribu bahasa. Terasa janggal pula duduk berdua begitu di dalam bilik yang bertutup rapat.
“Err.. saya minta maaf sebab sentuh awak tadi,” Firash mula bicara. Memang dia rasa bersalah yang amat. Dia tahu Hanim tidak selesa. Tapi, dia kena pegang juga Hanim untuk meyakinkan emak angkat Hanim., sekaligus menyangkal apa yang bermain di hati kecil wanita tua itu.
“Mmm.. Tak apa! Awak tak buat salah pun,” suara Hanim bergetar. Susah betul mahu melawan rasa gemuruh yang sedang berumah di hatinya saat ini.
“Kalau macam tu, awak boleh keluar sekejap tak?” tanya Firash.
“Kenapa?” dahi Hanim berkerut.
“Saya nak tukar baju. Panas pakai baju macam ni.” Firash tarik lehar baju melayunya.
“Oh, okey!” macam lipas kudung Hanim berlalu meninggalkan Firash di bilik. Gila nak tunggu!
Tanpa sedar senyuman halus terukir di bibir Firash. Hatinya tercuit melihat gelagat Hanim yang gelabah biawak itu.

1 ulasan: