Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta-Bab 10



BAB 10

   QASEH menggeliat malas. Kedua belah matanya digosok lama sambil telinganya pula dengan jelas dapat menangkap bunyi laungan azan subuh yang sayup-sayup bergema daripada masjid yang berdekatan dengan taman perumahan mewah itu.
Dia menggeliat beberapa kali cuba melawan kemalasan yang sedang melanda. ‘Huhh!! Sejuknya...’ Getus Qaseh sambil matanya menari laju pada suhu pendingin hawa yang terpasang kemas di dinding bilik. ‘Lorrr, patutlah sejuk!! Tiga belas darjah celcius.. Boleh jadi sejuk beku ni..’ Runggut Qaseh lagi sambil memaksa diri untuk bangun.
Baru sahaja Qaseh mahu melangkah turun daripada katil, langkahnya terus mati tatkala terpandangkan sesusuk tubuh milik Harith yang sedang nyenyak tidur di lantai bilik yang sudah beralas dengan Toto tebal. Tubuh lelaki itu bergumpal kemas dalam selimut yang tidak kurang juga tebalnya. Lama mata Qaseh terpaku di situ dengan dahi yang berkerut. Tiba-tiba saja fikirannya menjadi kusut.
Dia langsung tidak menduga, dalam sekelip mata saja dia sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Dan paling tak diduga, dia akhirnya berkahwin juga sedangkan selama ini dia memang menentang keras sebuah perkahwinan.
Nafas Qaseh dihela lama. Mata jernihnya masih lagi terpaku lama pada seraut wajah kacak milik suaminya yang tampak tenang dan lena sekali walaupun cuma tidur beralaskan Toto di lantai. Ada senyuman yang terukir di bibirnya dalam diam. ‘Baik juga hati kau ni.. Sanggup lepaskan tilam empuk kau pada aku.. Dalam berlagak ada juga sweetnya kau ni kan? Hmm.. Tapi, betul ker kau ni suami aku errkk? Kenapalah kau benci sangat pada aku.. Ehh nanti kejap!! Aku pun tak suka kau, tau!!’ Qaseh terus bermonolog sendiri dengan muka yang berkerut seribu.
Bunyi cicak yang berdecit kuat pada siling bilik itu serta-merta mematikan lamunan kasih. ‘Ya Allah!! Boleh pulak aku berangan dekat sini..’ Qaseh sudah menggaru kepalanya yang tiba-tiba saja terasa gatal. Dia cepat-cepat turun daripada katil dan bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersolat subuh.

  BAU wangi daripada bawang yang sedang ditumis oleh Mak Siti menusuk laju ke rongga hidung Qaseh tatkala dia menjengah ke ruang dapur. Dengan berhati-hati dia berjalan menghampiri Mak Siti yang sedang ralit mengacau sesuatu di dalam kuali. Walaupun rasa segan masih menebal di hati, dia gagahkan jua dirinya untuk beramah mesra dengan pembantu rumah suaminya itu.
“Masak apa tu?” Sapa Qaseh perlahan. Dia sudah pun berdiri tegap di sebelah Mak Siti.
“Ehh, Kapal terbang kau meletop!! Haaa..Meletop?! Ehh..ehh, meletop!!” Mak Siti sudah bersilat-silat dengan sudip yang tergenggam kemas di tangan. Qaseh terlopong melihat Mak Siti yang sudah bersungguh-sungguh membuka bunga silat itu. ‘Aduhhh...melatahlah pulak!! Apa aku nak buat ni?’ Qaseh sudah menelan liur. Mukanya juga jelas kelihatan bersalah.
“ Ya Allah, Puan..Terkejut Mak Siti..” Ucapa Mak Siti tercungap-cungap sambil mengurut dada tatkala latahnya sudah mereda. Cepat-cepat dia mengacau bihun goreng yang berada di dalam kuali, bimbang takut hangit pula nanti.
“Qaseh minta maaf Mak Siti..Tak sengaja buat Mak Siti terkejut dan melatah.”
Pinta Qaseh dengan suara yang perlahan, penuh penyesalan. Jika dia tahu Mak Siti itu kuat melatah, tentu dia tidak akan menyapa Mak Siti secara tiba-tiba begitu. Wajah perempuan berumur dalam lingkungan 50-an itu direnung dengan muka bersalah. Jika dilihat sekali imbas, Mak Siti ini mungkin sebaya dengan Mak Esah..Emak kepada Aamar.
“Ehhh...bukan salah Puan... Mak Siti ni memang kuat melatah!” Balas Mak Siti pula bersungguh. Jika boleh dia tidak mahu isteri majikannya itu dihantui perasaan bersalah. Tangannya ligat berkerja, menyalin bihun yang telah siap digoreng itu ke dalam bekas dan dibawa ke meja makan yang di atasnya sudah terhidang dengan roti bakar dan telur mata kerbau. Terdapat juga seteko penuh air koko panas.
“Tak payahlah nak berpuan-puan Mak Siti..Panggil Qaseh jer! Tak selesa pulak saya bila Mak Siti panggil macam tu.” Qaseh tersenyum tipis sambil membuntuti Mak Siti ke meja makan.
“Ishh..Mana boleh! Nanti Tan Sri dengan Harith marahkan Mak Siti.”
“Allah!! Tak ada maknanya diaorang nak marah..Dahlah, keputusan Qaseh muktamad!! Panggil Qaseh jer. Emm, ada apa-apa yang boleh Qaseh tolong ker?” Tanya Qaseh ramah sambil matanya melirik penuh pada Mak Siti. Ternyata Qaseh sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan Mak Siti.
“Ehh...tak payah!! Mak Siti dah biasa buat semua ni..Lagipun semua dah siap dah..Tunggu masa nak makan saja. Yang Qaseh ni bangun awal pagi sangat ni kenapa? Tak lena tidur?” Tanya Mak Siti dengan senyuman lebar yang menguntum di bibir. Mereka sudahpun duduk di meja makan.
“Err..taklah! Qaseh memang dah biasa bangun pagi Mak Siti. Masa dekat kampung, sesudah subuh jer atok terus turun ke laut. Jadi Qaseh memang tak pernah tidur lepas subuh. Lagipun atok selalu pesan, tak elok tidur selepas subuh..payah rezeki!” Tutur Qaseh mesra dengan senyum yang menguntum di bibir. Cantik!
Mak Siti seakan terpaku melihat kecantikan Qaseh. Setiap kali Qaseh mengukir senyum, setiap kali itulah lekuk di kedua belah pipinya akan kelihatan dan membuatkan senyumannya bertambah manis.
Qaseh mula berasa tidak selesa direnung begitu oleh Mak Siti. Dia membetulkan sedikit tudung bawal yang disarung ala kadar saja di kepalanya dan baju kurung moden yang dipakainya, cuba mencari keselesaan.
“Kenapa Mak Siti renung Qaseh macamtu?” Akhirnya dia tidak dapat menahan diri daripada bertanya.
“Aaa..tak ada apa-apa! Emm, ni..Dah kejutkan Harith ke belum ni?” Pertanyaan daripada Mak Siti itu telah membuatkan dahi Qaseh berkerut seribu.
“Kena kejut ker?” Tanya Qaseh seperti orang bodoh.
“Lahhh budak ni! Dah pukul berapa dah ni..Nanti mengamuk pulak si Harith tu kalau terlewat ke pejabat.. Kalau Qaseh nak tahu, suami Qaseh tu payah nak bangun pagi.”
“Ooo...” Jawap Qaseh sepatah sambil tersengih macam kerang busuk. Mak Siti pula hanya menggelengkan kepala.
“Assalamualaikum...”
Tiba-tiba suara garau seorang lelaki kedengaran memberi salam. Serentak Mak Siti dan Qaseh menoleh ke arah pintu belakang dapur yang terbuka sedari tadi. Cahaya matahari yang samar-samar juga telah masuk melalui pintu itu, namun tidak pula sampai menyilaukan pandangan mereka.
“Eh, Sufian! Masuklah..”
 Pelawa Mak Siti sambil tersenyum senang melihat Sufian, ayah kepada Qaseh sedang berdiri di ambang pintu. Tanpa membuang masa lagi Sufian terus melangkah masuk dan duduk bersama mereka di situ. Qaseh sudah semacam dua macam. Wajahnya yang tadi ceria sudah berubah riak menjadi mendung. Namun begitu, sedayanya dia cuba mengawal emosi agar tidak kelihatan ketara di hadapan Mak Siti. Dia tidak mahu Mak Siti tahu hal yang sebenarnya.
Tetapi berdepan dengan ayahnya saat itu, sudah cukup membuatkan hatinya hancur dan dipagut pilu. Kenangan zaman kanak-kanaknya mula menari-nari di ruang ingatan. Masih terasa olehnya betapa sakitnya rasa menanggung rindu dan menagih kasih seorang ayah. Ayah yang dahulunya seoarang yang penyayang dan bertanggungjawab, hilang dengan sekelip mata sahaja. Saban malam dia menangis, bertambah pilu melihat keadaan arwah ibunya yang seakan hilang semangat untuk meneruskan hidup. Ibunya menjadi cemuhan orang kampung, konon ayahnya Sufian menceraikan ibunya kerana ibunya bermain kayu tiga dan tidak pandai melayan suami. Kerana tidak tahan dengan cacian dan tomahan itulah ibunya seakan hilang semangat untuk meneruskan hidup.
 Setiap hari dia diejek oleh kawan-kawan, dipulaukan oleh mereka kerana mempunyai seorang ibu yang seakan kurang siuman. Dan hanya Aamarlah satu-satunya kawan yang dia ada. Yang tersangat ikhlas dan selalu ada untuk membela dirinya selain daripada Tok Daud. Kerana itulah hubungan di antara dia dan Aamar sangat akrab. Qaseh mula sebak.
“Qaseh..okey tak tinggal dekat sini?”
Tanya Sufian dengan perlahan, mula membuka bicara. Dia tahu dan dia cukup yakin Qaseh tidak menyenangi kehadirannya di situ sebenarnya. Jelas di matanya, Qaseh seakan tidak selesa dengan kehadirannya di situ. Wajah kelat anak perempuannya yang telah diabaikan bertahun lamanya itu ditatap lama. Perasaannya sarat dengan rasa penyesalan yang tidak berkesudahan. ‘Qaseh..Sampai bila kau mahu pulaukan ayah nak?’ rintih Sufian dalam hati.
Bukan salah Qaseh.. Sungguh! Anaknya itu langsung tidak bersalah. Dialah yang bersalah.. Kalau dia tidak terlampau ikutkan kata hati, tentu Qaseh tidak akan membencinya. Kalau dia tidak abaikan Qaseh, dan kalaulah dia bertegas dengan Latipah untuk menjaga Qaseh..Tentu semua ni tak akan terjadi dan Qaseh tidak akan bencikan dia. Tetapi, apalah gunanya sekarang. Menangis air mata darah sekalipun, keadaannya masih tetap sama, tetap tidak akan merubah rasa benci dan dendam Qaseh pada dirinya.
Mak Siti merenung lama pada Qaseh dan Sufian dengan dahi yang berkerut dan wajah yang penuh dengan tanda tanya. Hatinya bagaikan dapat meneka sesuatu. Melihat riak pada wajah Qaseh yang berubah secara tiba-tiba itu dan wajah mendung Sufian, sudah cukup membuatkan hati Mak Siti berasa curiga.
“Awal kamu datang hari ni Sufian?”
 Tanya Mak Siti berbasi-basi memecahkan kebisuan tatkala melihat Qaseh hanya diam sambil tunduk merenung lantai tanpa membalas pertanyaan daripada ayahnya sebentar tadi.
“Tan Sri suruh datang awal kak! Ada mesyuarat penting katanya..” Balas Sufian perlahan seakan tak bersemangat.
“Emm.. Qaseh naik atas dulu yer.. Nak kejutkan abang Harith.” Pinta Qaseh perlahan. Tanpa menantikan jawapan daripada Mak Siti dan ayahnya, Qaseh terus berlalu daripada ruang dapur menuju ke tingkat atas. Dia sebenarnya tidak betah lagi untuk terus duduk di situ bersama-sama dengan ayahnya.
Wajah Sufian semakin mendung. Matanya tidak sanggup memandang wajah Mak Siti yang sedang merenungnya dengan dahi berkerut. Saat dan tika itu dia yakin Mak Siti pasti sudah dapat menghidu sesuatu, namun biarlah begitu.

  “KAU merayap ke mana hah? Kenapa tak kejutkan aku?! Dah lambat tau tak!!”
Suara keras Harith menerjah tepat ke gegendang telinga Qaseh sebaik saja dia melangkah masuk ke bilik.
Qaseh diam! Matanya yang redup dan berkaca itu memandang terus pada Harith yang sudah lengkap berkemeja biru laut dan berkot hitam, nampak kacak sekali. Dia diam membatu, sepatah pun tidak menjawap.
Harith tergamam melihat wajah Qaseh yang tampak sayu dengan mata yang berkaca itu. Niat untuk terus mengherdik Qaseh terus terbantut. Entah mengapa hatinya yang sedang mengelegak panas itu berasa sejuk dengan tiba-tiba. ‘Aikk, kenapa pulak dengan minah kampung ni?’ Harith sudah tertanya-tanya.
“Kenapa ni?”
Tanya Harith lembut. Dia datang mendekat pada Qaseh dan cuba mengapai tangan Qaseh untuk memujuk. Sungguh! Walaupun hatinya sakit setiap kali terpandangkan wajah Qaseh, namun melihat wajah Qaseh yang tampak sedih dan sayu saat itu membuatkan hatinya menjadi lembut dengan tiba-tiba.
 Cepat-cepat Qaseh melarikan tangannya daripada digapai oleh Harith sambil menggelengkan kepalanya dengan laju. Dia mengundur setapak kebelakang, cuba menjarakkan kedudukan mereka.
“Huhhh!..”
Harith mendengus kecil sambil matanya merenung tajam pada Qaseh yang sudahpun tunduk merenung lantai. Sakit pula rasa hatinya diperlakukan begitu. Sebelum ini belum pernah ada perempuan yang berani menolaknya, dan ini adalah pertama kalinya. Harith rasa betul-betul tercabar.


P/S: Cik Luvis nak mintak komen cikit boleh tak? Pada sesiapa yg sudi nak tinggalkan komen, Cik Luvis nak tahu pendapat dan pandangan laling2 semua tentang novel ni.. Pandangan jujur yer.. Cik Luvis terima apa saja komen.. baik atau buruk.. Nak tahu jugak novel ni okey ker tak? Boring ker.. bosan ker.. huhu.. Terima kasih semua yer.. love u alls..

7 ulasan:

  1. Citer ni best, tp lambat sgt tunggu sambungan... Hehehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu..tq dear..maaf yer..Cik Luvis tgh pulun nk siapkn manuskripnya..huhu...tq sbb sudi bc n sabar tunggu n3 baru..huhu

      Padam
  2. Balasan
    1. Terima kasih... Untuk bacaan penuh boleh dapatkan novel di pasaran.. Sesuci Cinta Qaseh... ��-Luvis Eija-

      Padam