Janji Semalam- Bab 9



BAB 9

ANGIN petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kering di laman rumah bergerak bebas disapa angin. Burung-burung di dahan pokok berkicauan merdu lalu menerbitkan aura ketenangan. Anak-anak ayam di laman rumah juga berlari riang mengejar belalang.
Widad termenung di pangkin kayu sambil duduk menongkat dagu ke lutut. Kerutan pada dahi Widad jelas menampakkan bahawa fikirannya tengah berserabut saat itu. Angin petang yang berpuput lembut, langsung tidak dapat menenangkan hatinya. Dari malam tadi, nafas Widad rasa tersekat-sekat saja. Bukan sebab dia ada penyakit asma, tetapi sebab dia lelah dengan banyak hal. Otak Widad pula bagaikan sengaja mahu menderanya. Asyik berkerja keras, tak henti-henti memerah keringat. Bayang Amir dan Alif datang silih berganti. Sudahnya, Widad mengeluh kecil.
“Hai, kak! Panjangnya mengeluh.. Ingatkan buah hati pengarang jantung ker? Ustaz adik cakap tak baik kalau mengeluh.” Zahrin berjalan menghampiri pnangkin kayu sambil menyorong basikal kesayangannya. Sengihnya bukan main lebar lagi. Seronok dapat mengusik Widad.
Widad angkat muka. Wajah satu-satunya adik yang dia ada di dunia ini ditatap lama. ‘Amboi, bukan main lagi dia!’ Getus hati Widad. Rasa sakit hati pula tengok sengihan Zahrin yang bukan main lagi lebarnya.
“Kenapa tengok adik macam tu? Betul lah ustaz adik cakap macam tu. Kalau mengeluh tu jadi kawan syaitan.. He.. he.. akak teringatkan pakwe yang mana satu? Abang Amir ker Abang Alif?” Makin lebar sengihan Zahrin.
Widad ketap bibir. Makin geram pula dengan adik kesayangannya itu. Kalau sehari tak mengusik dia, memang tak sah.
“Jangan nak menyibuk hal orang tua!” Bentak Widad. Saja buat muka garang.
“Okey.” Selamba saja Zahrin menjawap. Punggung terus menghenyak kusyen basikal.
“Eh, adik! Nak pergi mana tu?”
“Nak pergi main bola lah! Tadi akak cakap jangan nak menyibuk hal orang tua.” Saja Zahrin pulangkan paku buah keras.
Widad tersengih kelat.
“Adik, marilah duduk sini. Temankan akak yer? Akak bosan ni! Nak keluar mak tak bagi.” Widad buat muka kesian. Matanya dikedip-kedip laju. Sambil senyuman paling manis dilemparkan buat adik kesayangannya.
 “Yerker? Kesiannya.. Padan muka akak!” Zahrin jelir lidah sambil ketawa besar. Terus dia kayuh basikalnya laju-laju.
“Adikkkk!!”
Suara Widad sudah bergema kuat.
“ Ya Allah, Widad! Apa kena dengan kamu ni?”
Mak Piah yang siap bertudung itu tiba-tiba sudah terpacak di sebelah Widad. Mata mengecil. Kening berkerut. Muka Widad dipandang lama, tak berkelip.
“Eh, mak! Nak pergi mana lawa-lawa ni?” Widad tersengih. Muka Mak Piah yang nampak lain macam itu, dia buat tak nampak saja. Tak boleh dilayan sangat marah Mak Piah tu. Makin dilayan makin menjadi nanti.
“Hmm.. nak ke kedai! Ni, alang-alang kamu tak ada apa nak buat.. sapu daun-daun kering dekat laman ni. Lepas tu bakar terus.” Arah Mak Piah macam sarjan pencen.
Laju Widad angguk kepala. Nantikan, kalau tak angguk cepat-cepat panjang pulak jadinya.
“Kamu jangan nak merayap yer!” Telunjuk Mak Piah sudah menunding tepat pada muka Widad. Muka Mak Piah serius tanpa segaris senyuman pun. Bukan boleh percaya budak Widad ni. Nanti sedar-sedar dah lesap dari rumah.
“Yerlah, mak! Berapa kali mak nak kena pesan ni? Kalau telinga Widad ni boleh bercakap, lama dah dia menjawap.”
“Hah! Telinga tak menjawap, tapi mulut tuan dia ni haa.. ada saja jawapannya.” Laju tangan Mak Piah mencubit pipi Widad. Kuat!
“Aduh.. Aduhh!! Sakitlah mak..” Renggek Widad.  Mata mula berair.
“Tau sakit! Mulut tu memang kena ajar sikit.” Mak Piah jegil biji mata, kemudian tersengih kecil.
“Mak ni, zalim tau! Kalah mak tiri cinderella.” Pipi yang perit tadi Widad gosok berkali-kali. Boleh tahan bisanya cubitan Mak Piah tu.
“Lain kali menjawaplah lagi! Dah lah, mak nak ke kedai kejap. Jangan lupa apa mak suruh tadi.”
“Yer, tahu...” Widad tarik muncung panjang.

“HAI, tak tahulah orang zaman sekarang ni Ton.. Anak kena tangkap basah pun masih boleh tunjuk muka dekat orang kampung. Macam tak ada apa-apa yang jadi.” Mak Limah menyiku lengan Kak Ton. Mata melirik pada Mak Piah yang baru saja melangkah masuk ke dalam kedai Haji Salleh itu. Tangan ralit membelek bawang merah di bakul, tapi mulut bising berbunyi.
“Aahh.. aa, Mak Limah! Susah betul nak faham manusia ni kan? Macam suka sangat anak kena tangkap basah. Kalau anak aku, lama dah kena cincang lumat-lumat.” Jawap Kak Ton sambil mulut memuncung ke depan. Matanya turut melirik pada Mak Piah yang baru saja melangkah masuk ke dalam kedai runcit Haji Salleh itu.
Telinga Mak Piah tiba-tiba saja rasa berdesing. Muka juga rasa panas semacam saja. Kaki kaku seketika. Mata pandang tepat pada Mak Limah dan Kak Ton yang masih lebat mengata, seolah dia tidak wujud di situ.
“Hai, Ton.. Tak kan kau tak tahu. Ustaz Amir tu bukan calang-calang orang. Siapa yang tak berkenan nak buat menantu. Entah-entah memang saja kena perangkap budak Alif tu tak? Ustaz Amir tu pulak sanggup kahwin nak selamatkan maruah adik dia. Sebab tulah  dia tinggal jer bini dekat kampung.. Sebab kahwin terpaksa. Kesian Ustaz Amir tu.. Tak pasal-pasal kena jadi pak sanggup.”
Makin berdesing telinga Mak Piah jadinya. Kalau diikutkan hatinya yang tengah panas, mahu saja dia cili mulut Mak Limah dan Kak Ton saat itu juga.
“Hmm, sudah-sudahlah tu Limah, Ton.. Baik kamu berdua balik jaga anak dara kamu tu baik-baik. Jangan nanti anak-anak kamu pulak yang jadi buah mulut orang!” Haji Salleh tiba-tiba mencelah. Entah dari mana dia datang, tidak pula mereka sedar.
Mak Piah hela nafas panjang. Langkah terus dihayun ke dalam kedai. Saat dia melintas di hadapan Mak Limah dan Kak Ton, satu jelingan tajam dia berikan pada mereka. Sakit hati! Itu yang dia rasakan sekarang.
Mak Limah dan Kak Ton mencebik.
“Piah, jangan dilayan sangat mulut diaorang tu. Bukan kamu tak tahu mulut diaorang tu macam mana..” Haji Salleh pandang Mak Piah dengan perasaan kasihan.
Mak Piah tersenyum kelat.

NASI di pinggan tidak luak. Dari tadi Widad perasan Mak Piah diam saja. Riak muka pun keruh semacam. Mata sembab macam baru lepas menangis. Apa lagi yang bermain di fikiran emaknya sekarang? Itulah yang menghantui Widad.
Pandangan beralih seketika pada Zahrin yang baru sahaja mengangkat punggung dari meja makan.
“Dah habis dik?” Tanya Widad.
“Dah kak!” Zahrin bawa pinggan ke sinki dan terus cuci tangan.
“Jangan lupa siapkan kerja sekolah.” Pesan Widad sebaik saja melihat Zahrin sudah mahu berlalu dari ruang dapur.
Zahrin angguk kepala, kemudian terus berlalu ke biliknya.
 Pandangnya Widad kembali lurus pada Mak Piah. Serta merta hatinya disapa gusar. Wajah keruh Mak Piah bersama pakej mata yang sembab sudah menjelaskan segalanya. Tentu ada yang tidak kena!
“Mak..” Panggil Widad perlahan. Mata masih tidak beganjak dari muka Mak Piah.
Mak Piah diam. Panggilan Widad tidak bersambut. Hanya mata sembabnya saja merenung redup pada seraut wajah mulus milik Widad.
“Mak, jangan diam macam ni. Widad ada buat salah lagi ker?” Tangan Mak Piah disentuh lembut. Redup mata Mak Piah ditatap dalam-dalam. ‘Ya Allah, ampunilah dosa aku kerana telah menyusahkan hati mak..’ Mata Widad juga mula berkaca. Rasa berdosa yang amat pada emaknya.
“Widad! Mak yakin Widad tak buat benda-benda tak elok kan? Petang tu bukan Widad yang perangkap Alif kan?”
Bulat mata Widad. Wajah Mak Piah direnung tak berkelip. Langsung tak faham dengan soalan yang diutarakan oleh Mak Piah.
“Kenapa mak tanya Widad macam tu? Mak, tak kan Widad nak malukan diri sendiri.”
“Hmm, kamu sayangkan budak Alif tu lagi ker?” Mak Piah terus menyoal. Soalan Widad tadi tidak dijawap.
Terus muka Widad berubah riak, tunduk menekur lantai. ‘Maaf mak! Widad tak dapat nak jawap soalan mak..’ Hati kecil berbisik sendiri.
“Amir? Widad sayangkan Amir tak?!” Keras nada suara Mak Piah.
Kali ini kepala Widad terangkat sendiri. Matanya bertemu tepat dengan mata Mak Piah. Tiba-tiba ada debar dalam dada bila nama Amir disebut. ‘Argh! Kenapa ni?’ Hati berbisik lagi.
Mak Piah renung Widad dalam-dalam. Umpatan Mak Limah dan Kak Ton pada petang tadi kembali menari di ingatan. Dada menjadi semakin sesak. Sungguh, hatinya hancur.
“Widad, dengar sini..” Lembut suara Mak Piah.
Widad pandang lurus pada mata emaknya. Menanti kata seterusnya dengan debar.
“Mak nak, Widad ikut Amir. Pergi tinggal dengan Amir. Selagi Widad tak tinggalkan kampung ni, selagi itulah mulut orang kampung ni tak berhenti bercakap. Mak dah tak kuat Wid. Mak takut nanti mak hilang sabar.” Lemah suara Mak Piah menjamah telingan Widad.
“Oo.. jadi mak tak lalu nak makan nasi ni sebab mulut orang kampunglah! Ingatkan sebab nak diet.” Widad senyum kelat.
“Ee.. budak ni. Orang serius, dia main-main pulak!”
Satu cubitan halus sudah mendarat di lengan Widad. Muka Widad terus berkerut-kerut menahan rasa sakit.
“Mak, ampun mak! Sakit mak...” Rayu Widad.
“Geram mak dengan kamu ni!” Marah Mak Piah lagi. Cubitan di lengan Widad dilepaskan. Muka dipalingkan ke arah lain. Perlahan air mata jatuh ke pipi tuanya.
Widad capai tangan emaknya. Lembut bibir Widad menyentuh tangan Mak Piah. Tangan yang telah mengasuh dia dengan penuh kasih-sayang selama ini. Lama begitu!
Mak toleh pada Widad. Makin sebak jadinya.
Kemudian Widad sentuh pipi Mak Piah lembut, penuh dengan perasaan kasih. Air mata yang jatuh di pipi Mak Piah dihapuskan. Mata Widad makin berkaca.
“Mak, ampunkan Widad. Tolong jangan menangis lagi sebab Widad. Tolonglah mak! Widad merayu.. Widad tak nak jadi anak derhaka. Widad sayangkan mak! Widad akan ikut semua cakap mak lepas ni. Tapi tolong jangan menangis lagi sebab Widad.” Air mata akhirnya tanpa segan silu turun menyapa di pipi Widad.
Laju Mak Piah raih tubuh Widad ke dalam pelukannya. Sendu mereka bertemu menjadi satu. ‘Ya Allah, ampunilah dosa anakku..’ Doa Mak Piah tidak putus-putus dalam hati. Sungguh! Bukan niat dia untuk menangis. Tapi hati wanita tuanya sudah tidak kuat untuk terus menanggung rasa.

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum.. bila nk.smbung lg?? X sabar nk tau apa kesudahan kisah widad n amir ni..

    BalasPadam
  2. Best sangatlah...
    Nak lagi...
    Smbunglah lagi ye?

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum... best sgt cite ni...apa kesudahnye??

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum... best sgt cite ni...apa kesudahnye??

    BalasPadam