Sesuci Cinta Qaseh a.k.a Jawapan Cinta - Bab 1


 
Qaseh Syafiqah





BAB 1 
CINTA! Arrgghh!!! Ada apa dengan cinta? Adakah bahagia ataupun derita? Ataupun kedua-duanya bercampur menjadi rencah dalam satu ungkapan bernama cinta. Qaseh Syafiqah, itulah namanya. Nama yang dipilih oleh ayah dan ibunya, dek kerana lambang cinta mereka yang abadi. Namun, siapa sangka bahtera yang dibina oleh kedua orang tuanya itu hancur berkecai dihempas badai yang bergelora sebelum sempat sampai ke perlabuhannya. Cinta yang mereka agungkan selama ini musnah jua dek kerana cinta orang ketiga. Dan kerana kecewa oleh cinta juga, ibunya menderita sehinggakan dia kehilangan kasih seorang ibu buat selama-lamanya.
Ayahnya Sufian, sibuk menganyam cinta baru sehinggakan terlupa pada dia, satu-satunya amanah yang telah dititipkan oleh Allah buatnya. Kini sudah hampir sepuluh tahun dia dijaga oleh datuknya, Tok Daud. Tok Daud lah satu-satunya datuk yang dia ada di dunia ini, yang sanggup menjaganya walaupun hidup dalam serba kekurangan. Ada juga kadang-kala ayahnya datang menjenguk tetapi hanya sekadar bertanya khabar sahaja. Dia tidak pernah merasa kasih sayang seorang bapa semenjak ayah dan ibunnya berpisah. Semenjak ayahnya bernikah muda, Qaseh tidak lagi dipedulikan. Kerana itulah Qaseh berdendam dengan ayahnya dan dia tidak pernah percaya pada ungkapan cinta seorang lelaki. Bagi Qaseh, tidak ada cinta yang sejati dalam dunia ini, kecuali kasih Tok Daud yang bergitu ikhlas dan tulus buatnya. Qaseh takut untuk bercinta dan dia tidak akan sesekalinya jatuh cinta.
“Meoww..”
Comot menggesel-geselkan kepalanya pada tubuh Qaseh yang sedang ralit merenung pantai yang terbentang luas di hadapannya. Bayu pantai yang berpuput lembut itu menampar mesra pipinya, mendamaikan jiwanya kala itu. Pasir pantai yang memutih, mendamaikan pandangannya. Di situlah saban petang dia menghabiskan masanya menunggu Tok Daud pulang daripada menangkap ikan di laut. Comot pula, menjadi peneman setianya. Semenjak dia tamat pengajian di Universiti Malaysia Terengganu, dia belum lagi mendapat kerja dan belum bersungguh lagi untuk berkerja. Hatinya berasa berat untuk meninggalkan Tok Daud bersendirian di kampung.
Kerana tidak sanggup berjauhan dengan Tok Daud lah dia memilih UMT sebagai medan melanjutkan ilmu sebaik sahaja dia mendapat keputusan yang cermerlang di dalam peperiksaan SPM. UMT hanya terletak di dalam negerinya sendiri dan pada bila-bila masa saja dia boleh balik untuk menjenguk Tok Daud. Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu melanjutkan pelajaran kemana-mana universiti kerana tidak sanggup melihat Tok Daud berpayah jerih membanting tulang di lautan semata-mata mahu menampung pengajiannya. Tetapi kata Tok Daud, harapannya terlalu tinggi mahu melihat Qaseh berjaya di dalam pelajarannya.
“Meeoowww...” Comot masih mengiau manja, berbelit ligat pada kaki Qaseh pula.
