Janji Semalam -Bab 5


BAB 5

KERETA Proton Waja berwarna hitam milik Amir berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah batu sederhana besar. Mata Widad meliar ke segenap kawasan rumah batu itu. Kawasan di sekelilingnya nampak bersih dan kemas. Di halaman rumah kelihatan beberapa ekor anak ayam sedang mengais tanah bersama ibunya. Laman rumah itu betul-betul bersih hatta sehelai daun kering pun tidak kelihatan di situ. Pasu-pasu bunga pula nampak tersusun rapi dan kemas. Cantik dan mendamaikan.
Widad tarik nafas dalam-dalam. Rasa sesak dadanya saat itu. Mana tidak sesaknya, ini adalah pertama kali dia berkunjung ke rumah Amir walaupun mereka tinggal sekampung. Umi dengan Abah Amir pun dia tak pernah jumpa. Nama saja satu kampung, tapi tak semua orang dalam kampung tu dia kenal. Yerlah, boleh tahan besar juga kampung Widad tu. Dengan Alif pun dia kenal sebab satu sekolah dan satu kelas.
Lagi sesak dada Widad apabila memikirkan kemungkinan dia akan terserempak dengan Alif. Apa dia nak buat? Buat bodoh ataupun buat cerdik? Aduh! Macam nak pecah dah dada Widad. Tanpa sedar satu keluhan kecil terlepas dari mulutnya.
Amir laju menoleh. Lama dia merenung Widad. Hari itu Widad nampak sopan sangat di mata Amir. Sopan pluss ayu sebenarnya. Ini pertama kali dia tengok Widad bertudung kemas siap berbaju kurung. Selalunya Widad selekeh saja. Tudung pakai sarung jer di kepala. Baju pula t-shirt besar gedabak dengan seluar trek. Hari ni Widad memang lain. Memang ayu sangat-sangat. Kalau boleh Amir tak nak alihkan matanya walaupun sesaat. Dia nak tengok Widad puas-puas.
“Ada apa dekat muka saya?” Tanya Widad tiba-tiba. Laju saja tangannya merayap di muka. Berkerut-kerut dahinya.
“Err.. ehh..” Amir terkulat-kulat. ‘Ces, kantoi!’ Desis hati Amir. Sudahnya dia tersenyum macam kerang busuk.
Makin berkerut dahi Widad.
Amir berdehem beberapa kali, cuba sembunyikan perasaan terkejut dan malunya. Mana tak malu? Tengah syok-syok menilik muka Widad, dia ditangkap. Kalau ditangkap basah takperlah jugak. Ini kena tangkap kering. Memang tak tahu mana nak sorok muka dia tu.
“Kenapa mengeluh?” Tanya Amir lembut. Pandangan Widad yang dah semacam dua macam tu dia buat tak nampak saja.
“Hah, mana ada mengeluh?”
“Tadi saya dengar! Saya belum pekak lagi Puan Widad.. Kenapa ni?” Suara Amir yang begitu lembut itu membuatkan perasaan Widad seakan melayang. Ditambah pula dengan renungan redup daripada sepasang mata jernih milik Amir yang bersinar galak itu benar-benar memukau Widad. 
Widad tunduk. Hujung jarinya sudah mula memintal hujung tudung. Hati Widad benar-benar resah sekarang.
“ Err, Amir.. Kalau awak masuk sorang boleh tak?” Widad bertanya perlahan. Matanya yang bersinar itu benar-benar mengharapkan jawapan ‘okey’ daripada Amir.
“Hah?” Amir nampak terkejut.
“Saya takutlah! Macam mana kalau Umi dengan Abah awak tak suka saya? Lepas tu diaorang maki saya? Lepas tu pukul-pukul saya?” Tutur Widad bersungguh. Matanya sudah bulat merenung Amir. Bersungguh benar otaknya berkerja, berfikir yang bukan-bukan.
Tanpa Widad sangka, tawa Amir sudah meletus di situ. Ini pertama kalinya Widad nampak Amir ketawa macam tu. Bersungguh benar, sampaikan berair mata dibuatnya.
