Janji Semalam- bab 6



BAB 6

MAKAN tengah hari  di rumah Haji Murad berjalan dengan lancar. Makanan yang dimasak oleh Hajjah Kalsom betul-betul membuka selera Widad. Layanan baik yang ditunjukkan oleh Haji Murad dan Hajjah Kalsom juga melegakan hati Widad. Yang menjadi masalah sekarang cumalah Alif. Nampaknya Alif seakan tidak suka dengan kehadiran Widad di dalam keluarga itu. Sewaktu makan tengah hari tadi juga, Alif tidak muncul-muncul di meja makan.
Widad menyibukkan diri di dapur. Selesai saja menjamah makanan tengah hari tadi, dia telah menawarkan diri untuk mencuci segala pinggan mangkuk. Hajjah Kalsom tidak membantah. Dari dapur Widad cuba pasang telinga untuk mendengar perbualan di antara Amir, Hajjah Kalsom dan Haji Murad yang masih berada di meja makan yang terletak berhampiran dengan ruang dapur. Buruk betul perangai Widad ni kan?
Sayup-sayup Widad dengar suara Haji Murad bertanya.
“ Amir, betul ke keputusan yang sudah Amir buat ni?”
Dahi Widad berkerut. Tangan yang tadinya lincah mengelap pinggan terhenti. Telinganya semakin ditajamkan.
“Amir tak tahu abah.. Tapi Amir yakin dengan apa yang Amir buat.”
“Habis tu, apa abah nak cakap pada keluarga Hana?”
 Widad dengar suara Haji Murad macam tegang saja. ‘Hana? Siapa Hana tu?’ Dahi Widad sudah berkerut. Tiba-tiba saja hati rasa berdebar-debar. Dia cuba pasang telinga lagi, tapi sayang.. dia tak dengar sepatah kata pun selepas itu melainkan kebisuan. Widad mengeluh kecil.
“Kenapa Wid?”
Zup! Terus darah merah menyerbu ke muka Widad. Suara lelaki yang tiba-tiba saja datang menyapa itu memang tidak asing lagi padanya. Suara itu betul-betul dekat di telingannya. Widad kejang, takut untuk berpaling kebelakang. Dia tahu, saat itu Alif berdiri betul-betul di belakangnya. Dia boleh hidu bau tubuh Alif. Dia boleh rasa bahang daripada tubuh Alif. ‘Matilah aku!’ Hanya ayat itu saja yang diulang berpuluh kali di dalam hati Widad.
Alif sentuh hujung tudung Widad. Cepat-cepat Widad berpaling. Taula kecil yang digunakan untuk mengelap pinggan masih tergenggam kemas ditangannya. Muka Widad sudah berubah riak. Dia undur setapak kebelakang, menjarakkan keduduknnya dengan Alif.
“Alif?”
Widad tunduk renung lantai. Sungguh dia tidak kuat untuk menentang mata hitam milik Alif yang kini tertancap tepat pada matanya. Dada Widad rasa penuh. Bermacam rasa bertandang di jiwa. Semuanya menyesakkan dada. Tipulah kalau Widad boleh bertenang. Macam mana dia nak bertenang kalau kekasih hatinya sekarang adalah adik iparnya sendiri. Memang gila!
“Wid, kenapa buat Alif macam ni?” Alif menapak setapak. Anak mata Widad masih ditatap lama.
Widad mula gementar. Rasa berpeluh seluruh tubuhnya tika itu. ‘Ya Allah, inilah yang aku takutkan! Apa aku nak buat ni?’ Widad sudah cuak. Dia undur setapak lagi kebelakang, tapi tubuhnya sudah tersandar pada kabinet sinki.
Mata Alif makin galak merenung Widad. Sakit hatinya melihat Widad berpegangan tangan dengan Amir sebentar tadi masih belum reda. Kenapa mesti Amir? Alif memang tak boleh nak terima semua ni.
“Alif, tolong jangan macam ni.” Bergetar suara Widad. Mata mula mahu berkaca. Mahunya tak berkaca. Rasa nak menangis bila Alif cakap macam tu. Siapa yang buat siapa sekarang ni? Kalau Alif tak beria menolak, tentu mereka dah sah jadi suami isteri sekarang ni.
“Wid! Alif masih sayangkan Wid.. Alif tak boleh nak terima semua ni.” Lemah suara Alif menjamah telinga Widad. Muka Widad yang ayu itu ditatap tak berkelip.
“Apa yang Alif cakap ni? Alif dah lupa ker?! Siapa yang mati-matian tolak Widad? Tolonglah Alif.. jangan buat Widad macam ni.”
Widad rasa hendak menangis saat itu juga. ‘Kenapa kau buat macam ni Alif? Kau tahu aku memang sayang sangat-sangat pada kau! Tapi, apa yang boleh aku buat? Aku sekarang isteri orang. Isteri kepada abang kau!’ Hati Widad terus menjerit. Dia ingin sekali menghamburkan semua kata-kata itu pada Alif, tapi dia tak mampu.
“Wid! Alif bukan tak nak nikah dengan Wid. Tapi, Alif fikirkan masa depan kita. Kita sama-sama masih muda. Masih jauh perjalanan hidup kita. Alif nak kita tumpukan perhatian dalam pelajaran. Alif yakin kita sama-sama akan masuk universiti. Lepas kita dah sama-sama berjaya baru kita fikirkan semua ni. Petang tu, memang Alif datang jumpa Wid sebab nak bincangkan hal ini. Tapi belum apa-apa lagi, kita dah ditangkap. Dan, Alif tak sangka Wid sanggup nikah dengan abang Amir. Alif masih pegang janji kita.”
Widad terdiam, tunduk menekur lantai. Kata-kata Alif cuba dihadam lumat-lumat. Ada rasa sebak yang menjalar ke sanubari. Nafas yang dirasakan tersekat semakin sesak. Fikiran yang selama ini bercelaru menjadi semakin berselirat.  ‘Ya Allah, Alif.. Kenapa harus macam ni?’ Mata Widad makin berkaca, namun cuba ditahan sekuatnya agar air mata tidak tumpah. Hati Widad makin sebak. Sumpah! Sampai saat ini dia masih cintakan Alif. Walaupun dia ingin sekali membenci lelaki itu, namun dia tak mampu. Berdosakah dia?
Alif capai tangan Widad, digenggamnya erat seakan tidak mahu dilepaskan. Bulat mata Widad bertemu dengan mata Alif. Dia mahu menarik tangannya daripada genggaman Alif, tapi kenapa perasaannya seolah merelakan. Sudahnya, mereka masih tetap begitu. Berpegangan tangan sambil merenung di antara satu sama lain.
“Widad..”
Tiba-tiba Amir muncul di ruang dapur. Tersentak Alif dan Widad. Cepat-cepat Widad menarik tangannya daripada genggaman Alif. Tapi sayang, Amir sudahpun nampak.
Wajah Amir serta merta berubah menjadi keruh. Pandangannya jatuh tepat pada wajah Widad yang tunduk menekur lantai. Widad langsung tidak berani untuk mengangkat muka. Tak sanggup nak tengok riak keruh di wajah Amir. Perasaan bersalah  datang bertamu tanpa diundang.
Suasana hening seketika. Baik Alif, Widad, mahupun Amir.. masing-masing terus membatu. Hanya bermain dengan emosi dan perasaan sendiri.
“Lah! Berkumpul dekat sini rupanya..”
Suara lembut Hajjah Kalsom menjamah telinga mereka, sekaligus menyelamatkan mereka daripada situasi yang tegang.

AMIR masih diam. Matanya lurus kehadapan, memandu kereta dengan tenang. Suasana di dalam kereta sunyi sepi. Baik Amir mahupun Widad, masing-masing sepatah pun tidak bersuara. Hati Amir masih beku. Masih sakit dengan apa yang dia nampak tadi.
Widad menjeling sekilas pada Amir. Ustaz muda itu nampak tenang saja. Tapi kenapa sikapnya tidak sama macam selalu. Selalunya mulut dia riuh bertanyakan itu dan ini pada Widad, tapi saat ini.. mulut lelaki itu bagaikan digam kejap.
Widad tarik nafas panjang. Sungguh dia tidak tahu apa yang sedang bersarang di hati suaminya sekarang. Marahkah dia? Kecewakah dia? Perasaan bersalah tiba-tiba datang bertandang lagi. Widad sudah tidak betah dengan kebisuan Amir.
“Amir..” Panggil Widad perlahan dan takut-takut.
Amir masih diam. Masih terus memandu dengan tenang tanpa menyahut panggilan Widad. Pandangan Widad yang jatuh tepat pada wajahnya itu dibuat tak nampak saja.
Akhirnya Widad mengeluh kecil, bersandar lesu pada kerusi penumpang. Matanya dihalakan lurus kehadapan. Dia tidak tahu macam mana mahu memancing Amir supaya bersuara. Dia tidak tahu apa yang terbuku di hati lelaki itu saat ini. Apa yang dia tahu, dia diserang perasaan bersalah.

