Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta- bab 17



BAB 17

MATA Qaseh masih melilau ke kiri dan kanan mencari tempat untuk diparkir kereta. Sudahlah dia terlambat kerana jam, sekarang masalah tempat parkir pula. Mulut Qaseh tidak henti-henti mengomel itu dan ini daripada tadi. Akhirnya dia jumpa juga tempat parkir walaupun agak jauh sedikit daripada restoran yang hendak dituju.
Tanpa membuang masa Qaseh terus parkirkan keretanya di situ. Oppss! Kereta Tan Sri Musa sebenarnya, dan sekarang sudah menjadi milik Qaseh. ‘Jauh pun jauhlah..Nanti tak pasal-pasal pulak aku kena sembur depan CEO Perkasa Holding tu sebab lambat..Ini pun dah lambat ni!’ Omel Qaseh dalam hati.
Dia membetulkan sedikit lilitan tudung di kepalanya menggunakan cermin pandang depan, supaya kelihatan lebih kemas. Gaun muslimah yang tersarung cantik di tubuh langsingnya juga dibetulkan, cuba mencari keselesaan. Maklumlah! Inilah pertama kali dia mengenakan pakaian seperti itu, terasa janggal pula. Biasanya dia selalu berbaju kurung sahaja jika mahu ke mana-mana.
Setelah agak berpuas hati, tangannya laju saja mengapai beg tangannya yang terletak di atas kerusi penumpang hadapan, terus disangkut kemas ke bahunya. Qaseh menarik nafas seketika, cuba mencari keyakinan diri. Entah kenapa, semenjak dia turun daripada rumah lagi..Hatinya asyik berdebar-debar sahaja. Dengan lafaz bismillah, Qaseh turun daripada perut kereta dan mula menapak ke restoran Rasa Sayang, yang terletak beberapa meter juga daripada tempat keretanya diparkir.

AGAK ramai juga orang di restoran pada malam itu. Dari jauh Qaseh nampak Faez sedang melambai ke arahnya. Di hadapan Faez, seorang lelaki yang daripada belakangnya nampak segak bergaya dengan kasut kulit yang berkilat, jeans biru pepsi dan t-shirt hitam putih dari jemana yang terkenal sedang duduk sambil memegang telefon di tangannya. Qaseh menelan liur. Agaknya itulah CEO Perkasa Holding. ‘Alamak! Matilah aku..Agaknya lama mana dah mereka tunggu aku errk?’ Qaseh berteka-teki dengan hatinya sendiri.
Dengan hati yang berdebar-debar Qaseh berjalan menghampiri mereka. Mata Faez tidak berkelip memandang Qaseh yang nampak lain benar penampilannya pada malam itu. Cantik! Sungguh cantik, sehinggakan Faez berasa sayang mahu mengerdipkan matanya walaupun sesaat.
“Maaf Encik Faez.. saya terlambat. Jalan jem tadi.” Sapa Qaseh sebaik saja dia sudah berdiri berhampiran meja. Lelaki yang sorang lagi masih duduk membelakangi Qaseh, nampak begitu ralit dengan telefon pintar di tangannya.
Faez tersenyum manis terlebih gula. Senyuman yang tidak pernah dilihat oleh Qaseh sebelum ini. Hati Qaseh semakin berdebar-debar. Renungan dan senyuman Faez yang semacam dua macam itu terasa begitu mencekik saluran pernafasannya saat itu. Terasa sukar benar untuk dia mengatur nafas. ‘Control Qaseh! Controlll..’
“Tulah.. Saya offer kan diri nak ambil dekat rumah jual mahal. Nasib baik malam ni kita santai-santai jer.. Kalau meeting rasmi, memang awak dah kena fire dengan saya..”  Jawap Faez dengan nada bergurau. Matanya dikenyitkan pada Qaseh. Gulpp!! Qaseh menelan liur.
“Tunggu apa lagi tu.. Marilah duduk.” Pelawa Faez apabila melihat Qaseh masih kaku berdiri di situ. Laju saja tangannya menarik sebuah kerusi untuk Qaseh. Dengan teragak-agak Qaseh berjalan menghampiri kerusi yang ditarik oleh Faez. Lebih tepat di sebelah Faez sebenarnya.
Sebaik sahaja Qaseh melabuhkan punggung di kerusi, lelaki yang tampak segak tadi terus mengangkat mukanya. Mata Qaseh dan lelaki tadi membuntang bulat tatkala pandangan mereka bertemu. Lama mata mereka bersatu, merenung tajam di antara satu sama lain. Lidah Qaseh terus kelu. Nampak benar riak terkejut pada wajahnya saat itu. Begitu juga dengan lelaki itu.
Mata mereka masih bersatu. Berbalas pandang seolah hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Mulut mereka masih terkunci rapat, namun hati mereka saling berbicara.
Faez yang menjadi penonton pada babak bisu yang sedang berlangsung di hadapannya kini mula diterpa perasaan pelik. Melihat cara CEO Perkasa Holding itu merenung Qaseh dengan tajam, dan juga riak terkejut yang terpamer jelas pada wajah Qaseh itu menambahkan lagi tanda tanya di hatinya.
“Kenapa ni? Pernah jumpa ker sebelum ni?” Tanya Faez, sudah tidak betah dengan kebisuan itu. Lebih kepada rasa cemburu sebenarnya. Cemburu apabila ada lelaki lain yang merenung Qaseh sedemikian rupa. ‘Tak kan Encik Haikal ni dah terpikat dengan Qaseh kut! Bukan ker dia dah ada kekasih..’ Hati Faez mula bercakap yang bukan-bukan.
“Emm, saya rasa macam pernah jumpa dengan pekerja awak ni.. Pelanduk dua serupa kut..” Suara lelaki yang dipanggil Encik Haikal oleh Faez itu memecahkan ketegangan. Qaseh tunduk merenung meja. ‘Betullah dia! Muka yang sama, suara yang sama..’ Getus Qaseh.
“Ohh.. Dalam dunia ni memang selalu ada pelanduk dua serupa..” Balas Faez sedikit lega. Maknanya mereka memang tidak pernah kenal.
“Itulah!” Jawapnya sepatah. Tapi matanya masih melekat lama pada Qaseh yang nampak begitu anggun pada malam itu. Qaseh nampak lain daripada hari-hari sebelumnya. Qaseh pula, masih lagi tunduk merenung meja. Langsung tidak berani untuk mengangkat muka.
“Okey, Qaseh! Ini Encik Harith Haikal.. CEO Perkasa Holding merangkap pelanggan tetap syarikat kita. Encik Haikal, ini Qaseh Syafiqah..eksekutif pemasaran di syarikat saya..” Lancar saja Faez memperkenalkan mereka.
Harith dengan spontan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Qaseh, namun Qaseh tidak pula menyambut.
“Maaf Encik Harith Haikal..” Qaseh tersenyum manis, menampakkan kedua belah lesung pipit di pipinya sambil menganggukkan sedikit kepalanya tanda hormat. Dia berlagak seolah-olah langsung tidak mengenali siapakah Harith Haikal sebelum ini. Dalam hati hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya bergetar kala itu. ‘Ooo.. Jadi inilah dia CEO Perkasa Holding yang disebut-sebut oleh Ryna tu.. Memanglah Handsome!’ Getus Qaseh dalam hati.
It’s okey.. Saya faham..” Jawap Harith tenang. Dia juga berpura-pura tidak kenal dengan Qaseh. ‘Pandai jugak kau berlakon kan?! Takper.. aku ikut rentak kau!’ Desis Harith dalam hati. Mata masih merenung Qaseh dengan tajam. Sebuah senyuman diberikan pada Qaseh. Tetapi entah mengapa Qaseh berperasaan seolah-olah senyuman itu adalah sebuah senyuman sinis untuknya.
“Okey.. sekarang dah kenal.. Boleh kita order makan?” Tanya Faez mencelah.
Yes, Sure!” Jawap Harith sepatah. Dia perasan Qaseh nampak resah dan tidak selesa.
“Emm.. Encik Harith dengan Encik Faez order dulu yer.. Saya nak pergi toilet sekejap..” Qaseh tersenyum. Tapi entah kenapa dia rasa macam senyuman dia tu sumbang saja.
“Qaseh nak makan apa?” Tanya Faez mesra. Entah kenapa malam itu perasaannya berbunga-bunga saja melihat Qaseh.
“Apa-apa saja.. Saya pergi kejap” Qaseh meminta diri dan terus berlalu ke tandas. Faez dan Harith menghantar pemergian Qaseh dengan ekor mata.
“Tak pernah nampak pun sebelum ni? Pekerja baru ker?” Tanya Harith sebaik saja banyangan Qaseh menghilang.
“Yer, pekerja baru.. Cantik kan?” Jawap Faez disusuli pujian spontan.
“Hmm..” Hanya itu saja jawapan yang terbit daripada mulut Harith. Entah kenapa rasa sakit pula hatinya mendengar pujian ikhlas yang lahir daripada mulut Faez untuk isterinya itu. ‘Yang kau puji tu isteri aku!!’ berkali-kali Harith mengulang ayat itu, namun semua itu hanya terluah di dalam hatinya. Masing-masing kemudiannya membisu, menunggu makanan yang dipesan sampai.
“Sayanggg.. Surprise, surprise..”
Bella yang tiba-tiba saja muncul entah dari mana itu memeluk bahu Harith dengan mesra daripada belakang. Harith sedikit terkejut, namun tersenyum akhirnya.
She’s my girlfriend..” Kata Harith pada Faez yang juga nampak terkejut dengan kemunculan Bella secara tiba-tiba itu. Faez kemudiannya tersenyum mengerti.
Saat itu juga Qaseh baru saja kembali daripada tandas. Langkahnya mati tatkala melihat seorang perempuan cantik dan seksi sedang memeluk erat bahu suaminya. Rasa berpinar pula biji matanya saat itu. ‘Aiik, siapa pulak perempuan yang tengah menggedik dengan laki aku tu?!’ Getus Qaseh geram. Dia ketapkan bibirnya, rasa geram yang amat. ‘Ehh, Qaseh! Kenapa kau nak rasa macam ni pulak?! Cool okey, cool.. Kau bukan ada hati dengan dia pun.. kenapa pulak kau nak kisah?!’ Qaseh terus berperang dengan perasaannya.
Qaseh menarik nafas dalam-dalam, kemudian dengan sedikit yakin dia melangkah menghampiri mereka semua. Spontan semua mata terarah kepadanya.
“Err.. maaf, lama pulak tunggu..” Ucap Qaseh perlahan sambil tersenyum kelat. Dia melabuh duduk di kerusi sebelah Faez dan menganggukkan sedikit kepalanya kepada Bella yang sedang memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