“Hello, abang ustaz! Apa yang kelakarnya?” Widad sudah tarik muka. ‘Eeeii, geramnya aku! Nasib baik kau handsome. Kalau tak, dah lama aku sumbat mulut kau dengan.. dengan.. dengan apa erk? Arghh!! Apa-apa jerlah!’ Hati Widad sudah merapu yang bukan-bukan.
Errk! Tawa Amir terus mati. Namun masih ada lagi sisa-sisa senyum di bibirnya. Muka Widad yang mencuka itu direnung lagi. Walaupun muka Widad sudah mencuka macam susu basi, tapi di mata Amir Widad tetap nampak cantik.
Anak mata Widad yang hitam pekat dan bersinar galak. Lekuk di dagu Widad pada setiap kali dia mengukirkan senyuman, tingkah Widad yang keanak-anakkan.. semua itu benar-benar menambat hati Amir sekarang. Benar-benar membuatkan hati lelakinya terpaut sayang.
“Sayang.. Sebelum ni, Umi dan Abah tak pernah lagi maki orang. Apatah lagi nak pukul.” Selamba Amir menjawap dengan nada meleret-leret berserta senyuman manis terlebih madu.
“Hah, saa.. sayang?!” Mulut Widad sudah melopong. Mukanya tiba-tiba saja rasa panas. Berpeluh-peluh dahi Widad. Tak pernah-pernah ada lelaki panggil dia sayang. Bila Amir panggil dia sayang, dengan nada yang meleret macam tu.. Ya Allah, hanya Dia yang tahu hati Widad macam mana. Rasa melayang-layang..
“Yer, sayang!”
Jawap Amir sambil mengenyitkan sebelah matanya pada Widad. Bukan dia tak perasan muka Widad yang sudah bertukar warna tu. Saja dia mahu menyakat Widad. Seronok tengok Widad kelam-kabut macam tu. ‘Kau nak jual mahal sangat dengan aku kan? Kita tengok sejauh mana ego kau!’ Hati Amir terus berdetik suka.
Widad senyum kelat.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil saya macam tu?”
“Kenapa? Kan sedap aje bunyinya tu.. Barulah nampak macam loving couple.” Amir masih belum puas mengusik. Melihat muka Widad yang semakin merah itu membuatkan senyuman di bibirnya makin melebar. Kini keningnya pula dijungkitkan pada Widad. Boleh tahan juga Ustaz Amir ni yer.
Gulp! Widad telan liur. Muka makin berpeluh-peluh. ‘Amirrr... Kenapa kau buat aku macam niiii? Aku rasa macam.. macam jantung aku nak tergolek dah ni!’ Jerit hati Widad kuat. Kalaulah dia betul-betul boleh jerit kan bagus!
“Eeii, ustaz pun tahu menggatal errk?” Sinis Widad. Sehabis daya dia cuba berlagak tenang walaupun dia sudah seperti cacing kepanasan.
Amir tayang sengih lagi. Kali ini lebih lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang putih tersusun rapi. Makin kalut Widad jadinya. Berdetak-detuk bunyi jantung Widad.  Langsung tak sekata.
“Err, Jomlah!” Widad cepat-cepat keluar daripada perut kereta. Kalau lima minit lagi dia berada di dalam kereta itu bersama Amir, alamatnya mati keringlah dia jawapnya.
  Amir ketawa kecil. Perasaan bahagia mula bertandang di jiwa. ‘Ini baru permulaan Widad. Aku akan buat sampai kau betul-betul jatuh cinta pada aku!’ Hati Amir terus berbisik yakin.

SUASANA di ruang tamu rumah Haji Murad sunyi sepi. Suasana terasa begitu tegang dan melemaskan. Baik Amir mahupun Hajjah Kalsom cuma mendiamkan diri sedari tadi. Widad pula sudah macam cacing kepanasan. Sekejap dia menoleh ke kanan, kemudian toleh pula ke kiri. Dalam hati tidak henti-henti berdoa. Janganlah Hajjah Kalsom apa-apakan dia.
“Em, abah mana Umi?” Akhirnya Amir memecahkan kebuntuan.
Widad tarik nafas panjang. Dia perasan mata Hajjah Kalsom masih terarah tepat padanya. Semenjak dia sampai ke rumah itu tadi, hanya renungan wanita tua itu yang singgah pada wajahnya. Sumpah, Widad kecut perut. Walaupun raut wajah Hajjah Kalsom langsung tidak menampakkan kemarahan, tetapi entah kenapa hati Widad asyik berbisik yang bukan-bukan sahaja.