SUARA cengkerik yang bernyanyi begitu nyaring di telinga. Amir sendirian, masih ralit menonton televisyen di ruang tamu rumah Mak Piah. Mak Piah dan Zahrin baru sahaja masuk ke bilik masing-masing untuk tidur. Manakala Widad daripada isyak tadi lagi duduk berkurung di dalam bilik. Biarlah! Amir memang tengah berjauh hati dengan Widad. Rasa tak kuat untuk dia berdepan dengan Widad. Masih ada lagi sisa kemarahan dalam hatinya.
“Amir..”
Tiba-tiba suara lembut Widad menyapa halwa telinganya. Pantas Amir berpaling. Widad sudah berdiri tegak di tepi kerusi rotan yang sedang diduduki olehnya. Mata mereka bertemu sejenak. Amir nampak lambat-lambat Widad ukir senyum padanya. Tapi Amir, masih berwajah selamba merenung Widad tanpa berkelip. Walaupun senyuman Widad yang manis terlebih madu pada malam itu berjaya membuat jantungnya bergetar, namun Amir sedayanya cuba berlagak biasa. Senyuman Widad itu langsung tidak dibalas.
Amir matikan televisyen. Tanpa sepatah kata dia bangun, dan ingin berlalu dari situ. Sungguh, dia tidak mampu berdepan dengan Widad saat itu. Takut kalau-kalau api kemarahan yang sedang beraja di hatinya kini terhambur di situ. Masih jelas terbayang di ruang matanya Widad berpegangan tangan dengan Alif. Sakit hati! Itulah yang dia rasa sekarang.
“Amir..”
Suara Widad bergetar seakan merayu. Tangan Amir segera dicapai menyebabkan langkah Amir terus mati. Mata mereka bertemu sejenak. Widad rasa perasaannya tak keruan. Renungan mata Amir yang sentiasa redup itu membuatkan perasaan bersalahnya makin menebal di jiwa.
Pandangan Amir kemudiannya jatuh pada tangannya yang dipegang erat oleh Widad. Naik berkerut dahi Amir. Widad yang tersedar dia sedang memegang tangan lelaki itu cepat-cepat melepaskan pegangannya. Rasa malu dengan tindakan tanpa sedarnya. Masing-masing masih membisu.
“Amir, awak marahkan saya ker?” Tanya Widad lembut. Dia beranikan juga dirinya untuk menentang mata redup milik Amir.
Amir masih tetap diam dan dingin. Pertanyaan Widad dibiarkan sepi. Boleh tahan juga rajuk abang ustaz sorang ni!
Widad makin resah. ‘Ini marah ke merajuk ni?’ Hati Widad tidak sudah-sudah bertanya. Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk Amir. Luarannya nampak lembut, tapi siapa sangka keras juga hati abang ustaz nan sorang ni.
Sudahnya Widad putus asa. Dia mengeluh kecil sambil memusingkan tubuhnya untuk berlalu dari situ. Habis sudah usahanya untuk memujuk Amir. Dia tidak pandai nak memujuk. Lebih-lebih lagi lelaki yang merajuk itu adalah Amir.
Tiba-tiba tangan Widad ditarik kuat oleh Amir sehingga tubuhnya terus melekat pada tubuh Amir. Tangan Amir terus merangkul pinggang Widad dengan erat, seakan tidak mahu dilepaskan. Seminit, dua minit.. masih begitu. Tubuh mereka masih melekat.
Widad terpana. Kaku, kejang.. macam patung cendana. Bau tubuh Amir yang begitu wangi menggegarkan naluri wanitanya. Perasaan Widad rasa terbuai-buai. Hanyut dalam kehangatan tubuh Amir. Hati rasa berdebar-debar. ‘Ya Allah, perasaan apakah ini? Aneh.. tapi, mendamaikan!’
Tidak ada sepatah kata pun yang terucap di bibir Amir saat itu. Hanya pelukannya pada pinggang Widad yang semakin erat seakan tidak mahu dilepaskan sampai bila-bila. Dia tidak mampu untuk meluahkan segalanya dengan kata-kata. Biarlah perbuatan dia menjelaskan segala-galanya bahawa dia sudah jatuh sayang dan cinta pada Widad.

2 ulasan: