Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta - Bab 2

 
Qaseh Syafiqah







BAB 2

MALAM semakin tua. Qaseh masih lagi berpisat-pisat di tempat tidur, resah di baringan. Sekejap dia berpusing ke kanan dan sekejap pula berpusing ke kiri. Kemudian dia terlentang semula merenung terus pada atap rumah yang sudah semakin uzur itu. ‘Hishhh! Mata!!! Kenapalah kau susah sangat nak lelap malam ni?’ gerutu Qaseh mula berasa bosan.
Qaseh terus bangun menuju ke jendela biliknya lalu jendela itu dikuak luas. Ombak laut jelas kedengaran di cuping telinganya bagaikan sebuah irama yang begitu mengasyikkan. Bayu malam terus menerobos masuk ke biliknya menerusi jendela yang terkuak luas itu, menampar lembut tubuhnya sehingga membuatkan dia berasa kedinginan. Cahaya bulan purnama begitu terang pada malam itu membolehkan dia dapat melihat dengan jelas pokok-pokok kelapa yang daunnya terbuai lembut ditiup angin malam di halaman rumah.
Dia terus berdiri tegap di jendela sambil merenung jauh ke halaman rumah. Fikirannya saat itu sudah melayang entah ke mana. Qaseh masih buntu sebenarnya dengan persoalan yang telah dibangkitkan oleh datuknya semasa makan malam sebentar tadi. ‘Atok nak aku kahwin?’ Dia terus berperang dengan emosinya, bagaikan tidak percaya dengan permintaan datuknya itu. Tambah meresahkan hatinya apabila teringat kembali kata-kata datuknya sebentar tadi.
“Qaseh, dua hari lepas ayah kamu ada datang berjumpa dengan atok..Kedatangan dia pada kali ini membawa hajat..” Luah Tok Daud perlahan seolah mencari ayat untuk menyusun kata.
Dahi Qaseh sudah berlipat rapat merenung wajah tua datuknya itu, menanti ayat yang seterusnya dari bibir tua datuknya itu. Tetapi nampaknya Tok Daud masih belum berjaya menyusun ayat dan Qaseh pula sudah tidak dapat menahan sabar lagi.
“Hajat apa tok? Buat apa dia datang ke mari?”
Ada nada tidak senang dalam suaranya. Muka Qaseh sudah mencuka. Hatinya tiba-tiba saja terasa pedih apabila persoalan tentang ayahnya dibangkitkan.
“Hmmm..Dia ada bertanyakan tentang kamu, samada kamu dah ada kekasih atau belum..Dia bercadang nak jodohkan kamu dengan cucu majikannya.” Tok Daud sudah tidak berselindung lagi. Dia sudah bersandar rapat pada dinding dapur, merenung wajah Qaseh yang sudah mula berubah riak.
“Apa ni tok? Kenapa dia nak sibuk-sibuk pasal Qaseh!! Selama ini dia tak pernah pun nak ambil tahu pasal Qaseh, sekarang senang-senang datang nak jodohkan orang!!”
Bentak Qaseh dengan suara sedikit kuat tanda tidak suka dengan apa yang telah disampaikan oleh datuknya itu. Mana tidaknya! Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba datang mahu mengatur hidupnya.
“Hmm..Apapun dia tetap ayah kamu Qaseh..Kamu wajib hormat dan taat pada dia. Mana ada sorang ayah yang sanggup tengok anaknya hidup susah.” Luah Tok Daud kedengaran lemah. Dia tidak mahu cucunya itu terus berdendam dengan ayah kandungnya sendiri. Dia faham perasaan Qaseh, tetapi dia tidak mahu cucunya itu menjadi seorang anak yang derhaka.
“Qaseh tak nak tok!! Qaseh janji lepas ni Qaseh akan cari kerja, Qaseh akan ubah nasib hidup kita.”
“Tapi, atok pun mahu Qaseh kahwin!!” Tegas Tok Daud.
“Apa ni tok?!” Mata Qaseh sudah membulat, merenung tajam pada wajah tua datuknya meminta penjelasan. ‘Kenapa dengan atok ni? Kenapa nak suruh aku kahwin pulak!!’ Qaseh sudah berperang dengan perasaannya.
“Atok dah tua Qaseh! Entah esok atau lusa atok dah tak ada lagi kat atas dunia ni..Siapa nak tengok-tengokkan kau masa tu? Tak kan nak harapkan Aamar tu..Dia pun nanti akan berkahwin, akan ada kehidupan sendiri. Lainlah kalau kau nak kahwin dengan budak Aamar tu.”
“Tok!! Qaseh boleh jaga diri sendiri. Ni zaman moden tok! Perempuan dah boleh hidup tanpa lelaki..” Qaseh masih belum mahu mengalah.
“Atok tahu! Tapi kita ni diciptakan Allah berpasang-pasangan. Lelaki tu memang diciptakan oleh Allah sebagai pelindung kepada kaum perempuan..Kau kena ingat tu..” Hujah Tok Daud panjang lebar. Dia harus perbetulkan tanggapan Qaseh sekarang, tidak mahu Qaseh menyesal di kemudian hari. Lama Qaseh bungkam, akhirnya dia bersuara sinis,
“ Menjadi pelindung? Kenapa ayah buang ibu dari hidup dia macamtu saja? Itu yang atok panggil sebagai pelindung?” Qaseh sudah tersenyum sumbing mematahkan hujah yang disampaikan oleh datuknya tadi. Sakit benar hatinya apabila teringat kembali segala perbuatan ayahnya. Hatinya bagaikan dicakar-cakar dengan benda yang tajam.
“Itu namanya tak ada jodoh Qaseh. Cinta tu tak kejam, tapi manusia yang silap menilai erti cinta dan lalai dalam bercinta. Atok rasa, atok dah bagi pelajaran agama yang cukup pada Qaseh. Tentu Qaseh percaya dengan qada’ dan qadar Allah.” Tok Daud merenung lembut kedalam anak mata cucunya itu, mengharap agar Qaseh akan mengerti. Dia tahu, berkeras dengan Qaseh saat itu tidak akan membuahkan apa-apa hasil.
“Hurrmm...Atok dah tak sayangkan Qaseh yer?” Ada sebak dalam suaranya yang sudah tidak dapat dibendung lagi. Air matanya hampir menitik. Dia tunduk merenung lantai papan yang beralaskan tikar mengkuang itu. Sedih rasa hatinya apabila atoknya tetap berkeras dengan keputusannya.
“Sebab sayangkan Qaseh lah atok buat semua ni!” tegas Tok Daud lagi.

“GANGGGG!!”
Bunyi pelepah kelapa yang jatuh menimpa hujung atap rumahnya itu menyentak segala lamunan Qaseh.
“Astaghfirullah hal azim..” Qaseh beristighfar panjang. Air mata yang bergenang di tubir matanya diseka laju. Entah kenapa perasaannya menjadi hiba tatkala teringatkan segala perbualannya bersama datuknya tadi. Dia tiba-tiba berasa jauh hati dengan datuknya.
Bayu pantai terus berhembus lembut menyapa tubuhnya yang ramping, lantas membuatkan hujung rambutnya yang terlepas bebas separas pinggang itu terbuai lembut ke kiri dan kanan. Malam semakin larut tetapi mata Qaseh masih lagi segar dek kerana fikirannya yang bercelaru kala itu.
Akhirnya dia menutup jendela biliknya dan terus meghilangkan diri kedalam bilik air yang terletak di hujung dapur. Dia mahu mengambil wuduk dan mahu mengadap sang pencipta. Mahu mengadu segala resah dan gundah yang sedang beraja di hatinya sekarang.
Saat dan tika ini, hanya Allah saja yang mampu memahaminya. Hanya Allah sahaja yang mampu menjadi pendengar yang setia, yang mampu memberi ketenangan padanya. Sara tidak salahkan Tok Daud. Dia tahu, datuknya itu mahukan yang terbaik dalam hidupnya. Tetapi, hatinya! Hatinyalah yang sedang parah sekarang. Dia tidak pernah percaya pada cinta, pada sebuah perkahwinan. Macam mana dia mahu berkahwin? Tambah lagi dengan lelaki yang langsung tidak dikenali. Hanya Allah saja yang maha mengetahui perancangan-Nya.




Bab :
1  2  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  16 17  18  19  20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan