Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta-Bab 7




BAB 7

TERATAK usang milik Tok Daud telah dipenuhi oleh kaum keluarga yang terdekat pada hujung minggu itu. Majlis pernikahan yang berlangsung secara kecil-kecilan itu berjalan dengan begitu lancar sekali. Dengan sekali lafaz sahaja, kini Qaseh sudah sah bergelar isteri kepada Harith Haikal, seorang CEO sebuah syarikat perkapalan dan hartanah yang terkemuka di ibu kota. Atas permintaan Qaseh, majlis pernikahan ini diadakan secara kecil-kecilan dan Harith terus bersetuju tanpa sebarang bantahan.
Air mata Qaseh jatuh melaju di pipi tatkala Harith sah bergelar suami kepadanya. Entah mengapa, saat bibir lembut Harith jatuh tepat pada ubun-ubun kepalanya satu perasaan halus yang sukar untuk ditafsirkan oleh Qaseh menerpa ke lubuk hatinya, membuatkan perasaan dan jiwanya terbuai indah. Qaseh keliru! Perasaan apakah itu?
Walaupun Qaseh tahu segala perlakuan Harith kala itu hanyalah lakonan semata-mata  demi mengaburi mata-mata mereka yang memandang, tetapi entah mengapa hatinya berasa begitu tersentuh. ‘Ya Allah, perasaan apakah ini?’ Hati kecil Qaseh terus berperang ganas. Seumur hidupnya dia tidak pernah merasai perasaan yang sedemikian rupa. Qaseh tiba-tiba berasa takut dan keliru!

“HARITH ! kamu tinggal di sini dulu sehari dua, lepas tu baru balik K.L..Nanti jangan lupa bawak Qaseh balik K.L..” Tegas saja suara Tan Sri Musa seolah memberi arahan. Mata Harith sudah membuntang bulat merenung tok ayahnya.
“Tapi tok ayah! Harith banyak kerja dekat pejabat tu..” Tutur Harith perlahan, saja dia beralasan. Gila! Macam mana dia nak tinggal di sini, di rumah ini bersama isteri yang langsung dia tidak cintai. Aduh! Penat nak kena berlakon lagi. Dia melirik sekilas pada Qaseh di sebelahnya yang hanya diam membatu sedari tadi.
“Tak ada tapi-tapinya..Kerja kat pejabat tu tok ayah boleh uruskan..” Jawap Tan Sri Musa lagi. Dia merenung lama pada Qaseh yang kini sudah sah menjadi cucu menantunya. Hatinya berasa lega sekali. Pertama kali melihat gambar Qaseh yang secara tidak sengaja terjatuh daripada dompet Sufian tempoh hari, hatinya terus berkenan untuk jodohkan cucunya dengan anak perempuan tunggal Sufian itu.
Pada mulanya Sufian memang menolak cadangannya mentah-mentah. Tetapi setelah dia memujuk dan merayu Sufian berkali-kali, akhirnya Sufian mengalah juga. Tan Sri Musa yakin, Qaseh mampu membawa cucunya kembali kelandasan yang benar. Dia bimbang melihat Harith semakin hanyut dengan kehidupannya sekarang. Solat entah ke mana, bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan, semua itu menyesakkan dada Tan Sri Musa.
Harith mengeluh kecil. Dia tahu, jika itu yang keluar daripada mulut tok ayahnya maka dia memang tidak diberikan kata dua lagi. Mahu tak mahu, dia harus menurut dengan hati yang berat macam batu bata.
“Baiklah tok ayah!” Jawap Harith perlahan, hampir tidak kedengaran di telinga Tan Sri Musa.
“Qaseh!” Panggil Sufian perlahan.
Qaseh yang semenjak tadi masih berdiri kaku di sebelah Harith segera menoleh. Ayahnya Sufian, sedang berdiri tegap bersama ibu tirinya Latipah, merenung lama pada wajahnya. Qaseh masih diam, tidak tahu samada mahu menjawap ataupun tidak.
Melihat saja wajah ayahnya itu, darah Qaseh terus menyirap ke muka. Rasa sakit hati atas peristiwa yang lama masih belum padam, kini ditambah pula dengan pernikahan yang diaturkan oleh ayahnya ini. Bagaimana jika dia tidak bahagia dengan pernikahan ini? Awal-awal lagi suaminya sudah tunjuk belang. Bagi Qaseh, perkahwinan hanyalah suatu ikatan yang hanya akan membawa kepada penderitaan.
“Ayah balik dulu yer..” Sekali lagi suara ayahnya menerjah ke gegendang telinga apabila dia hanya membisu saja.
Sufian terus merenung anaknya dengan pandangan sayu. Dia tahu Qaseh memang membencinya. Dia tidak pernah salahkan Qaseh. Dia mengaku dia silap, dan kerana kesilapan itulah dia telah kehilangan kasih sayang anaknya.
“Qaseh!”
Terdengar suara Tok Daud menegur dari belakang. Dubb! Jantung Qaseh berdetak kuat. Dia faham benar dengan intonasi suara datuknya itu. Dengan teragak-agak Qaseh menghulurkan tangannya pada Sufian dan tunduk mencium tangan ayahnya itu. Kemudian dia beralih pula pada ibu tirinya, Latipah. Latipah menyambut huluran tangan Qaseh hendak tak hendak sahaja. Qaseh hanya dipandang dengan hujung mata.

AAMAR masih termenung panjang di serambi rumah. Wajah Qaseh masih lagi menari rancak di segenap ruang ingatannya. Angin malam yang berhembus perlahan itu langsung tidak dapat mendamaikan hatinya yang sedang keresahan. Hati mana yang tidak sakit, tidak resah kalau gadis yang dipuja dalam diam, sekelip mata saja sudah menjadi milik orang lain. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya kala itu.
“Am..Sudah-sudahlah tu!” Lembut sekali suara Mak Esah menyapa telinga Aamar. Dari siang tadi lagi anaknya itu hanya membisu, termenung jauh melayan rawan di hati. Mak Esah sendiri agak terkilan sebenarnya kerana tidak dapat bermenantukan Qaseh.
Bukan sehari dua dia kenal dengan budak Qaseh itu. Sudah tahu benar hati budinya. Harapan hendak bermenantukan Qaseh sudah lama terpahat di hati, tapi nak buat macam mana sudah tersurat jodoh Qaseh bukan dengan anaknya. Dia redha!
Perlahan Mak Esah duduk di samping anaknya, lalu tangan Aamar disentuh lembut. Aamar yang sedang merenung jauh kelaman rumah terus menoleh. Segaris senyuman terukir dibibir walaupun nampak sangat tidak ikhlas. Tekaknya terasa pahit, tidak mampu untuk meluahkan kata.
“Am..” Panggil Mak Esah lagi, lembut sekali sehingga menusuk ke dalam hati Aamar.
“Am okey mak! Mak jangan risau yer..” Tangan Mak Esah digenggam lama. Dia tahu emaknya begitu bimbangkan dirinya. Bukan niat dia mahu membuat hati tua emaknya bimbang. Tetapi dia sendiri tidak mampu untuk menyembunyikan rasa rawan di hatinya.
“Mak tahu Am okey!” Jawap Mak Esah tenang. Dia sebolehnya tidak mahu melayan rasa rawan di hati anaknya itu. Bimbang pula makin dilayan makin menjadi. Sebuah senyuman terukir dibibir tuanya, matanya merenung lama wajah anak yang begitu dicintainya. Aamar mengangguk perlahan sambil tersenyum kelat.

HARITH menolak pintu bilik Qaseh dengan perlahan, bimbang kalau-kalau Qaseh terjaga dari tidur. Dia sengaja berbual lama dengan Tok Daud di serambi rumah kerana tidak mahu berdepan dengan Qaseh di bilik tidur.
Sebaik pintu bilik terbuka, dahi Harith berkerut seribu melihat Qaseh masih berdiri tegap membelakanginya di jendela biliknya yang terbuka luas, masih belum tidur... Angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menampar lembut rambut Qaseh yang terurai cantik di paras pinggang, membuatkan  mata Harith seakan terpukau. Inilah pertama kali dia melihat Qaseh dalam keadaan tidak bertudung. Entah kenapa jantungnya tiba-tiba berlari laju. ‘Ishh!! Apa kena dengan aku ni? Desis Harith mula rasa gelisah.
“Kenapa berdiri jer dekat pintu tu? Nampak hantu?” Tanya Qaseh sebaik sahaja dia berpaling ke arah Harith. Jendela bilik sudah ditutup rapat. Matanya merenung tajam pada Harith yang telahpun masuk dan menutup pintu bilik itu.
Harith hanya mencebik, matanya masih lagi merenung tajam pada Qaseh yang sedang berdiri tegap di tepi katil. ‘Not bad! Tapi pakaian dia tu langsung mematikan nafsu aku..’ Harith sudah tersenyum mengejek melihat Qaseh yang hanya berkain batik dan bert-shirt besar itu. Memang terserlah kekampungannya.
“Kenapa kau tak tidur lagi ni? Tunggu aku?” Bentak Harith dengan muka berlagak.
“Awak jangan nak perasan! Saya tak tidur lagi sebab ada benda yang saya nak bincangkan dengan awak..” Bidas Qaseh agak keras juga. ‘Perasan! Muka berlagak macam kau tu siapa yang nak tunggu..Eee..tak ingin aku! Harap muka jer handsome, tapi berlagak tak ingat!!’ Hati Qaseh terus berperang.
“Ooo..baguslah! Aku pun ada benda nak cakap pada kau ni..Emm, kau tahukan aku kahwin dengan kau ni sebab aku terpaksa, jadi kau jangan nak beranganlah aku akan layan atau belai kau macam yang lazimnya seorang suami akan buat.”
“Okey! Saya pun tak pernah berharap awak layan saya dengan baik. Tapi memandangkan awak dah jadi suami saya sekarang, rasanya saya perlu mintak kebenaran daripada awak..” Qaseh berhenti seketika.
“Mintak kebenaran?” Dahi Harith sudah berkerut merenung Qaseh. ‘Apa saja minah sorang ni?’
“Hmm..yer! Saya nak kerja! Sampai Kuala Lumpur nanti saya nak kerja, nak tolong atok!”
“Kerja? Kerja apa yang kau tahu, kelulusan apalah sangat yang kau ada?” Harith sudah tersenyum mengejek. Muka Qaseh terus mencuka sebaik saja mendengar kata-kata ejekan yang terbit daripada mulut Harith itu. ‘Huh! Mulut tak ada insurans langsung!’ Bentak hati Qaseh geram.
 “Ahh!! Lantak kau lah nak kerja ker, apa ker..Aku memang tak kisah. Cuma aku nak mintak tolong satu perkara dengan kau, boleh tak?” Harith terus bersuara apabila melihat Qaseh hanya membungkam.
“Mintak tolong apa?” Dahi Qaseh sudah berkerut. Matanya bertembung dengan mata coklat cair kepunyaan Harith. Tak semena-mena jantungnya berdetak hebat, dub...dab..dub..dab..
“Aku nak kita berlakon depan tok ayah, depan atok dan semua orang yang kita ni mesra dan bahagia..Aku tak mintak lama, cuma setahun jer..lepas setahun kita boleh berpisah!” Tutur Harith dengan yakin. Glupp! Qaseh sudah menelan air liur. ‘Baru kahwin siang tadi sekarang dah bercakap pasal cerai? Memang gila!’
