BAB 2
CAHAYA matahari
pagi yang membahang mengenai kulit muka Sara terasa sedikit perit, membuatkan
dia terjaga dari lena. Cahaya yang masuk melalui jendela kamarnya itu
menyilaukan pandangan apabila Sara membuka mata. Dia kembali pejamkan matanya
namun dengan sepantas kilat dia bangun daripada katil apabila dia mula teringatkan
sesuatu.
Sara menoleh sekilas
ke arah jam yang berada di atas meja lampu tidur di tepi katilnya. Sudah pukul
9.00 pagi. ‘Ya Allah! Lamanya aku tidur.’ Sara beristighfar panjang. Tanpa
membuang masa Sara terus berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri dan kemudiannya
terus bergegas ke bilik Adam. Dia perlu kejutkan Adam kerana lelaki itu sudah
terlambat untuk ke pejabat.
Pernah dulu dia dimarahi oleh Adam kerana tidak
mengejutkan Adam dari tidur. Akibatnya, Adam telah terlewat untuk menghadiri satu
mesyuarat penting. Disebabkan kesalahan itu jugalah, Adam tidak pulang ke rumah
berminggu-minggu lamanya. Sara takut perkara yang sama berulang lagi.
PINTU
bilik Adam ditolak perlahan oleh Sara. Kelihatan Adam masih lena di katil sambil
memeluk bantal peluknya. Sara kaget! Kalaulah Adam tahu bahawa dia sudah
terlewat untuk ke pejabat, tentu teruk Sara kena. Adam memang seorang pekerja
yang betul-betul menghargai masa. Walaupun dia menguruskan syarikat miliknya
sendiri, dia memang tidak mahu terlewat atau pun masuk ke pejabat sesuka hati
sahaja. Bagi Adam, dia perlu menjadi contoh yang baik kepada
pekerja-pekerjanya.
Sara berjalan perlahan ke tepi katil, merenung Adam
yang masih lagi lena dibuai mimpi. Dia teragak-agak untuk kejutkan Adam dari
tidurnya. ‘Hmmm.. Ok Sara! Kau kena kejutkan dia!’ bisik hati Sara. Dia cuba
meyakinkan dirinya sendiri. Walau apa pun kemungkinan yang bakal terjadi, Sara
sudah bersedia untuk menghadapainya.
“ Awak! Awak, bangun! Dah lewat ni..” Sara goyang
bahu Adam perlahan. Badan Adam bergerak sedikit, namun matanya masih lagi terpejam
rapat.
“Adam! Bangun lah... Awak dah lewat ni.” Sekali lagi
Sara memanggil, tetapi pada kali ini dengan nada yang sedikit kuat dan keras.
Bahu Adam juga digoyang dengan lebih kuat.
Mata Adam terbuka perlahan. Wajah Sara yang berdiri
betul-betul mengadap padanya itu direnung dalam. Satu helaan nafas yang panjang
dilepaskan.
“ Eemm.. Dah pukul berapa sekarang ni?” Suara Adam
sedikit serak. Mata masih tidak lepas daripada merenung Sara. Kenangan malam
tadi tiba-tiba saja datang menjentik tangkai hati. Bibir merah basah milik Sara
kini menjadi santapan matanya. Liur ditelan berkali-kali. Berderau rasa darah
lelakinya.
“ Err... emmm... dah dekat pukul sepuluh pagi.” Jawap
Sara takut-takut. Suaranya benar-benar dalam tekak. Dia memang betul-betul
takut pada Adam. Masih jelas terbayang di matanya apa yang telah terjadi
sewaktu dia terlewat kejutkan Adam di awal pernikahan mereka dulu. Adam
betul-betul menyinga waktu itu kerana dia sudahpun terlewat untuk menghadiri
suatu mesyuarat penting. Sara hampir-hampir ditampar oleh Adam waktu itu. Disebabkan
kelewatan itu jugalah, Adam sudah kehilangan satu tender perniagaan yang besar.
“Ehhhemm!!”
Adam berdehem kuat, lantas mengejutkan Sara dari lamunan.
Sara terkulat-kulat memandang Adam. Apabila terpandangkan saja renungan mata Adam
yang begitu tajam membuatkan jantungnya berdegup kencang. Rasa macam nak pecah
dadanya. Dia begitu takut sehinggakan tidak berani sedikitpun untuk bertentang
mata dengan Adam. Sara terus tunduk merenung lantai, berharap agar dia tidak diapa-apakan
pada kali ini.
Adam pula, tiba-tiba saja hatinya rasa tercuit
melihat keadaan Sara begitu. Dia ketawa besar di dalam hati.‘Ha.. ha.. ha... Tahu
pun takut! Garang sangatkah muka aku ni kalau tengah marah?’ desis Adam sendiri
dalam hati. Tapi, riak mukanya masih serius tanpa segaris senyuman.
Adam bangun, perlahan dia melangkah menghampiri Sara
yang masih lagi tunduk merenung lantai. Jantung Adam tiba-tiba berdegup kencang.
Berdepan dengan Sara pada kali ini, jantungnya memang benar-benar sakit. ‘Aikk!
Kenapa dengan jantung aku ni? Lain macam pulak rasanya.’ getus Adam sendiri.
Matanya tidak lepas-lepas dari memandang wajah Sara yang begitu ayu namun
kelihatan sedikit pucat.‘Sampai macam tu sekali dia takut pada aku..’ bisik
Adam lagi.
Sara sedikit menggigil. Adam semakin menghampirinya
dan kini betul-betul berada di sebelahnya. Dengan sedikit kasar Adam mengangkat
wajah Sara yang masih tunduk merenung lantai. Seketika kemudian merapatkan
mulutnya ke telinga Sara sambil berbisik halus..
“Kau tahu tak apa hukuman untuk kau kali ni sebab
lambat kejutkan aku?” Adam berbisik perlahan di tepi telinga Sara. Cepat-cepat
Sara geleng kepala. Jantungnya sudah melompat-lompat. Takut ada, seram pun ada.
Bulu roma tiba-tiba rasa tegak.
“ Aku nak kau layan aku, boleh?” Adam tersenyum
sinis. Hujung rambut Sara dimainkan dengan hujung jarinya.
“Hah?”
Sara bingung. Dahinya berkerut, cuba mencerna maksud
disebalik kata-kata Adam yang terasa begitu pelik dipendengarannya. ‘Layan?
Layan yang macam mana?’ Sara sikitpun tidak dapat menangkap maksud kata-kata
Adam itu. Dahi makin berkerut rapat.
“Kau ni memang betul-betul lembab ataupun sengaja
buat-buat lembab?!” Sara direnungnya tajam. Geram pula melihat Sara seperti
orang bodoh. Adam dengan rakus menarik tubuh Sara rapat kepadanya, terus berada
di dalam pelukannya.
Sara kaget! Mukanya terus berubah menjadi merah
kerana menahan perasaan malu. Seumur
hidupnya, inilah pertama kali dia berada begitu rapat dengan lelaki. Pertama
kali juga berada di dalam pelukan seorang lelaki. Dia rasa macam nak pengsan
dekat situ juga.
“Aku nak kau layan aku dekat atas katil, boleh?”
Adam semakin galak mengusik Sara. Seronok melihat pipi Sara yang merah menyala
itu. Dia dapat rasakan tubuh Sara yang sudah mula menggigil ketakutan.
“Hah?”
Sara terjerit kecil. Matanya terbeliak, betul-betul
terkejut mendengar permintaan daripada Adam itu. Badannya mula terasa seram sejuk.
‘Ya Allah... apa kena dengan laki aku ni...’ Sara sudah pejamkan matanya
rapat-rapat, tidak berani mahu membalas renungan mata Adam yang menikam tepat
pada anak matanya. Sungguh, dia rasa macam nak gila saat itu.
Tangan kasar Adam terus merayap perlahan ke pipi
Sara, mengusap-usap pipi Sara dengan lembut. Kemudian perlahan-lahan turun ke
leher. Sara terpaku. Degupan jantungnya semakin kencang. ‘Ya Allah, selamatkan
aku..’ Sara tidak putus-putus berdoa di dalam hatinya.
Sementara Adam pula, bagaikan sudah terpukau dengan
kecantikan Sara. Niat yang pada mulanya cuma mahu mengenakan Sara kini telah
menjerat dirinya sendiri. Adam mula hanyut dalam perbuatannya. Baru sahaja dia
mahu mencium bibir basah milik isterinya itu, tiba-tiba iPhone miliknya yang
berada di atas meja solek berbunyi nyaring. ‘Hishh... kacau jer lah!’ Adam
mendengus kasar di dalam hati.
Pelukan di pingggang Sara terus terlepas. Sebaik
sahaja Adam meleraikan pelukannya, Sara terus berlari laju meloloskan dirinya
daripada Adam. Dia berlari menuju ke dapur, duduk terpaku di kerusi meja makan.
Wajahnya pucat, seolah langsung tidak berdarah. Dia betul-betul takut
membayangkan apa yang telah terjadi sebentar tadi. ‘Ya Allah, syukur pada Mu.’
bisik Sara di dalam hati.
USAI
bercakap di telefon, Adam terus ke bilik air untuk bersihkan diri. Fikirannya
melayang jauh, teringat kembali apa yang telah terjadi di antara dia dengan
Sara sebentar tadi. Perasaannya bahagia tiba-tiba saja dating bertamu. Rasa
seronok pula dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia sendiri tidak faham
dengan perasaannya sekarang. Kenapa sejak akhir-akhir ini dia selalu sahaja teringatkan
Sara. Jangan-jangan dia sudah jatuh cinta pada Sara tak? ‘Ahh, tak mungkinlah
Adam!’ Hati Adam terus menyangkal sekerasnya. Dia begitu yakin bahawa perasaan sayang,
cinta dan kasihnya hanyalah untuk kekasih hatinya iaitu Amira.
Sementara Sara pula resah di dapur, menanti Adam di
meja makan untuk bersarapan. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan Adam
sekejap lagi. Dirinya masih diselubungi perasaan malu yang teramat sangat.
Kalau boleh, dia nak jadi halimunan. Biar Adam tidak Nampak dia di mana-mana.
Tidak lama
kemudian Adam sudah berada di meja makan, siap berpakaian kemas.
SUASANA
di meja makan masih sunyi sepi. Yang jelas kedengaran hanyalah bunyi sudu dan
garfu yang berlaga sesama sendiri. Adam dengan muka selamba saja, seolah-olah
tidak pernah berlaku apa-apa di antara mereka.
Adam ralit
menjamah makanan. Dia akui Sara memang pandai memasak. Kebetulan pula pada hari
itu dia tidak ada urusan penting untuk dikerjakan, jadi bolehlah dia berlengah-lengah
sedikit untuk ke pejabat. Memang dia tidak akan melepaskan peluang untuk
menjamah makanan yang dimasak oleh Sara.
Sara merenung Adam yang begitu leka menjamu selera
tanpa berkelip. Dalam diam dia akui, Adam memang kacak. Kekacakan yang boleh
menggetarkan hati setiap perempuan yang memandangnya. Namun Sara tidak faham
dengan sikap Adam terhadapnya. Sekejap-sekejap mesra, sekajap pula dingin.
Sampai bilakah Sara mampu bertahan dengan keadaan mereka begitu.. dia sendiri
tidak tahu. ‘Amboi, sedap sangat ke aku masak, sampaikan aku yang duduk kat
depan ni langsung tak dipandang!!’ Desis Sara tidak puas hati. Tadi, bukan main
lagi mesranya. Sekarang dah jadi batu balik!
Iphone milik Adam tiba-tiba menjerit nyaring,
memecahkan kebisuan di antara mereka. Terus lamunan Sara tersentak. Matanya
melirik laju pada telefon yang berada di atas meja makan di hadapan Adam.
Adam menyorot
sekilas ke arah telefon bimbitnya. Serta merta senyuman lebar terukir di bibir.
Laju saja tangannya menekan punat hijau dan menjawap panggilan itu dengan
mesra. Kerlingan Sara yang berada di sebelahnya dibuat tak nampak sahaja.
“Hello, sayang!”
Sapa Adam ceria tanpa mempedulikan Sara yang berada
di sebelahnya saat itu.
Zup! Tiba-tiba darah merah terasa menyerbu laju ke
muka Sara. Entah kenapa tangkai hatinya terasa pedih dengan tiba-tiba.
‘Sayang?’
“Hari ni Am tak jadi masuk office, nanti Am jemput sayang yer? Kita keluar jalan-jalan.” Adam
tersenyum senang. Talian terus dimatikan. Sudah lama tidak keluar berjalan dengan
kekasih hatinya membuatkan Adam berasa sedikit teruja. Sesaat dia melirik
kepada Sara. Saja mahu melihat reaksi Sara.
Wajah Sara berubah menjadi merah secara tiba-tiba.
Dadanya terasa ketat seolah hendak pecah. Sakitnya! ‘Kenapa dengan aku ni? Kenapa
aku rasa macam ni?’ Sara mula rasa keliru dengan perasaan sendiri. Dia rasa
sakit hati yang teramat sangat. Rasa marah yang membuak-buak. Namun, semua
kemarah itu cuma terpendam dan terluah di dalam hatinya.
Apalah gunanya jika diluahkan. Antara dia dan Adam memang
sudah termetrinya satu perjanjian. Dia tidak boleh mencampuri urusan peribadi
Adam dan begitu jugalah sebaliknya. Tambahan pula mereka memang tidak pernah
bercinta dan tidak mungkin akan bercinta. Tiada gunanya Sara melepaskan semua
perasaan marah itu kepada Adam.
Sara tahu memang agak mustahil untuk Adam jatuh
cinta padanya. Dia cuma seorang gadis kampung yang kolot dan naif. Memang tidak
ada satu pun yang dapat menarik minat Adam terhadapnya. Dia juga cuba mengawal
dirinya. Mengawal hati dan perasaannya.. supaya tidak mengharapkan apa-apa
daripada Adam.
Namun begitu,
perasaan kecewa dan sedih tetap jua bertamu di hatinya. Hidup Sara sentiasa
dilingkari dengan cerita duka. Apakah memang tiada sinar harapan dan
kebahagiaan untuk dirinya? Atau, apakah dia memang tidak layak untuk hidup
bahagia seperti orang lain?
“Kau kenapa, tak sihat ker?” Wajah Sara yang tampak kemerahan
itu direnung lama oleh Adam. ‘Apa kena dengan minah ni? Hish, tak kan cemburu
kut?’ otak Adam berputar ligat, cuba menafsir apa sebenarnya yang terjadi.
Wajah Sara masih direnung lama dengan dahi yang berkerut seribu.
“Hah? Eh, err... tak.. tak adalah! Okey, saya okey!!”
Tergagap-gagap Sara menjawap. Dia cuba untuk senyum, tapi nampak sangat senyuman
yang dibuat-buat.
“Kau ni dah kenapa? Tergagap-gagap pulak! Kalau kau
rasa tak sihat pergilah cepat-cepat jumpa doktor. Nanti, kalau dah sakit teruk
aku jugak yang susah.” Selamba Adam membalas sambil menghirup air milo suam yang
masih berbaki di cawannya. Muka Adam nampak kelat.
Sara terkedu. Sekali lagi hati keciknya tersentap. Dia
betul-betul berkecil hati dengan kata-kata Adam sebentar tadi. ‘Kalau dah tahu
aku ni menyusahkan, kenapa tak lepaskan saja aku. Ini tidak, yang kau beria nak
aku jadi bini kau tu kenapa?!’ Sara menjerit dalam hati. Geram betul dia dengan
sikap sinis Adam. Mentanglah dia tidak reti nak melawan, sesedap rasa saja Adam
membuli dia.
Melihat Sara masih tetap membisu dengan muka yang
keruh, Adam kembali bertanya.
“Hari ni kau ada nak ke mana-mana ker?”
Sara masih juga membisu. ‘Tadi cakap aku ni
menyusahkan.. Ini ada hati pulak nak tahu aku nak ke mana!’ Bentak Sara dalam hati.
Dia tunduk pandang sarapan di pinggan yang langsung tidak disentuhnya.
“Kau ni dengar ke tak?!” Suara Adam sedikit tinggi.
Dia sudah mula hilang sabar dengan kebisuan Sara. Wajah Sara yang keruh itu
direnung tajam. Kalau ikutkan hatinya yang tengah panas tu, mahu saja
ditengkingnya Sara kuat-kuat.
“Hmm.. saya ingat nak keluar kejap pergi siber cafe.” balas Sara lemah, acuh tak acuh sahaja.
“Aikk... kau nak buat apa pergi sana?” tanya Adam
hairan. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Sara. ‘Dia ni, makin direnung
makin cantik pulak!’ Adam telan liur. Tiba-tiba ada debaran di dada.
“Nak pergi semak keputusan permohonan untuk ke
Universiti secara online” Jawap Sara
sepatah. Kemudian, diam lagi. Sakit hati masih lagi bersisa.
“Ohh.. kau nak sambung study? Tapi, bila masa
pulak kau isi borang tu?”
“Masa dekat kampung. Awak tak kisah kan?” Matanya
bertemu tepat dengan anak mata Adam. Dalam hati berharap sanagt Adam memberi
keizinan.
“Hmm, bagus jugak tu! Daripada kau duduk kat dalam
rumah ni tanpa buat apa-apa, elok jugak lah sambung belajar. Takperlah, nanti
aku belikan kau Laptop. Lain kali tak
payah susah-susah nak pergi siber cafe.”
“Ehh, tak payah! Tak payah susah-susah sebab saya.”
Laju Sara menolak. Tergeleng-geleng kepalanya.
“Kau ni kenapa? Apa yang susah sangat? Aku
mampulah.. Kau ingat aku ni sengket
sangat ker?” Bentak Adam keras. Sakit hati betul dia dengan sikap Sara yang
suka sangat menolak setiap pemberiannya. Sikap Sara memang jauh berbeza dengan
Amira.
Kalau Amira, tidak
pernah mahu menolak apa saja pemberiaannya. Malah, meminta-minta. Manakala Sara
pula, sentiasa menolak sampaikan dia rasa terhina. Macam lah dia tak mampu!
Sara menikus, tunduk merenung lantai. Kecut perutnya
mendengar suara Adam yang keras itu. Nak angkat muka pun rasa tak berani.
“Hmm, nanti kalau dah dapat belajar tu jangan nak
menggatal pulak. Ingat sikit status kau tu! Jangan nak menggatal dengan lelaki
lain. Kau tu milik aku. Banyak dah aku berhabis duit untuk kau! Jaga sikit
maruah aku sebagai suami kau. Lagi satu, jangan pandai-pandai pulak cakap dekat
orang yang kau tu dah kahwin!” panjang lebar pula syarahan Adam.
Sara masih
sama, diam tak berkutik. Mukanya masih tunduk merenung lantai. Sekali lagi
hatinya tercalar. Sampai bila Adam mahu mengungkit? Sampai bila dia mesti rasa
terhutang budi? Kolam mata terasa panas. Sedayanya ditahan agar tidak limpah.
“ Hishh.. kau ni! Dengar tak apa yang aku cakap ni?”
Adam menengking kuat.
Terangkat bahu Sara kerana terkejut. Kepalanya
diangguk laju. Bimbang kalau-kalau Adam semakin marah.
Sementara
Adam pula sudah berlalu keluar. Bimbang jika dia masih berlama di situ, dia
tidak mampu mengawal amarahnya. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi enjin
kereta BMW miliknya menderum laju, meninggalkan rumah rumah banglo dua tingkat
itu..
Sara masih membatu di kerusi makan. Nasi goreng yang
dimasak olehnya tadi langsung tidak dijamah. Kata-kata Adam tadi masih berbekam
di hati. Sauara Adam bagaikan terngiang-ngiang di telinga, bagaikan rakaman
suara yang diulang pasang
. Perlahan air mata gugur di pipi Sara setitis demi
setitis. Air mata yang cuba ditahan dari tadi akhirnya tumpah jua. Sara
teresak-esak. Sakit hati, kecewa, sedih, pilu... semua hadir saat yang sama,
membuatkan hatinya remuk berkecai. ‘Ya Allah.. kenapa aku yang dipilih oleh Mu
untuk mengharungi semua ujian ini? Aku tak kuat, aku takut aku rebah dalam
perjuangan ini..’ Sendu Sara makin kuat.
Dia
benar-benar tidak kuat untuk menampung segala perasaan sedih dan sebak yang
bersarang dihatinya. Apalah dayanya untuk menghalang Adam daripada mendekati
perempuan lain. Kalaulah dapat dia luahkan segala rasa yang sedang bersarang di
hatinya kini, mahu saja dia hamburkan semuanya pada Adam. Kenapa Adam mesti
menyakiti hati dan perasaannya? Kenapa mesti dia diperlakukan sebegitu rupa oleh Adam?
Seolah-olah dia boneka yang tidak bernyawa! Apakah kerana Adam sudah membeli
dirinya, maka Adam boleh berbuat sesuka hati sahaja? Sara makin sebak. Air mata
tidak henti-henti menghujani pipi.
Group Laman Angan Luvis..
Jalan cerita menarik
BalasPadamJalan cerita menarik
BalasPadam