“Kenapa ni Comot? Kita tunggulah dulu yer..Kejap lagi pasti atok balik!” Qaseh mengusap-usap kepala Comot dengan manja. Bulu Comot yang lembut itu berasa selesa di tapak tangannya.
Comot adalah kucing yang telah diselamatkan oleh Qaseh setahun yang lalu. Waktu itu Qaseh dalam perjalanan mahu ke kedai, dia tiba-tiba ternampak satu plastik putih yang bergerak-gerak di tepi jalan. Melihat keadaan yang mencurigakan itu, Qaseh terus membuka ikatan plastik yang terjerut kemas itu. Sebaik sahaja ikatan pada plastik itu terbuka, hampir menitik air mata Qaseh melihat seekor anak kucing yang sudah lemas dan kelihatan tercungap-cungap kerana tidak dapat bernafas. Kerana kasihan, Qaseh telah membawa Comot pulang dan terus dibelanya. Sekarang Comot telah membesar dengan sihat di bawah jagaannya.
“ Kenapa lambat sangat atok balik hari ni yer Comot?” Qaseh sudah mula bimbang tatkala melihat nelayang lain sudah ramai yang pulang kerumah tetapi kelibat bot atoknya masih belum kelihatan.
“Meeoww..” Comot berbunyi lagi seakan menyahut pertanyaan Qaseh sebentar tadi. Qaseh sudah mula gelisah. Dia bangun, terus mengibaskan seluar trek yang dipakainya kerana ada pasir pantai yang melekat di situ. Matanya pula tidak lepas dari merenung ke arah pantai, menanti kemunculan bot milik atoknya di situ.
Senja semakin melabuhkan tirainya. Warna air laut juga sudah berubah menjadi jingga kemerahan akibat pantulan cahaya matahari yang sudah mula jatuh di ufuk barat. Camar putih juga sudah lama pulang ke sarang. Hati Qaseh mula berdebar-debar, bimbang sungguh jika sesuatu yang buruk telah menimpa datuknya. ‘Ya Allah, selamatkanlah atok!’ ! Qaseh tidak putus-putus berdoa.
Tidak lama kemudian anak matanya dapat menangkap dengan jelas sebuah bot kecil yang semakin mendekat ke darat kemudian terus ke kuala. Qaseh menarik nafas lega sebaik sahaja melihat bot kepunyaan atoknya sudahpun berlabuh di kuala. Dia bergegas ke kuala untuk pergi mendapatkan atoknya, sementara Comot pula berlari mengejarnya daripada belakang.
“Tok! Kenapa lambat petang ni? Qaseh sudah risaukan atok, bimbang apa-apa terjadi pada atok!” Qaseh terus menyapa sebaik sahaja melihat Tok Daud sudahpun  naik ke darat bersama seplastik ikan di tangannya.
“Enjin bot atok rosak tadi, itu yang lambat tu..Kamu ni pulak, buat apa lagi senja-senja begini masih duduk di pantai?” Tanya Tok Daud merenung wajah cucunya itu. Dia menghulurkan plastik berisi ikan kepada Qaseh. Tidak banyak ikan yang dapat ditangkap oleh Tok Daud pada hari itu, cuma beberapa ekor ikan kembung dan selayang. Nampaknya ikan-ikan itu hanya akan menjadi lauk untuk makan malam mereka saja pada malam ini. Biasanya jika tangkapan banyak, Tok Daud akan menjualnya kepada peraih ikan.
“Meeooww, meeooww..”
Comot sudah berbunyi nyaring meminta ikan daripada Qaseh.
“Nantilah Comot! Jom kita balik dulu..”
 Balas Qaseh sambil membuntuti Tok Daud yang sudah menjauh di hadapan menuju ke rumah. Rumah mereka terletak hanya beberapa meter saja daripada pantai. Comot juga sudah tergedik-gedik membuntuti Qaseh menuju ke rumah.