Bella hanya membalas senyuman Qaseh seadanya. Rasa tergugat sebenarnya melihat seorang perempuan cantik yang tiba-tiba saja muncul dan duduk bersama mereka di situ. Rangkulan di lengan Harith semakin dikemaskan. Agaknya saja mahu Qaseh tahu bahawa Harith itu adalah kekasih hatinya, kepunyaannya. Qaseh tenang, masih berwajah selamba. Dia tersenyum manis menampakkan kedua belah lesung pipit di pipinya, membuatkan wajahnya tampak semakin ayu dan manis.
 Mata Harith tajam menikam tepat pada wajah Qaseh, mencari riak yang terpamer di wajah Qaseh, cuba membaca apa yang tersirat di hati Qaseh saat itu. Namun, dia kecewa akhirnya melihat reaksi Qaseh yang masih selamba dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. ‘Hmmm, tak kan sikit pun tak ada perasaan cemburu? Biar betul bini aku ni..’ Getus Harith dalam hati.
“Jomlah makan!” Pelawa Faez.
 Mereka kemudiannya menjamu selera sambil berbual-bual tentang perniagaan. Harith dan Faez yang menguasai perbualan, manakala Qaseh dan Bella pula lebih banyak diam. Sesekali Qaseh perasan, Bella menjelingnya dengan tajam. ‘Apa kes pulak minah ni?!’ bentak hati Qaseh. Dia rasa kurang senang dengan jelingan Bella itu. Perempuan yang bergaun seksi separas peha itu dikerling sekilas.
“Qaseh, comotnya makan..” Faez dengan spontan mengelap bibir Qaseh dengan tisu sambil tersenyum mesra. Qaseh yang terkejut dengan tindakan Faez itu terpinga-pinga, merenung tepat pada wajah Faez. Mukanya sudah merona merah.
“Amboiii.. Romantiknya!” Usik Bella.
Faez tersipu-sipu malu. Dia sendiri tidak sedar dengan tindakan spontannya sebentar tadi. Mata Qaseh yang masih bulat merenungnya itu ditatap lama. Bayangan Syuhada semakin mengasak ingatannya, rasa rindu menggunung di kalbu. Setiap inci wajah Qaseh ditatap dengan penuh minat.
“Ehemmm..” Harith berdehem kuat. Terasa panas pula mukanya melihat adegan yang berlangsung di hadapan matanya. Qaseh dan Faez tersentak. ‘Astaghfirullah hal azim..’ Qaseh beristighfar panjang di dalam hatinya. Cepat-cepat dia mengalih pandang ke arah lain. Mukanya juga terasa panas, malu dengan kejadian sebentar tadi. Faez pula hanya berlagak selamba sahaja.
Makan malam terus berlangsung diselang-selikan dengan perbincangan santai di antara Faez dan Harith. Bella dan Qaseh masih sama, tetap menjadi pendengar yang setia. Sesekali tangan Bella merayap mesra pada lengan Harith, membuatkan Qaseh rasa menyampah. Harith pula cuma membiarkan saja. ‘Huhh!! Dasar lelaki.. Semua sama jer.. Tak sedar diri! Dah jadi suami orang pun nak menggatal lagi..’ Bentak Qaseh dalam hati.
Qaseh tidak betah lagi untuk terus berlama di situ. Entah kenapa rasa sakit di hatinya bertimpa-timpa apabila melihat Harith juga tanpa segan-silu membalas dengan mesra usapan Bella di lengannya. Akhirnya Qaseh meminta diri dengan alasan sudah lewat malam.
Pada mulanya Faez berkeras tidak mahu melepaskan Qaseh untuk balik seorang diri, namun terpaksa juga mengalah apabila Qaseh tetap berdegil. Akhirnya dapat juga dia meloloskan diri daripada situasi yang menyakitkan hatinya itu. Sepanjang perjalanan pulang, Qaseh tidak habis-habis bermain dengan emosi. Kereta dipandu dengan penuh cermat, namun ingatannya masih berputar ligat pada bayangan Harith dan Bella. Rasa sesak nafasnya tika itu. ‘Ya Allah, kenapa aku rasa macam ni? Normalkah perasaanku ini Ya Allah? Ishh, aku benci dengan perasaan macam ni..’ Qaseh tidak henti-henti merungut di dalam hati.