“Kenapa setahun?” Tanya Qaseh tidak faham.
“Sebab tok ayah bagi aku masa setahun untuk buktikan yang aku ni boleh jadi seorang suami yang baik dan boleh bahagiakan kau..Kalau kita berpisah sebelum cukup tempoh setahun, semua harta tok ayah akan berpindah milik pada kau!”
“Hahh?” Qaseh sudah melopong.
“Itulah! Akupun tak faham kenapa tok ayah tu beria sangat nak kau ni jadi isteri aku. Kat luar sana masih ramai lagi perempuan yang cantik dan bagus daripada kau..Malang betul aku ni kan? Perempuan kampung macam kau jugak yang tok ayah pilih..” Selamba saja Harith menuturkan kata tanpa fikirkan perasaan Qaseh. Pipi kirinya digaru, mungkin gatal sebab diselar nyamuk.
Zupp! Darah merah terasa menyerbu ke muka Qaseh. Riak wajahnya terus berubah sebaik saja mendengar kata hinaan yang terbit daripada mulut Harith sebentar tadi. Entah kenapa rasa sedih tiba-tiba bermukim di hatinya. ‘Qaseh! Kawal air mata kau..Lelaki memang begitu..’ Hati kecilnya terus memujuk. Dia diam, tunduk merenung lantai.
“Kau dengar tak ni?” Suara Harith sudah naik satu level. Geram pulak tengok Qaseh yang masih membisu itu.
“Dengar! Tengoklah nanti..” Jawap Qaseh acuh tak acuh. Dia terus mengambil segulung tikar mengkuang yang tersandar pada alamari pakaiannya lalu dihamparkan ke atas lantai.
“Kau nak buat apa tu?” Harith sudah pelik melihat segala tingkah Qaseh itu.
“Tak nampak ker?” Bidas Qaseh selamba. ‘Soalan entah apa-apa..’ Getus Qaseh dalam hati.
“Yerlah, buat apa kau hampar tikar tu?” Harith masih tidak puas hati.
“Nak tidurlah! Awak ingat saya nak sangat ker tidur dengan awak atas katil tu? Nanti awak tak lena pulak terpaksa tidur sebelah perempuan kampung yang jijik lagi kolot!! Dahlah, awak boleh guna katil saya. Kalau saya suruh awak tidur kat bawah ni nampak sangat saya ni kejam..Tak hormat tetamu..”
 Qaseh sudah merebahkan diri di atas tikar mengkuang. Kain selimut terus ditarik laju menutupi seluruh tubuhnya. Rasa seram sejuk pula tubuhnya mengingatkan yang sekarang dia hanya tinggal berdua saja dengan Harith dibilik itu. Sepantas kilat dia mengiring membelakangi Harith.
Harith hanya tersenyum sumbing melihat gelagat Qaseh. Dia yang sememangnya agak penat itu juga terus merebahkan diri di atas katil usang milik Qaseh.
“Kraakkk!!” Dengan spontan Harith bingkas bangun daripada katil. Mukanya sudah berubah cuak.
“Wehh!! Kenapa katil kau berbunyi ni? Selamat ker?” Suara Harith sudah kedengaran cemas.
Qaseh menekan perut cuba manahan tawanya daripada meledak keluar. Tanpa menoleh kepada Harith dia menjawap,
“Emmm..Biasalah! Katil orang miskin..Memang ada bunyi-bunyi macam tu. Kira macam iramalah..Dahlah! Saya nak tidur..Awak jangan padamkan lampu tau!” Tegas Qaseh.
“Huhh!!” terdengar suara Harith merengus kecil. Kemudian sekali lagi katil usang itu berbunyi tatkala Harith kembali merebahkan tubuhnya di katil.


P/S: Lepas ni kalau ada yang mintak n3 baru, barulah Cik Luvis update yer.. Kalau tak, Cik Luvis hold dulu. Nak pulun siapkan manuskrip..huhuhu

2 ulasan:

  1. Selagi belum keluar versi cetak, mesti la nak n3 baru. Cik Luvis update la ckit² sementara tunggu diterbitkan... :)

    BalasPadam
  2. Hehe.. In Shaa Allah.. nanti saya update ckit2 yer..tq

    BalasPadam