“Abah ke surau. Ada mesyuarat ahli lembaga masjid pagi ni.” Jawap Hajjah Kalsom tenang. Begitulah Haji Murad. Semenjak dia pencen daripada menjadi guru, dia mula bergiat aktif dengan aktiviti kampung. Kerana itu jugalah, dia agak dikenali di Kampung Pinang Sebatang itu.
“Oh!” Amir angguk kepala. Entah kenapa lidah dia juga seakan kelu untuk berkata-kata. Renungan Hajjah Kalsom pada Widad itu sedikit sebanyak membawa debaran juga di hatinya. ‘Janganlah Umi reject Si Widad ni.. Aku dah mula sayangkan dia.’ Desis hati Amir.
Muka Widad dijeling sekilas. ‘Mak, aii! Berpeluh.’ Amir telan liur. Umi dia pun satu hal. Dari tadi asyik merenung muka Widad tu, macam tak pernah tengok anak orang. Mahunya tak berpeluh budak tu.
“Widad ni anak sulung ker?” Tanya Hajjah Kalsom tiba-tiba. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Sejak dari tadi dia peratikan Widad. Cantik juga budaknya.
Widad terkebil-kebil. Matanya bertemu tepat dengan anak mata Hajjah Kalsom. Tak ada sepatah kata pun yang keluar daripada bibirnya. Widad nampak blur sesangat. Amir menyiku lembut lengan Widad, membuatkan Widad tersentak.
“Err, apa tadi makcik?” Tanya Widad kembali dengan sengihan kecil. Dalam hati sudah menyumpah-nyumpah dirinya sendiri kerana cuai.
“Umi tanya Widad ni anak sulung ker?” Ulang Hajjah Klsom. Masih dengan suara lembut dan senyuman yang masih melebar di bibir.
“Aahh.. anak sulung makcik.”
“Eh, apa pulak panggil makcik. Panggil Umi lah. Kalau macam tu samalah dengan Amir yer.. Hmm, anak sulung bertemu dengan anak sulung.” Balas Hajjah Kalsom.
Widad senyum kelat. Matanya melirik sekilas pada Amir yang berada di sebelahnya. Dia nampak Amir biasa saja. Riak wajahnya masih macam selalu. Tenang dan bersaja. ‘Dia ni memang dua puluh empat jam berzikir dalam hati ker? Kenapa wajah dia tu tak pernah nampak resah?’ hati Widad sudah mula berbisik.
Hajjah Kalsom dan Amir terus berbual-bual. Widad hanya menjadi pendengar yang setia. Sesekali dia tersenyum bila mata Hajjah Kalsom singgah pada wajahnya. Untuk menyampuk dia memang tak tahu.
Widad mampu menarik nafas lega buat seketika. Nampaknya Hajjah Kalsom baik orangnya. Walaupun dia tak diberitahu secara rasmi samaada dia diterima taupun tidak, melalui layanan yang ditunjukkan oleh Hajjah Kalsom itu sudah mampu membuatkan Widad bernafas dengan teratur. Tentang penerimaan Haji Murad dan Alif pula, Widad tidak tahu bagaimana. Harap-harap samalah.
“Amir dengan Widad makan tengah hari dekat sini yer. Nanti Umi masak. Tunggu abah balik, boleh kita makan sama-sama.” Pelawa Hajjah Kalsom.
Amir pandang Widad minta persetujuan.
“Tak susahkan Umi ker?”
Tanya Widad berbasi-basi. Padahal dalam hatinya berharap sangat agar Amir menolak perlawaan ibu mertuanya itu. Kalau boleh dia mahu cepat-cepat keluar dari rumah itu. Bimbang kalau-kalau dia akan terserempak dengan kekasih hatinya. Opss! Bekas kekasih. Kalau itu yang terjadi, Widad tidak tahu mahu beriaksi bagaimana.
“Ish, mana ada susahnya. Lagipun esok Amir dah nak balik rumah sewa kan? Mesti nak makan sama-sama dengan abah.”