JAM sudah menunjukkan ke angka 11.30 malam. Qaseh bermalas-malas di atas katil sebaik saja membersihkan diri dan menukar baju sebentar tadi. Rumah banglo tiga tingkat itu sudah sunyi sepi sewaktu dia sampai ke rumah sebentar tadi. Agaknya Mak Siti sudahpun berehat di biliknya. Bilik Mak Siti bersama suaminya terletak di tingkat bawah.
Opss! Terlupa nak bagitahu! Sebenarnya Mak Siti suami-isteri bekerja dengan Tan Sri Musa. Pak Kasim, suami kepada Mak Siti merupakan tukang kebun di rumah Tan Sri Musa. Sudah lama mereka berdua bekerja dengan Tan Sri Musa, semenjak Harith kecil lagi. Disebabkan Mak Siti dan Pak Kasim tidak mempunyai anak, Harith mereka manjakan seperti anak mereka sendiri.
Bilik Tan Sri Musa juga sudah gelap sewaktu dia pulang tadi. Mungkin Tan Sri Musa juga sudah tidur. Dalam diam terbit juga rasa kesian di hati Qaseh mengenangkan tidak lama lagi mereka akan meninggalkan orang tua itu sendirian di rumah besar itu. Qaseh mengeluh kecil. Rasa bersalah mula bersarang di jiwa. Namun, apakan daya..
Krekkkk!! Pintu bilik dikuak dari luar. Spontan Qaseh menolah. Harith sudahpun masuk ke dalam bilik dan duduk di birai katil merenung tepat padanya. Cepat-cepat Qaseh bingkas bangun dan duduk bersila di atas katil.
“Kenapa ni?” Soal Qaseh sepatah tatkala melihat muka kelat Harith. Dalam hati dia sudah mula membebel.. ‘Asal balik rumah buat muka! Menyampah betul aku..’
“Bukan main lagi kau kan?” Keras sekali bunyinya. Dahi Qaseh berkerut tanda tidak faham.
“Bukan main apa?”
“Buat-buat tanya.. Kau saja nak sakitkan hati aku kan? Seronok bermesra depan aku?” Bentak Harith keras. Qaseh sudah mula dapat menangkap maksud kata-kata Harith sebentar tadi.
“Lah, cemburu ker?” Tanya Qaseh selamba dengan senyuman sinis menguntum di bibir. Puas hatinya dapat kenakan Harith.
“Memang taklah.. Tapi menyampah!! Kalau nak berdrama macamtu tak payahlah nak tayang depan aku.. Nak termuntah aku tengok!” Bidas Harith tidak mahu mengaku kalah.
“Oo.. Kalau awak berdrama pulak, ingat saya kemaruk sangat ker nak tengok?!” Qaseh juga tidak mahu kalah. Masing-masing sudah mencuka. Mata mereka bertembung lama, merenung tajam di antara satu sama lain. Rasa sakit di hati meluap-luap.
“Aiikk, cemburu?” Giliran Harith pula memulangkan paku buah keras.
“Ha.. ha.. Memang taklah! Tapi geli.. Tergedik-gedik.. Dahlah pakai baju macam tak cukup kain.. Kesian.. Ada pakwe kaya-raya pun kedekut nak beli kain buat baju..” Sinis sekali kata-kata Qaseh membuatkan telinga Harith berdesing hebat. Muka Harith sudah merah padam menahan marah.
“Eiii... Kau ni kan!!” Harith sudah menggenggam penumbuk. Sakit hatinya bertimpa-timpa. Kecut juga tali perut Qaseh melihat muka Harith yang sudah merah berbahang itu. Dia menekupkan mukanya dengan kedua belah tangannya, tidak sanggup mahu berdepan dengan kemarahan Harith. ‘Ishh, Qaseh!! Mulut kau memang tak ada insurans kan?!’ Kutuk dia sendiri dalam hati.
Lama keadaan sepi begitu. Qaseh masih menekup muka, tidak berani menunjukkan mukanya pada Harith. Akhirnya, sayup-sayup dia dengar suara Harith menutur kata,
“Lepas ni aku tak nak tengok kau bermesra dengan mana-mana lelaki macam tadi.. Aku tak suka!! Aku bukan cemburu yer! Kau jangan nak salah fahm. Aku cuma tak nak jadi suami yang dayus! Apapun, kau memang nampak cantik sangat malam ni.. Aku suka gaya baru kau tu..” Sebaik saja kata-kata itu menari laju di cuping telinga Qaseh, cepat-cepat dia mengalihkan tangannya. Harith sudah tidak ada di bilik, entah ke mana menghilang. Namun kata-kata Harith tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinganya bagaikan terakam kemas di situ.
Satu helaan nafas dilepaskan oleh Qaseh. Entah kenapa kata-kata Harith sebentar tadi begitu terkesan di hatinya. Sungguh, dia langsung tidak mengerti dengan perasaannya kala itu.. Yang nyata, dia berasa senang dengan ungkapan Harith sebentar tadi. Segaris senyuman terukir mekar di bibirnya tanpa sedar.

6 ulasan:

  1. Bestnya, nti sambung lg ya. :)

    BalasPadam
  2. Yess. Harith dah tau pun bini dia cantik. Jeles tak nak mengaku.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan.. mengada jer Harith tu.. Dah jealous tak nak mengaku.. hihi

      Padam
  3. Tak sabar nak baca episod seterusnya dinda..

    peminat tegar sksl

    BalasPadam
    Balasan
    1. In Shaa Allah.. nanti akan diupdates lagi yer.. hehe.. terima kasih.

      Padam