NASI sudahpun siap terhidang di ruang tengah dapur. Malam itu Qaseh hanya menyinggang ikan kembung sebagai lauk untuk mereka makan malam. Comot yang sudah kekenyangan itu hanya duduk berehat di atas tikar mengkuang tidak berapa jauh daripada Qaseh. Qaseh masih menunggu Tok Daud dengan sabar. Mungkin datuknya itu belum selesai bersolat Maghrib.
Tidak lama kemudian Tok Daud sudahpun duduk bersama Qaseh di atas tikar mengkuang yang di atasnya sudah siap terhidang dengan nasi dan lauk.
“Jemput makan tok!” Qaseh sudah menyenduk nasi kedalam pinggan datuknya lalu dihulurkan kepada Tok Daud, tersenyum milihat wajah tua datuknya itu.
“Kamu tak makan Qaseh?” Tanya Tok Daud sambil menyambut pinggan nasi yang dihulurkan oleh Qaseh.
“Atok makanlah dulu, Qaseh belum lapar lagi.”
Perlahan Qaseh menjawap. Matanya masih lagi menjamah wajah tua yang sedang menjamu selera di hadapannya. Tok Daud nampak begitu berselera menjamah makanan walaupun hanya berlaukkan ikan singgang. Hati Qaseh dipagut pilu melihat wajah tua Tok Daud. Sampai bilakah datuknya itu perlu memerah keringat di lautan hanya untuk sesuap nasi. Perasaan sebal mula beraja di hatinya. ‘Kesian atok! Sepatutnya aku yang kena menyara atok sekarang..Hmm, dah banyak benar atok berkorban untuk aku..’ Mata Qaseh mula berkaca, dadanya pula terasa sebak. Sedayanya dia menahan air mata agak tidak tumpah di situ.
“Tok..” Panggil Qaseh lembut dan perlahan. Suapan Tok Daud terhenti, mata tuanya memandang tepat pada wajah cucu yang sangat dikasihnya itu.
“Ada apa Qaseh?” Dahi Tok Daud sudah berkerut merenung Qaseh yang kelihatan sugul saja.
“Urrmmm, kalau Qaseh pergi kerja kat Kuala Lumpur tu, atok nak tak ikut Qaseh? Kita tinggal kat sana?” tanya Qaseh bersungguh, mengharap jawapan yang positif daripada datuknya.
Kali ini dahi Tok Daud semakin berlipat. Lain benar soalan yang di ajukan oleh Qaseh padanya saat itu. Nasi yang mahu disuakan ke mulut diletakkan kembali ke dalam pinggan.
“Kenapa pulak kamu tanya soalan yang macamtu?”
“Hmm..Tak adalah! Qaseh kesian tengok atok berhujan, berpanas kat tengah laut tu semata-mata nak menyara kehidupan kita berdua. Sekarang Qaseh dah habis belajar, biarlah Qaseh saja yang berkerja dan sara atok.” Jawap Qaseh perlahan sambil matanya merenung lama pada Tok Daud.
Datuknya itu nampak benar sudah uzur. Yerlah, umur datuknya sendiri sudah menjangkau 76 tahun sekarang ini. Selalu juga datuknya itu sakit-sakit. Sejak ayahnya meninggalkan dia di kampung bersama Tok Daud, hanya lelaki itu sajalah yang sanggup memberikan kasih dan sayang kepadanya. Dia terlalu sayangkan datuknya, tidak sanggup rasanya melihat Tok Daud susah.
“Qaseh! Di sini, di kampung inilah tempat atok. Kau pergilah berkerja di Kuala Lumpur tu kalau kau mahu, jangan risaukan atok. Nanti bila ada masa kau baliklah jenguk atok dekat sini.” Jawap Tok Daud akhirnya sambil menghabiskan sisa nasi di pinggannya.
“Tapi! Qaseh tak sampai hati nak tinggalkan atok sorang-sorang. Kalau atok sakit macam mana? Siapa nak jaga atok?” Qaseh masih belum berpuas hati.
“Aamar kan ada! Kau jangan risau, dia boleh tengok-tengokkan atok. Pergilah Qaseh! Sampai bila kau nak hidup susah dengan atok..”
Wajah tampan Aamar terus terbayang di ruang mata Qaseh saat nama itu disebut oleh datuknya. Aamar adalah satu-satunya lelaki yang begitu rapat dengannya kala itu. Berkawan dengan Aamar amat menyenangkan Qaseh. Lelaki itu terlalu ikhlas padanya dan terlalu baik dengannya. Mereka telah berkawan sejak kecil lagi, segala kisah suka duka Qaseh berada kemas dalam genggaman Aamar. Paling menyenangkan Qaseh, lelaki itu tidak pernah berbicara soal hati dan cinta dengannya.
“Tapi Aamar tu ada ke masa nak tengokkan atok? Dia kan dah kerja sekarang ni..”
“In shaa Allah, budak Aamar tu baik sangat! Atok berkenan nak jodohkan kamu dengan si Aamar tu..” Luah Tok Daud lagi dengan riak muka yang serius. Mengharap benar Aamar tu menjadi cucu menantunya.
Tok Daud memang sudah lama mengenali Aamar, melihat Aamar membesar bersama-sama dengan Qaseh, sudah paham benar hati budinya. Tok Daud juga dapat menghidu perasaan Aamar yang sebenarnya terhadap Qaseh. Tapi itulah, cucunya itu memang pantang benar jika dikaitkan soal cinta dan perasaan. Dia tahu, Qaseh begitu bencikan satu ungkapan yang bernama cinta.
Ayah kandung Qaseh telah membuang dia dari hidupnya kerana turutkan kata hati, cintakan ibu tirinya setengah mati. Tok Daud lah yang telah menjaga Qaseh setelah ibu Qaseh pergi buat selama-lamanya akibat penyakit kemurungan. Semenjak itulah Qaseh tidak pernah nampak kemanisan dalam cinta. Bagi Qaseh, cinta hanyalah racun yang merosakkan hati dan jiwa manusia.
Tok Daud terus merenung wajah Qaseh yang sudah menjadi semacam dua macam itu apabila Tok Daud menyebut soal jodoh. Ada rasa kesian di hati Tok Daud pada cucu kesayangannya itu. Dia sendiri tidak tahu sampai bilakah Qaseh mahu sendiri. Kalau boleh sebelum dia menutup mata, dia mahu melihat Qaseh berumahtangga. Dia sendiri sudah tua benar, entah esok atau lusa dia akan dipanggil pergi. Selagi Qaseh sendiri, selagi itulah hatinya tidak tenang.
“Atok bukan apa Qaseh! Kalau boleh sebelum atok pejam mata, atok nak tengok kau berkahwin dulu. Kalau kau tak ada calon, atok boleh carikan calon yang sesuai dengan kau. Kalau betul kau tak sukakan budak Aamar tu.” Tok Daud terus menerus bersuara apabila melihat Qaseh hanya diam tak berkutik. Dia teringat kembali kedatangan Sufian tempoh hari kerumahnya. Kedatangan Sufian pada kali itu bukan sekadar mahu menjenguk tetapi membawa satu hajat buat anaknya.
Qaseh masih membungkam, tidak tahu mahu membalas apa. Dia bosan benar bila Tok Daud mula bercakap soal jodoh. Bukan dia tidak tahu niat murni datuknya itu, cuma hatinya saja yang langsung tidak terbuka untuk bercinta. Segala kenangan lalu benar-benar berbekam dalam di hatinya. Qaseh mengeluh akhirnya tanpa sepatah kata.
“Qaseh!! Atok ada sesuatu nak cakapkan pada kau..” Tok Daud merenung tepat pada wajah cucunya.


Bab :
2  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  16 17  18  19  20

4 ulasan:

  1. Blog baru, cerita baru. Suka. Nak tanya 'setia menanti' nak kuar versi cetak ke? Tertunggu2 kesudahan kisah sara&adam...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Novel "Setia Menanti" tu saya dah hantar manuskrip penuh pada editor dan sekarang dalam proses penilaian..Doakan yerr..harap ada rezeki untuk terbit versi cetak..Terima kasih atas sokongan..

      Padam