“Balik rumah sewa?” Mata Widad sudah mencari anak mata Amir, minta penjelasan. Kenapa Amir tak cakap apa-apa pun pada dia.
“Yer. Esok abang kena balik rumah sewa. Abang dah kena mula mengajar sayang.” Lembut suara Amir menjamah halwa telinga Widad. Serta merta muka Widad jadi merah. Malu bila Amir panggil dia sayang. Di hadapan Hajjah Kalsom pula tu. Amir dikerling tajam. Malu ada geram pun ada. ‘Dia ni, memang saja nak kenakan aku kan?!’
Hajjah Kalsom tersenyum lebar. Tak sangka anak lelaki sulungnya itu pandai juga mengayat perempuan. Selama ini Amir nampak tegas saja orangnya. Dengan Hana pun Amir tak pernah panggil sayang.
Hana! Bila teringatkan saja Hana, senyuman lebar di bibir Hajjah Kalsom terus mati. Wajah yang tadi ceria mula disapa awan mendung. Ada rasa kesal yang berbelit di hatinya kini. Sepatutnya Amir bersama Hana, bukannya Widad. Tapi siapalah dia nak menghalang takdir Allah.
“Umi kenapa ni?”
Mata Amir sudah tepat merenung wajah Hajjah Kalsom. Ketara benar perubahan riak pada wajah umi kesayangannya itu. Hati Amir mula berasa tidak sedap. Gusar melihat riak wajah uminya yang berubah secara tiba-tiba itu.
“Emm, tak ada apa-apa.” Jawap Hajjah Kalsom lemah.
Amir diam. Dalam hati sudah mula dapat meneka apa yang sedang bermain di fikiran uminya itu. Rasa bersalah mula menapak di hati. Sedikit pun dia tidak berniat untuk menyakiti hati uminya. Semua yang terjadi tanpa dirancang.
Widad juga terdiam. Tidak tahu mahu menyampuk apa. Melihat wajah  Hajjah Kalsom yang berubah menjadi mendung dengan tiba-tiba itu membuatkan jiwa Widad turut disapa resah. Dia yakin tentu ada kaitan dengan dirinya. Sudahnya Widad tarik nafas dalm-dalam.
Suasana hening seketika.
Tiba-tiba lamunan mereka dikejutkan dengan bunyi motorsikal yang berhenti betul-betul di hadapan pintu rumah. Hati Widad tiba-tiba saja berdebar.
“Assalamualaikum..”
Kini semua mata terarah tepat pada pintu utama. Mata Widad sudah bulat. Debaran di dadanya semakin menggila. Rasa macam tercekik salur pernafasannya tika itu. ‘Alif!’ Hati Widad berbisik halus. Kolam matanya terasa panas. Namun matanya masih tetap terpaku di situ.
Alif juga terpaku di muka pintu. Matanya bertembung dengan mata Widad. Lama begitu. Bermacam rasa yang bersarang di dalam jiwa mereka. Dia langsung tidak menyangka akan bertemu dengan Widad di rumahnya pada hari itu.
Amir dan Hajjah Kalsom juga terkedu. Tidak tahu mahu berkata apa. Tangan Amir tiba-tiba mendarat kemas di atas tangan Widad. Jari-jemari Widad digenggam erat seakan mengingatkan Widad bahawa dia masih lagi wujud di situ.
Widad laju menoleh pada Amir. Sebuah senyuman Amir hadiahkan padanya. Widad telan liur. Hatinya makin berdebar-debar. Dia keliru lagi. Pandangannya beralih pula pada Alif. Widad nampak renungan tajam Alif begitu tepat padanya. Muka Alif juga nampak merah. ‘Marahkah dia?’ Hati Widad berbisik sendiri.
Sebuah senyuman sinis Alif hadiahkan pada Widad saat dia melintasi mereka untuk berlalu ke biliknya. Widad tunduk merenung lantai. Widad berpeluh-peluh Dia rasa air liurnya makin banyak di kerongkong. Walaupun diteguk berkali-kali tetap juga tidak kering.




2 ulasan:

  1. best, boleh tahan juga Ustaz sorang nie...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima Kasih.. huhu.. Itulahkan.. jangan ingat bila nama ustaz tak romantik..hihi.. : )

      Padam